Salam Perjuangan

22 Mac 2011

lNTERLOK : BUANGLAH YANG KERUH

MENTERI PELAJARAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin bertegas bahawa tiga wakil masyarakat India yang menganggotai panel bebas mengkaji cadangan pindaan Interlok belum mengundurkan diri dan berkata apa yang berlaku adalah “salah faham”.

Katanya, beliau telah dihubungi oleh Presiden MIC, Datuk G Palanivel yang memberi jaminan bahawa ketiga-tiga mereka akan tetap berada dalam jawatankuasa itu."Mereka tidak akan bertindak keluar, hanya salah faham. Datuk G Palanivel (Presiden MIC) akan memujuk mereka (ketiga-tiga wakil) agar kekal. (sumber: baca penuh MKini,17/3/11)

TB rasa isu novel lnterlok semakin dibiarkan, dilayani, didengari dan bermacam-macam 'di' lagi maka semakin kalut, merepek-repek dan dikhuatiri kelak masyarakat menganggap seperti ' kebudak-budakan'.Sejak awal-awal lagi TB menekankan bahawa sesiapa yang mahu bercakap mengenai novel lnterlok maka wajib dibaca dan dihayati. Jika tidak dapat dihayati maka membaca hanya sekali tidak memadai. Bacalah dua atau tiga kali atau beberapa kali yang disukai.

TB rasa tidak perlulah TB berhujah berdasarkan pengalaman TB sendiri sebagai seorang Guru Bahasa Melayu, Guru Kesusasteraan Melayu, Pemeriksaan Kertas Peperiksaan Kesusasteraan Melayu SPM, penggiat kesusasteraan, penulis kreatif, wartawan sambilan, stringer sebuah akhbar arus perdana terkemuka dan lain-lain. Tidak perlu TB sebutkan yang  'lain-lain' lagi. Apatah lagi salah seorang ahli panelnya Uthaya Sankar SB dilaporkan oleh wartawan portal berita 'seorang novelis dan penulis cerpen terkenal'. Jikalau begitu, elok dan tahniahlah.

Soalnya; jika perbincangan tersebut dibincangkan dari sudut leksikologi , psikosastera dan psikolinguistik maka biarlah dibicarakan dari aspek tersebut.Dan sudah tentulah disiplin pembicara atau ahli-ahli panelnya  juga berada dalam lingkungan tersebut. Begitu juga andainya diperhalusi dari aspek sosiolinguistik,semantik, antropologi dan silang budaya maka keahlian dan kepakaran pembicara juga tidak boleh dipertikaikan lagi.Bak kata bidalan Melayu; jika tidak tahu menari, janganlah dikatakan tanah tinggi rendah; jika kail panjang sejengkal, janganlah lautan dalam hendak diduga; usahlah menangguk di air keruh; buang yang keruh,ambil yang jernih.

Kepada Uthaya Sankar SB yang TB rasakan mewakili generasi anak muda pascamerdeka ataupun lebih tepat pascaMalaysia. Uthaya tentulah mempunyai deria bara yang berkobar-kobar; semarak juang dan idealis memuncak.Namun sebagai individu yang tahu sedikit sebanyak dunia penulisan, kreatif dan kreativiti adalah lebih baik anda  bercakap sebagai seorang seniman kreatif.

Apabila TB membaca sebuah laporan daripada akhbar bahawa Uthaya juga salah seorang exco pemuda MIC maka TB rasa agak kurang seronok dan dirasakan adalah malang jika Uthaya berfikir dan berdiri sebagai seorang exco pemuda MIC yang mana tentulah memakai kaca mata yang berkepentingan politik.

Walaupun ini hanya pendapat peribadi TB sebagai sahabat dan rakan sesama penulis namun sewaktu pertemuan singkat TB dengan Uthaya sewaktu waktu dahulu TB ada menyebut, " Jangan anda risau. Sesuatu bangsa atau individu itu akan dihormati dan dikagumi bukan kerana asal usul keturunannya tetapi kerana kejayaannya berjaya meningkatkan martabat diri dengan ilmu pengetahuan. Tegasnya, bukan kerana perkara-perkara yang remeh-temeh ini.". Kesimpulannya:  Ikutlah resmi padi, semakin tunduk semakin berisi.  lkutlah rentak dan adat, 'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.'

Komen Isteri Abdullah Hussain:

Sambil terus mempertahankan novel Interlok yang kontroversial, isteri Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain menggesa semua pihak tidak menjadikannya “kambing hitam” bagi memenuhi kepentingan peribadi masing-masing.

Sebaliknya Datin Siti Saroja Basri berkata, novel karya suaminya itu tidak bertujuan mahu menghina mana-mana kaum termasuk masyarakat India yang banyak membantah penggunaannya sebagai teks komponen sastera di sekolah.

“Bacalah dulu novel ini, ia adalah untuk perpaduan bukan untuk menghina sesiapa pun, suami saya (Abdullah) tidak berniat untuk menghina orang Melayu, orang Cina atau orang India.
“Kalau baca baru akan tahu apa maksud novel ini tapi jangan baca kalau ada agenda lain... jangan jadikan novel ini ‘kambing hitam’, nanti yang jadi mangsa adalah suami saya,” katanya kepada media.

Tegas beliau, novel Interlok dijadikan sebagai buku teks pelajar Tingkatan Lima kerana ia mempunyai banyak elemen yang memupuk ke arah perpaduan kaum bukan perpecahan.
“Tidak menghina mana-mana kaum baik orang Melayu, Cina dan India, novel ini dipilih sebab ia memupuk perpaduan bukanya nak menghina sesiapa pun.

“Jadi mesti ada fikiran waras, kalau ada agenda lain ia tidak patut. Saya rasa kalau ia difahami orang India akan terima novel ini,” katanya.
Ditanya mengenai cadangan pindaan yang dikemukakan wakil kaum India dalam panel bebas mengkaji novel Interlok, Siti Saroja berkata Kementerian Pelajaran perlu mencari jalan penyelesaian terbaik.(sumber: baca penuh TMlnsider,19/3/11).


Nota kaki: Sebenarnya TB pun tidak mengenali sangat siapakah Uthaya Sankar SB  ini.Maklumlah antara  TB dan beliau kami berbeza generasi. Uthaya sudah pasti generasi pasca 13 mei 69 yang mana era negara kita ke arah pembangunan dalam serba bidang; baik pendidikan, ekonomi mahupun pembinaan sosial.


Kebetulan semasa TB bertugas di Negara Brunei Darussalam TB pada awal pagi sering menonton RTM 1 slot laporan akhbar-akhbar Malaysia dan komentar akhbar dan pernah ternampak Uthaya di kaca TV yang pernah bekerja secara kontrak di RTM. Sebelum itu lama dahulu pernah TB terserempak dengan beliau kerana ketika itu beliau satu-satunya anak muda keturunan lndia yang ikuti kuliah sarjana di Jabatan Persuratan Melayu UKM manakala TB ketika itu sudah pun berjaya mendaftarkan diri sebagai mahasiswa PhD di UKM.


Ditakdirkan dalam kesibukan isu lnterlok diperkatakan sana sini pada bulan Februari lalu, TB kebetulan terserempak Uthaya di Shah Alam. TB sedang mencari bahan untuk satu projek penyelidikan manakala Sankar sibuk katanya kini bertugas sebagai wartawan di sebuah penerbitan.TB seperti biasa, bertegur sapa terbih dahulu kerana TB berpegang kepada bidalan 'ular jika menyusuri akar takkan hilang bisanya'.


Oleh kerana komitmen dan hambatan waktu TB sekadar bertanya khabar dan berbual ringkas kerana kami saling memahami tanggungjawab masing-masing.TB tanyakan tentang pengajian sarjananya di UKM. Beliau memberitahu pengajian nya tidak tamat,separuh jalan mungkin give-up.TB tanyakan juga beliau mendapat ijazah daripada universiti mana.Katanya dari U.Malaya dalam bidang pengajian media.


Eloklah,ujar TB jujur.Apa yang TB mahu nyatakan bahawa pada mulanya TB menyangkakan mungkin Uthaya memperoleh disiplin linguistik Melayu atau antropologi ataupun dalam disiplin kesusasteraan Melayu  seperti Lim Swee Tin sahabat lama TB.Namun keadaan di sebaliknya.Tetapi tidak kisahlah.Yang penting ada minat, ada latar penglibatan dan ada kesungguhan.


Begitulah Uthaya Sankar yang TB temui secara kebetulan. Kemudian TB cuba memancing bertanyakan isu interlok. Tetapi mungkin situasi ketika itu, Uthaya cuba mengelaknya. TB faham dan akur.Daripada situ Tb diberitahu olehnya bahawa kebolehannya berwacana dalam Bahasa Melayu kerana latarnya mendapat pendidikan formal di sekolah kebangsaan bukan SJK Tamil dan tinggal di kawasan perkampungan Melayu bukan di estet. 


Dengan selamba TB bergurau bahawa jika begitu TB lebih mengenali masyarakat lndia di Malaysia daripada beliau.TB jelaskan bahawa TB membesar dan bergaul dengan kehidupan di estet sejak dilahirkan dan membesar dalam kelompok komuniti Melayu,Cina dan lndia. Dalam erti kata lain, TB sangat masak dengan tingkah ragam dan gaya resam masyarakat lndia ketika itu di estet. Bahkan apa yang ada dalam budaya  pemikiran masyarakat lndia di Malaysia ini TB dapat rasakan. 


Sebab itu lnterlok yang TB pernah baca pada tahun 1970, dapat TB hayati kerana TB merasakan terlalu hampir dengan kehidupan itu dan tiada masalah apapun jika tidak dipinda apa jua pun.lni adalah hakikat dan realti serta bukan penghinaan; dan merupakan silap faham dan prasangka sia-sia.TB tidak pastilah sama ada Uthaya boleh menulis Tamil atau tidak.


 Mungkin Uthaya boleh bertutur bahasa Tamil tidak dinafikan. Namun jika dibandingkan latar kehidupan TB dengan Uthaya yang berlatarkan masyarakat lndia maka TB yakin melebihi beliau dari aspek latar walaupun TB gagal untuk belajar bertutur Tamil dan menulis Tamil. Sekadar pengalaman membesar dan bekerja sambilan di estet semasa remaja serta pernah mengendalikan kelas tiusyen Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia untuk pelajar lndia yang mengambil SPM dan SRP (PMR) di estet pada tahun 1975. Ah, di manakah Uthaya ketika itu?





.

Tiada ulasan: