Salam Perjuangan

27 September 2017

Puisi: MENU

sebelum lima puluh
aku makan lontong
roti canai kuih koci
tempeh gulai nangka
kopi O teh tarik
ubi panas apam balik

dengan layur pisang
tetel ulam pegaga
sepat asin sambal goreng
sulur keladi asam pedas
tatkala sore rebus mee
kutambah berkali-kali

sesiapa mempelawa
briayani kampung panas
sup ekor gearbok kota
tanpa mengira waktu
bicara apa jua agenda
perjuangan Melayu
dan kehidupan

selepas enam puluh
manhattan fish McD
nando's kenny roggers
johnny's texas roasters
secret recipe coffee bean cafe
dunkin donuts toast box
pizza hut chicken rice
tidak pasti mengapa
terjadi begitu begini

di hadapan modenisasi
muncul pelbagai aneka
sukiya seoul garden
mini pablo king sushi
franco steak kakatoo
koryo-won  black canyon
dave's deli domino's pizza
banyak lagi menyusupi
di tanah subur ini

ah,aku mahu pulang
ke desa daerah tani
dingin hawa pergunungan
berlarian menghirup mentari
membentang hijau bendang
meneguk secangkir pagi
meniup seruling gembala
masihkah ada lagi?


RAJIEE HADI
Kuala Lumpur
23 September 2017.

21 September 2017

Puisi: HILANG

Bukan sembarangan
dia kehilangan ibu
ketidakpastian itu
membuatkan gulana
resah mencengkam
sepanjang saat waktu
malam menikam jarum

Ke manakah ibunya
membawa lara hati
semena-mena menghilang
jauh pandangan
ketika keberangkatan
di lapangan udara
gelisah menderu jauh

lbunya ke manakah
gerangan menjauh
bersalahkah kalian
bicara luka menutur
kusebarkan gundah
nafiri hebah bicara
membantu kalian

Hari demi hari
ibu kalian kembali
berkat doa merata
setiap mendamba
whasapp bercerita
wajarkah diri kalian
tanpa ucap kata
sepi tanpa berita?


RAJIEE HADI
Putrajaya.
14 September 2017.






14 September 2017

DR.HARON DIN: ULANG TAHUN PERTAMA PEMERGIAN

TANGGAL 15 SEPTEMBER 2017 ini genaplah satu tahun pemergian Almarhum Tuan Guru Dr.Haron Din ke rahmatullah. Semoga roh Almarhum tenang di alam abadi sana, dan dicucuri rahmat oleh Allah SWT.



Berikut TB petik semula laporan berita pemergian beliau setahun yang lalu:


"SETELAH sekian lama menghidapi penyakit jantung, Musyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menghembuskan nafas terakhirnya hariini di Hospital Stanford University, San Francisco.



Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di sisi
anggota keluarganya.
Beliau meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Din serta dua lelaki dan tiga perempuan.
Allahyarham dilahirkan pada 18 Ogos 1940, di Bohor Mali, Kangar, Perlis
kepada pasangan guru Al-Quran dan merupakan anak ketiga daripada 10 beradik yang mendalami ajaran Islam.
Selain dikenali sebagai pemimpin PAS, Haron juga terkenal sebagai tokoh pendidik kekeluargaan Islam dan pengamal perubatan Islam.
Allahyarham menyandang jawatan Mursyidul Am PAS pada Mac tahun lepas bagi menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yan meninggal dunia pada Februari akibat kanser prostat.
Haron bergiat aktif dalam PAS sejak 1974 ketika berusia 34 tahun sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983).
Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan Timbalan Mursyidul Am.
Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah,
Bohor Mali, Madrasah al-'Alawiyah al-Diniah, Al-Kuliah al-Islamiah sebelum menyambung pelajaran di Kolej al-Islamiah Klang, Selangor dan Kolej Islam Malaya.
Allahyarham kemudian melanjutkan pengajian dalam jurusan Pendidikan di Universiti Kaherah sebelum menyambungnya di peringkat doktor falsafah dalam jurusan Syariah di Universiti Darul Ulum, Kaherah.
Selepas kembali ke tanah air, beliau kemudian bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan meneruskan khidmatnya dalam perubatan Islam.
Allahyarham Haron merupakan pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa') iaitu sebuah klinik rawatan Islam alternatif yang terkenal dalam kalangan umat Islam.
Darussyifa', yang ditubuhkan pada 17 April 1988 di Bangi, kini memiliki lebih daripada lima cawangan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Haron juga pernah dilantik sebagai Anggota Majlis Penasihat Syariah di
beberapa institusi perbankan termasuk Bank Negara Malaysia, CIMB dan Muamalah Financial Consulting.
Pada 2010, Allahyarham dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1432 Selangor.
Mempunyai bakat dalam bidang penulisan, Allahyarham telah menulis beberapa buku ilmiah termasuk Manusia dan Islam, Falsafah Pendidikan Islam, Obor Islam, Tasawur Islam dan Hudud dalam Perudangan Islam.  (Sumber: MK, 16/9/16). Al-Fatihah.