Salam Perjuangan

27 Mac 2011

SOKONG NAZRI AZIZ, MIC PERAK SEDIH: BAGAIMANA ISU INTERLOK?



 PENGERUSI MIC Perak Datuk S.Veerasingam berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan mengenai pengagihan kerusi dalam pilihan raya umum akan datan (Kerusi: MIC Perak Sedih Kenyataan Nazri Aziz, TMI,27/3/11).

“Kami anggota MIC berasa sedih dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Nazri yang selama ini dilihat sebagai seorang yang berpengalaman,” katanya ketika mengulas kenyataan Nazri yang meminta MIC menyerahkan kerusi berkenaan kepada Barisan Nasional (BN) kerana parti komponen itu dikatakan boleh kalah jika ia terus bertanding di kawasan terbabit.

Veerasingam berkata sehingga hari ini, MIC bersahabat baik dengan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) dan sentiasa memberi komitmen yang tinggi kepada pentadbiran negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata analisis daripada aktiviti ‘turun padang’ yang dijalankan oleh MIC mendapati peratusan kaum India menyokong BN kembali meningkat dan golongan yang tidak pernah mengundi juga kini tampil mendaftar bagi menyokong BN.

Katanya beliau berpendapat jika ada anggota BN yang tidak berpuas hati atau mempunyai sebarang masalah dengan pihak MIC, mereka seharusnya menyuarakan perkara itu dalam mesyuarat tertutup BN.
MIC diperuntukan dua kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah pada pilihan raya umum lepas, yang menyaksikan calon BN M. Saravanan memenangi kerusi Tapah manakala Datuk Seri S. Samy Vellu gagal mempertahankan kerusi di Sungai Siput.

Selain itu, empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pasir Panjang, Behrang, Sungkai dan Hutan Melintang kesemua calon BN yang diwakili oleh MIC, tewas kepada pembangkang.(sumber: Bernama)


TB berasa lucu apabila pasal kerusi mula timbul menjelang pilihan raya umum nanti. Apatah lagi MIC Perak meluahkan rasa sedih atas kenyataan Nazri Aziz yang mahukan MIC menyerahkan semula semua kerusi yang dijangka kalah kepada UMNO/BN kembali. TB sokong kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz. Nazri bercakap berdasarkan fakta dan demi survival politik semasa. Fakta tidak terikat dengan emosi dan nafu-nafsi. Selama ini pun, bukan setakat UMNO Perak sahaja yang amat berkompromi bahkan banyak kerusi UMNO di seluruh negara yang majoritinya pengundi Melayu, lslam dan Bumiputera telah diserahkan kepada MCA, MIC, PPP, Gerakan dan komponen-komponen lain.

Semua parti gabungan dalam BN dan juga PR harus menerima budaya celik mata pengundi-pengundi aliran sekarang; tidak kira pengundi lama mahupun baru yang mahu memilih calon; bukan parti. Justeru kerusi-kerusi selamat dek majoriti Melayu seperti parlimen Segamat (BN/MIC Datuk Seri Subramaniam), parlimen Hulu Selangor (P.Kamalanthan), parlimen Labis (BN/MCA Mr Chua anak Chua Soi Lek) dan banyak lagi harus difikirkan dan ditafsir kembali akan realiti,fakta dan info semasa. PR tidak teragak-agak akan menongkah arus dengan berani meletakkan semua calon Melayu/lslam/Bumiputera di kawasan majoriti ras tersebut tanpa sebarang kesangsian. Kerana apa? yang penting bagi PRU kali ini ialah menang dan kemenangan! 

Teringat TB akan desakan PENA (Persatuan Penulis Nasional) yang akan menggesa kempen tindakan tegas  tidak akan  mengundi mana-mana calon kaum lndia dari mana-mana parti pun yang kini masih terus berdegil dengan dolak-daliknya berhubung isu novel lnterlok karya SN Abdullah Hussain. Justeru, kata-kata Nazri Aziz tidak ada cacat celanya lantaran Nazri peka dan faham dengan isu-isu semasa dan aliran pemikiran pengundi Melayu kini yang terkenal dengan ketinggian tahap kesabarannya namun ada batasan dan penghujungnya. Sama-samalah kita lihat perkembangan selanjutnya.

Tiada ulasan: