Salam Perjuangan

30 Disember 2011

KIAMAT :12.12.12?


 BOLEH dikatakan seluruh penduduk dunia menjadi enigma dan mimpi ngeri apabila dikatakan dunia kian menuju hari-hari terakhirnya iaitu pada 12 Disember 2012 sebagai tarikh sakaratul dunia, atau lebih tepat kiamat.
Asalnya ia hanya momokan masyarakat barat kononnya mengikut perkiraan mereka, dunia kini hanya menanti detik dan waktu sahaja untuk musnah.
Apa yang dibimbangi barat itu merebak pada kadar yang perlahan namun berjaya menyakinkan orang ramai dalam pelbagai bentuk terutamanya buku, makalah dan lawan sesawang. Kemuncak momokan itu apabila filem blockbuster Hollywood berjudul 2012 yang menjadi hantu besar menakutkan manusia kepastian Kiamat pada 2012. Filem itu sebenarnya diilhamkan daripada kiraan kalendar kuno kaum Maya (Long Count Calendar) yang kononnya pada tarikh 12 Disember tahun hadapan, dunia akan hancur.
Akan berlaku malapetaka alam yang maha dahsyat, yang tidak pernah terfikir dan terbayangkan oleh manusia.
Ini termasuklah gelombang tsunami gergasi yang berpuluh kali ganda lebih dahsyat dan lebih ngeri berbanding melanda Aceh, Indonesia hingga menelan ratusan ribu nyawa tujuh tahun lalu.
Ia ditambah dengan hentaman-hentaman objek asing dari angkasa, terutamanya asteroid yang kekuatannya juga mengalahkan mana-mana ledakan bom nuklear.
Semua itu kononnya berlaku kesan daripada jajaran planet Pluto dan Bumi yang selari dalam pusingan orbit dan sebagainya yang kesemuanya bakal terjadi sekitar Disember 2012.
Walaupun semua ini sekadar ramalan yang didakwa disokong penemuan saintifik dan ilmiah, namun bukan sedikit kesannya kepada manusia.
Natijahnya, ramai daripada kita seolah-olah berada di persimpangan yang cukup memeningkan kepala. Antara mahu percaya atau tidak. Benarkah tahun 2012 akan berakhirlah jangka hayat bumi ini? Yang turut bermakna berakhirnya juga jangka hayat manusia?
Pendakwah terkenal, Dr. Danial Zainal Abidin bagaimanapun meminta umat Islam supaya tidak sedikit pun memberikan ruang di hati dan minda mereka untuk mempercayai ramalan tarikh kiamat yang jangkanya berlaku hanya setahun daripada sekarang.
"Jika percaya kepada semua itu, dibimbangi ia boleh merosakkan akidah mereka sendiri kerana akan mudah terjebak dengan segala macam unsur syirik dan khurafat.
"Semua itu hanya sekadar ramalan yang lazimnya tidak ada asas dan bukti apa pun untuk kita percaya.
"Tidak sahaja dalam soal ramalan kiamat. Malah dalam apa juga ramalan-ramalan masa depan yang kononnya akan berlaku sebarang tragedi dan peristiwa-peristiwa besar yang di luar dugaan manusia untuk berlaku," katanya.
Dalam Islam kata Dr. Danial, ditekankan dalil dan nas pembuktian dalam apa juga perkara termasuk perkara-perkara ghaib terutamanya hari kiamat.
Dua teks sama ada dari dalil al-Quran dan hadis Rasulullah sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.
Ayat berikut misalnya adalah satu dalil yang paling kuat dalam memperkatakan soal kedatangan hari kiamat.
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-A'raaf: 187). (sumber:UM,30/12/11)

PENCERAIAN : PASANGAN PERLU BERUBAH


Pihak berkuasa agama seakan-akan sudah buntu untuk menyelesaikan masalah perceraian di kalangan pasangan Islam yang semakin meningkat kebelakangan ini.


Mereka mengakui tiada lagi jalan keluar bagi mengatasi isu itu sekiranya pasangan berkenaan sendiri gagal mengubah sikap dan keburukan diri masing-masing.

Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Negeri Selangor, Aluwi Parman berkata, pendekatan jabatan agama ketika ini sudah mencapai tahap maksimum kerana ia merangkumi segala aspek daripada praperkahwinan hingga proses perceraian.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) giat melaksanakan kursus serta program berkaitan praperkahwinan dan pasca perkahwinan.

"Tidak cukup dengan itu, pihak jabatan agama juga menawarkan khidmat nasihat dan runding cara keluarga yang seiring dengan keadaan semasa buat pasangan yang berdepan konflik.

"Di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) misalnya, terdapat pelbagai kursus seperti programSakinah, Rumahku Syurgaku dan Klinik Guaman Syarie diadakan pada setiap bulan sebagai panduan kepada pasangan dalam melayari alam rumahtangga," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Terbaru, jelas Aluwi, pihak jabatan agama berusaha memantapkan setiap pendekatan yang digunakan dan salah satunya merupakan penambahbaikan terhadap Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam.
"Kursus praperkahwinan ketika ini sedang melalui beberapa penambahbaikan dari segi pengisian modul bagi disesuaikan dengan keadaan semasa dan ia dijangka dilaksanakan pada tahun depan.

"Berdasarkan segala pendekatan itu, boleh dikatakan pihak jabatan agama sudah berusaha sehabis baik dalam mengatasi masalah perceraian dan terserah kepada pasangan bagaimana mereka mahu melaksanakan setiap ilmu yang diajarkan itu," katanya.

Tambah beliau, jika perceraian merupakan jalan terbaik buat pasangan maka tiada apa-apa lagi yang boleh dilakukan pihak jabatan agama dalam membendung gejala itu.

Bagaimanapun, Aluwi berharap agar pasangan Islam akan lebih mengutamakan aspek kesabaran dalam melayari kehidupan berumahtangga selain berusaha mengubah watak buruk masing-masing untuk kebaikan bersama. (sumber:UM,30/12/11)

29 Disember 2011

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN PERKARA 153


USAHA  orang Melayu mempertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bukanlah atas dasar perjuangan membela kaum itu semata-mata, tetapi juga kerana menghormati keluhuran Perlembagaan yang turut mengiktiraf hak bangsa lain.


Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, tidak pernah timbul isu buli membuli dalam usaha itu walaupun ia melibatkan peruntukan mengenai hak istimewa orang Melayu.

"Mereka yang mempertikaikan Perkara 153 perlu membacanya secara penuh tanpa prejudis, jelas ia mengiktiraf hak dan kedudukan kaum serta agama lain.

"Jika mereka mempertikaikan juga, ia bermaksud mereka tidak menghormati Perlembagaan yang menjadi asas perundangan negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan, bahawa tafsiran yang menyatakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan boleh disamakan sebagai membuli kaum lain adalah sesuatu yang tidak betul.

Minggu lalu, Pengerusi Evangelical Christian Fellowship Nasional (NECF), Reverend Dr. Eu Hong Seng ketika berucap pada majlis minum teh Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dipetik sebagai berkata, Perkara 153 adalah menyerupai membuli jika ia hanya melindungi hak satu kumpulan.
Menurut Shamrahayu, rakyat perlu menolak golongan yang mempunyai agenda tersendiri dengan mempertikai Perlembagaan itu berulang kali.

Sementara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahmanberkata, masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam seharusnya berterima kasih serta bersyukur kerana dapat menikmati kehidupan tanpa sekatan daripada pelbagai aspek di negara ini.

"Mereka telah menikmati kehidupan yang sangat baik, malah lebih baik daripada bumiputera sendiri serta bebas mengamalkan adat dan agama mereka," ujarnya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula berkata, kenyataan Hong Seng lebih bersifat menghasut serta boleh menimbulkan rasa tidak selesa antara pelbagai kaum.
"Sebagai pemimpin agama dan kaum, kita seharusnya mengambil pendekatan yang lebih rasional dalam usaha menyatukan seluruh kaum bagi memastikan perpaduan terpelihara," katanya.
Sehubungan itu katanya, MBM mendesak Hong Seng menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.(sumber:UM,29/12/11)

27 Disember 2011

LIBUR: AKHIR TAHUN 2011

Foto dirakam pada 23.12.11

Foto dirakam pada 23.12.11
Foto dirakam pada 23.12.11

Foto dirakam pada 24.12.11

24.12.11


Lokasi : Sebuah daerah pedalaman di perbukitan  Bentong , Pahang DM 25.12.11

Lokasi: Sebuah daerah pedalaman di perbukitan Bentong, Pahang DM.  25.12.11



DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN WAJARKAH DISEMAK?


PENGUMUMAN oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini tentang penubuhan jawatankuasa menyemak semula dasar dan pelaksanaan pendidikan di negara ini seharusnya mengusik deria semua pihak dari orang tua hingga kanak-kanak yang sudah pandai membezakan perkara buruk dan perkara baik.


Hal ini sewajarnya demikian kerana pendidikan adalah segala-galanya bagi negara Malaysia yang aman dan makmur ini. Rekod menunjukkan bahawa pembangunan pendidikan adalah sektor kemajuan negara terbaik. Meski banyak melalui gelombang cabaran, data-data memihak kepada kenyataan bahawa sektor pendidikan berjaya cemerlang mengatasi segala pukulan gelombang tersebut berbanding upaya-upaya negara dalam sektor lain.
Pengumuman bahawa Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia yang sangat berpengalaman itu mempengerusikan jawatankuasa yang dimaksudkan sangat dialu-alukan. Saya yakin beliau akan memimpin jawatankuasa itu dengan pendekatan saintifik yang tepat bukan berpandukan semangat sahaja yang berkobar-kobar tetapi berada di awang-awangan atau atas pertimbangan tahyul-tahyul politik yang kerap membingungkan.

Sudah tentu aspek politik tidak boleh dikesampingkan kerana ia juga sebahagian daripada urat nadi kesejahteraan negara, namun semua pertimbangan politik itu hendaklah dianalisis secara saintifik berpandukan data konkrit bukan dengan buaian lagu sentimental.

Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang farmasi, Dzulkifli hendaklah menyuntik dirinya dengan ubat pelali daripada dijangkiti wabak sentimental itu. Dia hendaklah tidak melayan jelingan menikam atau suara keras anggota jawatankuasa itu nanti, tapi dengar apa isi dan maksud suaranya yang nyata dan yang tersembunyi.
Sambil mempertimbangkan praktikaliti suasana semasa Dzulkifli hendaklah tidak membelakangi dasar-dasar yang lepas sambil tidak pula taksub mempertahankannya. Untuk tujuan itu wajiblah dia meneliti dua akta penting terdahulu iaitu Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Jarak masa 35 tahun diambil bagi melaksanakan Akta Pelajaran 1961 sebelum dianya disemak berbanding Akta 1996 yang belum mencapai usia baligh 15 tahun.
Beliau hendaklah mula bermenung bermuhasabah mengapa dasar yang baharu berusia empat belas tahun itu hendak disemak?

Jawapan seperti 'dunia telah berubah dengan pantas' mungkin jawapan yang sangat memujuk dan munasabah, namun beliau hendaklah tidak terus tergoda dengan jawapan mudah, sebaliknya berpegang teguh kepada prinsip saintifik bahawa kebenaran hendaklah diselongkar dari segenap penjuru. Setelah ditemui dengan nyata dan yakin potonglah tumor, kudis atau lebihan lemak yang tidak menyihatkan tetapi jangan abaikan intan permata yang ada di dalamnya yang boleh digilap sampai berkilau.

Selain itu, Dzulkifli juga hendaklah meneliti Penyata Razak 1957 dan Ordinan Pelajaran 1957 yang merupakan hembusan roh pertama dunia pendidikan Malaysia merdeka. Akta-akta lain yang mesti diteliti juga termasuk Akta Bahasa Kebangsaan 1964, 1967 dan semakan 1971.
Demikian juga Akta Universiti dan Universiti Kolej 1975 dan semakannya 1975 dan 1996; Akta Politeknik 1974, Akta Majlis Peperiksaan 1980, Akta IPTS 555, 1996 dan Akta 556 LAN 1997.

Sudah tentu Dzulkifli juga akan dengan teliti membaca semula laporan-laporan negara mengenai pelajaran atau pendidikan yang terdahulu seperti Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Mengenai Pengajian Tinggi 1967 dan Laporan Universiti Malaya selepas 13 Mei 1970 dan Laporan Mahathir 1979.

Jawatankuasa yang akan bermesyuarat itu nanti akan menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan keberanian mengusik beberapa perkara sensitif dan sentimental tetapi amat penting untuk diteliti dalam konteks Malaysia menjadi negara bangsa dalam millenium 21 yang memerlukan kekuatan dan kepantasan luar biasa.
Malaysia, yang mempunyai tiga kategori institusi pendidikan seperti Seksyen 16 Akta Pendidikan 1996 iaitu institusi pendidikan kerajaan; institusi pendidikan bantuan kerajaan dan; institusi pendidikan swasta, mungkin boleh diibaratkan seperti sebuah kenderaan yang mempunyai beban berat dan mengganggu sistem mekanikal yang saling bercanggah untuk terbang seperti kilat di angkasa lepas. Beranikah Dzulkifli mengusiknya?
Beranikah juga nanti jawatankuasa itu menyentuh Seksyen 2 Akta Pelajaran 1996 yang antara lain di dalamnya terkandung kedudukan sekolah Cina dan sekolah Tamil, demi menjayakan hasrat melahirkan kesatuan negara Malaysia?

Dasar terbuka pentadbiran awam yang diumumkan kerajaan baru-baru ini mudah-mudahan akan disentuh juga oleh jawatan kuasa ini nanti. Akta Pendidikan 1996 nampaknya seperti mundur dalam konteks pelantikan meskipun tidak ramai orang mengetahuinya.
Akta Pelajaran 1961 misalnya membiarkan secara terbuka sesiapa sahaja boleh dilantik untuk menjadi Ketua Pengarah Pelajaran tetapi Akta 1996 menyebut dengan terang bahawa Ketua Pengarah Pendidikan boleh dilantik daripada kalangan penjawat Perkhidmatan Pelajaran sahaja.

Pemikiran Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang membawa gagasan perkhidmatan awam terbuka harus disokong dan dilihat sebagai langkah berani dan kehadapan demi kecemerlangan kepimpinan pendidikan juga. Akta Pelajaran 1961 menyamai hasrat KSN menjadikan Jawatan Utama di Kementerian-Kementerian sebagai Jawatan Terbuka yang baru-baru ini diumumkan.

Demikian juga kuasa melantik yang saya sering timbulkan dalam beberapa tulisan terdahulu tentang bagaimana berpindahnya beberapa kuasa daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada orang politik/eksekutif iaitu Menteri. Akta Pelajaran 1961 menyebut kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Pendaftar Sekolah, Ketua Pendaftar Guru, Timbalan Pendaftar Guru, Ketua Nazir Sekolah dan Pengelola Peperiksaan.
Adakah bijaksana sekiranya kuasa Yang di-Pertuan Agong membuat pelantikan itu dikembalikan, terpulang sepenuhnya kepada kebijaksanaan jawatankuasa itu nanti menelitinya semula. Demikian juga dengan pelantikan naib canselor yang dahulunya di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri yang kemudian dipindahkan kepada kuasa Menteri dalam Akta Pendidikan 1996. Tidak ramai ahli masyarakat sekolah dan universiti yang menyedari akan perpindahan kuasa-kuasa ini pada 1996.

Pengalaman Dzulkifli dalam Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) dan di Persatuan Antara Bangsa Universiti-universiti yang berpusat di Eropah dan Amerika Selatan yang pernah saya turut sertai tentu mempunyai pengaruh semasa dia mempengerusikan siri perbincangan itu nanti.
Namun amat munasabah sekiranya beliau sentiasa beringat untuk mempunyai 'nyiru tempatan' untuk menapis dan mengayak 'antah-antah' yang mungkin tidak sesuai dengan saripati keperluan dan peradaban Malaysia yang tidak sepatutnya merasa rendah diri dengan peradaban dari dunia Eropah.

Pengalaman beliau di dalam dua badan itu akan memberikan keupayaan melihat Malaysia dengan keunikannya tertentu, kedudukan pendidikan Malaysia dalam konteks wilayah Asia Tenggara dan kedudukan pendidikan Malaysia dalam konteks dunia. Dalam konteks pengajian tinggi Dzulkifli tentu sangat fasih dengan kandungan Proses Bologna dana Triti Lisbon di Kesatuan Eropah.

Saya jangka antara variabel yang akan diteliti oleh Dzulkifli dan rakan-rakannya nanti akan meliputi soal falsafah dan dasar pendidikan, sistemnya, pentadbiran, kepimpinan, isi kandungan, penilaian dan pengukuran pencapaian, guru, murid, alam keliling fizikal dan bukan fizikal dan antisipasi senario masa depan.
Apa pun yang bakal dihasil dan dilapor oleh jawatankuasa ini nanti, saya menantikan sebuah laporan dan cadangan yang dibuat berdasarkan pemikiran yang bebas, waras dan saintifik.

Unsur-unsur sentimental dan tahyul hendaklah diminimumkan. Meski pun demikian laporan itu hendaklah bertapak kukuh di atas asas peradaban Malaysia dengan segala kebanggaan terhadap khazanah-khazanah sejarah dan ilmunya serta keberanian belayar di lautan luas masa depan.
Kesudahannya biarlah cadangan-cadangannya nanti jelas mempunyai semangat 'di mana bumi di pihak di situ langit dijunjung'.(sumber: NORDIN KARDI, UM, 27/11/11)

24 Disember 2011

DR. ABDUL HAMID OTHMAN: PENGETUA PERTAMA MAKTAB PERGURUAN ISLAM


JENAZAH bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol, Jalan Klang Lama, dekat sini kira-kira 2.30 petang hari ini.

Terdahulu, jenazah dimandikan di kediamannya di Taman Tenaga, Puchong sebelum disembahyangkan di Masjid Al-Amin dengan diimamkan Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, ialah antara kenamaan dan sahabat handai yang menziarahi jenazah pagi ini.

Tun Mahathir yang kelihatan menahan sebak, menolak daripada ditemuramah pemberita.Abdul Hamid, yang juga Penasihat Maju Holdings Sdn. Bhd., meninggal dunia kira-kira 4.45 petang semalam akibat angin ahmar ketika sedang menjalankan urusan kerja di pejabatnya di Maju Junction.

Semasa hayatnya, arwah dilantik pada 2001 sebagai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri ketika itu iaitu Dr. Mahathir dan kemudian sebagai Penasihat Agama kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2005 hingga 2009.
Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Sri Jamilah Mohd Said, 68, seorang anak, Wafi Nazrin dan serta lima cucu.
Turut menziarahi jenazah ialah Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Othman Mustapha dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.(sumber:UM,24/12/11)

22 Disember 2011

DATUK MOHD. SHARIF JAJANG


GALERI awam di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bergema dengan kata-kata kesyukuran sebaik sahaja bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Mohd. Sharif Jajang dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan sebidang tanah seluas 1.2 hektar, 14 tahun lalu.
Bekas Exco negeri Selangor itu bagaimanapun dilihat memberikan reaksi yang berbeza iaitu hanya terpaku di kandang tertuduh berkemungkinan terkejut dengan keputusan tersebut.

Hakim Yong Zarida Sazali memutuskan demikian di akhir kes pembelaan selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.
Ketika ditemui pihak media, Mohd. Sharif yang berkemeja hijau dan bersongkok melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada peguamnya atas hujahan yang berjaya menyakinkan mahkamah.

Pada prosiding hari ini, bekas wakil rakyat itu diwakili oleh peguam bela, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulqarnain Hassan.
Bekas Pengerusi Tetap Portfolio Infrastruktur, Penerangan & Tanah Rezab Melayu itu didakwa di mahkamah pada 2004 atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ADUN dengan mengambil bahagian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah Sepang yang memperakukan permohonan Lesen Menduduki Sementara tanah seluas 1.2 hektar di Bandar Baru Salak Tinggi kepada Institut Kemahiran Memandu Sepang Sdn. Bhd. (Ikmas).
Ikmas merupakan anak syarikat Konsortium Sepang Bhd. (KSB) yang mana Mohd. Sharif mempunyai kepentingan ke atasnya.

Beliau yang pernah memegang jawatan Ketua Bahagian UMNO Sepang, isteri, Datin Patimah Isa dan dua anak, Shahrum dan Shahrin dikatakan memiliki sejumlah 1.36 peratus saham dalam KSB.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, Sepang dekat sini pada 16 Jun 1997.

Mohd. Shariff didakwa mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No.22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, seramai 32 saksi pendakwa dan lima saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan.
Kes ini merupakan antara kes berprofil tinggi dalam kempen antirasuah semasa peringkat awal kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.(sumber:UM, 22/12/11)

TB ucapkan rasa syukur alhamdulillah dan tahniah kepada Yang Berbahagia Dato' Shariff Jajang yang TB kenali di kawasan Sungai Merab Luar, Sepang,Selangor Darul Ehsan. Semuanya kuasa dan pemberian serta anugerah Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui. Semoga Dato' terus menyumbangkan bakti dan amalan-amalan kebajikan demi agama,bangsa dan persekitaran setempat; selagi hayat dikandung badan. Ada 'takdir dan waktu' semoga kita dapat bersama-sama berjuang lagui dalam satu jemaah dan kariah.

21 Disember 2011

CUEPACS :JANGAN TANDATANGAN BORANG KOSONG OPSYEN

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Loke Yim Pheng hari ini menasihatkan penjawat awam supaya tidak menandatangani borang opsyen kosong kerana ia adalah dokumen amat penting yang akan menentukan kenaikan pangkat dan prospek kerjaya mereka di masa depan. 

Beliau berkata, penjawat awam perlu memastikan borang berkenaan diisi dengan jadual gaji yang betul sebelum mereka menandatanganinya.


Loke yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), kesatuan perguruan terbesar negara dan ahli gabungan CUEPACS, memberitahu BERNAMA pihaknya menerima aduan bahawa ada guru "dipaksa" menandatangani borang opsyen kosong.
“Kami amat bimbang dengan perkara ini dan menggesa ketua jabatan untuk tidak memaksa staf mereka menandatangani borang kosong hanya kerana tarikh akhir untuk menandatangani borang itu semakin hampir," katanya. 

Kira-kira 1.4 juta penjawat awam diberikan opsyen untuk memilih skim gaji baru dan diberi tempoh sehingga 30 Disember untuk mengembalikan borang mereka. Jika mereka gagal berbuat demikian sehingga tarikh akhir itu, mereka akan kekal dalam skim perkhidmatan sedia ada. 

Loke berkata, CUEPACS turut prihatin dan bimbang dengan nasib kira-kira 200,000 penjawat awam di Gred 17 N, W dan F kerana mereka diberikan tawaran kurang memuaskan. 

Beliau menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan penjelasan mengenai skim baru itu kerana kebanyakan penjawat awam masih keliru dan tidak tahu berapa banyak manfaatnya kepada mereka. - (sumber: BH, 21/12/11

18 Disember 2011

IKHLAS DAPAT KIKIS RIAK

LAWAN riak adalah ikhlas. Betapa berat dan sukarnya ikhlas ini sehingga seorang ulama pernah berkata: “Aku tidak pernah susah payah melebihi kemampuanku untuk sentiasa ikhlas.” Walaupun demikian, bukanlah bererti ikhlas itu tidak boleh dicapai. Ia boleh dicapai oleh mana-mana orang Islam yang mahu bersungguh-sungguh untuk mengikhlaskan niatnya. Dalam hal ini, ada beberapa perkara perlu diperhatikan agar dapat meraih keikhlasan berkenaan;

  • Pertama – memahami dan sentiasa berusaha mengingati kedudukan ikhlas bagi sahnya sesuatu amal. Tanpa keikhlasan, kebaikan yang diusahakan menjadi sia-sia. Perkara ini hendaklah diperhatikan ketika, sedang, bahkan sesudah melakukan kebaikan, lebih-lebih lagi berkaitan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya.
  • Kedua – berusaha untuk sentiasa memahami serta mengingati besar dan bahayanya dosa riak. Riak juga sangat hampir dengan bangga pada diri sendiri (ujub) serta sombong dan kesombongan itu sangat dekat dengan kekufuran. Lihatlah iblis yang enggan sujud hormat kepada Nabi Adam, akhirnya kufur dan dimurkai Allah SWT. Dalam hadis sahih riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada rasa sombong walaupun sebesar zarah.”
  • Ketiga – bergaul dengan rakan yang salih. Suasana dan kumpulan rakan yang baik akan mendorong seseorang melakukan kebaikan dan malu melakukan keburukan, kemungkaran serta maksiat. Selain itu, dia juga dapat belajar mengenai makna keikhlasan. 
  • Keempat – keikhlasan itu hendaklah dilatih dan dibiasakan sebagaimana pepatah ‘alah bisa tegal biasa.’ Orang yang ikhlas dalam beramal, meskipun dalam keadaan sukar akan mendapat ketenteraman dan ketenangan hati. Mungkin dia tidak memperoleh tepuk tangan dan kekaguman orang lain, mungkin juga orang lain akan mencemuh dan meremehkan dirinya, namun kelazatan iman dan keikhlasan membuatkan hatinya tenteram sehingga iman makin kukuh dan yakin kepada Allah Rabbulalamin. (sumber:BMinggu, 18/12/11)
  • PAMITAN 2011


    Foto Dirakam Pada 11.12.11
    Biarkan berkas sejarah
    tatkala di persada hayat
    mahu berangkat ke lain pangkalan
    kerana pelabuhan sepi 
    dengan peluit rindu
    kini tiada erti
    mahu ditafsir kembali

    Buat apa ditangisi 
    setiap mesra kata
    andai lemah jiwa
    penghalang hasrat
    yang mahu dibangunkan
    siasah pentas hidup
    dalam warna tanpa gerhana

    Buat apa ditangisi 
    setiap sengketa segala
    qada dan qadar Azawajallah
    pengukur keimanan sejati
    kita terima dengan reda batini
    berjuang terus dengan kental lahiri

    Masa lalu terucapkah
    pamitan mahu dipadamkan
    bahawa ada minda peta subur
    mahu kulukis kesatuan
    bianglala di kanvas ukhrawi
    selamat tinggal nostalgia
    bersemi abadi!


    RAJIEE HADI
    Bandar Seri Putra,Bangi.
    Disember 2011.

    ASABIAH?


    BAPA saya namanya Mat Jahya bin Hussin. Ibu saya Naimah binti Jaafar. Jelas Melayu kedua-duanya. Sementara itu walaupun saya dinamakan sempena sebuah kitab agung karya Al Hafiz Ibnu Hajar (w.852H) iaitu Fathul Bari Syarh Shahih al-Bukhari, kemudian saya telah menyambung pengajian di Madinah dan kemudian ke Jordan; saya berguru dengan puluhan ulama Islam, sering mengenakan jubah, berjanggut, memakai kopiah, membaca kitab-kitab tulisan Arab dan boleh berbahasa Arab; itu tidak menjadikan saya sebagai Bangsa Islam. Malah wujudkah istilah Bangsa Islam?
    Adakah Asabiah Mencintai Bangsaku?


    Fathul Bari Bin Mat Jahya tetap Melayu walaupun saya melakukan pembedahan plastik!
    Lantas apakah perasaan saya untuk mencintai bangsa saya, upaya membantu bangsa ini agar maju dan berjaya, menyedarkan kaum saya yang terlupa, mempertahankan hak mereka sebagai empunya tanah pusaka; segala usaha saya ini dikatakan sebagai asabiah?

    Sekiranya apa yang saya usahakan ini dikatakan haram dan berdosa, bawakanlah dalilnya. Persoalan yang ingin ditanya adalah: Apakah mencintai bangsa sendiri itu haram? Apakah berusaha untuk memajukan bangsa sendiri itu keji? Apakah mempertahankan harta pusaka bangsa sendiri itu sebuah dosa?

    Kalam Allah atau hadis mana yang dijadikan sandaran untuk mengharamkan perbuatan ini? Atau orang yang mengharamkannya hanya sekadar membawa ayat al-Quran secara umum tetapi dipusingkan maknanya agar bersesuaian dengan selera mereka?
    Sekiranya semua itu haram, kenapakah Allah SWT mewujudkan kita dalam rupa dan warna yang berbeza sehingga menamakan sahabat Nabi SAW sebagai Muhajirin dan Ansar di dalam al Quran? Juga sehingga Rasulullah sering menyandarkan nama bangsa kepada para sahabatnya.
    Rasulullah SAW bersabda: "Suku Quraisy, Suku Ansar, Muzainah, Juhainah, Aslam, Ghifar dan Asyja'; mereka ialah para penolongku dan tidak ada seorang penolong pun bagi mereka selain Allah dan Rasul-Nya". (riwayat Muslim).
    Ironinya para sahabat tidaklah memandang panggilan suku itu sebagai asabiah seperti yang kita fahami hari ini. Makanya apakah kita lebih alim daripada sahabat, dan apakah kita lebih mulia daripada Rasulullah SAW untuk mengelak mencintai suku sendiri?

    Rasulullah SAW mencintai Bani Hasyim. Bahkan Rasulullah sendiri berbangga dan mencintai sukunya.
    Dalam sebuah hadis sahih, baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah telah memilih daripada Bani Ismail iaitu suku Kinanah dan daripada Bani Kinanah, iaitu suku Quraisy, daripada suku Quraisy, terpilih Bani Hasyim. Dan Allah memilihku daripada Bani Hasyim" (riwayat Muslim).

    Apakah Rasulullah SAW asabiah? Lantas Rasulullah menyuruh umat Islam untuk mencintai Bani Hasyim dan Ahlul Bait dengan berkata: "Demi Dzat yang jiwaku ada di tangan-Nya, mereka tidak beriman sehingga mereka mencintai kalian (Bani Hasyim) kerana Allah dan kerana mereka itu (Bani Hasyim) ialah kaum kerabatku."
    Apa yang saya tuturkan di atas adalah kecintaan Rasulullah SAW kepada sukunya dan perintah beliau untuk mencintai Ahlul Bait yang beriman. Namun hadis yang akan saya nukilkan di bawah, sekali pandang seperti Rasulullah SAW seorang "rasis". Baginda seperti merendahkan martabat Bangsa Habsyah dalam hadis mentaati pemimpin:
    "Dengar dan taatilah, walaupun yang menjadi pemimpin kamu adalah hamba berbangsa Habsyi..." (riwayat al-Bukhari).
    Kalau mengikut pemahaman umum yang selalu digembar-gemburkan maka kita akan berkata bahawa Rasulullah SAW melakukan asabiah kerana mengagungkan Bani Hasyim dan menghinakan Bangsa Habsyah!
    Namun apakah benar pemahaman seperti ini? Pasti pemahaman seperti ini adalah batil kerana kita - Muslim - beriman bahawa manusia yang paling adil ialah Rasulullah SAW. Rasulullah adil kepada Bani Hasyim dan adil kepada Bangsa Habsyah.

    Makna Asabiah
    Lanjutan daripada itu, apakah makna sebenar asabiah jika mencintai bangsa sendiri, menolong memajukan bangsa sendiri, mempertahankan hak bangsa sebagai waris tanah pusaka; dihitung sebagai hal yang dibolehkan?
    Jawapannya telah Rasulullah SAW rungkaikan ketika seorang sahabat bertanya soalan yang hampir serupa. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: "Adakah termasuk perbuatan asabiah apabila seseorang itu mencintai bangsanya? Rasulullah menjawab: Tidak, tetapi asabiah itu ialah orang yang menyokong (menolong) kaumnya melakukan kezaliman".(riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

    Fahamlah kita bahawa dikatakan asabiah adalah apabila kita bersekongkol dalam melakukan kejahatan yang dilakukan oleh kaum kita. Kita membela mereka ketika kita mengetahui kaum kita melakukan penindasan. Juga kita mendiamkan atau enggan menjadi saksi ketika kaum kita diadili dan didakwa atas sesuatu kesalahan. Inilah asabiah yang sebenarnya.

    Kerana bagi siapa yang cerdik dan bijak, pasti mereka mengetahui bahawa bangsa Arab yang menghuni di dunia pada tahun kenabian sangatlah mencintai bangsanya dan sangat kuat ikatan kesukuan. Malah para ilmuan sosiologi dan antropologi akan mendapati bahawa mereka saling membantu untuk memajukan bangsa mereka.
    Hal ini cukuplah kita nyatakan bahawa Uthman r.a. melantik para pembesarnya daripada Bani Umayyah sehinggakan kaum Khawarij dan kaum sesat menghina malah menggerakkan massa agar membunuh beliau atas fitnah kononnya melakukan nepotisme.

    Malah Uthman r.a. dikatakan melakukan korupsi apabila memberikan khumus (1/5 harta rampasan perang) kepada Abdullah Bin Sa'ad Bin Abu Sarah, Mirwan bin Al Hakkam dan Al Harits Bin Al Hakam yang merupakan Bani Umayyah dan saudara beliau.

    Namun Uthman r.a. terlalu jauh daripada tuduhan keji tersebut. Murrah bin Ka'ab ra berkata:"Aku mendengar daripada Rasulullah SAW ketika baginda menyebut tentang fitnah yang akan terjadi di tengah-tengah umat Islam.
    Pada ketika menyebut tentang fitnah ini, berlalu seorang lelaki yang bertutup kepalanya dengan kain. Baginda lantas bersabda: "Pada hari tersebut orang ini berada di atas petunjuk" … sambil menunjuk ke arah lelaki yang bertutup itu. (Murrah menyambung) Maka aku pergi kepada lelaki bertutup itu, ternyata beliau ialah 'Uthman bin 'Affan. Kemudian ketika wajah 'Uthman aku perlihatkan kepada Rasulullah, aku bertanya: "Orang inikah anda maksudkan?" Rasulullah SAW menjawab: "Ya." (riwayat Ahmad dan al-Tirmidzi)

    Cuba kita fikirkan, sekiranya menantu Rasulullah SAW yang dijamin syurga juga dituduh asabiah, nepotisme dan korupsi kerana melantik beberapa pembesar yang berkebolehan daripada Bani Umayah, pasti usaha kerajaan untuk membangunkan bangsa Melayu dan mempertahankan hak mereka akan dikatakan sebagai "kerja dosa".(sumber: Fathul Bari, Rencana , UM, 18/11/11)

    17 Disember 2011

    ANWAR lBRAHIM

    PERDANA  Menteri Datuk Seri Najib Razak diberi amaran amaran bahawa keputusan 'bersalah' yang dijatuhkan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perbicaraan liwat II akan menjejaskan reputasi Malaysia dari segi demokrasi.

    Akhbar The Guardian dari United Kingdom, dalam kolumnya hari ini oleh penolong editor Simon Tidall, berkata orang yang harus dipersalahkan jika keputusan bersalah dijatuhkan adalah Najib.

    NONEMenurut Tidall bahawa "tanda-tanda tidak kelihatan baik" untuk Anwar apabila kes itu menghampiri penghujungnya.

    Sambil membidas apa yang didakwanya sebagai "kecenderungan kuku besi" Najib dan usahanya  "menakut-nakutkan rakyat secara terang-terangan", kolumnis hal ehwal luar negera itu  menggesa sekutu barat di Malaysia, untuk "melihat dengan lebih dekat gelagat rakan mereka itu".

    "Malaysia adalah rakan dagang yang penting, rakan pengawalan senjata dan juga anggota sekutu gabungan Afghanistan. Tetapi rekod hak asasi manusia kerajaannya dan amalan demokrasi negara itu perlu diberi lebih penelitian ...

    "Apabila pengalaman pahit Anwar menghampiri kemuncaknya, nampaknya tidak mungkin bahawa penanda aras ini akan dipenuhi. Persoalan seterusnya ialah: apa yang akan rakyat Malaysia dan rakan-rakan mereka lakukan?”

    Menurut Tidall, dakwaan liwat yang dilemparkan selepas Pakatan Rakyat mengambil alih lima negeri pada pilihan raya umum 2008, "seolah-olah bukan suatu kebetulan".

    "Sebagai pemimpin berkarisma pakatan pembangkang, Anwar merupakan cabaran terbesar bagi Najib untuk terus berkuasa," katanya.(sumber: MK,14/12/11)

    14 Disember 2011

    BR1M : HATI-HATI ADA BORANG PALSU!!!


    PEMOHON  Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak perlu memberi nombor akaun bank semasa membuat permohonan bantuan tersebut, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.
    Beliau berkata kementerian itu telah menerima aduan orang ramai tentang munculnya borang palsu BR1M yang meminta mereka memberi nombor akaun bank. 

    "Kementerian hanya mahu butiran seperti nama penuh pemohon, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan pendapatan bulanan dan bukannya nombor akaun bank mereka," katanya pada sidang akhbar di ruang legar Bangunan Parlimen di sini hari ini.

    Lim berkata sindiket penipuan sudah cuba mengaut keuntungan segera menerusi pemalsuan borang BR1M, dan pemohon diingatkan supaya lebih berhati-hati.Mereka boleh menghubungi talian Hotline BR1M di 1-800-222-500 untuk mendapat kepastian untuk mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan, katanya.

    Beliau berkata borang bantuan BR1M diedarkan secara percuma sejak Sabtu lepas, yang boleh didapati di semua pejabat cawangan dan pusat khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Penerangan, Jabatan Pembangunan Persekutuan, lobi utama Kementerian Kewangan dan sekolah terpilih dari 9 pagi hingga 5 petang.

    Pendaftaran permohonan BR1M bermula pada 10 Disember lepas dan tarikh akhir menghantar borang adalah pada 10 Jan tahun depan (2012).

    Maklumat lanjut mengenai BR1M juga boleh diakses dengan melayari laman web http://www.treasury.gov.my.

    Sementara itu, Ketua Pemuda MIC, T Mohan memberitahu satu sidang akhbar lain di sini pihaknya akan 'turun padang' Ahad ini membantu masyarakat India yang masih keliru dengan syarat kelayakan BR1M.

    Mohan berkata Pemuda MIC akan mengedar lebih 50,000 borang BR1M percuma dan membantu dalam mengisi borang.

    "Tindakan ini diambil selepas menerima panggilan mengenai BR1M dan bagaimana mendapatkan borang.

    "Pendaftaran BR1M secara besar-besaran akan dibuat bagi memastikan tidak ada sesiapa yang tertinggal di kalangan masyarakat India untuk mendapat bantuan khas ini," katanya..

    Pada pembentangan Belanjawan 2012 Okt lepas, kerajaan mengumumkan pemberian bantuan RM500 kepada seorang lelaki dan wanita yang menjadi ketua keluarga yang tinggal serumah, dan berpendapatan kasar isi rumah bawah RM3,000 sebulan.

    Mohan meminta Kementerian Kewangan mengadakan talian khas dalam bahasa Tamil bagi memudahkan kaum India memahami tentang BR1M.

    "Sekiranya ada bahasa Tamil lebih senanglah masyarakat India memahami cara memperoleh bantuan itu," katanya. - (sumber:BH, 14/12/11)

    BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA: KECOH?

    SEKARANG rakyat Malaysia kecoh dengan pemberian wang sebanyak RM100 dan juga Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500.

    Ada yang datang seawal pagi lagi menunggu di hadapan pejabat kerajaan hanya untuk mendapatkan borang bantuan tersebut

    Mengenai bantuan RM100 kepada setiap pelajar sekolah seharusnya diberi secara sistematik.

    Lebih baik lagi kerajaan memberi bantuan buku teks atau pun buku latihan percuma kepada setiap pelajar sekolah yang berkenaan.

    Dengan adanya bantuan buku teks percuma ibu bapa dan pelajar tidak perlu lagi berebut-rebut untuk mendapat borang tersebut.

    Apabila buka saja sesi persekolahan tahun hadapan pelajar sudah sedia dengan buku teks tersebut tanpa perlu membeli di kedai-kedai buku.

    Ini dapat mengelakkan penyalahgunaan wang sebanyak RM100 kepada pelajar tersebut.

    Begitu juga dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 sepatutnya diberi secara berkelompok kepada setiap daerah supaya penduduk yang sepatutnya layak menerima tidak perlu berebut-rebut untuk mendapat BR1M tersebut seperti yang berlaku sekarang.

    Mungkin ada penduduk dari luar bandar dan juga dari pendalaman terpaksa berbelanja besar semata-mata untuk mendapat RM500.

    Adalah tidak berbaloi hanya untuk mendapat BR1M terpaksa mengeluarkan lebih belanja dari mendapat BR1M tersebut.

    Kita cadangkan kepada pemerintah supaya mengambil semua aspek perancangan dengan teliti sebelum sebarang perancangan dilaksanakan.

    Perancangan yang tidak teratur mengakibatkan rakyat jadi kecoh dan kelam kabut hanya untuk mendapat sedikit bantuan.

    Kita sarankan segala bantuan seperti yang tersebut seharusnya diberi kepada mereka yang betul-betul layak dan bukan hanya kepada golongan tertentu saja.

    Bantuan RM100 sepatutnya digantikan dengan buku teks percuma dan BR1M adalah lebih baik digantikan dengan sijil simpanan memandangkan bantuan tersebut berbentuk 'hanya sekali'.

    Wang tersebut hanya boleh diguna dalam berapa hari saja sedangkan kalau dilaburkan dalam bentuk sijil simpanan sekurang-kurangnya dapat digunakan apabila ada keperluan dan sudah pasti ada sedikit keuntungan dari hasil simpanan tersebut.

    Perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak pemerintah dan jangan jadikan rakyat sebagai mangsa akibat pengurusan yang tidak cekap.

    Hanya kerajaan yang benar-benar ikhlas dan perihatin saja yang akan memberi bantuan kepada rakyat dalam jangka panjang bukan hanya bersifat sementara dengan agenda tertentu saja.

    Kepada kerajaan yang bakal memerintah dan memimpin pada masa hadapan perlu mengambil kira kebajikan rakyat secara menyeluruh tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.(sumber:MK, 14/12/11)

    SULTAN KEDAH: AGONG KE - 14



    TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah menyerahkan surat sumpah pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Istiadat Khas Mesyuarat Raja-Raja Ke-227 di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA


    SULTAN  Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.
    Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

    Kali pertama ialah dari 21 September 1970 hingga 20 September 1975 semasa berusia 43 tahun.
    Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Oktober lepas untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini, bagi menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 semalam.

    Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun ketika berangkat pulang selepas sambutan penuh istiadat di Dataran Parlimen, hari ini. Tuanku berdua kemudiannya berangkat ke Istana Negara bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14. - BERNAMA


    Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara merdeka pada 31 Ogos 1957.
    Istiadat hari ini merupakan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar yang mula beroperasi pada 15 November lepas.
    Upacara bermula pada pukul 11.15 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-227 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh baginda di Balairong Seri.
    TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Tuanku Haminah Hamidun di Dataran Parlimen diiringi Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor serta Muhyiddin Yassin dan isteri, Noorainee Abdul Rahman sebelum berangkat ke Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. - AFP


    Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
    Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian menyembah surat sumpah jawatan kepada Tuanku Abdul Halim yang memakai pakaian Diraja Kedah yang dikenali sebagai Sikap terdiri daripada jaket pendek, berbelah di hadapan dan berkolar tinggi lengkap dengan tenggolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris.
    Baginda kemudian melafazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan itu di hadapan Majlis Raja-Raja.
    Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menjadi saksi.
    Istiadat hari ini juga melibatkan upacara melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
    TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah menandatangani Surat Pengisytiharan Memegang Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA




















    Ia diikuti bacaan doa dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
    Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian memohon menangguhkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke suatu masa yang ditetapkan.
    Ini disusuli istiadat menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan oleh Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, diikuti dengan pembacaan pengisytiharan tersebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
    Istiadat diteruskan dengan Sultan Muhammad V menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Najib membaca pengisytiharan tersebut.

    TUANKU Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tuanku Haminah Hamidun bersalaman dengan Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Kedah sebelum berangkat ke Istana Negara, Kuala Lumpur bagi upacara mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, semalam. - UTUSAN/Halim Khalid


    Istiadat hari ini dihadiri oleh Raja-Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Temenggong, Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
    Turut hadir kesemua empat Yang Dipertua Negeri, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet serta ketua-ketua jabatan. (sumber: UM, 14/12/11)

    08 Disember 2011

    DATUK PADUKA DR. HASSAN ALI


    PENGANUGERAHAN  darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Datuk Dr Hasan Ali tidak sewajarnya diputarbelitkan oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

    Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub  berkata, realiti itu juga berlaku ke atas penganugerahan yang diberikan oleh Sultan Selangor atas dasar Hasan adalah Exco kanan kerajaan negeri.
    "Utusan Malaysia seperti yang diketahui umum sememangnya mempunyai agenda untuk memecahbelahkan perpaduan dalam PAS dan dalam Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

    Semalam, akhbar Utusan Malaysia menerusi tulisan kolumnis tetapnya membuat andaian, anugerah tersebut perlu dilihat sebagai satu usaha untuk mengahwinkan PAS dan Umno demi perpaduan umat Islam.

    Penulis kolum tersebut, Zaini Hassan, menegaskan dalam tulisannya itu bahawa Hasan perlu memainkan peranan “melakukan perkahwinan” antara PAS-Umno.

    Nama Hassan sering dikaitkan oleh Utusan sebagai orang “penting” dalam mewujudkan kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS selepas pilihan raya umum 2008.

    Dalam kolumnya itu, Zaini berhujah bahawa di Selangor, faktor Dr Hasan masih lagi penting kerana pengikutnya di dalam PAS sangat besar dan pengaruhnya di kalangan penjawat awam Melayu dalam kerajaan Selangor juga amat besar.

    Perkembangan itu, menurut Zaini, memberikan kelebihan kepada Dr Hasan bertindak sebagai pemangkin kepada perkahwinan PAS dan Umno.

    Menurut Salahuddin, namun putarbelit Utusan Malaysia itu sememangnya sudah diketahui oleh pelbagai pihak dan pasti gagal mempengaruhi orang ramai

    "Utusan Malaysia pasti akan berusaha menjayakan agendanya yang juga agenda para pemimpin Umno BN untuk memecahbelahkan para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.

    "Apa yang dinyatakan berhubung pengenugerahan yang diterima oleh Dr Hassan ini juga sememangnya salah satu dari agenda mereka, tetapi dakwaan mereka itu hanya akan menjadi bahan ketawa sahaja dalam masyarakat," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. 

    Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, pada sidang medianya hari ini turut sependapat dengan beliau.(sumber: HDaily, 08/12/11)

    HALAL KE HARAM NI?

    SAYA ingin mengutarakan pandangan mengenai senario semasa berkenaan status pork free yang dipaparkan di kebanyakan restoran bukan Islam. Alasannya mudah, untuk menarik pelanggan yang beragama Islam tanpa perlu memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
    Saya merasakan ini adalah penipuan yang paling banyak dilakukan oleh kebanyakan restoran yang dimiliki oleh pemilik bukan Islam. Banyak lagi restoran yang diragui status halal tetapi dikunjungi oleh pelanggan beragama Islam.

    Memandangkan situasi masa kini di mana majoriti kita yang beragama Islam tidak begitu prihatin dengan status halal makanan, saya merasakan kerajaan sepatutnya mengambil tindakan lebih serius untuk membendung perkara ini daripada menjadi lebih parah. Pemilik restoran bukan Islam mengambil kesempatan di atas sikap tidak prihatin orang Islam dengan menjual makanan tidak halal.

    Saya mencadangkan kepada setiap lesen restoran yang dipohon, kerajaan sepatutnya mewajibkan logo halal atau haram untuk dipaparkan di restoran masing-masing. Jika ingin memohon status halal, maka bahan-bahannya hendaklah halal dan hendaklah di sediakan oleh orang Islam (contohnya tukang masak).
    Untuk yang tidak memohon sijil halal, hendaklah dipaparkan sijil haram, supaya ia jelas kepada orang Islam bahawa status kedai adalah diragui dan hendaklah dijauhi.

    Mungkin perkataan haram adalah agak kasar tetapi ini adalah ditujukan kepada orang Islam. Orang bukan Islam masih bebas makan atau minum di kedai itu. Jadi tiada alasan status haram akan menjejaskan perniagaan mereka. Melainkan kalau mereka sememangnya ingin menipu orang Islam maka adalah normal untuk mereka menentang perkara ini.

    Saya mengharapkan kerajaan dapat menimbang perkara ini kerana ia melibatkan status makanan yang akan menjadi darah daging.Banyak kebaikan yang dapat kita lihat sekiranya ia dapat dilaksanakan, terutamanya pembekal bahan mentah halal yang sudah pasti dibekalkan oleh orang Islam. Juga dapat menambah peluang pekerjaan kepada orang Islam serta dapat memastikan bahawa makanan itu adalah betul-betul halal dan seterusnya membantu meningkatkan ekonomi orang Islam.

    Saya juga mencadangkan supaya ia dapat dilaksanakan kepada produk yang terdapat di pasaran untuk diletak logo halal atau haram. Saya merasakan dengan terlaksananya pensijilan ini kerajaan telah memainkan peranan sangat besar dalam menjamin kesucian agama Islam.Semoga pandangan ini mendapat perhatian daripada pihak yang berkenaan.(sumber: UM, 07/12/11)

    07 Disember 2011

    IPTS BERTANGGUNGJAWABLAH!

    KEMENTERIAN  Pengajian Tinggi memberi amaran kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) supaya bertanggungjawab terhadap setiap pelajar asing yang menuntut di institusi masing-masing.

    Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini banyak masalah ditimbulkan pelajar terbabit dan IPTS perlu memainkan peranan dalam membendung gejala yang tidak sihat di kalangan mereka.
    Menurutnya, setiap masalah yang timbul boleh dielakkan jika IPTS terbabit memberi taklimat khas kepada pelajar asing bagi memastikan mereka tidak melanggar undang-undang negara.

    Pada masa sama, tegasnya, IPTS mesti memastikan segala dokumen membabitkan pelajar terbabit sah di sisi undang-undang sebelum menerima mereka belajar di institusi masing-masing.
    "Sebagai institusi yang dibenarkan untuk mengambil pelajar warga asing, IPTS perlu bertanggungjawab untuk melihat segala dokumen mereka termasuk visa dan dokumen-dokumen lain.

    "Dari segi visa, IPTS perlu tahu bila tarikhnya akan tamat dan menasihatkan pelajar berkenaan memperbaharui visa bagi mengelakkan timbul masalah berbangkit," katanya selepas merasmikan Program Latihan Graduan Industri Tinggi (HEIGIP) di sini, hari ini.

    Beliau mengulas tindakan Jabatan Imigresen menahan beberapa pelajar asing baru-baru ini kerana melanggar undang-undang negara termasuk visa yang tamat tempoh dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah masuk ke negara ini.

    Pada 22 November lalu pula, polis yang menahan 75 warga Afrika kerana disyaki terlibat dengan penipuan dalam talian mengesahkan kesemua mereka adalah pelajar kolej swasta.
    Menurut Mohamed Khaled, IPTS yang gagal mengawal pelajar asing di institusi masing-masing boleh ditarik balik kebenaran untuk mengambil pelajar antarabangsa.

    "Bagaimanapun kita tidak mengambil tindakan drastik tersebut demi untuk melihat mereka lebih bertanggungjawab dalam membendung masalah yang ditimbulkan pelajar asing," katanya. (sumber: UM,07/12/11)