Salam Perjuangan

10 Mac 2011

HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA - Ditayangkan di Pawagam Sekarang

HIKAYAT Merong Mahawangsa (HMM) bukanlah teks klasik kesusasteraan Melayu yang tidak asing bagi TB. Bahkan angkatan TB yang pernah berada di Tingkatan Lima era l970-an pernah mendalami teks ini sebagai satu maha karya untuk SPM/MCE.Hikayat ini memaparkan susur galur pembukaan dan salasilah Kerajaan Melayu Lama/Tua Kedah dari era zaman Hinduisme hingga lslam.Tentu kita sedia ingat alkisah seorang raja yang bersiong yang minum darah rakyat jelata, permusuhan tradisi antara orang Melayu-Siam, tentang mimpi raja yang akhirnya memeluk lslam dan lain-lain lagi.Semuanya ada terangkum dalam HMM.

Usaha KRU Production menerusi arahan Mohd Yusry serta garapan penulis skripnya, Amir Hafizi tentulah amat dipuji.Amir Hafizi, walaupun 'muka baru' tetapi tentulah mempunyai daya imaginasi dan komitmen yang tinggi. Tidak ramai yang menyedari bahawa kekuatan sesebuah filem banyak juga bergantung kepada olahan skripnya.

Apatah lagi versi filem yang diadaptasi daripada teks HMM mendapat juga pandangan daripada tokoh-tokoh berwibawa dalam bidang masing-,masing seperti Datuk Dr Siti Hawa Salleh (ahli filologi,pakar rujuk Kesusasteraan Melayu Tradisional), Prof.Emiritus Khoo Kay Khim (Sejarawan) dan sebagainya.


Awal bulan Februari ini TB ada menyaksikan promo filem HMM di pawagam dan juga menerusi Youtube.Terasa bangga dan meresap jiwa kemelayuan (walaupun pelakon utama berwajah Pan-Asian) menyaksikan beberapa babak dan aksi tangkas bagaikan tidak menyangka sebuah produksi KRU yang umpama diam-diam ubi, ibarat resmi padi.Namun apa yang diharapkan janganlah audien kelak dihampakan jika terlalu ketara 'scene' dan 'shoot' dibuat berdasarkan 'copy n paste' daripada filem-filem lain.Walau bagaimanapun TB percaya Mohd Yusy tidak bertindak sebegitu mudah.

Jika HMM berjaya sebagai suatu permulaan perakam sejarah, TB menyokong penuh andainya KRU Production meneruskan usaha mengolah kembali untuk adaptasi filem hasil karya epik dan klasik khazanah bangsa warisan Melayu seperti Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda, Hikayat lnderapura, Hikayat Gol Bakawali, Hikayat Awang Sulung Merah Muda dan sebagainya.Bahkan dalam teks klasik Melayu,kitab 'Sejarah Melayu' dan Busatanul-Salatin  boleh digali dan digarap semula dijadikan filem seperti kisah Wan Empok Wan Malini ,Kerajaan Bukit Seguntang,Temasik dan  Sang Nila Utama, Hang Nadim, kisah-kisah  Kesultanan Melayu Melaka dan banyak lagi.

Sudah tiba masanya kita jangan asyik menyogokkan anak generasi bangsa kita dengan terlalu banyak filem tahyul dan seram serta lawak bodoh yang tidak banyak membantu perkembangan minda walaupun boleh memenuhi saku 'taukeh wayang' Bahkan filem-filem klasik yang sarat dengan mesej,indah muziknya dan berjiwa Melayu boleh dilakonkan semula dengan versi baru seperti filem Lancang Kuning, Bawang Putih Bawang Merah, Si Tanggang, Lampung Karam, Hang Jebat, Lela Manja , Gurindam Jiwa dan sebagainya.Sebenarnya usaha begini pernah dibuat dalam filem-filem Tamil,Hndi,Mandarin dan lnggeris.

Apapun jika para pembaca belum menonton filem SHAOLIN yang baru ditayangkan Februari lalu lakonan terkini Andy Lau, Jackie Chan dan lain-lain,silalah menontonnya.Tentulah banyak yang tersurat dan tersirat yang boleh dijadikan pelajaran dan pengajaran baik kepada para pembikin filem mahupun untuk manusia sejagat.Syabas kepada Mohd Yusry,KRU Production dan seluruh tenaga produksi yang menjayakan HMM. Bersabarlah  menanti apa komen TB kelak setelah ditayangkan khabarnya mulai 10 Mac lalu. Hai, Yusri, ini promo percuma tahu....

Tiada ulasan: