Salam Perjuangan

30 Januari 2011

HAPUSKAN KASTA

AWANG tidak berminat untuk mengulas isu penyelesaian kepada kemelut novel Interlok. Sama ada suka atau tidak, keputusan telah dibuat. Ada pihak yang suka dan ada yang membantah termasuk secara diam-diam. Tetapi Awang ingin melihat ke hadapan. Isu tersebut mempunyai hikmah dan titik tolak baru dalam menghapuskan sistem kasta di kalangan orang India di Malaysia. Kontroversi Interlok boleh menjadi pencetus kesedaran untuk kaum India sendiri bangkit membetulkan ketidakadilan itu. Kasta adalah amalan yang tidak lagi relevan dan menjadi penghalang kemajuan kaum tersebut terutama golongan bawahan. Awang berharap parti-parti politik dan NGO kaum India akan lebih komited untuk membebaskan masyarakat India daripada sistem kasta. Mulai sekarang - sebelum asyik menyalahkan atau menuding jari kepada pihak lain sebagai tidak sensitif dan gagal melaksanakan keadilan kononnya - lihatlah terlebih dahulu kepada isu kasta. Selagi ia tidak dapat ditangani, selagi itulah para pemimpin parti dan NGO India akan dilihat menjadi penaung kepada suburnya sistem tersebut di negara ini. Mulakanlah gerakan pembaharuan. Apa makna melaungkan keadilan jika kita tidak langsung berlaku adil kepada kaum sendiri..(.Sumber : Bisik-Bisik Mingguan, MM, 29 Januari 2011)
TB sokong sepenuhnya pernyataan Awang Selamat.  Tidaklah perlu TB ulaskan lebih lajut kerana TB telah banyak kali membincangkan isu-isu ini.  Selamat mengundi di DUN Tenang Labis , Segamat Johor pada hari ini. Menang atau kalah itu soal lain.  Bagi TB yang netural ini, TB mengharapkan yang menang kelak akan  melaksanakan amanah membela nasib rakyat yang tertindas dan ditindas.

29 Januari 2011

BIASISWA JPA: YANG TIDAK BERJAYA DIBIARKAN SAHAJA

BERHUBUNG pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada kakitangan kerajaan yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah lanjutan (master, PhD, diploma lanjutan dan seumpamanya)sama ada di dalam negeri mahupun di luar negara kebiasaannya memperoleh Cuti Belajar Bergaji Penuh dengan Hadiah Latihan Biasiswa Persekutuan). Mereka yang berjaya biasanya juga memperoleh prestasi cemerlang dalam sistem pemarkahan prestasi PTK dan SKT dengan mamperoleh mata agreget yang tinggi dan sokongan daripada pelbagai pihak.
Dalam erti kata yang lain mereka adalah dikatakan penjawat awam cemerlang. Namun isu mereka yang sambung belajar sepenuh masa cuti bergaji penuh dan hadiah biasiswa latihan di peringkat ijazah lanjutan yang tidak berjaya meraih ijazah atau gelar sarjana atau kedoktoran bukan isu baru,Bahkan isu ini telah berlaku lebih 10 tahun lalu.
Justeru, sama ada mereka gagal atau berjaya itu adalah persoalan mereka. Soalnya, yang menjadi isu pokok pada zaman ini adalah persoalan menggunakan wang rakyat.Kita sedia ketahui berapa ramai di luar kepompong mereka ada ratusan bahkan ribuan penjawat-penjawat awam yang serius dan komited mahu menimba ilmu di peringkat sarjana dan PhD terpaksa belajar separuh masa menggunakan wang saku sendiri bahkan terpaksa menjual aset dan bergolok gadai, berderai air mata. Kita tidak mahu ada pegawai-pegawai kerajaan yang sambung belajar di UK atau USA atau di mana-mana luar negara disindir dengan kata-kata study on leave ke holiday on leave?
Sebenarnya penjawat kumpulan professional kerajaan hanya memerlukan minimum kelayakan akademik asas yang diambil kira ialah setakat ijazah pertama dengan kepujian untuk dilantik perkhidmatan awam kerajaan.
Oleh itu mereka yang  memiliki iazah lanjutan cuma dianggap satu bonus atau kelebihan. Apatah lagi biasiswa tersebut disebut ‘Hadiah Biasiswa Persekutuan’ atau dengan nama dan jenama lain mungkin dianggap 'tidak wajib berjaya'.
Walau bagaimanapun bagi mereka yang berkhidmat sebagai tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi, ijazah lanjutan adalah suatu keperluan utama. Kebiasaannya ditawarkan oleh JPA atau disalurkan di bawah mana-mana kementerian terutama Kementerian Pelajaran, Kemeneterian Pengajian Tinggi, IPTA, Kementerian Pertanian, Kementerian Belia & Sukan dan lain-lain lagi.
Yang kita tidak mahu, ada sesetengah mereka belajar sekerat jalan dan tidak tamat. Alangkah rugi dan membazirnya wang rakyat dan peluang anak-anak kita yang baru menjejak kaki ke menara gading di peringkat ijazah pertama yang terpaksa berhutang sana sini jika wang rakyat yang digunakan itu dipersia-siakan.
Kegagalan penjawat awam yang cuti belajar sepenuh masa dengan hadiah biasiswa  meraih ijazah lanjutan bukanlah suatu rahsia. Tetapi sehingga kini tidak ada sesiapa mempersoalkannya. Apakah dengan mengenakan tindakan denda ganti rugi atau caj biasiswa bertukar menjadi pinjaman atau dikenakan tindakan tatatertib maka penjawat-penjawat ini boleh dijamin berjaya?
Kepada mereka, janganlah dikhianati amanah dan wang rakyat. Baik yang belajar di luar negara atau dalam negeri, rebutlah peluang menimba ilmu dengan jayanya. Jangan kita sering dengar mereka berjaya membawa Mercedes Benz dengan APnya tetapi senyap-senyap membisu apabila ditanya apakah ijazah master atau PhD yang dirangkulnya… lngat, ini wang rakyat, hasil cukai daripada rakyat!
(Sumber: harakahdaily, Dr. Rajiee hadi, 28 Januari 2011)
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia.

28 Januari 2011

BRUNEI: AL FATIHA BUAT HAJI TALIPUDIN

TB merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga lmam Haji Talipudin siswa tahun akhir (tahun ke-4)pelajar sarjana muda perguruan ugama di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi jumaat 28 januari 2011.Sepanjang pengetahuan TB, Allahyarham yang pernah menjadi pelajar TB pada tahun pertama dahulu seorang yang komited terhadap kuliahnya dan seringkali mudah tersenyum.Seingat TB beliau kerap datang ke bilik TB secara perseorangan kerana bersungguh-sungguh mahu mendapatkan bimbingan daripada TB  berhubung kerja kursus,peperiksaan dan kuliah.Sesungguhnya daripada Allah kita datang kepada-Nya jua kita akan kembali. Semoga rohnya ditempatkan bersama dengan para salihin. Al Fatiha.

INTERLOK- LUDAH DI LANGIT , TERPERCIK MUKA SENDIRI


Dr Rajiee Hadi
Jan 25, 11
11:25am
Kongsi 26
Isu pemilihan novel lnterlok karya Sasterawan Negara, DatukAbdullah Hussain, 91, tiba-tiba menjadi isu yang dipolitikkan oleh sesetengah pemimpin perkauman yang tidak matang dan berfikiran dangkal.

Interlok salah sebuah novel yang memenangi hadiah Peraduan Menulis Novel sempena 10 tahun kemerdekaan Malaysia (1967) lalu dipilih menjadi teks SPM bagi subjek KOMSAS Bahasa Melayu iaitu komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu SPM.

Desakan yang keterlaluan daripada beberapa pemimpin politikberteraskan kaum itu agar Kementerian Pelajaran Malaysia menarik balik cadangan novel tersebut dijadikan teks kerana ada perkataan yang kononya menyinggung sensitiviti kaum bagaikan membuka pekung di dada, meludah di langit terpercik muka sendiri masyarakat India juga.

Alasannya perkataan tersebut memberi impak kepada masyarakat lndia Malaysia tidak kukuh.

Soalnya adakah mereka yang mencemuh itu sudah membaca keseluruhan novel tersebut?

Latar Interlok berkisar ketika zaman sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang British sebut 'Malaya' iaitu sekitar awal abad ke-19.Kedatangan orang-orang India dari India dan Cina dari China kerana keperluan ekonomi British sama ada di ladang-ladang getah dan di lombong-lombong bijih timah telah membuatkan mereka yang datang ke Malaya lantaran tuntutan kemiskinan hidup telah berusaha mencari rezeki.

Di sebuah ladang getah orang Melayu, Cina, India hidup bersatu padu atas nama sebuah kehidupan dan mencari rezeki. Sebenarnya, Abdullah Hussain telah mengibarkan bendera satu Malaysia terlebih dahulu atas semangat kekitaan dan perpaduan. Penduduk yang berbilang kaum ketika itu berpegang kepada di mana bumi dipijak,di situ langit dijunjung.

Dalam pergaulan masyarakat ketika itu masing-masing tidak lepas membawa cara pemikiran masyarakat leluhur tanah air asal mereka. Justeru sudah tentu adat istiadat, bahasa, cara berkomunikasi terpancar dalam pergaulan mereka.

Inilah realistiknya latar yang dipaparkan oleh Abdullah Hussain sebagai perakam waktu dan zaman menerusi karya fiksyennya. Atas nama seni dan nilai-nilai estetika mengapakah mahu dipolitikkan? Yang nyata, dalam agama Hindu sendiri ada menyebut kasta masyarakat mereka.

Sementelahan pula apa yang digambarkan oleh novelis tersebut adalah masyarakat lndia di lndia yang mana rata-ratanya ketika itu masih berwarganegarakan negara lndia.

Bahkan bukan menggambarkan tatcara kehidupan masyarakat lndia warganegara Malaysia seperti zaman sekarang. Bahkan pengarang juga menggambarkan situasi jelek masyarakat Melayu dan Cina juga.Namun tidak ada sebarang bantahan daripada orang Melayu dan Cina.

Sebabnya,kerana mereka faham bahawa taraf dan maju mundur sesuatu bangsa atau keturunan bukan kerana taraf bangsa itu tetapi kerana ilmunya, akhlaknya dan daya usahanya.

Kepada semua yang mengaku warganegara Malaysia, usahlah melenting sebaliknya letakkan posisi emosi kalian berada di aras kecerdasan yang tinggi.Tidak sewajarnya mana-mana pihak memperlekehkan hasil karya unggul Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang melalui sejarah penulisan yang panjang.

Seperkara yang menghairankan mengapakah ada pembabitan parti politik dalam isu novel Interlok ini? Apakah pandangan wakil MIC akan melihat Interlok dari perspektif dan kepentingan politik?
Jika isu Intertok dibabitkan MIC mengapakah Umno atau NGO bukan India tidak diundang menghantarkan wakilnya ke Kementerian Pelajaran?

Apakah ini tidak mungkin boleh menyebabkan kementerian pelajaran berada dalam situasi senget sebelah? Kita sedia maklum sebagai pegawai yang mewakili kementerian pelajaran kelak tentulah suara dan hujah yang diperkatakan tidak bebas dan berdasarkan
skrip dan kehendak pihak atasan.

Justeru bukan mustahil kelak pegawai-pegawai kemterian pelajaran akan berasa serba salah jika tidak mempunyai pendirian dan daya keintelektualan yang kukuh.
Apatah lagi andainya yang mewakili MIC tidak pun atau membaca sekerat jalan novel tersebut.Kesannya lebih ke arah silap faham, berada dalam situasi emosional dan prejudis yang lebih menjurus
menuju ke arah kebuntuan.

Kesimpulannya adalah ditegaskan bahawa jika masyarakat India di Malaysia yang berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan perundangan sah telah diterima sebagai warganegara maka apakah perlu masyarakat India Malaysia pobia dengan perkataan 'paria'?

Apakah ada sistem kasta di Malaysia kini?

Ketahuilah dalam novel Interlok digambarkan elemen kasta wujud pada masa itu kerana orang India yang berhijrah ke Malaysia ketika itu (1910-1957) belum berstatuskan warganegara atau bukan lagi rakyat Malaysia .

Novel itu tidak menceritakan tentang rakyat Malaysia keturunan India sekarang. Karya fiksyen itu cumalah rakaman sejarah, latar dan zaman ketika itu. Justeru, tidak ada unsur menghina sesiapapun.

Hakikat inilah yang patut difahami semua pihak dan menerimanya selaras dengan semangat satu Malaysia!
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia
(Sumber, Malaysiakini,25.Januari 2011)

INTERLOK : PENA BANTAH PINDAAN !

PERSATUAN  Penulis Nasional (Pena) membantah keras keputusan kerajaan yang memutuskan untuk mengekalkan novel Interlok yang kontroversial dengan membuat pindaan pada bahagian-bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Dalam reaksi segera, pertubuhan itu mahu novel tersebut, yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, 91, empat dekad yang lalu dikekalkan tanpa sebarang pindaan walaupun sebelum ini ada desakan masyarakat India agar ia ditarik balik.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata novel Interlok kekal digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian tertentu.
Menurut Presiden Pena Mohamad Saleeh Rahamad, pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak bersetuju dengan sebarang pindaan dalam novel tersebut.
“Pena tetap dengan pendirian asal untuk tidak terima sebarang tuntutan pindaan terhadap novel Interlok.
“Saya nak tanya di sini, apakah yang dimaksudkan dengan unsur sensitif kepada masyarakat India? Sedangkan tiada unsur sensitif.
“Pena bantah dengan keputusan kerajaan ini, sepatutnya kerajaan tidak perlu mengikut tuntutan yang dibuat itu kerana tiada asas yang kukuh mengatakan novel Interlok menghina orang India,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Beliau juga turut mempersoalkan keputusan kerajaan itu sama ada ia tuntutan yang dibuat keseluruhan masyarakat India atau pihak tertentu.
“Bagi kami tiada unsur sensitif dalam novel Interlok, kenapa perlu buat pindaan?
“Selain itu adakah keputusan ini dibuat berdasarkan tuntutan masyarakat India keseluruhan atau MIC atau pihak tertentu? Isu ini jadi besar kerana ada pihak yang buat provokasi.
“Kita juga tidak tahu bagaimana keputusan ini dicapai, malah tiada tuntutan rasmi daripada masyarakat India yang mahu novel ini dipinda, jadi kita keliru bagaimana ia boleh dicapai,” katanya.
Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi kontrovesri kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.
Dalam kenyataan dikeluarkan petang tadi, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.
“Keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Novel itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.
Muhyiddin juga menegaskan bahawa novel Interlok hanya akan digunakan setelah
pindaan disiapkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah(sumber: TMinsider,27 jan.2011).
TB percaya ini adalah strategi untuk meredakan ketegangan memandangkan situasi PRK yang bersilih ganti sekarang.Namun TB tetap menyokong pendirian dan kenyataan media PENA dan beberapa reaksi tulisan-tulisan di media massa yang tetap bertegas tidak mahu dibuat sebarang pindaan tetapi tambahan/pindaan dibuat dengan menambahkan nota kaki dan glosari bagi menjelaskan beberapa frasa yang boleh disalahtafsirkan.lngat penduduk lndia Malaysia cuma 7.5% manakala selebihnya 92.5% adalah bukan lndia. Adakah adil jika kehendak majoriti diketepikan? Usah gusar; sama ada komuniti lndia menyokong atau menentang, mengundi atau memprotes; tidak menjejaskan sesiapa; baik kepada pemerintah mahupun pembangkang.Usah terpedaya dengan gertak dan 'auta' yang merupakan hanya pukulan tabla kosong,percayalah.

27 Januari 2011

PALANIVIEL & MIC: TERKINI SILA BACA! (Part 2)

Hello Bro Palaniviel sudah habis baca novel lnterlok? Saya tidak tahu sama ada Bro sudah baca atau belum.Terkini sehingga jam 7.50 pm 27 Januari 2011 bancian Berita Harian mendapati keputusan adalah seperti berikut:

- 90.17%    - lnterlok perlu dikekalkan.
- 5.07%      - Pinda kandungan yang dipertikaikan.
- 4.76%      - Batal penggunaannya.

Bro Palaniveil jangan nak angin, jangan 'hati panas'.Malaysia kita sudah merdeka 53 tahun.Semua mesti faham dan terima realti kaum lndia Malaysia cuma 7.5-8% jumlah penduduk Malaysia.Malaysia, bagus dan bertuah kaum lndia Malaysia kerana ada jutawan, menteri, MP, ADUN, jurutera, doktor, peguam, guru, pensyarah, ahli perniagaan,pegawai tadbir,diplomat dan lain-lain lagi. Ya, sedikit tapi dapat banyak.Mahu semua mana boleh Bro.Ok jangan bising-bisinglah.Semua mahu aman, 'cari makan'........

SEMEMANGNYA WUJUD PROFESOR KANGKUNG!!!

PADA mulanya TB bersangka baik mengenai istilah PROFESOR KANGKUNG yang mula dilabelkan dahulu oleh mantan NC Universiti Malaya,Prof DiRaja Ungku Aziz.TB menyangka tentulah dalam perebutan pangkat dan gelaran di IPTA tentulah ada 'yang memijak, yang dipijak dan yang terpijak'. Adat dunia,fitrah manusia selagi ada seketul hati hitam dalam diri manusia yang tidak beriman dan penuh nafsu-nafsi maka wujudlah fenomena hasad dengki,iri hati dan tindas menindas.

Namun TB diberitahu teman dan gerak hati TB sendiri suatu pengalaman yang disaksikan sendiri suatu majlis ilmu di sebuah 'bertaraf dewan balai raya kampung' di luar Malaysia yang mana para pesertanya boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa lnggeris.Seorang yang kononnya berasa beliau seorang profesor hebat lepasan kedoktoran luar negara berkhidmat di sebuah universiti veteran ternama di Malaysia.Semasa beliau membentangkan celotehnya (kerana tidak ada kertas kerja rasmi yang sebenarnya bersifat ilmiah)berhubung tentang cabang seni tari; cara komunikasi di hadapan audien seolah-olah beliau berhadapan dengan para peserta/pendengar yang 'kangkung'juga.Beliau berlagak seolah-olah beliau serba tahu di hadapan peserta yang tidak pun sampai 35 orang yang berada dalam dewan tersebut.Bayangkan sebuah IPTA terpaksa membayar segala macam elaun di luar negara wang cukai rakyat semata-mata kepada seseorang yang berstatuskan profesor tetapi hampas belaka.

Ada pendengar/penonton merangkap peserta bidan terjun bertanya soalan-soalan spontan bersifat kreatif dan kritis.Tetapi si polan ini cuba mengelak dan memberi beberapa jawapan yang tidak munasabah,tidak akademik,kebudak-budakan dan 'self-fish'.Beliau asyik mempamerkan biodatanya dengan power point yang kelam-kabut lantaran sudah puas diusungnya ke sana ke mari.Seperkara yang membosankan ialah sikapnya mempamerkan satu-satunya (sebuah sahaja)buku yang menyentuh tentang seni tari itu yang diterbitkan sebuah penerbitan swasta ternama di Kuala Lumpur (yang mungkin hasil kajian ilmiahnya dahulu)yang entah di kedai mana ada dijual kini atau tersimpan di stor lelong kerana telah diterbitkan pada abad yang lepas.

Yang amat memeranjat ialah apabila ada 'peserta' bertanya tetapi dijawabnya...'anda dah baca buku saya.?.baca..baca!'sambil menempelak dengan berbagai-bagai cemuhan (tidak perlu TB sebutkan)peserta yang bertanya Justeru,apakah ini sifat seorang cendekiawan,akhlak seorang profesor?..sepatutnya dijawab dengan penuh adab dan berbudaya.Kini barulah TB percaya sememangnya wujud profesor kangkung yang hanya riak,angkuh dan berlagak tin kosong dengan satu atau dua buah bukunya yang diusung ke hulu ke hilir,mendabik dada tetapi tidak mencerminkan mahaguru yang dihormati.

Kepada mana-mana profesor (yang prof.madya belum layak gelaran profesor)ingatlah itu cuma jawatan anda sahaja sebelum anda bersara wajib di IPT.lngat,tidak semudah itu anda boleh digelar Profesor selepas bersara (dengan meraih gelar Profesor Emiritus atau Prof DiRaja) sekiranya akhlak anda tidak menghormati tradisi dan budaya ilmu.lngatlah jangan fikir anda berada di sisi orang politik dan punya kabel ampuh maka anda lupa diri,lupa daratan.Hidup umpama roda. Contohi para ilmuan tempatan seperti Prof.Emiritus Dr.Awang Had Salleh,Prof.Em.Dr Abdullah Hassan, Prof.E.Dr Nik Safiah Karim,Prof.E.Tan Sri Khoo Kay Kim dan lain-lain yang tetap kekal berbudi luhur dan bersantun tutur bicaranya.

BIASISWA JPA: YANG TIDAK BERJAYA DIBIARKAN SAHAJA?

KALI ini TB mahu menyentuh tentang pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada kakitangan kerajaan yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah lanjutan (Master, PhD,diploma lanjutan dan seumpamanya)sama ada di dalam negeri mahupun di luar negara.Sayugia dimaklumi, biasanya penjawat awam yang berjaya memperoleh CUTI BELAJAR BERGAJI PENUH DAN HADIAH BIASISWA ialah mereka yang memperoleh prestasi cemerlang dalam sistem pemarkahan prestasi PTK dan SKT dengan mamperoleh mata agreget yang tinggi dan sokongan daripada pelbagai pihak.

Dalam erti kata yang lain mereka adalah dikatakan penjawat yang cemerlang.Namun isu mereka yang sambung belajar sepenuh masa cuti bergaji penuh dan hadiah biasiswa di peringkat ijazah lanjutan yang tidak berjaya meraih ijazah atau gelar Sarjana atau Kedoktoran bukan isu baru,Bahkan isu ini telah berlaku 10-20 tahun lalu!

Soalnya, sama ada mereka gagal atau berjaya itu adalah persoalan mereka. Tetapi yang menjadi isu pokok pada zaman ini adalah WANG RAKYAT.Kita sedia ketahui berapa ramai di luar kepompong mereka ada ratusan,ribuan penjawat-penjawat awam yang serius dan komited mahu menimba ilmu di peringkat sarjana dan PhD terpaksa belajar separuh masa, menggunakan wang saku sendiri bahkan terpaksa menjual aset dan bergolok gadai, berderai air mata.Kita tidak mahu ada pegawai-pegawai kerajaan yang sambung belajar di UK atau USA atau di mana-mana luar negara disindir dengan kata-kata ‘study on leave ke holiday on leave?’

Sebenarnya penjawat kumpulan professional kerajaan hanya memerlukan minimum kelayakan akademik asas yang diambil kira ialah setakat ijazah pertama dengan kepujian.Justeru yang memiliki iazah lanjutan cuma dianggap satu bonus atau kelebihan; apatah lagi biasiswa tersebut disebut ‘Hadiah Biasiswa Persekutuan’ atau dengan nama dan jenama lain mungkin dianggap 'tidak wajib berjaya'.Kebiasaannya ditawarkan oleh JPA atau disalurkan di bawah mana-mana kementerian terutama Kementerian Pelajaran,Kemeneterian Pengajian Tinggi, IPTA, Kementerian Pertanian dan lain-lain lagi.

Bayangkan, alangkah rugi dan membazirnya wang rakyat dan peluang anak-anak kita yang baru menjejak kaki ke menara gading di peringkat ijazah pertama yang terpaksa berhutang sana sini jika wang rakyat yang digunakan itu dipersia-siakan.Kegagalan penjawat awam yang cuti belajar sepenuh masa dengan hadiah biasiswa  meraih ijazah lanjutan bukanlah suatu rahsia. Tetapi sehingga kini tidak ada sesiapa mempersoalkannya.Apakah dengan mengenakan tindakan denda ganti rugi atau caj biasiswa bertukar menjadi pinjaman atau dikenakan tindakan tatatertib maka penjawat-penjawat ini boleh dijamin berjaya? Kepada mereka, janganlah dikhianati amanah dan wang rakyat. Baik yang belajar di luar negara atau dalam negeri, rebutlah peluang menimba ilmu dengan jayanya. Jangan kita sering dengar mereka berjaya membawa Mercedes Benz dengan APnya tetapi senyap-senyap membisu apabila ditanya apakah ijazah Master atau PhD yang dirangkulnya…. lngat, ini wang rakyat, hasil cukai daripada rakyat!

26 Januari 2011

TERKENANG-KENANG (5) : SABAH NEGERI DI BAWAH BAYU

SETELAH beberapa hari TB paparkan isu-isu pendidikan, politik, sosiobudaya dan lanskap semasa tanah air; ada yang bahang bara,keluh-kesah, debar rasa dan bermacam-macam nilai rasa; kali ini TB paparkan cerita foto-foto di Sabah Disember 2010 yang boleh pembaca tafsirkan dengan hati jiwa, sukma rasa dan deria naluri. Terserahlah dan selamat menatapnya dengan hati terbuka:
















23 Januari 2011

PALANIVIEL & MIC: TERKINI SILA BACA!

Hello Bro Palaniviel sudah habis baca novel lnterlok? Saya tidak tahu sama ada Bro sudah baca atau belum.Terkini sehingga jam 9.30 pagi 23 Januari 2011 bancian Berita Harian mendapati keputusan adalah seperti berikut:

- 89.57%    - lnterlok perlu dikekalkan.
- 5.47%      - Pinda kandungan yang dipertikaikan.
- 4.96%      - Batal penggunaannya.

Bro Palaniveil jangan nak angin, jangan 'hati panas'.Malaysia kita sudah merdeka 53 tahun.Semua mesti faham dan terima realti kaum lndia Malaysia cuma 7.5-8% jumlah penduduk Malaysia.Malaysia, bagus dan bertuah kaum lndia Malaysia kerana ada jutawan, menteri, MP, ADUN, jurutera, doktor, peguam, guru, pensyarah, ahli perniagaan,pegawai tadbir,diplomat dan lain-lain lagi. Ya, sedikit tapi dapat banyak.Mahu semua mana boleh Bro.Ok jangan bising-bisinglah.Semua mahu aman, 'cari makan'........

PERMATA NEGARA RM111 JUTA!

BAYANGKAN dalam Bajet 2011 yang diumumkan PM Najib Razak baru-baru ini memberi peruntukan sebanyak RM111 juta peruntukan daripada Perbendaharaan  kepada projek Permata Negara  2011 yang dipromosikan oleh Rosmah Mansur.

RM111 juta seandainya diberikan bantuan kepada pelajar-pelajar bumiputera di IPT, alangkah bagusnya mententeramkan jiwa generasi muda agar boleh menumpukan pengajian sepenuhnya tanpa memikirkan masalah kewangan yang boleh menjejaskan prestasi akademik mereka.

Projek Permata Negara yang mahu melatih anak-anak peringkat prasekolah seolah-olah mempertikaikan atau memperlekehkan program prasekolah yang kini telah sedia diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahkan program prasekolah juga telah sedia diwujudkan oleh Kementerian Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita di bawah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas.

Program Permata Negara seolah-olah kelangsungan kelas lompat kanak-kanak pintar yang terpaksa dibatalkan pelaksanaannya setelah projek printisnya menemui kegagalan semasa Najib Razak selaku Menteri Pendidikan ketika itu.Apakah ini adalah manifestasi kelangsungannya semula?

Projek Permata Negara juga memberi impak pada jangka masa panjang.Apa tidaknya, ini melebarkan kelas sosial dalam struktur masyarakat. Walhal Falsafah Pendidikan Negara itu mahu merapatkan segala jurang perbezaan yang mana menuju ke arah perpaduan.Kita tidak mahu projek ini memisahkan dunia kanak-kanak dengan dunia realti sebenarnya. Jangan kerana nafsu besar golongan dewasa, anak-anak kecil diajar dengan taraf kelas sosial antara yang kaya dengan miskin, yang di bandar dengan luar bandar, anak-anak menteri dengan anak pembantu am rendah dan sebagainya.

Projek Permata Negara juga bagaikan mencampuri urusan pendidikan yang sepatutnya di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia.Kita tidak mahu kerana campur tangan banyak pihak, anak-anak kecil akan menjadi mangsa perlumbaan,pegelutan dan pergeseran dek politiking.Justeru pembaca budiman disarankan membaca buku Reforming Political Financing in Malaysia terbitan Transparency lnternational Malaysia bagi mengetahui lanjut isu-isu berkaitan politik wang di Malaysia.- by TB
PILIHAN RAYA

Marilah mari mengundi parti saya parti anda
Parti serupa atau berlainan agenda
parti kita atau parti semua
parti kami atau parti mereka
berlaga waspada diawasi suruhanjaya
bertentang mata pedih lidah bicara
singgah seketika simpang jalur gelora

Marilah mari pidato mula gempita
gendang canang gegak manifesto
kapal gemawan berarak dari samudera
kelasi nakhoda sarat muatan jong di darmaga
di setiap pelabuhan panji-panji berkibar mega
di kota desa bangsawan opera kembali bergema
ada purawara hilang petanda subur tiba-tiba
ada cetera baru lama digilap arca senjakala

Marilah mari turun gelanggang wadah terbilang
pencak hulubalang beduk  nobat palu gemilang
tangkis menangkis gerak tangkas keris dijulang
pedang tombak lembing panah bedilan hujah
bagai subuh sesudah mentari terik malam purnama
berduyun warga dingin bahang suasana warna
percik bara di sulah dahi dalam damai tanah air
ada kelam hanyir longkang dan jernih sungai kehidupan,
kita laksanakan  mengundi pilihan penentu warisan.

DRH
Mac 2004

22 Januari 2011

ANTARA YANG SUDAH LAMA MATI,BARU MATI & BELUM MATI

GENDANG pilihan raya kecil pun mula dipalu di DUN Tenang,Labis Johor kerana ADUN yang mewakilinya penggal lalu telah beberapa minggu lalu telah meninggal dunia.Kemudian yang terbaru (dikebumikan pada Jumaat,21 Januari 2011) ADUN Merlimau ,Melaka yang baru meninggal dunia maka DUN Merlimau bakal menghadapi PRK juga. Dan yang paling terbaru apabila Speaker DUN Selangor mengumumkan kerusi DUN Pelabuhan Klang,Selangor kosong juga dan suatu PRK akan diadakan.Kekosongan kali ini bukan kerana ADUN yang lama telah meninggal dunia tetapi kerana dikatakan ADUN Pelabuhan Klang telah meninggalkan atau tidak hadir ke persidangan DUN beberapa kali.lni menyebabkan dengan kuasa Speaker DUN mengistiharkan kerusi Pelabuhan Klang juga kosong. Begitulah politik!

Begitulah juga senario politik.Kita akan menyaksikan beberapa peruntukan dan bajet pembangunan mengejut akan mencurah-curah datang; terutamanya fenomena mahu menambat hati pengundi-pengundi bukan Melayu,pengundi-pengundi atas pagar dan pengundi-pengundi yang pandai main silap mata.Ekoran itu, dum-dum-dam macam-macam janji ditaburkan,macam-macam projek diberikan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan.Alahai hinggakan dilaporkan ada janji mahu mengistiharkan cuti umum thaipusam sekiranya BN dapat merampas negeri Kedah semula. Masya-Allah, besarnya janji yang boleh memudaratkan diri kembali.

Dalam sibuk-sibuk projek ditaburkan dan tender-tender mula dirangka, pernahkah para pemimpin Melayu memikirkan sejenak betapa anak-anak Melayu yang di menara ganding terpaksa mengikat perut kerana wang pinjaman PTPTN terpaksa ditolak dengan bayaran yuran dan sewa asrama IPT yang mahal sekarang maka lebihan yang kecil  itulah digunakan untuk perbelanjaan makan minum dan buku-buku.Mengapa biasiswa tidak diberikan kepada anak-anak Melayu dan bumiputera? Apalah maknanya hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan? Takutkah? Pada mulanya TB tidak percaya akan keluhan para pelajar di IPT sekarang kerana TB juga pernah belajar di IPT dan banyak berdikari.Tetapi apabila TB meneliti bayaran-bayaran caj yang dikenakan oleh lPT sekarang barulah TB akur akan penderitaan mereka.Sudahlah anak-anak Melayu bakal dikelilingi beban hutang dan tekanan-tekanan hidup gara-gara kesan-kesan dasar penswastaan,mereka juga menghadapi pelbagai cabaran kehidupan era ICT ini sama ada yang terpaksa diterima atau ditolak.lnilah salah satu bahagian episod kehidupan yang tidak pernah pun disentuh dalam PRK! ltu belum lagi masalah-masalah keruntuhan anak-anak remaja Melayu-lslam akibatkan pemimpin sekarang terlalu banyak politiking!

Hubaya hubaya hubaya...pilihan raya kecil....banyak masalah besar lagi di hadapan kehidupan kita!

20 Januari 2011

INTERLOK: Alahai, Sudah Nasibmu?


ISU pemilihan novel lnterlok karya SN Abdullah Hussain,91, tiba-tiba menjadi isu yang dipolitikkan oleh sesetengah pemimpin perkauman yang tidak matang dan berfikiran dangkal.lnterlok salah sebuah novel yang memenangi hadiah Peraduan Menulis Novel sempena 10 tahun kemerdekaan Malaysia (1967) lalu dipilih menjadi teks SPM bagi subjek KOMSAS Bahasa Melayu iaitu komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p) Bahasa Melayu SPM.

Desakan yang keterlaluan daripada beberapa pemimpin politik berteraskan kaum itu agar Kementerian Pelajaran Malaysia menarik balik cadangan novel tersebut dijadikan teks kerana ada perkataan yang kononya menyinggung sensitiviti kaum  bagaikan membuka pekung di dada, meludah di langit terpercik muka sendiri masyarakat lndia juga.Alasannya perkataan tersebut memberi impak kepada masyarakat lndia Malaysia tidak kukuh.
Soalnya adakah mereka yang mencemuh itu sudah membaca keseluruhan novel tersebut?

Latar lnterlok berkisar ketika zaman sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang British sebut 'Malaya' iaitu sekitar awal abad ke-19.Kedatangan orang-orang lndia dari lndia dan Cina dari China kerana keperluan ekonomi British sama ada di ladang-ladang getah dan di lombong-lombong bijih timah telah membuatkan mereka yang datang ke Malaya lantaran tuntutan kemiskinan hidup telah berusaha mencari rezeki.

Di sebuah ladang getah orang Melayu,Cina,lndia hidup bersatu padu atas nama sebuah kehidupan dan mencari rezeki.Sebenarnya, Abdullah Hussain telah mengibarkan bendera satu Malaysia terlebih dahulu atas semangat kekitaan dan perpaduan.Penduduk yang berbilang kaum ketika itu berpegang kepada di mana bumi dipijak,di situ langit dijunjung.

Dalam pergaulan masyarakat ketika itu masing-masing tidak lepas membawa cara pemikiran masyarakat leluhur tanah air asal mereka.Justeru sudah tentu adat istiadat, bahasa, cara berkomunikasi terpancar dalam pergaulan mereka.lnilah realistiknya latar yang dipaparkan oleh Abdullah Hussain sebagai perakam waktu dan zaman menerusi karya fiksyennya. Atas nama seni dan nilai-nilai estetika mengapakah mahu dipolitikkan? Yang nyata, dalam agama hindu sendiri ada menyebut kasta masyarakat mereka.


 Sementelahan pula apa yang digambarkan oleh novelis tersebut adalah masyarakat lndia di lndia yang mana rata-ratanya ketika itu masih berwarganegarakan negara lndia.Bahkan bukan menggambarkan tatcara kehidupan masyarakat lndia warganegara Malaysia seperti zaman sekarang.Bahkan pengarang juga menggambarkan situasi jelek masyarakat Melayu dan Cina juga.Namun tidak ada sebarang bantahan daripada orang Melayu dan Cina.Sebabnya,kerana mereka faham bahawa taraf dan maju mundur sesuatu bangsa atau keturunan bukan kerana taraf bangsa itu tetapi kerana ilmunya, akhlaknya dan daya usahanya.

Kepada semua yang mengaku warganegara Malaysia ,usahlah melenting sebaliknya letakkan posisi emosi kalian berada di aras kecerdasan yang tinggi.Tidak sewajarnya mana-mana pihak memperlekehkan hasil karya unggul SN Abdullah Hussain yang melalui sejarah penulisan yang panjang.

Seperkara  yang menghairankan mengapakah ada pembabitan parti politik dalam isu novel lnterlok ini? Apakah pandangan wakil MIC akan melihat interlok dari perspektif dan kepentingan politik? Jika isu lntertok dibabitkan MIC mengapakah UMNO atau NGO bukan lndia tidak diundang menghantarkan wakilnya ke Kementerian Pelajaran? Apakahini tidak mungkin boleh menyebabkan KPM berada akan berada dalam situasi senget sebelah? Kita sedia maklum sebagai pegawai yang mewakili KPM kelak tentulah suara dan hujah yang diperkatakan tidak bebas dan berdasarkan skrip dan kehendak pihak atasan.

Justeru bukan mustahil kelak pegawai-pegawai KPM akan berasa serba salah jika tidak mempunyai pendirian dan daya keintelektualan yang kukuh.Apatah lagi andainya yang mewakili MIC tidak pun atau membaca sekerat jalan novel tersebut.Kesannya lebih ke arah silap faham ,berada dalam situasi emosional dan prejudis yang lebih menjurus menuju ke arah kebuntuan.


Kesimpulannya adalah ditegaskan bahawa jika masyarakat lndia di Malaysia yang berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan perundangan sah telah diterima sebagai warganegara maka apakah perlu masyarakat  lndia Malaysia pobia dengan perkataan ‘pariah’? Apakah ada sistem kasta di Malaysia kini?

Ketahuilah dalam novel lnterlok digambarkan elemen kasta wujud pada masa itu kerana orang lndia yang berhijrah ke Malaysia ketika itu (1910-1957) belum berstatuskan  warganegara atau bukan lagi rakyat Malaysia . Novel itu tidak menceritakan tentang rakyat Malaysia keturunan lndia sekarang. Karya fiksyen itu cumalah rakaman sejarah,latar dan zaman ketika itu.Justeru, tidak ada unsur menghina sesiapapun.Hakikat inilah yang patut difahami semua pihak dan menerimanya selaras dengan semangat satu Malaysia!




19 Januari 2011

TERKINI:AMARAN: JANGAN BUKA FAIL LAMA PPSMI

PERSATUAN Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) mengulangi saranannya supaya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dijadikan sebagai opsyen di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Perkara itu dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan oleh Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, yang diterima oleh setiausaha sulit kanan Perdana Menteri, Mohamad Amir Harun di Pejabat Perdana Menteri tengah hari tadi.

Noor Azimah ketika ditemui pemberita berharap Najib akan membawa resolusi persatuan itu untuk dibincangkan semula oleh Kabinet kerana perkara itu adalah untuk kebaikan kanak-kanak.

PPSMI, yang diperkenalkan pada 2003 ketika era Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar dalam bidang sains dan matematik tetapi pada 2009, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan dasar itu berkuatkuasa 2012 manakala sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menggunakan bahasa ibunda masing-masing bagi pengajaran dan pembelajaran dua subjek berkenaan.(sumber :Bernama 19 Januari 2011)

TB bertanya seorang guru.Respons pertama yang diterima, "jangan buat bengong!"Teman-teman seperjuangan telah mula merangka strategi dengan komen yang mendayu tapi tetap bersemangat waja.Apakah pemimpin-pemimpin Melayu dalam UMNO kini dan BN amnya sudah dianggap tidak konsisten,tidak tegas,tidak sekata ataupun tidak sepakat;malah mungkin ada duri dalam lipatan yangmenyebabkan setiap dasar yang telah diputuskan boleh diadu-domba atau diacah-acahyang mana menyebabkan ada kelonggaran di sana sini.

Aduhai malang nasib si kaduk, dungunya si pandir,malang si lebai jika setiap dasar yang murni boleh diperlekehkan dan boleh dipinda-pinda sesuka hati demi kepentingan politik semasa.Jahanamlah jadinya anak bangsa dan watan tercinta pada masa hadapan.Mudah-mudahan apa juat niat sekalipun PAGE ini pemimpin wajib bertegas dan campakkan ke dalam bakul sampah.Janganlah mengumpan kemarahan rakyat dan menaikkan gelombang kedua kemarahan rakyat di jalan raya bersama gerakan yang dinamakan GMPpsmi.Buku telah ditutup maka tutuplah buku PPSMI!

18 Januari 2011

SAMPAI BILAKAH MELAYU ASYIK BERTOLERANSI?

NAMPAKNYA tidak habis-habis kesabaran umat Islam-Melayu di negara ini diuji, sama ada oleh mereka berkepentingan politik, golongan buta sejarah negara atau individu yang sengaja mengambil kesempatan daripada dasar keterbukaan sekarang.

Tindakan seorang bukan Islam membantah laungan azan dari Masjid Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, kerana mengganggu tidurnya dan pembakaran novel “Interlok” kerana kandungannya dikatakan menghina masyarakat India, adalah antara kes terbaru menunjukkan betapa semangat toleransi yang pernah menjadi amalan dan kebanggaan rakyat pelbagai kaum di negara ini, semakin terhakis.

Yang menjadi persoalan, kenapa hanya sejak kebelakangan ini timbul suara-suara sedemikian. Soal laungan azan misalnya bukan perkara baru, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup orang Islam-Melayu sejak berabad, sebelum Islam termaktub sebagai agama rasmi di negara ini.

Dalam kes di Kampung Kerinchi, masjid berkenaan mengkumandangkan azan sejak dibina 30 tahun lalu sedangkan si pengadu difahamkan baru berpindah lima tahun. Jika tidak mahu tidur diganggu suara azan, kenapa membeli rumah di kawasan mempunyai masjid?

Kita percaya ramai yang bersetuju dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa provokasi yang tinggi akan menimbulkan sentimen dan kemarahan orang Islam untuk bangkit mempertahankan agama mereka. Demonstrasi aman oleh jemaah Masjid Al-Ikhlasiah petang Jumaat lalu adalah manifestasi rasa kurang senang umat Islam di negara ini dengan provokasi kalangan tertentu terhadap agama mereka sejak akhir-akhir ini.

Selepas lebih setengah abad merdeka, sepatutnya tidak ada lagi pihak yang mempersoalkan azan, bunyi loceng gereja dan kuil atau pembakaran mercun dan colok pada musim Tahun Baru Cina. Walaupun ia mungkin menimbulkan sedikit kebisingan atau pencemaran asap, semua ini sebahagian cara hidup kita dan perlu dihormati semua pihak yang menjadikan Malaysia tempat tinggal mereka.

Dalam kes novel “Interlok” karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, bantahan dibuat selepas 40 tahun diterbitkan apabila buku itu dipilih untuk dijadikan teks sastera untuk pelajar Tingkatan Lima tahun ini. Kenapa baru sekarang kumpulan ini seolah-olah baru menyedari ada istilah yang mereka anggap sensitif pada dua halaman novel setebal 426 muka surat itu.

Reaksi dan amaran pelbagai pihak termasuk kalangan bukan Melayu sendiri, yang mempertahankan karya sastera itu ternyata menjadikan golongan itu lebih lantang meneruskan tuntutan mereka. Hakikat bahawa tema “Interlok” yang dihasilkan selepas peristiwa 13 Mei 1969, berdasarkan integrasi orang Melayu, Cina dan India sejak awal tahun 1900 sehingga merdeka, langsung tidak diendahkan oleh kumpulan ini.

Kita boleh memahami jika isu-isu sensitif seumpama ini ditimbulkan pemimpin politik pembangkang. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini pemimpin politik yang berada dalam kerajaan sendiri nampaknya lebih lantang membicarakan isu sensitif secara terbuka.

Tidak salah untuk menjuarai atau menimbulkan rasa tidak puas hati kaum masing-masing, tetapi ia seharusnya dibuat secara tertutup seperti diamalkan selama ini. Sebagai anggota kerajaan atau ahli parti komponen Barisan Nasional (BN), mereka mempunyai pelbagai saluran untuk menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pihak berkenaan tanpa perlu menghebahkan kepada media.

Dalam era maklumat bergerak pantas sekarang, sebarang kenyataan daripada pemimpin politik mengundang pelbagai tafsiran dan menyebabkan perkara yang mulanya dilihat kecil, bertukar menjadi bara perkauman.

Kita cuma boleh berharap kedua-dua isu ini ditangani secara rasional dan bijaksana oleh semua pihak terbabit. Isu yang membabitkan sensitiviti kaum dan agama hanya dapat diselesaikan jika pemimpin politik benar-benar ikhlas mahu melihat rakyat pelbagai kaum di negara ini hidup dengan harmoni seperti yang pernah dinikmati satu ketika dulu.

Bagaimanapun, selagi perpaduan hanya menjadi mainan di bibir sedangkan tindakan dan kenyataan mereka tidak berlandaskan semangat toleransi yang tinggi, selagi itulah jurang perkauman akan terus rapuh.

Toleransi adalah proses dua hala. Sementara bukan Islam-Melayu mengharapkan agama, adat dan budaya mereka dihormati, mereka juga harus mengambil kira sensitiviti orang Islam-Melayu, yang sekian lama bertolak ansur. Membantah azan berkumandang setiap masuk waktu solat dan mempersoalkan kandungan novel selepas 40 tahun ia diterbitkan, tentunya tidak mencerminkan semangat toleransi dalam erti kata sebenar. (sumber oleh Manja lsmail,BH,17 Januari 2011)
WAJIBKAN PEMBELAJARAN JAWI DALAM BAHASA MELAYU


TULISAN jawi perlu dijadikan satu mata pelajaran wajib di peringkat sekolah sebagai usaha memartabatkan kembali khazanah kebudayaan nasional itu.Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Teo Kok Seong berkata, ia perlu dikuasai bukan sahaja oleh orang Melayu malah kaum lain kerana tulisan tersebut memiliki 1,001 keistimewaan dan kelebihan.

Menurut beliau, jika tidak dijadikan satu mata pelajaran khusus, tulisan jawi harus diajar atau dimasukkan ketika pembelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.
"Pengajaran bahasa atau sastera Melayu boleh dikatakan tidak lengkap jika tidak dimasukkan komponen tulisan jawi. Suatu ketika dahulu, skrip tulisan bahasa Melayu menggunakan jawi tetapi kini rumi dilihat lebih menguasai," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas saranan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah agar tulisan jawi terus dipertahankan supaya terus hidup dan tidak pupus kerana ia merupakan satu perjuangan bangsa.

Kok Seong berkata, tulisan jawi merupakan khazanah negara yang harus dipertahankan dan ia tidak sepatutnya ditakuti oleh golongan bukan Melayu.
"Apabila dikata tulisan jawi perlu dipelajari oleh orang Cina, mereka menentang dan anggap jawi adalah Islam. Mereka takut akan wujudnya usaha untuk menjadikan mereka Islam dengan jawi."Ini semua mengarut. Sedangkan, jawi hanyalah tulisan yang satu ketika menjadi pelengkap kepada bahasa Melayu," tegasnya.

Pendapat beliau turut disokong Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Adi Yasran Abdul Aziz.
Menurutnya, secara rasional, tulisan jawi perlu diajar bersama mata pelajaran bahasa Melayu."Pada masa ini, tulisan jawi diajar bersama mata pelajaran Agama Islam. Oleh sebab itu, ramai bukan Melayu salah sangka dan memandang serong terhadap tulisan jawi," jelasnya.

Beliau kemudian mengambil contoh UPM mewajibkan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) mendaftar mengikuti kursus Sistem Tulisan Jawi."Selain itu, jika hendak martabatkan tulisan jawi, semua pihak khususnya kerajaan perlu membudayakan tulisan jawi terutama mewajibkan penggunaannya di papan-papan tanda iklan. Dengan itu, orang ramai merasakan ada gunanya kita belajar jawi," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, usaha yang dilakukan Kumpulan Utusan dengan menerbitkan Utusan Melayu Mingguan harus dipuji tetapi ia masih belum mencukupi untuk memartabatkan tulisan jawi.
"Justeru itu, Kementerian Pelajaran perlu wujudkan mata pelajaran tulisan jawi. Mulakan di peringkat sekolah rendah. Inilah caranya untuk kita kembalikan kegemilangan tulisan jawi. Janganlah kita sibuk mengejar kemodenan sehingga lupakan warisan bangsa," tambahnya.

TB dan Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia sudah lama menyokong dan menyarankan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah.Sayugia diingatkan bahawa situasi kini jawi diajar secara gabung jalin dalam pelajaran Pendidikan lslam adalah tidak memadai dan tidak mencapai matlamat sebenarnya.Sebenarnya dalam Bahasa Melayu ada dua bentuk tulisan iaitu tulisan rumi dan tulisan jawi(dahulu disebut 'tulisan Melayu'). Tetapi kerana kealpaan dan kelalaian Menteri Pelajaran terdahulu maka pembelajaran jawi telah disisihkan secara perlahan-lahan dalam P&P Bahasa Melayu.

Pada tahun-tahun sebelum 1980-an antara kaedah memantapkan murid-murid dalam penguasaan ejaan dan tulisan dalam bahasa Melayu ialah adanya subsubjek 'Rencana Rumi', 'Rencana Jawi, 'Tulisan Rumi', 'Tulisan Jawi', 'Bacaan Rumi' dan 'Bacaan Jawi'.Langkah membebankan dan meletakkan ke atas pundak guru-guru Pendidikan lslam semata-mata bagi memartabatkan Bahasa Melayu Jawi adalah tidak adil lantaran guru-guru Bahasa Melayu wajib memikul bersama.Dan masyarakat bukan Melayu kini harus difahamkan bahawa antara bahasa Arab,bahasa Urdu,bahasa Melayu (jawi),bahasa Parsi dan lain-lain yang menggunakan huruf sama tapi berbeza bahasa dan budaya.

Justeru ada segelintir masyarakat mengaitkan dengan Bahasa Melayu jawi dengan pelajaran Agama lslam adalah tidak tepat walupun ada pertalian budaya antara bahasa Melayu dan agama lslam.lni dapat diterima kerana Melayu dan lslam itu sinonim sejak kedatangan lslam ke Alam Melayu Nusantara hingga kini.lnilah yang kita mahu sama-sama pebetulkan dari segi persepsi masyarakat dan tanggapan orang ramai.

Pihak penguasa dan pentadbir jabatan-jabatan kerajaan seperti sekolah,maktab,universiti dan pejabat-pejabat kerajaan serta Penguasa Berkuasa Tempatan perlu ada sikap positif meletakkan papan tanda selain Bahasa Melayu rumi;letakkan juga Bahasa Melayu jawi.

Premis perniagaan Melayu sendiri janganlah hanya pandai bercakap dan menuding menyalahkan orang lain; sekiranya anda sendiri yang 'bodoh sombong', 'malu-malu kucing', 'rendah diri tidak bertempat' tidak menobatkan Bahasa Melayu warisan nenek moyang andayang sedia wujud sejak turun-temurun di Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu sejak beratus-ratus tahun dahulu,

WAD 6A E&T: OTORINOLARINGOLOGI

TB buat masa ini disarankan berehat di Bilik 28 Wad 6A oleh doktor pakar E&T Otorinolaringologi Hospital Serdang, Selangor Darul Ehsan,Malaysia mulai 17 Januari 2011.Justeru kepada pembaca budiman yang terus setia melayari blog Tiub Bocor usahlah gusar dan bimbang,doakan agar TB terus sihat sejahtera meneruskan perjuangan selagi hayat dikandung badan.Hidup berbakti kepada agama,bangsa,keluarga dan negara adalah impian kita.
Semoga TB terus dapat bersama pembaca budiman dengan isu-isu semasa seperti sediakala.
Salam perjuangan!

17 Januari 2011

WELCOME TO JOIN TEACHING PROFESSION 2011


Not everyone can be a teacher. Not only must you have the passion for education, you need to know to engage the students in their learning, be good role model and an inspiration to them and people and prepare them for the challenges of life.

A teacher is the heart and soul of class,the pulse that keeps a lesson lively and engaging.Teaching as a career is an exerting journey filled with challenges and rewards. You play the critical role in nurturing the spirit of innovation and the passion for learning for our young,grooming them into all-round individuals.In turn, you will grow both as a person and professional come take up this meaningful career and experience the wonders of teaching.

So we recognize that our teachers have different aspirations.The teaching profession provides a challenging and enriching career with varied fields of excellence that cater to young talent,abilities and aspirations,

Lastly, welcome to our SPM,STPM/STAM,diploma and degree holders this year for involve
into education line for our nation.


Dr Rajiee Hadi,

Presiden,
Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia/PPPM/PENDIDIK,
(Malaysia of Education Practiotioners Assoociation)Reg.1561
Kuala Lumpur.

SELAMAT DATANG DUNIA KEGURUAN BUAT SPESIS MUTAKHIR

KEPADA para pelajar (bakal guru terlatih)tahun akhir di Universiti Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan, Bandar Seri Begawan,Negara Brunei Darussalam yang kini mula menjalani latihan praktikum akhir dan seterusnya akan diserapkan sebagai guru terlatih di sekolah-sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh Negara Brunei Darussalam, TB ucapkan selamat bertugas dan awda kalian akan menghadapi dan menempuh alam pengajaran dan pembelajaran yang sebenar; baik di bilik-bilik darjah mahupun di persekitaran sekolah.Sentiasalah rajin,amanah.jujur,ikhlas,elok dan efisyen sewaktu bertugas dan menggalas amanah yang diberikan. Dan sentiasalah menggalakkan dan menyuntik motivasi murid-murid awda cemerlang dalam akademik,kokurikulum dan sahsiah.

Dan kepada para pelajar TB suatu waktu dahulu ialah pelajar-pelajar program Sarjana Muda Perguruan Usuluddin, Sarjana Muda Perguruan Syariah dan Diploma Perguruan Tinggi dalam bidang-bidang berkaitan ingatlah bahawa komunikasi dua hala yang berkesan antara guru - pelajar ialah adanya kejelasan, ketulusan, keikhlasan dan belas ehsan.Justeru ingatlah bahawa sehebat mana pun seorang pendidik jika aspek komunikasi; baik komunikasi lisan,komunikasi bertulis mahupun komunikasi isyarat tidak difahami dengan mendalam dan praktik maka apa yang mahu disampaikan akan menjadi kabur dan gagal. Apatah lagi andainya mekanisme bahasa yang menjadi wadah komunikasi itu agak cacamarba dan haru-biru maka apa yang mahu disampaikan oleh guru kepada pelajar umpama pantulan bola ke muka dinding yang akan melantun tidak mendatangkan keberhasilan.

Kepada awda yang menempuh alam keguruan yang sebenarnya sentiasalah mengemaskinikan dengan ilmu pengetahuan dan ilmu bantu dari semasa ke semasa. Mempertingkatkan nilai tambah dalam bidang pedagogi, psikologi,sosiologi dan seumpamanya adalah wajar bagi setiap guru.Hindarilah seperti katak di bawah tempurung.Jadikanlah diri awda seorang guru yang sentiasa inovatif,kreatif dan dinamik, selagi hayat dikandung badan. Selamat bertugas!
PARIAH ADA DI MALAYSIAKAH?

Majlis Belia Malaysia (MBM) merumuskan bahawa novel Interlok hasil karya sasterawan Abdullah Hussein tidak mempunyai motif untuk menghina atau merendahkan martabat mana-mana individu atau kumpulan kaum dalam negara.

Perbincangan meja bulat MBM dari Perspektif Belia Malaysia mengenai novel berkenaan hari ini turut merumuskan bahawa ia merupakan satu karya yang jujur serta sarat dengan pengajaran untuk menjadikan pembaca lebih kritis dan menerima peristiwa-peristiwa sejarah yang mengiringi proses pembentukan negara.

Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee semasa menyampaikan resolusi meja bulat itu kepada pemberita di sini, turut merumuskan bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan penggunaan novel ini perlu diberi perhatian serius agar tidak terjadi sebarang kekeliruan tafsiran sehingga boleh menyinggung mana-mana pihak.
Panel meja bulat itu terdiri daripada pakar sastera Dr. Fatimah Busu, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ambigapathy Pandian dan Presiden Persatuan Penulis Malaysia (Pena), Mohamad Saleeh Rahamad, dengan Mohamed Maliki bertindak sebagai pengerusinya.

Perbincangan meja bulat itu turut menyelar tindakan individu serta pemimpin politik yang dilihat semakin berani memainkan isu perkauman dan agama demi meraih sokongan serta pengaruh daripada rakyat(baca penuh MM,16 Januari 2011)

TB tegaskan bahawa jika masyarakat lndia di Malaysia secara undang-undang yang sah sudah menjadi warganegara Malaysia maka apakah masih lagi lndia Malaysia pobia dengan perkataan ‘pariah’?Apakah ada sistem kasta di Malaysia kini?Ketahuilah dalam novel lnterlok digambarkan elemen kasta wujud pada masa itu kerana orang lndia yang berhijrah ke Malaysia ketika itu (1910-1957) bukan lagi warganegara atau bukan lagi rakyat Malaysia. Novel itu tidak menceritakan tentang rakyat Malaysia keturunan lndia sekarang. Karya fiksyen itu cumalah rakaman sejarah,latar dan zaman ketika itu.Justeru, tidak ada unsur menghina sesiapapun!

16 Januari 2011

INTERLOK: DIALOG KPM - MIC LAYAKKAH MEREKA?

Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan wakil MIC minggu depan bagi membincangkan beberapa isu berbangkit yang terkandung dalam novelInterlok, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud.
Beliau berkata, sebelum ini MIC mencadangkan sebuah panel yang terdiri daripada lima orang untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran bagi menamatkan isu sensitif yang dibangkitkan dalam novel tersebut.

Katanya, wakil MIC terdiri daripada Presiden Hindu Sangam, R. S. Mohan Shan; bekas Ketua Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya (UM), Dr. S. Singaravelu; Ketua Jabatan Pengajian India UM, Prof. Madya Dr. S. Kumaran; Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Datuk Dr. T. Marimuthu dan bekas pegawai di Kementerian Pelajaran, G. Krishnabagwan.

"Kita berharap dialog tersebut akan berjalan tanpa sebarang masalah dan mencapai keputusan yang memuaskan hati kedua-dua belah pihak.
"Sebarang cadangan pada dialog itu akan diambil kira dalam menentukan penggunaan novel tersebut sebagai buku teks subjek Sastera Bahasa Malaysia tingkatan lima sekolah menengah," katanya ketika ditemui di sini hari ini(baca penuh,UM 16 Januari,2011)

TB hairan mengapakah ada pembabitan parti politik dalam isu novel lnterlok ini? Apakah pandangan wakil MIC akan melihat interlok dari perspektif dan kepentingan politik? Jika isu lntertok dibabitkan MIC mengapakah UMNO ke PAS ke PKR ke tidak menghantarkan wakilnya? Apakah cara begini akan menyebabkan KPM berada dalam situasi senget sebelah?Sementelahan pula siapakah wakil KPM yang dikira berwibawa? Kita sedia maklum sebagai pegawai yang mewakili KPM kelak tentulah suara dan hujah yang diperkatakan tidak bebas dan berdasarkan skrip dan kehendak pihak atasan.Justeru bukan mustahil kelak pegawai-pegawai KPM akan berasa serba salah jika tidak mempunyai pendirian dan daya keintelektualan yang kukuh.Apatah lagi andainya yang mewakili MIC tidak pun atau membaca sekerat jalan novel tersebut.Oleh itu TB terlebih dahulu mahu menilai daya sensitiviti seni dan sastera nama-nama yang dibariskan mewakili MIC tersebut.Yang penting, sudah habis bacakah?Jika tidak membaca, buang masa bahkan tidak mustahil perbincangan tersebut akan lebih ke arah kejahilan kerana situasi emosional dan prejudis akan menuju ke arah kebuntuan!

15 Januari 2011

lNGATAN KECIL,MENJELANG SESI SEKOLAH

menghadapi tahun baru persekolahan
waktu bergerak amat perlahan
kasut usang yang kukapur bersih putih
bagaikan terik sinar mentari yang cemburu

sesekali rembis gerimis meresahkan
uniform putih di ampaian kekejangan
mahu dikanji seterika seri baharunya
nenek di jemuran dengan panjang leterannya

di bawah rumah gadang datukku
basikal tua kupasti tiub angin rodanya
dering loceng brek rantai tiada cela
bagaimana kuhadapi tersua sipu
habibah,rohani dan yoke moi si tepung bedak
di persimpangan jalan kampung ke sekolah

dengan basikal chopper terbaru kalian
ah,desis hati awal alam remajaku
malunya aku sekecil tubuh mengayuh jerih
basikal palang bukan saizku
namun kuterkenang mulia hatinya almarhum bapa
menghadiahkanku menuju ke jalan ilmu!

DRH
Januari 2011.

14 Januari 2011

UMNO+Pas= Melayu+Islam
Kata orang, UMNO itu pertubuhan politik Melayu, berlandaskan perjuangan kebangsaan Malaysia bukan kepentingan Melayu semata-mata. UMNO bukan parti perkauman, Pas juga dikatakan orang, pertubuhan politik Melayu, berjuang menegakkan syariat Islam merentasi citra kebangsaan (entahkan kebangsaan Melayu atau kebangsaan Malaysia). UMNO dan Pas diterajui tokoh-tokoh pemimpin politik Melayu beragama Islam. Keahlian UMNO kini terbuka kepada bangsa serumpun Melayu lain, yakni suku bangsa di Sabah. UMNO ikut dianggotai keturunan India Muslim dan lain yang jadi Melayu menurut tafsiran Perlembagaan Persekutuan. Di dalam Pas juga ada ahli-ahlinya daripada kaum lain beragama Islam, seperti orang keturunan Cina dan India-Pakistan. Jadi landasan Melayu dan Islam atau Islam dan Melayu adalah asas kekuatan UMNO dan Pas.

Di Malaysia, Melayu itu Islam dan Islam itu sinonim dengan Melayu. Kalau diperhitungkan, maka UMNO+Pas = Melayu + Islam atau Pas + UMNO = Islam + Melayu. Islam menuntut pengukuhan ukhuwah atau persaudaraan Islam. Kenapa jadinya sampai berbalah dan kesan dahsyatnya kepada orang kampung, sampai tidak bertegur sapa, solat dua imam, dan macam-macam? Melayu, oh Melayu, sedangkan orang lain tidak henti-henti mengaut kemakmuran di bumi asal Melayu. Mereka itu pula sesekali bangkit bercita-cita merombak teras dan tonggak-tonggak kenegaraan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Di negara-negara Islam lain seperti Arab Saudi, Mesir, Qatar atau Bahrain, mereka adalah Islam tetapi bukan Melayu. Keadaan itu samalah dengan India, Pakistan, Iran yang mungkin ada cara mereka sendiri dalam perjuangan politik kebangsaan. Pakistan ditegakkan sebagai sebuah negara kebangsaan berideologikan Islam. Almarhum Muhammad Ali Jinnah berjasa besar kerana berjaya membentuk sebuah negara bangsa, bertunjangkan bangsa dan Islam. Pakistan wujud terpisah dari India, walaupun mereka itu sama keturunan nenek-moyang, sama bangsa dan sama ras. Pas semasa Allahyarham Profesor Zulkifli Muhamad, Dr Burhanuddin Helmy dan tokoh-tokoh lain tidak pula meninggalkan perjuangan kebangsaan Malaysia. Mereka cuma mahukan kepastian yang mana dahulu, antara kebangsaan dengan Islam itu.

Melayu oh Melayu, tidak sedarkah kita akan kedaifan bangsa dan ketinggalan diri dalam pendidikan, ekonomi, dagang, milik harta dan sebagainya. Melayu di kampung, mungkin gembira kerana ada tanah berekar-ekar, sawah dan kebun. Harga seekar mungkin RM20,000, melainkan ditukar taraf menjadi tapak rumah atau industri. Nilai bagi lot 6,000 kaki persegi boleh mencecah RM60,000 (RM10 sekaki persegi) sekitar 1 kilometer di Pasir Puteh atau tidak jauh dari Kota Bharu. Itu tidak besar. Di Kuala Lumpur, sekitar Bukit Damansara, harganya antara RM300 hingga RM500 per kaki persegi. Maknanya satu lot tapak rumah bernilai RM1.8 juta hingga RM3 juta dengan keluasan sama. Pola sama mungkin kedapatan di kota-kota seperti Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu. Kota-kota bukan didominasi orang Melayu dan bumiputera. “Kasihan”. Apa? “Kasihaaan”, ungkap Mohd Rafi, dalam filem Madu Tiga Allahyarham Tan Sri P Ramlee. “Kasihan”… Melayu bercakaran, luka luar dalam, terluka hati dan perasaan.

Pada awal Januari lalu ada berita gembira. Beritanya dibawa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau mengesahkan ada pertemuan pada 24 Disember 2010, di Istana Terengganu, Kuala Lumpur. Maknanya terang sekali, pada majlis itu ada keberangkatan DYMM Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Baginda ialah Ketua Negara bagi Persekutuan Malaysia, kerusi tertinggi tonggak kenegaraan. Pertemuan itu diadakan secara tertutup dan tidak dibenarkan siaran media. Mujur kita tahu daripada beliau. PM dan TPM belum kata apa-apa. Kerahsiaan. Kehadiran bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Insya-Allah akan ikut membawa manfaat. Kehadiran Tuan Guru, kerana menjunjung dan menghormati titah keinginan Pemerintah Tertinggi Negara. Aturan perjumpaan mesti dijaga dan sebarang butiran rahsia perbincangan tidak semestinya dijadikan andaian umum.
Menurut Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mereka langsung tidak membincangkan isu politik apatah lagi soal kerajaan perpaduan yang digembar-gemburkan media (Sinar Harian, 5 Januari 2011). Benar juga, sebab di hadapan Tuanku, mana ada banyak masa perbincangan khusus dengan PM dan TPM. Rakyat jangan memandai-mandai buat spekulasi, jangan adakan benda yang tidak ada. Tuanku pun mungkin tidak perkenan sekiranya hal-hal politik dikaitkan dengan baginda. Tuanku ada kebijakan dan kebijaksanaan sendiri. Apa pun, majlis pertemuan itu sudah cukup bererti dan membawa makna yang besar, apabila ‘mata bertemu mata’.


Apakah tidak terfikir oleh mereka kita ini sebangsa dan seagama, tetapi tidak henti-henti bertelingkah. Dahulunya Pas dan UMNO pernah berada dalam satu barisan kepemimpinan kerajaan, bersama-sama memerintah negara, bertukar pandangan dan fikiran. Itu kisah zaman Almarhum Tun Abdul Razak. Pas bersama UMNO dan parti-parti kaum Cina yang agak moderat seperti Gerakan ikut berada di dalam kerajaan bersama MCA, MIC dan parti-parti lain dari Sarawak dan Sabah. Di Malaysia, akan bangkitkah umat dan gemilangkah Islam kalau Melayu tidak berkuasa dan tidak sama-sama berjuang memajukan ekonomi dan mensejahterakan masyarakat. Tetapi sayangnya, politik sudah mengatasi segala-galanya!. Kini ketaksuban kepada ketua atau pemimpin sedang mengatasi kecintaan terhadap Negara!.
Senario politik 1970-an mungkin berbeza. Keperluan situasi dan konteksnya tidak sama, tetapi bukan bermakna ia kosong iktibar. Kenapakah ada kemampuan berkongsi matlamat untuk memulihkan imej negara yang tercemar akibat Peristiwa 13 Mei 1969 dan membangunkan ekonomi rakyat dengan serampang dua mata di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990? DEB telah menggariskan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum serta penyusunan semula masyarakat. Semangat itulah yang patut kekal dikongsi semua dalam perjuangan politik Malaysia, terutama kepimpinan Melayu-Islam, Pas dan UMNO. Politik Malaysia tidak akan stabil tanpa kestabilan Melayu terlebih dahulu. Kalau diperhitungkan, maka UMNO+Pas = Melayu + Islam dan UMNO + Pas = Melayu. Islam itu ada pada akidah dan tauhid mereka.

Pada malam Sabtu, 8 Januari 2010, Lebai Mad @ Pak Mat Omar, sewaktu menyampaikan kuliah Maghribnya, di Surau Nurul Ikhklas Bandar Putra Permai, ada mengutip Ayat 144 Surah An Nisaa’ yang bermaksud: “Hai orang-orang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman akrab, pelindung, penolong, ketua) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Inginkah kamu mengadakan alasan nyata bagi Allah?”. Tazkirah beliau tidak berbau politik sama sekali, kecuali tentang bolak-balik hati jika tidak sentiasa dididik, tentang orang munafik, orang yang bertaubat dan mengadakan perbaikan serta berpegang teguh pada agama.

Penulis terfikir bagaimana ‘orang-orang kafir’ boleh jadi ketua, sedangkan muzakarah antara Pas dengan UMNO sesama Islam tidak menjadi. Kenapa tidak ada keinginan untuk bekerjasama membangunkan umat, menegakkan Islam dan memakmurkan tanah air sesuai dengan matlamat perjuangan asal? Bagaimana kedudukan akidah seseorang mahu mempertahankan pemimpin kafir yang jelas menolak Islam, si kafir bersenamrobik di halaman masjid tanpa menutup aurat dan bercampur gaul bebas lelaki perempuan, orang kafir menterjemah dan mempermainkan ayat-ayat suci al-Quran? Kini carut mencarut pun menjadi-jadi. Oh Melayu!, kalau anda benar-benar Melayu dan Islam, janganlah sekali-kali mencemari agama wahyu yang ditanzilkan buat seluruh umat manusia itu. Nau’zubillah.
(Sumber:A.Aziz Deraman, Sinar Harian, 13.01.2011)

lNTERLOK WAJAR JADI TEKS SASTERA SPM

Jalan cerita masyarakat majmuk adalah usaha meneruskan perjuangan konsep 1Malaysia

DALAM menghadapi isu sentimen kaum yang sengaja digembar-gemburkan pihak tertentu, adalah wajar satu ketetapan dibuat dengan segera bagi mengelak polemik berterusan, lebih-lebih lagi jika ada elemen lain cuba mengambil kesempatan memburukkan lagi keadaan.

Dalam polemik semasa berkaitan novel Komponen Sastera (KOMSAS) subjek Bahasa Malaysia Tingkatan Lima, Interlok, yang diguna pakai sekolah di Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Negeri Sembilan, adalah tidak wajar ia dibiarkan berterusan dengan pelbagai pihak mengambil tindakan sendiri.
Di sebelah pihak, golongan yang menentangnya melakukan pelbagai angkara, termasuk membakar novel dan gambar penulisnya, Abdullah Hussain, sementara golongan yang ingin mempertahankannya pula mengambil tindakannya sendiri.

Isu berkenaan mungkin sudah dibincang pada mesyuarat Kabinet dan andainya ia belum sampai pada peringkat itu, harapan kita adalah agar satu keputusan dapat dibuat dalam masa terdekat ini, agar ia tidak terus disalah faham masyarakat keturunan India di negara ini.

Kita berharap pihak tertentu yang membangkitkan isu perkauman berkaitan novel itu sudah membaca dan memahami isi kandungan sepenuhnya kerana mesej di dalamnya menjurus kepada perpaduan.

Banyak pihak tampil menyatakan pendapat mereka mengenai Interlok, yang tidak ada langsung unsur perkauman atau hasrat penulis untuk memperkecilkan kaum India, selain menggarapkan elemen sejarah dan fakta.
Kita berharap pemimpin MIC terdiri daripada dua timbalan menteri, Datuk T Murugiah dan Datuk S Subramaniam yang mula membangkitkan isu ini, sudah membaca dan memahami novel itu sekarang.

Mereka mesti mengambil inisiatif menjelaskan kepada ahli parti serta masyarakat India bahawa bukan tujuan penulis atau kerajaan untuk menghina kaum berkenaan.

Konsep 1Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga menjurus ke arah pembentukan masyarakat adil di negara ini.

Novel Interlok, yang turut mengandungi mesej perpaduan, tidak akan mengubah hasrat pemimpin dan rakyat negara ini terhadap masyarakat India.

Interlok membincangkan kehidupan Seman, yang mewakili Melayu, Ching Huat mewakili Cina dan Maniam mewakili India, dan semuanya dirangkum dalam satu bab terakhir.

Walaupun ia membincang kehidupan Seman dan Ching Huat, namun apa yang dipertikaikan adalah kisah mengenai Maniam, kerana ada perkataan ‘paria’ disebut.

Buku itu mengisahkan kehidupan Maniam, seorang lelaki berusia 30 tahun dari Tricur, Kerala, India yang memutuskan untuk ke negara ini, kerana tidak tahan dengan kehidupan miskin di kampung halamannya. Dalam pelayaran kapal, Abdullah Hussain dipetik sebagai menulis seperti berikut:

“Di dalam kapal ini dia tidak susah. Sebahagian besar daripada penumpang dek yang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa saja, bahasa Tamil. Mereka yang dari arah utara sedikit bercakap bahasa Malayalam atau Telugu, tetapi hampir semuanya tahu bahasa Tamil. Malayalam dan Telugupun berasal dari satu rumpun bahasa Dravidia.

Satu perkara besar membuatkan mereka senang bergaul kerana mereka tergolong dalam kasta paria. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur.”

Pada halaman lain, penulis menyatakan: “Dia boleh membeli barang daripada penjaja dengan memberikan wang dari tangan ke tangan; tidak seperti di negaranya, dia mesti meletakkan wang itu di suatu tempat dan penjaja itu akan menyiram wang itu dengan air sebelum diambil dan dimasukkan ke dalam petinya”.

Ternyata kewujudan kasta yang digambarkan Abdullah Hussain, bukan penghinaan kepada mana-mana kaum malah realiti pada zaman berkenaan.

Seperti kata seorang lagi pakar linguistik, Prof Awang Sariyan, novel Interlok adalah gambaran realiti sosial pada zaman berkenaan dan pengkisahan membabitkan penghijrahan pekerja dari luar termasuk orang dari India.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga berpendapat Interlok tidak mempunyai elemen perkauman.

Sebaliknya ia mengandungi elemen harmoni bertujuan memupuk perpaduan antara kaum di negara ini berdasarkan kisah pada 1910, iaitu zaman kolonial.
Beliau meminta pihak yang cuba mempolitikkan novel berkenaan supaya membacanya dengan perspektif betul dan rasional.

Apapun, polemik Interlok ini tidak harus dibiarkan berlarutan dan dalam membuat keputusan, pihak kementerian tidak perlu mengikut telunjuk golongan yang tidak memahami isu diperjuangkan.

Saya berpendapat Interlok wajar terus menjadi teks dalam KOMSAS mata pelajaran Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun ini.
(sumber: Razak Rashid Ghows)
bhnews@bharian.com.my
2011/01/13

12 Januari 2011

INTERLOK: KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN PENGAMAL PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM/PENDIDIK) turut membantah sekeras-kerasnya dan menentang sebarang usaha penarikan balik dan pengubahsuaian novel iNTERLOK karya SN Abdullah Hussain yang telah terpilih menjadi teks sastera dalam Komponen Sastera (KOMPAS) dalam P&P Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) oleh mana-mana pihak.

Persatuan menyokong sepenuhnya tindakan NGO lain dalam apa jua tindakan dan keputusan bagi mengekalkan teks lNTERLOK seperti sediakala dan menghalang usaha provakatif dan mempolitikkan isu pendidikan dan akademik oleh golongan atau individu tertentu.
Keputusan tegas Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengekalkan lNTERLOK disokong sepenuhnya.


Presiden,
Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia,
Kuala Lumpur.

11 Januari 2011

YANG DIBACA DAN YANG DIBAKAR

APABILA saya membaca berita tentang pembakaran buku Interlok saya tidak terperanjat. Novel Interlok garapan Abdullah Hussain ini telah menjadi berita kerana dikatakan ada unsur rasis dan penghinaan terhadap orang India.

Sebenarnya membakar buku di Malaysia ini bukan sesuatus yang baru. Pertama kali - saya terbaca berita membakar buku ini ketika saya di sekolah menengah pada tahun 1970 dahulu. Buku: 13 Mei Sebelum dan Sesudah telah  dibakar di Sudut Pidato di hadapan perpustakaan Universiti Malaya. Saya tidak pasti apakah ini kerja Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya ataupun kerja Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.

Buku 13 Mei Sebelum dan Sesudah ini ,adalah garapan Tunku Abdual Rahman yang pada ketika itu menjawat Perdana Menteri Malaysia. Buku ini dibakar kerana ketika itu anak-anak mahasiswa amat marah terhadap Tunku. Tunku dibenci kerana dikatakan telah mengadaikan kepentingan Melayu dan menjual negara ini kepada taukeh Cina.

Agak ironis, tidakan mahasiswa di Universiti Malaya ini kerana pada 10 Mei 1933 anak anak mahasiswa German juga telah membakar 25,000 buah buku. Angka 25,000 adalah judul buku yang dianggap tidak ‘bersemangat German’. Ini kerana pada zaman Hitler berkempen untuk membakar semangat Aryan yang berkulit putih, bermata biru dan berambut merah dan meluaskan pengaruh politik Nazi.

Interlok dikatakan ada menggunakan perkataan ‘pariah’ yang dianggap rasis oleh orang India. Ada juga ayat-ayat lain yang tidak disenangi oleh orang India. Apakah perkataan pariah dalam Interlok ini rasis atau tidak bukan ini yang ingin saya garap. Di sini saya ingin membuka satu kain rentang yang lebih luas. Saya ingin membuka pensejarahan kata, makna dan tanda dalam pembudayaan negara bangsa.

Umum harus disedarkan bahawa bunyi kata-kata yang keluar dari mulut kita ini tidak memiliki apa-apa makna. Makna yang kita kahwinkan dengan bunyi itu didatangkan kemudian.

Misalnya bunyi - ke-la-pa – bunyi ini tidak memiliki apa-apa makna kepada orang Sweden. Tetapi ianya memiliki makna untuk orang Malaysia. Makna ini lahir dari alam persekitaran dalam sesuatu budaya bangsa bukan dari bunyi perkataan itu. Kewujudan pokok yang tinggi menjulai ini melahirkan perkatan ke-la-pa. Benda-benda yang wujud di dalam alam inilah yang melahirkan perkataan. Perkataan ini diberi oleh budaya persekitaran.

Mari kita lihat perkataan ‘keling’ yang pada satu ketika dahulu ada tuntutan di mahkamah agar perkataan ini dilupuskan daripada Kamus Dewan. Untuk saya, Mamat yang menuntut pelupusan perkataan ini tidak memahami sejarah perkembangan tamadun manusia. Pasti Mamat ini tidak ada keupayaan untuk membaca 25,000 judul buku German, jauh sekali membaca kitab Salalatus Salatin – Sejarah Melayu.

Sila baca kitab Sejarah Melayu ini dan lihat bagaimana perkatan keling itu telah digunakan tanpa memiliki unsur-unsur prasangka, penghinaan atau sikap rasisme. Perkataan keling muncul apabila adanya mahkluk yang bukan Orang Melaka datang dari negara atas angin. Lalu makluk ini diberi nama Keling kerana mereka pendatang baru yang dikatakan rakyat Raja Kalinga.

Bunyi, makna dan tanda di sini bukan ilmiah yang berasaskan ilmu alam. Ini tidak penting. Lihat bagaimana hingga sekarang manusia Melayu menggunakan perkataan Benggali sebagai kata nama untuk manusia dari wilayah Punjab walhal Benggali seharusnya kata nama untuk warga dari wilayah Bengal.

Lihat perkataan ini diterima masuk ke dalam budaya Melayu tanpa prasangka atau niat jahat. Malah ada beribu-ribu perkataan Sanskrit yang telah memperkayakan perbendaharan kata dan pengucapan manusia Melayu.

‘ Maka Baginda pun perkenan memberi persalinan sepasangan baju China dan sepasang baju Keling. Maka apabila Anakanda memakai baju China maka rupa Chinalah dianya. Apabila Anakanda memakai baju Keling maka rupa Kelinglah dianya…’

Di atas adalah ayat dalam buku Salalatus Salantin yang ditulis 600 tahun dahulu. Satu ketika yang bagitu lama dahulu yang mana konsep prasangka, rasisme dan perkauman ini belum wujud dalam sensibiliti manusia Melayu. Enam ratus tahun dahulu belum wujud perebutan ekonomi yang meruncing. Enam ratus tahun dahulu belum wujud Hindraf atau saham Telekom untuk Maika. Enam ratus tahun dahulu Kugan dan Francis belum lagi ditemui mati dalam rumah pasung.

Malah sensibiliti terhadap perkataan keling atau pariah ini datang kemudian ke dalam budaya Melayu. Ianya datang bersama sikap rasisme yang dibawa oleh kolonial British ketika menjajah Tanah Melayu ini. Kolonialisme memerlukan satu idealogi untuk menghalalkan penghisapan tenaga buruh anak-anak tanah jajahan.

Justeru mereka yang dijajah wajib dilihat lebih rendah dari tuan penjajah. Yang perlu dijadikan kuli oleh British di ladang getah di Tanah Melayu ialah warga pariah kerana mereka adalah warga dari kasta yang terendah dalam budaya Hindu. Yang menjadi mandur dari kasta yang lain. Yang menjadi manager juga dari kasta yang lain. Ini adalah cara penjajah menjajah.

Amat jelas perkatan tanda dan makna pariah ini bukan diwujudkan oleh manusia Melayu. Pariah ini lahir dari sistem kasta Hindu itu sendiri. Manusia Melayu tidak memiliki nilai penghinaan apabila bertembung untuk kali pertama dengan perkatan ini. Malah yang membawa masuk ke Tanah Melayu nilai penghinan terhadap perkataan -pariah - ini ialah orang-orang dari India itu sendiri yang kini tinggal di Malaysia tetapi dengan bangganya masih lagi mengamalkan sistem kasta.

Jangan silap faham di sini. Apa yang saya tulis ini bukan untuk menunjukkan bahawa manusia Melayu ini suci dan tidak memiliki prasangka atau sifat benci terhadap orang luar. Sikap benci terhadap ‘orang lain’ ini bukan hanya dimonopoli oleh Hitler atau kaum Zionis atau kuam penjajah. Ianya wujud dan dimiliki oleh semua budaya bangsa. Yang ingin saya paparkan ialah bagaimana perkataan melahirkan konsep, tanda dan makna. Dan bagaimana budaya membudayakan perkataan itu.

Justeru adalah tidak adil untuk menilai novel Interlok dengan sensibiliti hari ini. Ini samalah juga seperti tidak masuk akalnya untuk kita mengubah kitab Salalatus Salatin kerana ada menggunakan perkataan keling. Atau kita wajib menggantikan nama Tanjung Keling kerana adanya perkataaan keling pada tanjung ini.

Biar saya bawa keluar, ke dunia sastera yang penulisan di Amerika Syarikat. Mark Twain (1835 – 1910) adalah penulis yang telah dinobatkan sebagai penulis agung untuk budaya negara bangsa Amerika. Buku Adventures of Huckleberry Finn adalah kitab wajib untuk seluruh warga Amerika.

Buku Adventures of Huckleberry Finn ini ditulis pada tahun 1885 - seratus enam puluh lima tahun dahulu. Di dalam buku ini ada menggunakan perkataan ‘nigger’. Pada tahun-tahun 60-an lahirnya pejuangan Hak Asasi Manusia di Amerika Syarikat. Maka lahir satu kesedaran dan sensibiliti baru yang mana warga berkulit hitam marah kalau dipanggil nigger. Perkatan ini dianggap rasis.

Ketika itu orang berkulit hitam di Amerika tidak marah kalau  dipanggil negro. Negro ini adalah hitam dalam bahasa Sepanyol seperti aswad dalam bahasa Arab. Kemudian lahir sensibiliti baru yang mana perkataaan negro ini juga dilawan dan ditentang. Orang hitam di Amerika Syarikat hari ini mahu mereka dipanggil African America.

Lihat bagaimana berlaku perubahan dan sensibiliti. Ada juga Kepala-kepala Angin yang tidak faham tentang sastera dan budaya telah mengkritik buku Mark Twain. Kepala Angin di Amerika agak cerah sedikit kerana mereka tahu sadikit sebanyak tentang sejarah dan makna upacara bakar membakar buku ini. Mereka tidak ingin diasosiasi dengan cucu cicit Hitler. Hingga ke hari ini buku Mark Twain ini adalah buku wajib untuk sesiapa sahaja yang ingin mengetahui budaya dan sastera Amerika.

Biar saya bawa ke zaman Baitul Hikmah - pada zaman pemerintahan Khalifah Harun Aminul Rashid ( 763-809) dan pada zaman anaknya Al-Makmum (813-833). Ini adalah zaman kegemilangan perkembangan ilmu pengetahun di negara Arab yang berpusat di Baghdad. Pada zaman ini buku falsafah dari Greek telah diterjemah ke dalam bahasa Arab oleh para ilmuan Arab.

Al-Farabi dan Ibu Sina dua ahli falsafah Arab/Islam bukan sahaja menterjemahkan buku-buku Aristotle malah memberi makna dan pengertian baru. Dalam sejarah falafah kuno dan moden Al-farabi amat penting sekali sehinggakan dinamakan Aristotle Kedua. Tanpa ahli-ali falsafah di Baitul Hikamh ini tidak akan terbuka zaman Pencerahan di Eropah.

Ini tidak bermakna buku dan falsafah mereka yang mengajukan rasionalisme tidak ada yang menentang. Al-Ghazali (1058–1111) yang datang kemudian telah menentang pandangan dan falsafah Al-farabi dan Ibnu Sinna. Tetapi bukan dengan membakar buku-buku yang terawal. Apa yang dilakukkan oleh Al-Ghazali ialah menulis buku Tahafut-al-falasifa untuk menjawab buku-buku Al-Farabi dan Ibu Sinna. Dengan ini memperkayakan debat keilmuan hingga ke hari ini.

Membakar buku untuk menunjukan tentangan adalah senang. Buku Salman Rushdi dibakar. Buku Tunku  dibakar dan kini buku Abdullah Hussain pula dibakar. Nyatalah susuk-susuk yang suka membakar buku-buku ini tidak memiliki nilai ilmu pengetahuan dan tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan kepada buku. Justeru mereka membakar buku……(sumber TT,baca penuh TT 11 januari 2011)