Salam Perjuangan

10 Mac 2011

A DOCTOR IN THE HOUSE (The Memoirs of Mahathir) : WHAT MUKHRIZ SAID?

MESKIPUN  mengakui beliau merupakan antara individu bertanggungjawab mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad menerbitkan buku memoirnya secepat mungkin, namun Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir mendakwa beliau tidak sedikit pun mengetahui apa yang terkandung dalam buku yang baru dilancarkan kelmarin

Menurutnya, sepanjang tempoh buku itu ditulis, Dr. Mahathir tidak pernah mendedahkan isi kandungannya kepada anak-anak termasuk memberikan salinan awal untuk dibaca.

"Saya belum baca lagi buku itu dan seperti orang lain, saya juga tidak sabar untuk mengetahui apa yang ditulis ayah.
"Kami (anak-anak) sering mendesak ayah mempercepatkan penerbitannya kerana berpendapat ramai yang ternanti-nanti rasional di sebalik tindakannya selama ini. Alhamdulillah, kini ia sudah terbit dan ia merupakan benda baru bagi kami, sama seperti orang lain," katanya.

Buku memoir bertajuk A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamadsetebal 800 muka surat itu nyata mendapat perhatian ramai apabila lebih 1,000 naskhah terjual pada hari pertama pelancarannya kelmarin.

Ditanya berhubung reaksi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang tampak cepat melatah dengan memberi kenyataan kepada media propembangkang sebaik buku itu dilancarkan, Mukhriz berkata, terpulang kepada mereka untuk menafikan segala tulisan bapanya itu.

"Pada saya, ia hak ayah untuk menyentuh perkara yang diketahuinya secara terperinci. Sebelum ini, beliau tidak berpeluang menerangkan satu persatu apa yang diketahuinya.

"Dengan terbitnya buku ini, ayah boleh huraikan segalanya dan tentunya ia melibatkan pihak lain yang terasa lalu melatah. Rasanya, itu tidak boleh dielak dan terpulang kepada mereka bagaimana untuk menidakkan apa yang didedahkan itu," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut pernah meminta ibunya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali untuk menerbitkan memoir seperti mana yang dilakukan bapanya.

"Sebenarnya ibu turut gemar menulis. Beliau sering kali menulis dalam buku nota mengenai kehidupan dilalui bersama ayah seperti ketika ayah di hospital, apa dilakukannya dan kebimbangannya mengenai kesihatan ayah.
"Pernah juga saya tanya tidakkah berminat menulis seperti ayah kerana sudut tulisannya mungkin berbeza selain akan mendapat sambutan seperti buku ayah tetapi sehingga kini saya masih tidak tahu jawapannya," katanya.(sumber disesuaikan daripada UM,10/3/11). TB menyokong penuh agar Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menulis memoir dari kaca mata beliau sebagai seorang isteri pemimpin, ibu, isteri dan teman setia Dr Mahathir, kisah zaman remaja dan didikan keluarganya yang terkenal kerana disiplinnya. Walaupun telah terdapat di pasaran buku yang ditulis mengenai dirinya oleh orang lain namun diharapkan catatan memoir daripada dirinya sendiri amatlah dinantikan.Semoga Tun Dr Hasmah dikurniakan kesihatan dan kekuatan daripada Allah SWT dan dapat menghasilkannya. 

Tiada ulasan: