Salam Perjuangan

06 Mac 2011

BAHASA MELAYU DIANCAM: AMARAN KEPADA UNIVERSITI MALAYA


 SUSURILAH jalan-jalan utama di sekitar Universiti Malaya (UM) dan anda akan berasa seolah-olah berada di tanah asing. Hampir semua kain rentang (kecuali Bahagian Keselamatan UM) sepenuhnya dalam bahasaInggeris tanpa adanya versi bahasa Melayu.

Rasa lebih bangga kepada bahasa Inggeris begitu ketara dalam urusan rasmi. Jadi, apa bukti kononnya UM mengamalkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi seperti yang dinyatakan dalam maklum balas pihak pentadbiran UM tempoh hari?

Tajuk ucapan dan taklimat Naib Canselor sepanjang sejam 29 minit yang kontroversi itu pada 14 Februari lalu dalam bahasa Inggeris malah banyak dalam bahasa rojak. Bukankah ucapan tersebut dalam kategori urusan rasmi?

Jika benar penggunaan bahasa Melayu, mengapa Naib Canselor menggesa warga UM bercakap dalam bahasa Inggeris sepanjang masa dan di mana-mana sahaja; mendesak Majlis Perwakilan Mahasiswa akan datang membuat program berkaitan penguasaan bahasa Inggeris serta bersetuju pendapat seorang pelajar Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) yang meminta segala-galanya mesti dalam bahasa Inggeris dengan kata kuncinya mentaliti mesti berubah?

Mohon Kementerian Pengajian Tinggi mengambil maklum tindakan pimpinan universiti yang tidak membantu peradaban dan keperibadian bangsa sendiri (sumber disesuaikan daripada UM,5/3/11).
Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail, Pejuang Bahasa Unggul

TB: Sudah banyak kali diperkatakan, bahasa lnggeris bukanlah tidak penting dan tidak dititikberatkan.Tetapi pelaksanaannya janganlah lebih kuah daripada sudu. Di bumi Malaysia yang dibangunkan dengan asas Perlembagaan Persekutuan maka wajib kita sebagai rakyat Malaysia meletakkan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa limu dan bahasa komunikasi di tempat yang wajar,sejajar dan bermartabat.

 Apakah ini semua gara-gara Naib Canselornya yang tidak patriotik, jahil dan bagaikan katak di bawah tempurung?Kemungkinan Naib Canselor berada di luar pengetahuannya. Mungkin juga.Bolehlah dimaafkan. Namun memberi ruang dan peluang di peringkat awal adalah amat merbahaya.lni sudah menjadi tradisi bagi masyarakat Malaysia sejak dahulu. Jangan mula memberi ruang atas nama toleransi dan tolak -ansur

Apakah reaksi Majlis Perwakilan Pelajar UM? (dahulu PMUM dikenali cukup hebat)Khabarnya anggota perwakilan pelajar daripada kelompok 'Pro M' berjiwa pejuang. Ayuh! Bagimanakah reaksi Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM)? Tahukah kalian PBMUM pada sekitar 1970-an awal 1980-an adalah persatuan yang digeruni lagi dihormati kerana ketegasannya sebagai pejuang bahasa Melayu unggul di Universiti Malaya?

Bukalah lembaran sejarah lama; tanya-tanyalah para pemimpin terdahulu. Apa kata sila rujuk Presiden Alumni Universiti Malaya sekarang; tanyalah tentang simpang-siur perjuangan sejarah Bahasa Melayu dan Universiti Malaya dahulu.Tanyalah dan bergurulah dengan beliau.Kepada Datuk Nordin Abdul Razak, apa khabar Datuk sekarang?

Tiada ulasan: