REAKSI masyarakat umum terhadap ' A Doctor ln The House' catatan memoir oleh Tun Dr Mahathir yang berbelah bahagi terutama berhubung dakwaan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai salah laku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi memoirnya menolak Pakatan Rakyat ke dalam “perang persepsi” mengenai kewibawaannya selaku perdana menteri sedang menanti.
Dr Mahathir (gambar) menulis bahawa Anwar dibekalkan dengan empat wanita untuk tujuan seks dan pada masa yang sama bekas timbalan perdana menteri itu tidak pernah menafikan aktiviti liwatnya sebelum dipecat pada September 1998.
Kelmarin, Anwar membidas pelbagai dakwaan dibuat oleh Dr Mahathir dalam bukunya sambil berkata: “Dr Mahathir pembohong besar, (dengan) amnesia yang selektif.”
Kata Anwar, dakwaan-dakwaan yang digariskan Dr Mahathir dalam bukunya bukan sesuatu yang baru dan secara konsisten telah menjawab perkara tersebut sejak sebelum dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Saya telah menafikan dakwaan ini secara terbuka sejak 1997.
“Rujukan beliau kepada empat wanita, saya nafikan,” katanya.
Masih diselubungi dengan kekalahan dalam dua pilihan raya kecil serentak di Kerdau dan Merlimau Ahad lalu dengan peningkatan majoriti kepada BN, Pakatan Rakyat kini mempunyai tugas baru iaitu perlu berhadapan dengan tamparan terbaru daripada Dr Mahathir ke atas perikatan berusia tiga tahun ini.
“Itu sebabnya beliau lakukan ini. Hanya mahu menambah dakwaan terhadap Anwar, cuba memasukkan satu lagi paku ke atas keranda,” kata anggota biro politik PAS Khalid Samad.
“Dr Mahathir tahu bahawa Anwar adalah pengikat dalam Pakatan Rakyat. Dengan menyerang Anwar dan memusnahkan beliau, ia serupa dengan tindakan memusnahkan Pakatan Rakyat,” kata Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.
Anwar kini berhadapan dengan kes liwat kedua manakala BN pula menyifatkan Ketua Umum PKR itu sebagai sudah tidak relevan lagi selepas kekalahan berganda di Kerdau dan Merlimau.
“Dr Mahathir sangat berpengaruh dan apa yang dikatakan oleh beliau sangat berpengaruh. Kita telah menyaksikan bagaimana beliau telah menyerang penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kesannya ke atas BN.
“Cerita-cerita beliau hari ini akan mencetuskan kekeliruan di kalangan rakyat dan membawa imej negatif mengenai Anwar tidak lama lagi, kami dalam perang persepsi sekarang,” kata Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah.
“Beliau cuba untuk memusnahkan kredibiliti Anwar sebagai seorang pemimpin Islam dengan dakwaan mengenai salah laku seks. Memang jelas ini adalah isu-isu sensitif bagi orang Melayu,” kata Khalid.
Kedua-dua Loke dan Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, walaupun kekurangan bukti, ramai akan menelan kata-kata Dr Mahathir.
“Oleh kerana ia datang daripada beliau, ia sudah pasti akan mencetuskan satu persepsi, sama ada benar atau tidak. Persepsi sangat penting dalam politik,” kata Loke.
“Sesetengah akan berfikir oleh kerana Dr Mahathir yang mengatakan begitu, ia pastinya benar,” kata Khalid merujuk kepada dakwaan bekas presiden Umno itu dalam bukunya bertajuk “A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad”.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan-dakwaan Dr Mahathir akan membawa kesan ke atas pengundi dan penyokong atas pagar yang masih belum membuat keputusan sama ada Anwar ada melakukan perbuatan sedemikian.
Ahli Parlimen Machang itu berkata sasaran utama adalah mereka yang berusia antara 21 dan 25 tahun, yang masih muda apabila Anwar berhadapan dengan tuduhan liwat pertama pada 1998.
Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa dari PAS juga bersetuju pengaruh politik Dr Mahathir dan “perkataan-perkataan tajamnya” kemungkinan akan memberi impak ke atas pembaca meskipun kekurangan bukti.
“Biasanya, orang ramai akan terima isu-isu sensasi,” katanya lagi.
“Ramai tidak kisah sama ada cerita-cerita itu benar atau tidak dan penulis-penulis seperti Dr Mahathir mempunyai impak ke atas pembaca,” kata beliau kepada media.
Katanya, Pakatan Rakyat perlu menerimanya sebagai “perang persepsi” menghadapi BN meskipun ia pertarungan yang tidak adil ketika kerajaan terus mengawal akses kepada media.(sumber disesuaikan daripada :TMalaysiainsider,10/3/11).
Bagi TB, kemunculan buku terbaru Tun Mahathir selepas 'The Malay Dilemma" telah berjaya mencetuskan suasana baru dalam menarik keghairahan masyarakat untuk mendampingi buku sebagai sumber bacaan dan informasi.Dalam era teknologi maklumat yang mana masyarakat lebih memfokuskan informasi melalui teknologi digital bukanlah perkara mudah mengajak masyarakat membaca.Sama ada ada info di sisi lain menerusi memoir Tun Mahathir, tentulah kini menjadi polemik di sana sini.
Dan paling menarik, tentulah orang ramai juga menanti edisi dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia bagi menyebarluaskan memoir Tun kepada auidien segenap lapisan. Dan tidak mustahil akan juga diterjemahkan ke bahasa-bahasa lain seperti Arab, Mandarin, Thai, Tagalog,Tamil dan sebagainya.Tahniah,kepada Tun Mahathir!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan