Salam Perjuangan

17 Mac 2011

ROGOL BAWAH UMUR : LANGKAH PENCEGAHAN

SEBANYAK  9,575 kes rogol di bawah umur direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh lima tahun sejak 2005, persidangan Dewan Rakyat diberitahu kelmarin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata statistik yang direkodkan PDRM itu menunjukkan jumlah kes yang melibatkan mangsa bawah umur adalah lebih tinggi bagi tempoh 2000 hingga 2010 berbanding kes yang melibatkan mangsa bukan bawah umur.

"Bagaimanapun, polis tidak mempunyai rekod mengenai jumlah kes rogol di bawah umur bagi tempoh 2000 hingga 2004," katanya menjawab soalan Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) di Kuala Lumpur .

Dr Fong ingin tahu jumlah kes rogol di bawah umur yang berlaku sejak tahun 2000 dan tindakan yang diambil kementerian bagi menangani gejala itu.

Abu Seman Yusop berkata kementerian sentiasa memandang serius dan komited dalam membendung jenayah rogol lebih-lebih lagi bagi kes yang melibatkan golongan di bawah umur.

Katanya, antara langkah yang diambil PDRM ialah memberi perkhidmatan kaunseling kepada mangsa dan akan merujuk mangsa kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika memerlukan perlindungan.

"Selain itu, polis akan meneruskan siasatan untuk mendapatkan bukti terhadap suspek dan bagi kes yang dituduh di mahkamah dan jika suspek disabitkan kesalahan, pihak peguam negara akan memohon kepada mahkamah supaya hukuman lebih berat dikenakan," katanya.(sumber: Malaysiakini, 14/3/11)



TB turut bersedih kerana jenayah rogol bawah umur menunjukkan peningkatan kes. Sebenarnya jenayah rogol adalah jenayah amat kejam; tidak kiralah sama ada yang di bawah umur atau sebaliknya. Bagi jenayah bawah umur; sama ada dengan rela,terpaksa atau dipaksa maka ianya tetap dalam kategori rogol. Rogol bawah umur diklasifikasikan sebagai jenayah perkosaan di bawah umur 18 tahun.TB tidak bermaksud mahu mengupas secara terperinci berhubung faktor-faktor dan persekitaran yang menyumbangkan jenayah ini.


Apa yang TB tahu tidak ramai remaja bawah umur 18 tahun mengetahui bahawa hubungan seksual suka sama suka juga ditakrifkan sebagai rogol.Justeru, pendedahan pengetahuan berhubung sabitan kes, hukuman dan akibat kepada si pelaku sewajarnya dihebahkan ke pengetahuan umum khususnya kepada remaja sebagai kumpulan sasaran.


Sehubungan ini pihak atau agensi yang berkaiatan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pembangunan Keluarga dan Wanita, Kementerian Penerangan,Komunikasi dan Kebudayaan, Jabatan Kemajuan lslam Malaysia (JAKIM) dan lain-lain harus berganding bahu turun ke gelanggang bagi memberi pengetahuan, kesedaran dan peringatan kepada orang ramai dan komuniti mengenai jenayah rogol khususnya rogol bawah umur.


Poster-poster, risalah, pamplet harus disebarkan atau ditampalkan di merata-merata tempat awam. Poster seperti " Bawah 18 Tahun Hubungan Seks Suka Sama Suka Adalah Rogol", " Rogol Hukuman Sebatan dan Penjara 2o tahun" dan berbagai-bagai lagi poster yang boleh difikirkan bersama. Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Cegah sebelum parah!

1 ulasan:

Nina berkata...

Nina sangat setuju agar penjenayah dikenakan hukuman berat, yg penting semua pihak harus memainkan peranannya agar perkara ini tidak berulang kembali.