Salam Perjuangan

03 Mac 2011

LAGI DESAKAN BATAL KEPUTUSAN BAWA MASUK PEKERJA INDIA

Kerajaan digesa membatalkan serta-merta keputusan untuk membawa masuk 45,000 pekerja dari India bagi mengisi kekurangan tenaga kerja kerana ia boleh menjejaskan kesejahteraan negara. Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, keputusan itu akan meningkatkan lagi jumlah pekerja asing di negara ini sekali gus membangkitkan masalah berkaitan keselamatan.

Selain itu beliau berkata, ia juga boleh menyebabkan konflik antara mereka dan penduduk setempat ekoran berlakunya pertembungan budaya."Kta khuatir kemasukan beramai-ramai pekerja asing akan menyebabkan kehidupan masyarakat kita semakin tidak tenteram kerana berlaku pertembungan budaya dengan penduduk tempatan.

"Apatah lagi jika jumlah mereka semakin ramai. Apabila sudah semakin ramai dibimbangi kedudukan mereka di negara ini menjadi semakin tidak terkawal. Jika ini yang berlaku, ia boleh menyebabkan berlaku masalah keselamatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam mengumumkan kerajaan meluluskan pengambilan 45,000 pekerja dari India bagi membantu Persatuan Peniaga-peniaga India Malaysia mengisi kekurangan tenaga kerja.

Permintaan tersebut berikutan pihak pengusaha mendakwa gagal mendapatkan tenaga kerja tempatan kerana keengganan mereka untuk bekerja dalam sektor-sektor yang ditawarkan oleh persatuan.
Ekoran kenyataan tersebut, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mahu kerajaan mengkaji dan memperhalusi semula keputusan itu kerana dikhuatiri ia boleh membawa kesusahan kepada rakyat dan negara.

Kamaruddin berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat sebelum mengambil sebarang keputusan berkaitan pengambilan pekerja asing."Memang tidak dinafikan Malaysia merupakan antara negara yang menjadi pilihan bagi pekerja-pekerja asing tetapi kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya memberi kebenaran kepada mereka untuk masuk ke negara ini," katanya lagi.

Mengenai jalan penyelesaian terhadap isu tersebut beliau berkata, keutamaan hendaklah diberikan kepada penduduk tempatan.Malangnya jelas beliau, sehingga kini pihak industri yang berkehendakkan pekerja dilihat tidak bersungguh-sungguh mendapatkan pekerja tempatan hingga menyebabkan ramai rakyat negara ini menganggur. "Sebenarnya mereka mahu mengurangkan kos dan sebab itu mereka sanggup menggaji pekerja asing. Pekerja-pekerja tempatan langsung tidak diberi peluang untuk bekerja dengan mereka," ujarnya.

Tiada ulasan: