Salam Perjuangan

16 November 2017

Harlina Fatihah Raih MUMTAZ (Amat Cemerlang) PSRA 2017











 Harlina Fatihah Rajiee meraih lulus amat cemerlang (Mumtaz) dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Agama (PSRA) 2017 di salah sebuah sekolah integrasi di Negeri Selangor Darul Ehsan.

Bagi pihak seluruh keluarga merakamkan rasa syukur ke hadirat Allah SWT dan tahniah mendalam kepada Harlina Fatihah dan terima kasih kepada guru-guru dan pihak sekolah.

Semoga Harlina akan terus meniti dalam pengajian ilmu wahyu di peringkat yang lebih tinggi suatu waktu kelak.

Terima kasih, doa kalian semua. Amin ya Rabbal Alamin.

27 September 2017

Puisi: MENU

sebelum lima puluh
aku makan lontong
roti canai kuih koci
tempeh gulai nangka
kopi O teh tarik
ubi panas apam balik

dengan layur pisang
tetel ulam pegaga
sepat asin sambal goreng
sulur keladi asam pedas
tatkala sore rebus mee
kutambah berkali-kali

sesiapa mempelawa
briayani kampung panas
sup ekor gearbok kota
tanpa mengira waktu
bicara apa jua agenda
perjuangan Melayu
dan kehidupan

selepas enam puluh
manhattan fish McD
nando's kenny roggers
johnny's texas roasters
secret recipe coffee bean cafe
dunkin donuts toast box
pizza hut chicken rice
tidak pasti mengapa
terjadi begitu begini

di hadapan modenisasi
muncul pelbagai aneka
sukiya seoul garden
mini pablo king sushi
franco steak kakatoo
koryo-won  black canyon
dave's deli domino's pizza
banyak lagi menyusupi
di tanah subur ini

ah,aku mahu pulang
ke desa daerah tani
dingin hawa pergunungan
berlarian menghirup mentari
membentang hijau bendang
meneguk secangkir pagi
meniup seruling gembala
masihkah ada lagi?


RAJIEE HADI
Kuala Lumpur
23 September 2017.

21 September 2017

Puisi: HILANG

Bukan sembarangan
dia kehilangan ibu
ketidakpastian itu
membuatkan gulana
resah mencengkam
sepanjang saat waktu
malam menikam jarum

Ke manakah ibunya
membawa lara hati
semena-mena menghilang
jauh pandangan
ketika keberangkatan
di lapangan udara
gelisah menderu jauh

lbunya ke manakah
gerangan menjauh
bersalahkah kalian
bicara luka menutur
kusebarkan gundah
nafiri hebah bicara
membantu kalian

Hari demi hari
ibu kalian kembali
berkat doa merata
setiap mendamba
whasapp bercerita
wajarkah diri kalian
tanpa ucap kata
sepi tanpa berita?


RAJIEE HADI
Putrajaya.
14 September 2017.






14 September 2017

DR.HARON DIN: ULANG TAHUN PERTAMA PEMERGIAN

TANGGAL 15 SEPTEMBER 2017 ini genaplah satu tahun pemergian Almarhum Tuan Guru Dr.Haron Din ke rahmatullah. Semoga roh Almarhum tenang di alam abadi sana, dan dicucuri rahmat oleh Allah SWT.



Berikut TB petik semula laporan berita pemergian beliau setahun yang lalu:


"SETELAH sekian lama menghidapi penyakit jantung, Musyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menghembuskan nafas terakhirnya hariini di Hospital Stanford University, San Francisco.



Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di sisi
anggota keluarganya.
Beliau meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Din serta dua lelaki dan tiga perempuan.
Allahyarham dilahirkan pada 18 Ogos 1940, di Bohor Mali, Kangar, Perlis
kepada pasangan guru Al-Quran dan merupakan anak ketiga daripada 10 beradik yang mendalami ajaran Islam.
Selain dikenali sebagai pemimpin PAS, Haron juga terkenal sebagai tokoh pendidik kekeluargaan Islam dan pengamal perubatan Islam.
Allahyarham menyandang jawatan Mursyidul Am PAS pada Mac tahun lepas bagi menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yan meninggal dunia pada Februari akibat kanser prostat.
Haron bergiat aktif dalam PAS sejak 1974 ketika berusia 34 tahun sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983).
Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan Timbalan Mursyidul Am.
Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah,
Bohor Mali, Madrasah al-'Alawiyah al-Diniah, Al-Kuliah al-Islamiah sebelum menyambung pelajaran di Kolej al-Islamiah Klang, Selangor dan Kolej Islam Malaya.
Allahyarham kemudian melanjutkan pengajian dalam jurusan Pendidikan di Universiti Kaherah sebelum menyambungnya di peringkat doktor falsafah dalam jurusan Syariah di Universiti Darul Ulum, Kaherah.
Selepas kembali ke tanah air, beliau kemudian bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan meneruskan khidmatnya dalam perubatan Islam.
Allahyarham Haron merupakan pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa') iaitu sebuah klinik rawatan Islam alternatif yang terkenal dalam kalangan umat Islam.
Darussyifa', yang ditubuhkan pada 17 April 1988 di Bangi, kini memiliki lebih daripada lima cawangan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Haron juga pernah dilantik sebagai Anggota Majlis Penasihat Syariah di
beberapa institusi perbankan termasuk Bank Negara Malaysia, CIMB dan Muamalah Financial Consulting.
Pada 2010, Allahyarham dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1432 Selangor.
Mempunyai bakat dalam bidang penulisan, Allahyarham telah menulis beberapa buku ilmiah termasuk Manusia dan Islam, Falsafah Pendidikan Islam, Obor Islam, Tasawur Islam dan Hudud dalam Perudangan Islam.  (Sumber: MK, 16/9/16). Al-Fatihah.


12 Ogos 2017

CINA MALAYSIA DAHULU & SEKARANG

SEBELUM saya menulis catatan ini, ada baiknya saya memberitahu para pembaca budiman mengenai perbezaan frasa kata CHINA dan CINA. 'China 'merujuk bagi sebuah negara iaitu 'Republik Rakyat China' sebuah negara luas dan besar dalam benua Asia yang berideologikan komunisime sebagai paksi doktrin pemerintahannya. China bagi merujuk nama sebuah negara dan juga penduduk/rakyatnya adalah China. Manakalah kata ejaan 'Cina' bagi merujuk rakyat Malaysia keturunan dari negara China yang telah menjadi warganegara Malaysia. Justeru ada bezanya antara frasa nama "Orang China" dan " Orang Cina".

Ada untungnya saya dibesarkan dari tiga lokasi zaman yang mana dapat saya melihat pelbagai latar ragam tingkah manusia. Baik di kampung, di estet, di bandar dan di kota raya; asam garam dan warna-warni kehidupan banyak mengajar saya erti kegetiran hidup, kesepakatan komuniti, keresahan nurani, kebejatan jiwa dan pelbagai nilai rasa.

Zaman pasca bayi saya  (sebelum Tanah Melayu merdeka & sebelum tertubuhnya Malaysia) sekitar awal 1960-an dan  dibesarkan di estet konglomerat lnggeris mengingatkan saya nama-nama komuniti orang Cina di estet seperti Cheng Chong, Boo Peng, Ah Kau, Ah Chow, Ah Meng, Pak Kong, Ah Ngee, Ah Ngau, Ah Seng, Koo Pek, Boh Geh, Lee Sang, Khoo Loh, Wah Hee dan ramai lagi. Rata-ratanya mereka bertutur dalam dialek Hokkien.Dan ada juga segelintir menggunakan dialek Kantonese.  Bagi anak-anak mereka yang bersekolah di SJKC di sebuah estet lain yang berjiran (12 km), bolehlah mereka bertutur bahasa Mandarin sesama mereka.

Dan hanya segelintir sahaja yang dapat bersekolah di peringkat sekolah menengah aliran kebangsaan dan lnggeris yang jauhnya lebih 30km. Ketika itu bas sekolah milik syarikat Nort West Johor Sdn.Bhd bersedia berpangkalan di estet tempat saya dibesarkan. Saya masih ingat drebar basnya ialah Pak Ludin (abang Ludin, arwah) suami kepada Kak Sebah (arwah) dan kelendannya Atan yang bernikah dengan Ah Swee (kahwin lari?) dengan anak Ah Seng di estet tersebut.

Kisah orang Cina dalam estet yang mabuk arak dan cakap meracau-racau apabila ada 'majlis-majlis makan besar' sempena majlis perkahwinan dan Tahun Baharu Cina, suka makan tenggiling dan binatang-binatang ekostik , mengandung sebelum pendaftaran perkahwinan, lari lintang-pukang diserbu polis ketika sedang berjudi dan menjual nombor ekor haram.

Apatah lagi, Ah Moi cantik yang berskirt pendek, adik kontraktor Wah Hee yang "cun", keluarga waris si mati yang berpakaian guni, berpakaian warna hitam dan biru bagi menandakan perkabungan, kanak-kanak yang "mencuri" limau dan pisang di tokong Cina atas bukit kecil dan banyak lagi peristiwa-peristiwa menarik yang boleh dibuat banding beza (jika ada daya, insya-Allah saya akan menulis novel 'avant garde' sebagaimana novel 'kontroversi' INTERLOK karya SN Datuk Abdullah Hussain yang berdasarkan komuniti masyarakat majmuk ini).

Sepasang suami isteri Cina  tukang cuci parit dan tandas teres yang datang dari Tanah Besar China ( Koo Pek dan isterinya) tidak tahu berbahasa Melayu sentiasa menjadi bahan usikan kanak-kanak. Mereka akan memarahi dan berleter panjang dalam bahasa Hokkien  tanpa mempedulikan kanak-kanak tersebut memahami atau tidak ( berkepala botak berjambul di depan seperti putera Dinasti Mancu, China) untuk disuap bubur nasi tetap menjadi hiburan tatkala petang.

Cheng Chong yang mabuk bercakap merapu-rapu dalam pelbagai bahasa dan dialek yang sukar diketahui sejurus pulang menjamu "kenduri kahwin"di barek Boo Geh sentiasa diekori kanak-kanak. Lucunya kanak-kanak tersebut bertempiaran lari dikejar Cheng Chong yang ketika itu berusia sekitar 30-an. Boo Geh  seorang wanita/ah soo (isteri Loh Han, kurang mahir berbahasa Melayu, datang dari China) yang sedang bermain  judi pakau di bawah pokok nangka  bersebelahan bilik kolam mandi bertempiaran cabut lari diserbu polis dengan wang ringgit bertaburan di atas jalan.

Walaupun pemain-pemain judi dalam kalangan orang Cina di estet (ada juga seorang dua orang Melayu yang "tumpang semangkuk") dibawa ke dalam black maria polis namun tidak beberapa jam kemudian  dibebaskan dengan senyuman terukir di bibir masing-masing. Kejadian yang saya saksikan pada zaman kanak-kanak itu sehingga kini menjadi misteri terbungkam jauh dalam sanubari saya.

Sungguhpun berbagai-bagai kerenah orang-orang Cina di estet (termasuk orang Melayu dan sukuan Jawa, lndia/Tamil) namun kehidupan mereka yang berkongsi kesusahan dan keperitan hidup menjadi buruh di estet menyebabkan mereka saling hormat menghormati dan kerap ada elemen kebersamaan dalam melahirkan rasa tidak puas hati kepada pihak majikan yang ada waktunya bersikap lintah darat. Jika "kepala atau mandur/tandil" yang bukan berbangsa Melayu; mereka yang bukan berbangsa Melayu turut melahirkan rasa tidak puas kepada rakan-rakan senasib yang berbangsa Melayu.


Mereka juga bersedia bernaung di bawah Trade Union (Kesatuan Pekerja-Pekerja Ladang Tanah Melayu/Malaysia) walaupun ada khabarnya mereka dieksploitasi oleh para pemimpin kesatuan sekerja tersebut. Dalam erti kata yang lain, semasa kanak-kanak saya sering melihat dan mendengar persoalan pemerasan, ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai skandal sebuah kehidupan masyarakat yang terpencil dan terpinggir.

BERSAMBUNG

09 Ogos 2017

SAYA & UMNO

SEBAGAI  anak Melayu jati kelahiran bumi Johor Darul Takzim khususnya di sebuah kampung dalam daerah Muar (kini dalam daerah Ledang); sedikit sebanyak persekitaran dan budaya banyak membentuk peribadi dan sahsiah diri saya.

Dalam artikel pendek ini, saya mahu mengaitkan secalit semangat perjuangan dan politik kepartian dalam kehidupan saya. Autobigrafi dan memoir lanjut cebisan perjuangan saya, bolehlah tuan/puan telusuri lebih lanjut dalam buku saya "TRAVELOG GURU" ( Penerbitan Awan Prima, 2015) yang telah lebih dua tahun diterbitkan.

Pada tahun 1978, sebagai guru muda lepasan Maktab Perguruan Bahasa (MPB), Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang tersohor itu, saya ditempatkan mengajar di sebuah sekolah menengah yang jauhnya kira-kira 10-12 km dari kampung kelahiran saya.

Sebagai guru muda lepasan MPB dan memiliki pengalaman belajar hingga ke peringkat tingkatan enam di sebuah sekolah terkenal dan memiliki kelulusan akademik STP/HSC ketika itu tentulah dianggap saya "generasi perintis zaman".

Sebagai guru muda yang yang hanya mampu bermotosikal Honda Cub baharu  (JX 5310) berharga RM1,800/ dibayar ansuran bulanan maka saya bertuah kerana tinggal bersama dengan ibu bapa saya yang telah "bersara tanpa pencen bulanan".

Bertuahnya saya kerana saya diberikan kebersamaan tinggal bersama ibu bapa untuk memikul sedikit tanggung jawab dan merasakan pahit getir cuma mengambil upah menoreh getah di kebun yang sekangkang kera sahaja. Adik-adik saya masa itu masih di bangku sekolah rendah dan menengah rendah.Semasa kecil dan alam persekolahan saya tinggal bersama datuk saya.

Di kampung, khususnya kampung-kampung dalam mukim Serom golongan guru menjadi nadi penggerak United Malays National Organisation (UMNO) sejak zaman penubuhannya sejak era Dato Onn Jaafar lagi. Maklumlah negeri Johor adalah kubu UMNO , khususnya dalam daerah Muar yang banyak melahirkan para pejuang dan nasionalis tanah air.

Sehubungan ini, saya dianggap tidak terkecuali termasuk rakan sejawat saya (rakan sekelas) Cikgu Ngarisan Jurimi (Haji, pencen Guru Besar) yang menjadi Ketua Cawangan UMNO ketika berusia 20-an), Cikgu Abu Bakar Affandi (rakan sejawat, Haji, pencen Guru Besar) yang menjadi Ketua Pemuda Bahagian ketika berusia 20-an dan ramai lagi.Besar kemungkinan, keadaan latar penduduk di kampung masing-masing memerlukan kepemimpinan mereka.

Saya sebagai guru muda juga mempunyai idealisme dan jati diri. Ketika itu nama saya mula terlakar di media-media cetak arus perdana; baik dalam akhbar mahupun dalam majalah-majalah popular. Karya-karya saya seperti puisi dan cerpen kian mendapat tempat di penghujung 1970-an dan awal 1980-an.

Selain menulis karya kreatif; saya juga menulis rencana dan berita secara aktif dan serius. Saya kemudian terpilih menyertai Kursus Penulisan Kreatif anjuran DPB- GAPENA 1980 mewakili Wilayah Selatan atas tiket Persatuan Penulis Johor (PPJ) di Muar pada 1980. Pada 1981 saya terpilih pula mengikuti Bengkel Penulisan Berita & Rencana anjuran The New Strait Times (NST) &  PPJdi Batu Pahat,Johor.

Kemudian pada tahun itu saya dilantik menjadi "Stringer" Berita Harian/Berita Minggu secara rasmi sebagai "Wartawan Pos" oleh A.Samad lsmail (Allahyarham Tan Sri, Tokoh Wartawan Negara).  Ada dalam kalangan rakan saya; yang terus menerima kerjaya wartawan tetap di BH/BM dengan tawaran gaji yang lumayan.  Namun saya tetap dan mencintai kerjaya  saya sebagai pendidik.

Bersandarkan latar belakang ringkas itu, tentulah sebagai penulis, saya dianugerahi llahi memiliki daya sensitiviti halus dan peka serta minda yang kritis. Situasi psikologi ini tentulah bertentangan dengan personaliti seorang pemimpin kepartian.Seperti Anwar lbrahim (DSAI) juga, ibu bapa mereka "bising" mengharapkan beliau menganggotai parti politik UMNO.

Situasi begini, saya pun tidak terkecuali. lbu saya mula mengeluarkan kata-kata amaran mengenai adat budaya kampung dalam hal kenduri-kendara dan perlaksanaan majlis-majlis perkahwinan yang banyak melibatkan orang-orang kampung yang majoritinya ahli parti. Apakah kenduri majlis perkahwinan saya kelak akan diboikot (kerana ketika itu tidak ada lagi katering) kerana tidak menganggotai parti?lnilah dilema saya yang ketika itu "gah" memakai t-shirt bertulis "GAPENA....Gabungan Penulis Nasional".

Tanpa saya duga, rupa-rupanya ibu saya secara senyap telah membayar yuran keahlian parti UMNO (tentulah UMNO lama)  untuk saya sejak 1978 lagi. Saya cuma tahu hal ini pada tahun 1979. Maklumlah yuran tahunan cuma RM1.00 satu tahun. Bukan isu yang membebankan.Walaupun saya terkejut seperti "tidak begitu suka" tetapi demi ibu dan tidak mahu mengecilkan hatinya; saya diamkan sahaja.

Pada tahun 1979, saya pula telah terpilih mewakili PPJ/GAPENA ke Pertemuan Sasterawan Nusantara di Jakarta, lndonesia ketika usia baharu melepasi 22 tahun. lni merupakan penyertaan sulung  saya dalam berpersatuan. Pendedahan saya ke peringkat antarabangsa ini menyebabkan saya lebih berjiwa besar dan berpandangan luas. Saya rasa rendah diri kerana dilingkungi oleh para sarjana yang memiliki ijazah Doktor Falsafah ;baik dari ASEAN mahupun melangkau hingga ke Eropah, USA dan Timur Jauh.

Saya juga bersua muka dengan penulis-penulis ternama seperti Pramoedya Ananta Toer, Achdiat K.Miharja, Putu Wijaya, W.S Rendra, H.B Jassin, Masuri SN, Ajip Roesdi, Abdullah Hussin, Arena Wati dan penulis-penulis muda lndonesia seperti Pipiet Senja, Eddy D lskandar, lwan Soekri Moenaf dan ramai lagi.

Hari-hari berikutnya saya terus "gah &istiqamah" dengan tinta atau dunia penulisan untuk sebuah perjuangan ummah dan sejagat. Saya terus "mara" dengan kalam menghasilkan  karya yang tersiar saban minggu dalam akhbar  Berita Minggu dan akhbar-akhbar lain serta majalah-majalah popular, pelajar dan sastera  dengan menggunakan pelbagai nama pena.

Namun isu-isu politik semasa, pendidikan dan sosiobudaya serta sastera  budaya kreatif menjadi minat dalam pembacaan saya. Di samping itu saya meluangkan masa untuk mengulangkaji lagi  peperiksaan STP/HSC bagi memohon kelayakan masuk ke universiti yang terhad dan terbatas ketika itu.

Pada tahun 1981, di cawangan parti kampung saya diadakan mesyuarat agung dan pemilihan semua jawatan AJK parti. Sebenarnya kampung saya, Kampung Serom 2 Hilir tidak mempunyai cawangan kerana bilangan pemastautinnya telah berkurangan dan kian pupus kerana kematian dan penghijrahan. Manakala Kampung Sungai Keladi di hujung kampung di tepian Sungai Muar, saya tidak pasti status kepartiannya.

Cuma apa yang saya tahu pada era parti Semangat 46 wujud Allahyarham Haji Saadon Jabar telah menubuhkan cawangan parti tersebut.Justeru ahli kampung saya yang minoriti ini bergabung dengan cawangan Kampung Serom Satu yang ahlinya majoriti dan dinamakan "Cawangan Serom Satu, Bahagian Ledang, Johor". Saya pun reda dan  pasrah tetapi tidaklah amarah.

Pada zaman keberadaan saya di kampung sebagai guru muda, Dato Ngah Abdul Rahman (Exco Johor) sebagai Ketua Bahagian parti.Manakala  Dato Embong Yahya (@Ngumba/ Timbalan Menteri Penerangan) sebagai timbalannya ( orang luar, khabarnya anak kelahiran Mersing Johor). Saya masih ingat betapa patriotik dan nasionalistiknya ucapan-ucapan mereka apabila membangkitkan isu -isu"Tanah Melayu, Hak Ketuanan  & Keistimewaan Melayu". Apabila terkenangkan sekarang; saya tersenyum sendirian.

Usia saya mahu berparti politik masih mentah dan hijau.Namun pada peringkat kampung juga sudah ada elemen "dipijak & memijak", kronisme dan nepotisme. Kerana saya kurang berminat dan bukan peribadi saya begitu (memijak & dipijak) dan saya lebih yakin, "mata pena lebih tajam daripada mata pedang" maka saya tidaklah terlalu serius ketika usia yang belum lagi 25 tahun.

Pada tahun 1981 (jika tidak silap saya)..saya terpanggil untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan peringkat Cawangan Serom Satu di laman surau kampung tersebut.ltupun setelah didesak oleh ibu saya berkali-kali. Dengan bersangka baik; saya pun menghadirinya dengan sekerat dua orang kampung saya. Ketika itu ketua cawangan diterajui oleh Cikgu Haji Atan (Allahyarham).

Cikgu Haji Atan guru agama yang sudah bersara adalah guru saya yang mengajar saya di sekolah rendah agama ketika saya kanak-kanak dahulu. Saya menghormatinya. Manakala setia usaha disandang oleh Cikgu Selamat Markom adik ipar Cikgu Atan ; seorang guru siswazah muda (khabarnya asal dari Kg.Parit Jawa Muar, wallahualam) yang sedang menggilap nama sebagai "Mr Mind" di cawangan tersebut. Kebanyakan AJK cawangan tersebut terdiri daripada adik -beradik, ipar duai, biras, menantu, saudara mara Cikgu Atan. Biasalah.

Apabila bab pemilihan AJK, saya tidak sangka Pak Bakar Hassan (  Allahyarham, sepupu ibu saya) telah mencalonkan nama saya sebagai ketua cawangan. Dan ada pula penyokongnya. Pak Bakar telah memberi sebab musabab dan rasionalisasi mengapa nama saya dicalonkan. Saya terkejut  (Cikgu Selamat pun mungkin terkejut) kerana saya tidak melobi; dan tidak ada hasrat memuncak dan tidak pun bersedia 100%. Pencalonan dan pemilihan itu secara angkat tangan dapatlah kita "membaca hasrat nurani" para perwakilan orang-orang kampung ketika itu. Nama saya sebagai "penulis" pun sudah diketahui oleh penduduk kampung.

Apabila tiba saat pengundian pemilihan ketua cawangan; saya dapat melihat tangan Cikgu Selamat tidak pun diangkat untuk memilih saya. Semua wakil kampung saya dan sebahagian penduduk kampung sebelah memilih /mengundi saya .Kesudahannya saya tewas dengan 3@4 (jika tidak silap) sahaja.Ada juga pengekalan dan perubahan dalam AJK baharu. 0leh kerana masih mahukan saya, nama saya dicalonkan lagi untuk jawatan Pengerusi Tetap dan tandingan saya ialah Pak Talib (biras Cikgu Atan) seorang kaki tangan JPS.

Kesudahannya, saya menang majoriti sebagai Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Serom Satu ketika usia yang muda. Biasanya "orang tua" yang memegang jawatan tersebut. Lucu kerana situasi ini terbalik. Saya pun pasrah kerana semata-mata mengenangkan ibu saya. Saya tahu kenapa dan mengapa, nama saya tidak terpilih untuk mewakili cawangan ke Perhimpunan Umno Bahagian di Tangkak. Biarlah perkara itu menjadi sejarah.

Apa yang masih saya ingat, ketika suatu seminar pendidikan tahun 1979 anjuran Biro Pendidikan UMNO bahagian, di dewan Sek.Rendah Abdullah, Sungai Mati, ahli panel dan perucap utama ialah Datuk Murad Mohd.Nor Ketua Pengarah KPM (Allahyarham Tan Sri). Entah kerana dorongan intelektualisme, maka saya telah memberanikan diri bangun bertanya dan berhujah serta memberi pandangan kepada Datuk Murad dan para hadirin berhubung isu-isu pendidikan semasa. Para tetamu/peserta kebanyakannya golongan guru dalam daerah tersebut dan merupakan "orang-orang kuat"  UMNO. Dan para tetamu  tersebut saling berpandangan ke arah saya.

Berbalik peristiwa semasa perhimpunan agung peringkat bahagian, di sekolah tempat saya mengajar., Cikgu Abu Bakar Affandi yang ketika itu Ketua Pemuda Umno mengucapkan tahniah kepada saya kerana nama saya ada tersenarai  dalam buku cenderamata program Umno Bahagian Ledang sebagai Pengerusi Tetap cawangan.

Selama ini beliau menjangkakan saya berkawan dengan sahabat-sahabat yang "condong ke kiri" di sekolah itu (ada yang ahli PSRM, DAP,PAS) tidak berminat dengan Umno. Sebenarnya Cikgu Abu Bakar tidak mengetahui situasi saya yang tinggal bersama ibu bapa saya. Begitu juga Cikgu Ngarisan rakan lama sekolah saya juga mengucapkan tahniah dan rasa gembira kerana berasa  seronok saya seperti "sekapal" dengan mereka. Hanya Allah yang Maha Mengetahui gelora hati saya ketika itu.

Namun jauh di sudut hati ,saya mahu belajar lebih tinggi mencapai sebagai seorang sarjana (scholar) tidak pernah terpadam. Allah jua yang maha menentukan; apabila pada awal 1980-an saya telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di universiti tempatan. Sesuatu yang "hebat dan membanggakan" ketika itu. Bukan mudah tetapi tidak mustahil jika kita ada keazaman dan kemahuan. Saya dengan cara "terhormat" menulis surat rasmi perlepasan/perletakan jawatan saya kepada Cikgu Atan.

Hari-hari dan tahun-tahun berikutnya apabila UMNO diharamkan dan diganti dengan "UMNO BAHARU" saya tidak pernah pun memperbaharui keahlian saya. Apatah lagi ketika itu penjawat awam kumpulan A dilarang memegang sebarang jawatan dalam politik kepartian. lbu saya memberitahu saya "nama saya telah dihilangkan" tetapi saya tidaklah memberitahu bahawa saya telah menulis dan menyerahkan surat rasmi kepada Cikgu Atan.
s

Oleh kerana saya telah berhijrah ke negeri Selangor dan telah berumahtangga (syukur majlis kenduri perkahwinan saya secara gotong-royong mendapat kerjasama yang amat baik oleh semua orang kampung termasuk Cikgu Atan)  dan telah melakar suatu perjalanan yang panjang dalam kehidupan maka saya dapat merenung kembali (refleksi) kisah-kisah masa silam itu.

Yang penting ibu bapa saya tidaklah risau lagi persoalan 'Saya dan UMNO'. Dan termasuklah saya tidak mengecilkan hati guru saya Cikgu Atan yang "seronok" menyebut nama saya kerana dalam sebuah puisi panjang saya (PEKAN SEROM MASIH KUINGAT LAGI) yang tersiar dalam majalah MASTIKA, 1994 ,saya ada membariskan namanya sebagai beberapa nama idola "orang tua" di kampung saya yang banyak berjasa dan tersiarnya puisi tersebut terus  menjadi "hebohan" para pengunjung tetap (sudah tentulah golongan guru) di 'Kedai Buku Usaha Kita' milik Pak Hashim (Allahyarham) di pekan Serom Tiga, Muar.

Al- Fatihah kepada mereka yang telah kembali ke rahmatullah.Amin ya Rabb..... (by TB@DRH).












06 Ogos 2017

POLITIK MALAYSIA KINI

Masa Silam, Taubat & Masa Depan


SENARI0  politik Malaysia masa kini kelihatan pelbagai wajah. lsu mengorek,mengungkit & mendedah (3M) sudah tidak asing lagi. Bahkan  parasit "3M" ini  sudah tidak mengendahkan norma-norma kebiasaan dan kesusilaan peradaban lslam dan adat Melayu. TB tidak berminat mengulas panjang.Biarlah blogger lain yang mengambil tanggung jawab tersebut.

lzinkan TB menelusuri secebis kisah sejarah lslam (sejarah umat lslam). Siapakah Saidina Umar al-, al-Khatab R.A, Khalid al-Walid sebelum lslam?Apakah jasa mereka sebelum lslam? Apakah kekuatan dan kelemahan mereka? Begitu juga Saidina Usman dan Saidina Ali dan yang lain-lainnya.

Walhal Saidina Umar R,A yang hebat itu pun mati dibunuh sewaktu mengimami solat subuh oleh Abu Lu' Lu' .Dan apakah hikmatnya perkembangan syiar lslam selepas itu? Dan apakah perlu umat lslam mengungkit masa silam ketika "gerhana" kehidupan mereka?

Justeru manusia yang hebat ialah manusia yang BERTAUBAT dan mahu memperbetulkan segala kesilapan, dosa-dosa, kecuaian, kelemahan dan kekurangan masa lalu dan bersedia berkorban demi membina masa hadapan dengan penuh kebaikan, kejujuran,keikhlasan dan penambahbaikan. Allah maha pengampun dan maha penerima taubat.

Maka jauhilah daripada bersangka buruk, ungkitan, umpatan, cercaan, mazmumah dan perbuatan mengaibkan  lantaran berbeza pendapat dan pandangan. Apatah lagi lebih buruk andainya segala-galanya kerana tingkah laku jelek berebut kuasa dan gilakan harta duniawi ini. Bak pepatah Melayu, "Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan", "Buang yang keruh, ambil yang jernih", "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh" dan sebagainya. (TB).

01 Ogos 2017

SEBELUM AKTA PENDIDIKAN 1996

AKTA PENDIDIKAN telah dipinda beberapa kali selepas 1996 semasa Menteri Pendidikan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Dalam Akta Pendidikan 1996 lebih banyak memfokuskan untuk menjadikan Malaysia sebagai "Hub Pendidikan" selaras dengan konsep "langit terbuka" dalam bidang pendidikan pada era ICT ini.

TB hanya mahu memperkatakan soal pengiktirafan ijazah dalam negara dan luar negara sebelum Akta Pendidikan 1996 diperkenalkan. Sebagai contoh,  semasa UPM sebuah universiti ternama dalam negara ,mula mengadakan program B.Ed./ Bacelor Pendidikan yang bertaraf kepujian (Sarjana Muda Pendidikan) mulai awal 1980-an sehingga hampir penghujung 1980-an pihak universiti dan mahasiswanya belum mendapat kepastian bertulis secara rasmi sama ada program itu diiktiraf atau tidak oleh JPA.

lni memandangkan program tersebut satu-satu program baharu atau program sulung dalam negara. Selama ini, universiti negara kita telah terbiasa dengan program ijazah asas "B.A (Hons) atau B.Sc (Hons). Bahagian/Unit Pengiktirafan ijazah JPA sentiasa sedia membantu dan memberi maklumat dan perakuan berhubung pengiktirafan ijazah asas tersebut.

Setelah pihak UPM memohon dan menghantar segala kurikulum dan segala perakuan yang membuktikan kejayaan tersebut maka para graduan daripada FPP UPM yang berkonvo tahun 1985/86/87 telah amat selesa dan gembira apabila mendapat kesahihan program Bacelor Pendidikan keluaran UPM diiktiraf setara/setaraf dengan ijazah kepujian. Selepas itu segala-galanya menjadi rentetan sejarah sehingga kini.

Manakala lepasan ijazah pertama universiti-universiti luar negara seperti di lndonesia, lndia, negara-negara komenwealth, Eropah dan USA tidak menjadi masalah seandainya mereka memperoleh daripada "universiti-universiti negeri" (state/ govt. universities). Namun ada kes, tertakluk kepada kursus-kursus yang telah disenaraikan iktiraf setara oleh JPA; ini termasuk tidak semua universiti negeri di lndonesia, lndia, Taiwan, Mesir atau di negara-negara Teluk Arab diktiraf.

Program ijazah perubatan mendapat pengiktirafan; bergantung universiti yang tersenarai sahaja. Negara-negara blok komunis seperti China, Russia dll. tidak ada dalam senarai pengiktirafan sebelum Akta Pendidikan (AP)1996. Kini pasca  AP 1996 telah berubah mengikut arus politik kepemimpinan.

Bagi ijazah Master (Sarjana) dan Doctoral (Doktor Falsafah/PhD dll yang setara) sebelum AP 1996, pihak JPA menyatakan.." mana-mana ijazah pertama yang diiktiraf untuk lantikan perkhidmatan awam dalam kerajaan sama ada dalam negara atau luar negara maka ijazah-ijazah berikut yang diperoleh (Master atau PhD) sama ada dalam negara atau luar negara maka JPA mengiktirafkan dan menerima pakai kelulusan/kelayakan akademik tersebut.

KINI selepas Akta Pendidikan 1996 khususnya selepas tahun 2000 apabila LAN berubah menjadi MQA dsb.yang mana pendidikan telah dijadikan "komoditi bisnes" maka senario telah banyak berubah. Yang jelas, kelayakan masuk belajar di mana-mana universiti (IPTA/IPTS) termasuk Open University (di Malaysia) telah tidak begitu ketat..

Sesiapapun kini boleh belajar di universiti; asalkan ada wang dan cita-cita. Soal kebijaksanaan, kepandaian dan kecerdikan bukan soal utama lagi (kecuali kes-kes terpilih yang tertentu). Begitu juga soal pengiktirafan dan nlai tambah yang banyak bergantung kepada iklim politik semasa dan faktor-faktor yang tidak kita duga.Bagi yang "rajin" banyak peluang luas terbentang dan bagi yang "malas" banyak peluang akan menghilang!  (TB).

27 Julai 2017

DIALOG RAKYAT

BERIKUT blogger petik dan kutip dialog antara dua sahabat 'senior citizen' antara CHENG dan  HUSSIN untuk renungan pembaca semua:

CHENG:
Saya tidak setujulah sebagai rakyat Malaysia dan warganegara kita ada kategori BUMIPUTERA dan BUKAN BUMIPUTERA..Dalam PERLEMBAGAAN pula disebut BUMIPUTERA (Melayu) ada hak-hak istimewa. Saya rasa, sebagai bukan bumiputera saya seperti '2nd Class Citizen'....

HUSSIN:
1. Saudara...realitinya kebanyakan pemimpin & rakyat tidak hormati dan tidak patuhi apa yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA. Contohnya seperti dalam PASAL 152 kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Saudara pun sedia maklum.Tidaklah perlu saya perincikan.

2. Sudahkah saudara sendiri membaca buku PERLEMBAGAAN?Saya bersyukur, kerana semasa di universiti awal 1980-an  "PERLEMBAGAAN MALAYSIA" dijadikan subjek kursus teras (wajib).Kami semua belajar dan faham.

3. Saya dan Sdr adalah rakyat Malaysia. Sdr keturunan Cina Malaysia dan saya keturunan Melayu jati.Saya jadi guru. Sdr pun jadi guru.Kita sama-sama "cari makan" dapat rezeki. Sdr jadi Guru Besar. Saya tidak.Saya guru biasa lepasan maktab. Saya ambil STP/HSC dua kali. Dan ambil STPM satu kali baharulah dapat masuk belajar di universiti dengan sudah ada pengalaman sedia ada dalam kerjaya selama 5 tahun.ltupun setelah melalui proses temu duga yang ketat dan banyak persaingan; permintaan melebihi daripada penawaran. Kononnya saya BUMIPUTERA. Apa yang saya dapat? Bahkan rakan-rakan kuliah saya seperti Paradeep Kaur, Sauh AK Bina, Gopal, Lim Ah Ling, Martin Andrew , Kamaruzaman dan lain-lain; kami semua dapat apa yang kawan-kawan Melayu dan bukan Melayu dapat. Sebenarnya saya sama juga seperti Sdr.

4.Anak saya cemerlang SPM 10A pun tidak dapat biasiswa/dermasiswa. Cuma dapat pinjaman PTPTN seperti sama juga dengan anak Tan Ah Seng, Ramasamy, Gilong Linggau dll.Anak Chua Beng Hong lebih beruntung dapat biasiswa Yayasan Kuok , anak Kim Peh dapat biasiswa Lee Foundation, dan ada yang dapat biasiswa Kolej TAR dll. Apa yang saya dan anak saya dapat atas nama 'title' BUMIPUTERA? Semuanya seperti gimik dan politiking orang-orang yang berkepentingan dalam politik kepartian.

5. Kenyataannya  kita adalah rakyat Malaysia, warganegara Malaysia semuanya sama. Yang ada dan berbeza ialah RAJIN atau MALAS. Orang Cina Malaysia rajin maka kayalah mereka. Orang lndia Malaysia malas, miskinlah mereka. Orang Melayu atau bumiputera "tidur" rugilah mereka.

6. Secara peribadi saya tidak faham apa itu "2nd Class Citizen"? Sebenarnya, saya tidak pernah anggap Sdr  2nd C.C. lni mungkin masalah andaian atau persepsi sahaja.Atau ini mungkin masalah psikologi Sdr kerana terpengaruh dengan persekitaran. Adakah saya 3rd Class Citizen kerana saya tidak dapat apa-apa pun KEISTIMEWAAN seperti yang Sdr kata dalam PERLEMBAGAAN?

7.Semasa saya berkhidmat di salah sebuah maktab perguruan di Malaysia hampir 99.05% staf pensyarahnya beragama lslam. Tapi "boss" (Pengarah) saya melantik Ketua Jabatan saya keturunan lndia (hindu) walaupun ada orang lain (staf) lain yang setara atau yang layak. Akhirnya terbukti, dia banyak tidak tahu buat kerja yang berkaitan. Sebab apa? Semuanya kerana semangat tolak ansur & toleransi.

8. Semasa Perlembagaan Persekutuan dirangka dan dibuat sebelum kemerdekaan negara 1957, mereka yang bukan rakyat PTM (baca: Persekutuan Tanah Melayu) diberi syarat kelonggaran 'win-win' & bersedia bekerjasama. Sebagai balasan mereka yang bukan warganegara (bukan Melayu) ketika itu diberi JUS SOLI automatik menjadi warganegara PTM kerana semua bersama-sama mendokong prinsip dan menerima pakai apa yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN. Oleh itu tidak wajar generasi sekarang yang buta sejarah mempertikaikan perlembagaan yang telah dipersetujui bersama.

BERSAMBUNG

(disesuaikan kembali untuk kefahaman pembaca tanpa prejudis. Nama-nama individu & agensi tidak ada kaitan pun kepada sesiapa pun; baik yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.Jika ada persamaan hanya suatu kebetulan sahaja. (TB)

24 Julai 2017

Puisi: POLITIKUS BAHASA

politikus bahasa
seloka bicara
cinta sejiwa
sehati kasihnya

politikus bahasa
gelanggang suara
semangat bara
di pentas sandiwara

politikus bahasa
wawasan sedunia
mengecil jiwa
sesama senegara

politikus bahasa
siapa sangka
tidak upaya
yakin bahasanya

politikus bahasa
siapa sangka
anak ijazah
luar negara

politikus bahasa
pendidikan terbuka
berbondong seantero
menghilang kata

politikus bahasa
cermin bermuka
bumi terasing
tanah air cinta.


RAJIEE HADI
BBM, Bangi SDE.
24 Julai 2017.

Puisi: WAKTU

waktu mendatang
begitu sempit
mengalir rindu
mencair hasrat
menggores hati
selaut kalbu

waktu membendung
gelombang rasa
ombak fikiran
taufan gejolak
membatu pantai
membeku waktu

waktu membelenggu
mencair semangat
membisu kalimat
menyisir badai
menyihir hujan
tidak terus kaku.


RAJIEE HADI
Bandar Bukit Mahkota, Bangi.
24 Julai 2017.

23 Julai 2017

PUISI : SUKMA

masih lagikah
sepi memburu
membelah sukma
merungkai sanubari

masih lagikah
semarak kata
membara makna
membisik kalbu

masih lagikah
madah berbunga
melayukan frasa
menggoncang wacana

masih lagikah
setiap kalimat
setiap hasrat
menyayat kudrat?

RAJIEE HADI
Anggerik USIM,
23 Julai 2017.


21 Julai 2017

PUISI : MAHATHIR

mahathir, berbahagia tun
memoir buku hidupmu
kuhadiahkan ibuku
lapan puluh lima usia
masih tekun menatapi
membaca segala inti

namun tidak terlalu
aku terhutang budi
rakyat senegaraku
tongkat sakti katamu
tidak pun kumiliki
kerana aku mandiri

kutimba ilmu puisi
wang keringat sakuku
tanpa subsidi bantu
menjadi begitu manusiawi
kubiaya sendiri takdirku
tiada dendam mendasari

mahathir, aku pemuisi
mencatat segala isi
pro dan kontradiksi
ketika hari-harimu itu
tanpa aku peduli
dan peduli bererti

mahathir, usah ditanya
saatku di luar negeri
merajukkah diri ini
pulangnya sendiri lagi
di jalanan demonstrasi
bahasaku diracuni

kecewakah diri ini
segala polisi lalu
membatasi kalbu waktu
ketika julang terajumu
masih kau kusanjungi
tiada kesumat melingkari

kini tiada apa
seperti dirimu
kita masih berjuang
kau masih hebat
masih mahu berdebat
cuma aku disekat

mahathir, negarawan
mantan menteri perdana
tabir condong petang
menuruni basah hujan
hampiri senja gemawan
rahmat sekalian alam
pohon kepada-Mu Tuhan.

RAJIEE HADI,
Bangi, Kajang, SDE.
15 Julai 2017.

16 Julai 2017

Puisi: MAKNA

seribu warna
seribu makna
semantik kata
alam semesta

seribu suasa
seribu petanda
berlian permata
ukuran dunia

seribu madah
seribu wajah
mainan asmara
pemain opera

seribu jingga
seribu telaga
kamil insani
fatwa pujangga

seribu tahun
seribu janji
gurindam hayat
terpahat sejarah
.

RAJIEE HADI,
Bangi, SDE.
23 Syawal 1438H.


15 Julai 2017

puisi: DUSTA

ketika reda mendakap
aku sedia menerima
hakikat kudrat llahi
tidak pernah palsu
menghampiri kehidupan ini

ketika rela mengharungi
bagai percikan bara
kaupun tidak peduli
bicara masa lalu
kerana dusta jiwamu

bukan tidak simpati
bukan tidak empati
kitaran melingkari
kau dendangkan lagi
menghantui resahmu

bukan sekejam itu
bukan aib dipinta
walau getir sengsara
pernah kau lafazkan
kini hanya dusta

lembut tutur kata
memutar lidah sejarah
sesiapapun terluka
menjadi kian parah
doa dalam pasrah!



RAJIEE HADI,
Kamar Puisi BBM, Bangi.
15 Julai 2017.


10 Julai 2017

puisi: FARAH

Farah ibu muda
bergaya cantik
kereta mewah
suami insiyur
luar negeri

Farah bidadari
persis pari-pari
tudung terkini
kebaya nenawan
gemerlapan mimpi

Farah berprestij
berjenama aksesori
perbukitan residensi
kehidupan ilusi
dari desa ke kota

Farah pemegang
kilauan kartu emas
hospitaliti permata hati
promosi populariti
kebanggaan seleberiti

Farah ibu muda
misteri empati
putera terlantar
rawatan segera
banyak bicara

Farah ibu murung
mendung selubung
muhasabah dinihari
duka luka sanubari
syafakallah buat anakmu.


RAJIEE HADI,
BSP, Bangi.
9 Julai 2017.

09 Julai 2017

BERTUAHNYA INDON.....

DATANG ke Malaysia peluang pekerjaan & rezeki bertaburan..wow....Seorang lndon..yang ditemui berkata, saya cuma bekerja potong leher Pak..paling kurang boleh dapat RM2+ribu sebulan.ltu belum lagi pelbagai pekerjaan lain. Lumayan Pak!
Saya terkejut dan terkedu mendalam. Potong leher? Ya..sungguh! Saya terkedu lagi. Tanpa bertanya lanjut si lndon itu menjelaskan...Sebenarnya Pak..Saya mengambil upah daripada seorang taukeh sebuah restoran...sembelih ayam..satu ekor upahnya RM1.00..bayangkan 50-100 ekor atau lebih dapat disembelih satu hari. ltu baharu satu taukeh restoran Pak..belum yang lain-lain.
Wow,,, lumayan....Bersih..tanpa dikutip apa-apa cukai pun dari LHDN...ltu satu contoh.
Lumayan3 Malaysia ini.
Selamat menuju negara maju wahai rakyat Malaysiaku! (oleh TB)

08 Julai 2017

puisi: PENDATANG

terima kasih Malaysia
aku datang lagi
dari gua lara
dari gunung korupsi
dari puncak asnaf
dari kolong hanyir
dalam jiwa & raga

terima kasih Malaysia
dalam amanmu
ada taufan gelora
namun aku sebati
walau namaku tanti
mirza, maung atau pati
senangnya di hati

terima kasih Malaysia
serikandimu pasrah
perwiramu kalah
aku datang lagi
tanpa gentar
kerana dalam tidur
kami mendatangi
tidak mahu
pulang lagi!


RAJIEE HADI,
Bukit Mahkota, Bangi.
25 Jun 2017.

15 Jun 2017

PUISI : MONOLOG DIRI

kematian itu pasti
pinta kepada-Mu llahi
dalam aku sendiri
sepi pagi di rumah-Mu
biarlah pemergianku
dalam tenang begini

tidak siapapun
mahu pergi jauh
buat selamanya
kerana seperti kalian
perjuanganku berbaki
belum selesai lagi

bilakah titik temu
ke garisan qadar
ketika dinihari itu
di putar mimpi-mimpi
medan dan pentas
datang dan pergi

suara bisikan itu
di rumah suci ini
bagai bujukan syurgawi
yang pernah kurindui
namun doaku pasrah
aku mahu hidup
seribu tahun lagi!

RAJIEE HADI
Masjid Al-Mustaqim, BSP, Bangi.
14 Jun 2017.

PUISI : DETIK WAKTU

bilakah waktu
akan berangkat
meninggalkan kemanisan
melupakan kepahitan
kehidupan duniawi
di hadapan gua
pedih gelita
kilauan purnama
tidak pasti

bilakah waktu
akan berangkat
di hadapan pulau
getir samudera
kita ke sana nanti
titian mustaqim
menghitung amal
mustajab ibadah
saratkah bekalan

bilakah waktu
akan berangkat
kita tidak pasti
beduk bergema lagi
azan masih kumandang
kokokan terus berbunyi
peluit terus dinanti
di landasan kian sepi
kita terus menanti...

RAJIEE HADI,
Bangi, SDE.
12 JUN 2017.

02 Jun 2017

Puisi: AKU JUA

luka itu bara
bara itu nestapa
nestapa itu sengsara
sengsara itu derita
derita itu jiwa
jiwa itu aku jua

resah itu gundah
gundah itu gelisah
gelisah itu panah
panah itu lara
lara itu sukma
sukma itu aku jua

istiqamah itu hikmah
hikmah itu mawaddah
mawaddah itu batini
batini itu kalbu
kalbu itu syurgawi
syurgawi itu aku jua.


RAJIEE HADI,
Bandar Baharu Nilai - Bandar Bukit Mahkota,
5 Jun 2017.

07 Mei 2017

TIRAI MALAM






Judul Buku: TIRAI MALAM
Genre: Antologi Cerpen Perseorangan
Tahun Terbitan: 1984 (Cetakan Pertama)
Penerbit: Penerbitan Tra-Tra, Kuala Lumpur.
Hak Cipta: Rajiee Hadi
ISBN: 967-939-060-8
Harga: SM 4.00 S&S: RM 4.50
Muka Surat: 82 Halaman

Antologi Cerpen TIRAI MALAM memuatkan dua belas (12) buah cerpen pilihan karya RAJIEE HADI pada dekad 1970-an dan awal 1980-an yang mengungkapkan persoalan kasih sayang, kerinduan, tanggung jawab, kembara anak muda dan semangat perjuangan dalam  cita-cita dan kerjaya. Pengarang dengan olahan inspirasi telah menzahirkan aspirasinya demi masa hadapan yang penuh harapan. Pada keseluruhannya cerpen yang termuat dalam antologi ini  pernah disiarkan dalam akhbar/majalah arus perdana tanah air seperti Berita Harian/Berita Minggu, Utusan Malaysia,Watan, Dewi, Penghibur, Jelita, Selekta, Aktual & URTV,   

PENANTIAN: HARMONI

LEGENDA HIT: ALLEYCATS
















04 Mei 2017

CINTA ARAFAH

CINTA ARAFAH ( Penerbit Dwiwangsa Publications & Distributors, cetakan pertama2003, cetakan kedua 2010) sebuah kumpulan puisi pilihan penyair Rajiee Hadi yang mengandung 101 buah koleksi puisi sekitar 1980-2002 yang memanipulasi bait-bait kata yang puitis dan prosaik bagi melakarkan sebuah perjuangan  antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam dan manusia dengan Tuhan (al-Khaliq).Penyair merakamkan puisi-puisi yang dihasilkan dedikasi kepada para pejuang yang menegakkan keadilan dan kemanusiaan sejagat khususnya takzim kasih buat insan tabah yang mengerti dan memahami hati dan jiwa penyair; baik dalam belai mahupun dalam badai.Rata-ratanya puisi yang termuat telah disiarkan dalam majalah-majalah dan akhbar-akhbar terkemuka tanah air seperti Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Al lslam, Mastika,Berita Minggu,Mingguan Malaysia dan lain-lain lagi termasuk Fikiran Rakyat (lndonesia) dan Nino Bagus (Bandung, lndonesia). Dengan tinta penyair mencipta idealismenya melalui karya-karyanya  dengan nawaitu kerana Rabbulamin, estetika seni dan perjuangan kemanusiaan sejagat diharapkan usaha ini memperoleh keberkatan dan nikmat Allah S.W.T jua.




















03 Mei 2017

puisi: DUKA MEI

bukan sahaja mendung
gerhana tanah airku
berbayang merah pelangi
di ufuk fajar mentari duka
bumi yang kian merekah
merintih hari dilewati

bukan sahaja mendung
peta berselubung suram
hitam sejarah tercatat
tanah semenanjung terpalit
darah,nanah & air mata
yang kian dilupa & alpa

bukan sahaja mendung
kampung berputar peristiwa
tanah kelahiran tercinta
ladang konglomerat di bumi interlok
di situ kita membesar minda
tanpa prasangka setia

bukan sahaja mendung
watan agenda pascamerdeka
saling berebut harta & kuasa
tanpa peduli marhaen sengsara
di kota desa kini dalam bara
hanya di rimbakah tiada sengketa

bukan sahaja mendung
bahkan aku bagaikan jambatan
buatmu sampai ke seberang
begitu mudah engkau melupai
tanah,air,pepohon yang menaungi
duka mei mimpi tidak kesampaian!


RAJIEE HADI,
Putra Mahkota, Bangi.
3 Mei 2017.


26 April 2017

DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA






Judul Buku : DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA
Genre          : Antologi Puisi Patriotisme (Malay Poetry)
Terbitan       : Penerbitan Awan Prima.
Cetakan 1    : 2015
Tebal/Hlmn.: 154 Muka Surat.
Karya           : RAJIEE HADI
ISBN            : 978-967-13275-1-7
Harga           : SM: RM25.00/ S&S: RM28.00/ NBDS:BD11.00/S'PURA: SD11.00.

".....perjalanan semusim
bermusim dan bermukim
di celahan mendung
ada kesakitan
yang tidak diundang
namun ada keriangan
yang terus mendatang....."
         (Rajiee Hadi)





















22 April 2017

Puisi: KUASA

yang belum berkuasa
merintih hiba di desa

yang semasa berkuasa
sibuk agenda ke sini sana

yang tiada kuasa hanya
terdaya dengan caranya

yang sudah hilang kuasa
hanya sepi tatkala bersara

yang gila kuasa
iblis terus berseloka
sentiasa berbisik merajalela!



DR HAJI RAJIEE HADI,
Nilai, Malaysia.
20 April 2017.