Salam Perjuangan

30 Julai 2012

GENGSTER 'CELOP' ialah GENGSTER CELUP

TB bukan mahu ulas aspek pengarahan,fotografi,skrip dan apa jua berkaitan dengan sinemagrafi filem yang sedang dalam penggambaran (khabarnya bakal ditayangkan pada Hari Raya Haji akan datang)yang diarahkan oleh Ahmad ldham ini.

Apa yang TB tidak boleh maafkan kali ini jika Ahmad ldham terus melakukan kesalahan ejaan Bahasa Melayu (BM), bahasa kebangsaan kita seperti mana tajuk filem terdahulu yang berjudul 'IMPAK MAKSIMA' yang setatutnya betul ejaan BM ialah 'lmpak Maksimum' . Sebenarnya ejaan yang betul ialah CELUP (Kamus Dewan DBP,2010:259) bukan CELOP. Oleh itu ejaan betul ialah GENGSTER CELUP.


Apakah Dr Awang Sariyan yang kini Ketua Pengarah DBP mahu melakukan audit bahasa ke atas perkara-perkara kesilapan serius seperti ini? Kita tidak mahu apa yang terjadi dengan kesilapan 'otomobil' yang sebenarnya 'automobil' dalam PROTON dahulu dan 'Bandar Raya' bukan 'Bandaraya'  seperti DBKL berterusan menjadi 'barah bahasa' kerana kelalaian pihak yang berkewajipan. 'Bahasa Jiwa Bangsa' (TB)

PUISI IBU PESARA

Ada ibu tua keturunan Tionghua
kutemui di hujung sebuah kompleks
bersantai di pusat membeli-belah ternama
memangku bayi comel cucu sulung anak kesayangan
dengan troli bayi di sisi tersisip
botol dan segala kelengkapan

Hari ini pesara mendapat pencen bulanan ujarnya
menemani suami di sisi bekas guru besar
kian hari kian mengecil hidup dunianya
sambil menanti waktu mendatang detik berlalu
kehidupan demi kehidupan diputarnya jam di tangan
masa yang pergi tidak kembali lagi.

RAJIEE HADI
Bandar Raya Shah Alam, SDE.
20 Julai 2012.


28 Julai 2012

MOHD. KHAIRUDDIN NORDIN : ALFATIHAH


“BEBERAPA hari lalu, ayah sering mendengar lagu nasyid berunsurkan ingatan terhadap kematian dari telefon bimbitnya. Tak sangka, ia petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Ilyas Farhad Mohd Khairudin, 19, anak kepada Mohd Khairudin Nordin, 55, yang mayatnya ditemui dalam keadaan terduduk di dalam tandas Masjid Kempas, Lati, kelmarin.

Mohd Khairudin yang juga seorang guru di Sekolah Arab Maahad Muhammadi Rantau Panjang, Banggol Kulim, di sini, dipercayai meninggal dunia sejak dua hari lalu akibat serangan jantung dan penyakit darah tinggi. 
Mayat Mohd Khairudin ditemui pada jam 2.50 petang selepas seorang bilal masjid curiga dengan kehadiran lalat dan bau busuk dari sebuah tandas dan cuba membuka pintu tandas berkenaan, namun ia berkunci dari dalam sebelum memaklumkannya kepada Setiausaha Masjid Kempas dan polis.

Pintu tandas akhirnya dapat dibuka hasil bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas yang bertindak memecahkan pintu tandas yang diselak menggunakan kunci kereta mangsa.

Mayat Mohd Khairudin dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol, Penambang, di sini.(sumber:HM,28/07/12)

27 Julai 2012

OLIMPIK LONDON

Hari pertama Sukan Olimpik London semalam dicemari dengan insiden memalukan apabila pasukan bola sepak wanita Korea Utara enggan beraksi selepas penganjur tersalah memaparkan bendera negara mereka sebelum perlawanan.

Britain, yang berbelanja besar untuk temasya kali ini memulakan saingan bola sepak dengan kemenangan 1-0 ke atas New Zealand dalam saingan wanita yang bermula awal sebelum majlis pembukaan secara rasmi Sukan Olimpik, London hari ini.

Amerika Syarikat menewaskan Perancis 4-2 dan Jepun bangkit untuk menang 2-1 ke atas Kanada.
Bagaimanapun perlawanan melibatkan Korea Utara menentang Colombia terganggu selepas skrin gergasi Stadium Glasgow di Hampden Park memaparkan bendera Korea Selatan hingga mengundang kemarahan di kalangan pemain.

Perlawanan yang dijadual berlangsung pada pukul 7.45 malam hanya bermula pada 8.50 malam selepas pihak penganjur memohon maaf terhadap kesilapan memalukan itu kepada pasukan Korea Utara.
“Hari ini (semalam) ketika perlawanan bola sepak wanita di Hampden Park, bendera Korea Selatan ditayangkan di skrin besar dan bukannya bendera Korea Utara.

“Secara jelas ia adalah kesilapan, kami akan meminta maaf kepada pasukan serta Majlis Olimpik Kebangsaan dan kami akan pastikan insiden sebegini tidak akan berulang kembali," kata kenyataan penganjur Sukan Olimpik London 2012.

Insiden tersebut sudah tentu mengundang mimpi ngeri pada temasya yang berlangsung selama 19 hari terutama apabila kedua negara Korea Selatan dan Utara masih terlibat dalam peperangan.
“Ya, sudah tentu kami marah kerana pemain kami diperkenalkan dengan bendera Korea Selatan sesuatu yang akan memberi kesan besar kepada kami.

“Walaupun menang perlawanan namun ia tidak dapat mengganti apa yang telah berlaku. Ini adalah sesuatu yang berbeza dan kami harap perkara sebegini tidak akan berlaku pada perlawanan akan datang," kata jurulatih Korea Utara, Sin Ui-Gun.

Namun bukan itu sahaja yang berlaku. Pada Rabu lalu pasukan Britain menghantar emel yang merujuk pasukan bola sepak wanita itu sebagai ‘England’.

Selain itu pihak penganjur menawarkan untuk memulangkan bayaran balik harga tiket yang dibeli peminat sukan terjun yang sukar untuk melihat disebabkan bentuk binaan Pusat Akuatik. Sumber:UM,27/7/12)

SOSILAWATI : MENANTI SI PEMBUNUH DIGANTUNG SAMPAI MATI

MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam sehingga esok, ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu pendengaran rayuan empat tertuduh dalam kes itu bagi mengetepikan keputusan hakim bicara membatalkan sapina yang telah dikeluarkan terhadap tiga timbalan pendakwa raya untuk menjadi saksi pembelaan pada prosiding tersebut.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Balia Yusof Wahi dan Datuk Aziah Ali berpuas hati jika penangguhan tidak dibenarkan, ia dikhuatiri menjurus kepada perbicaraan yang tidak adil.

Terdahulu, panel tersebut menolak bantahan awal pihak pendakwaan yang memohon agar notis usul bagi penangguhan itu diketepikan.(sumber:UM,27/07/12)

21 Julai 2012

ADIPUTRA MOHAMAD

WALAUPUN sudah lebih 10 tahun berlalu tetapi TB masih ingat manusia yang bernama Adiputra bin Mohamad.Suatu hari pada bulan Ramadan, TB menemuinya berwajah sugul dan kesedihan di sebuah pusat membeli-belah di Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan.Sebelum itu TB kagum sebagai anak Melayu TB berbangga melihat kejayaan Adiputra sebagai anak muda yang baru lulus graduan perakaunan UPM (itu menurut katanya, wallahualam)tetapi ada potensi berjaya dalam perniagaan. TB memberi motivasi kerana berbangga kerana ketika itu beliau adalah satu-satunya anak Melayu yang berjaya membuka kedai barangan serba aneka dalam Kompleks Diamond bangi Utama Persiaran Bangi.

Selang beberapa bulan Adiputra menapak di dalam kompleks pusat membeli-belah itu dengan keupayaan membayar sewa ribuan ringgit.TB memantau dari jauh melihatkan kejayaan anak muda ini.Dan sehinggalah dipendekkan cerita TB tersua Adiputra dalam keadaan sugul kerana ceritanya beliau menghadapi masalah dalam bisnes kerana ada persaingan dan rasa cemburu dan menghdapi kekangan kewangan untuk mengambil barangan dari kargo di Pelabuhan Kelang yang baru tiba dari China.

Begitulah sehingga beliau meraih simpati dan empati daripada TB hingga membuka hati lembut TB untuk membantu dan meringankan bebannya.Tidak disangka, Adiputra mencari TB hingga ke rumah kerana tertekan.Dia berterus terang mahu meminjam RM10ribu daripada TB. Dia yang berkata cuma untuk jangka tempoh 6 bulan sahaja. Dia yang berkata akan memberi sedikit saguhati atau imbuhan setiap bulan selama tempoh 6 bulan (hakikatnya cuma 3 bulan sahaja TB perolehi, kemudian diberikan cek-cek tendang). Dia yang berkata bersedia menyediakan surat perjanjian persendirian sekadar makluman (sayangnya surat perjanjian itu hilang entah ke mana).

Selepas 3-6 bulan dan seterusnya anak muda bernama Adiputra ini terus menghilang.TB tahu ketika itu dia sudah berkereta mewah dan punya isteri. Dia terus menutupkan perniagaannya dengan meninggalkan nama 'busuk' (menurut cerita para peniaga di situ). Dari bulan ke bulan tahun ke tahun akhirnya TB dapat mengesaninya. lbu bapa mertuanya tinggal di Taman Broleh Batu Pahat,Johor. Bapanya dan keluarganya pula bermaustautin di Kampung Sungai Kajang, Tanjung Karang, Selangor.Semasa TB dapat bertemu dengannya (bersusah payah mencari dan bertemu di rumah keluarga mertuanya pada bulan Ramadan juga) 9 tahun yang lalu. TB dengan santun berbahasa dan dia berjanji di hadapan ibu mertuanya dan,isterinya yang ketika itu telah memperoleh seorang anak.

Sehingga kini Ramadan 1433 Hijrah tahun 2012 TB tidak mendapat hak kembali wang TB itu. Bukan TB mahu menceritakan soal peribadi dalam blog ini tetapi TB mahu kisah TB tertipu ini tidak terjadi kepada insan lain. Apapun TB insaf semuanya ujian Allah SWT walaupun wang pada masa itu TB perlukan untuk perbelanjaan dan pembiayaan pelajaran anak-anak TB.Kepada Adiputra, walaupun di dunia anda berjaya 'menghilangkan diri' tetapi di padang Masyar kelak anda sendiri tahu jawapannya. Selagi anda lslam dan beriman anda tahu natijahnya. (TB)

Selamat Menyambut Ramadan 1433 Hijrah

TB ucapkan kepada semua pembaca budiman selamat menyambut bulan mulia Ramadan al Mubarak yang mana mulai hari ini umat lslam di Malaysia termasuk dalam negara-negara ASEAN akan mula berpuasa. Semoga madrasah Ramadan kali ini akan menjadi institusi pendidikan rohani yang banyak memberi ikhtibar kepada kita. Semoga kita akan terus mendapat hidayah dan barakah daripada Yang Maha Berkuasa. Dan dapat terus memperbanyakkan ibadah dan meninggalkan kesilapan dalam kehidupan ini.Salam Ramadan! (TB)

20 Julai 2012

HUJAN HARI INI

(kepada yang bernama isteri)

Hujan tidak akan berjanji akan turun
hujan tidak akan beritahu mahu berhenti
hujan tidak pasti suhu lebat gerimisnya
hujan tidak mengundang halilintar bergema
hujan tidak akan berteriak pelangi berlabuh

Namun apabila sampai waktunya
tidak perlu sedu-sedan itu tangismu
hujan akan rela di perhentian teduh
gersang merekah beralur subur menghijau
bahang tandus bertukar dingin nyaman

Dan dermaga sepi kembali keriangan
damai alam pesona sukma batini
sesungguhnya engkau teka-teki kehidupan
menyimpan rahsia dan bahasa pujangga
tatkala banjir di persada kita pun pasrah!

RAJIEE HADI,
Putra Nilai,NS.
20.7.2012



19 Julai 2012

RAJESH KHANNA MENINGGAL DUNIA

BINTANG Superstar No.1 Bollowood Rajesh Khanna, 69 tahun telah meninggal dunia di kediamannya di Mumbai,lndia semalam 18 Julai.Rajesh Khanna yang telah membintangi lebih 150 filem Hindi amat terkenal pada dekad 1970-an lalu.Kematiannya disebabkan demam yang berpanjangan kerana komplikasi darah, tekanan darah rendah dan buah pinggang. Antara filem lakonannya yang terkenal ialah Amar Prem, Mere Jeevan Sathi, Kati Patang, Safar, Hathi Mere Sathi dan banyak lagi. Beliau sering digandingkan dengan aktres Sharmila Tagore, Mumtaz, Asha Parekh dan Tanuja.

Rajesh Khanna meninggal dunia di sisi isterinya Dimle Kapadia (heroin Bobby) yang dikahwini pada tahun 1973 tetapi hidup berpisah berasingan sejak 1984 tetapi tidak bercerai.Takdir telah menentukan, Rajesh Khanna pada saat akhir kehidupan dapat bersatu dan berkumpul dengan ahli keluarganya dalam satu rumah bersama Dimlple, anak-anaknya Twinkle dan Rinke serta menantunya Aksyaa Kumar dan cucu-cunya.

Rajesh Khanna atau nama sebenarnya Jatin Khanna dilahirkan pada 29 Disember 1942 di Amristar utara lndia.Pembabitannya dalam dunia lakonan membawa ke puncak gemilang sebagai Superstar nombor satu Bollowood. Semasa zaman kegemilangannya ramai peminatnya khususnya wanita yang tergila-gilakannya. Ada peminat sanggup mencium keretanya. Bahkan ada yang sanggup menulis surat dengan berdakwatkan titisan darah.

Hari ini, jam 10 pagi tadi Rajesh Khanna meneruskan perjalanan panjang kehidupannya ke dunia abadi. Ribuan yang menghadiri upacara pengebumian. Antara bintang yang memberi penghormatan terakhir ialah Rishi Kapoor, Shahrukh khan, Amitab Bachan, Abishek Bachan, Salman Khan dan penerbit Yash Chopra.Kini semuanya tinggal kenangan bersama lakonan dan lagu gemersik dendangan Kishore Kumar yang sering digunakan oleh Rajesh. Selamat jalan Rajesh! (TB)

MELAYU HILANG DI DUNIA?


BUKU politik tulisan Khalid Salleh, Melayu Hilang Di Dunia seharusnya dimiliki oleh semua yang menganggap mereka orang Melayu.

Kalau Hang Tuah berkata, Melayu tidak akan hilang di dunia, Khalid berkata sebaliknya. Ini kerana Khalid hidup pada zaman Melayu semakin hilang kemelayuannya.

Melihat kacau bilau politik Melayu sekarang ini, saya lebih mempercayai Khalid bahawa Melayu akan hilang di dunia. Tambahan pula buku ini ditulis oleh seorang yang tidak memihak kepada mana-mana fahaman politik. Kita tentunya sudah muak dengan buku-buku politik yang ditulis oleh mereka yang mempunyai kepentingan dalam politik.

Kita boleh sahaja mempertikaikan siapa Khalid Salleh yang berkata Melayu hilang di dunia. Sarjanakah dia? Orang politikkah dia? Atau diakah proksi bukan Melayu untuk melemahkan semangat orang Melayu?
Tetapi semua itu bukan Khalid. Dia seorang seniman yang mengutip pengalaman di gelandangan, mendengar keluh kesah marhaen yang barangkali tidak pernah terdengar oleh orang politik.

Khalid bukanlah seperti banyak artis kita sekarang yang terus mengembang seperti belon tetapi kosong.
Dunia seniman membawa Khalid peka dengan sosiopolitik dalam dan luar negara.

Sebabnya seniman itu pemikir orangnya. Bukan sahaja berfikir hal ehwal seni malah perihal manusia dan galur kehidupan mereka seluruhnya.

Menulis buku sama juga dengan menulis naskhah teater yang kedua-duanya bercakap soal bangsanya.
Soal politik dan dimangsakan politik untuk kepentingan orang politik. Cuma bezanya buku ini tidak dipersembahkan secara kreatif seperti banyak naskhah teater atau puisinya.

Khalid menerbitkan sendiri dan memasarkan sendiri menerusi facebook.
Buku ini adalah keresahan Khalid melihat perpecahan yang berlaku kepada orang Melayu. Mereka dipecahkan oleh fahaman politik dan "Melayu" dengan mudah menjadi bahan tawar menawar untuk membeli kuasa politik. Melayupun sedikit demi sedikit terpadam.

Bahasa Melayu yang dimartabatkan dalam Perlembagaan pun direlakan oleh orang Melayu supaya ditolak, inikan pula hal-hal yang tidak ada dalam Perlembagaan.

Khalid melontarkan provokasi supaya pemimpin politik Melayu memikirkan tentang kedudukan Melayu. Pada masa sama beliau gelisah kerana satu demi satu yang berkaitan Melayu ditolak secara beransur-ansur.
Buku ini memang rasis kalau kita melihat dari sudut Melayu dan bukan Melayu. Tetapi apa bezanya dengan perjuangan politik bukan Melayu yang menghimpit Melayu?

Buku Melayu Hilang Di Dunia ini perlu dibaca, sama ada setuju atau tidak adalah perkara kedua.
Sudut pandangan dan pemikiran Khalid boleh dikutip sebagai renungan setelah sekian lama kita dilekakan dengan pesan Hang Tuah, Melayu tidak akan hilang di dunia.(sumber:Ku Seman Ku Hussain, UM, 18/07/12)

18 Julai 2012

GAPENA: SYABAS BUATMU

WAWANCARA Gabungan Penulis Nasional (Gapena) menyalahkan pemimpin negara yang gemar menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai program, termasuk dalam acara rasmi, sehingga merencatkan usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Secara sinis, gabungan terbesar 21 persatuan penulis itu berpendapat, terdapat pemimpin mahu kelihatan Melayu hanya dengan berpakaian tradisi, tetapi gemar berbahasa Inggeris walaupun tidak betul.

NONE"Dia (pemimpin) memikirkan bahasa asing itu hebat. Dia tahu (bahasa kebangsaan) tetapi dia tolol sedikit," kata Ketua Satu Gapena Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar sambil menggelar golongan itu "tolol bahasa".

"Misalnya, kerajaan sudah berulang kali (tetapkan) mesyuarat kerajaan dalam bahasa Melayu tetapi kami dapat maklum balas ada yang buat dalam bahasa Inggeris."

Sambil mempersoalkan patriotisme pemimpin itu, Dr Abdul Latif berkata, 'kejanggalan' itu juga dilihat dalam laporan berita di kaca televisyen berbahasa Melayu apabila pemimpin negara bercakap menggunakan bahasa Inggeris.

NONE"Wartawan tanya dalam bahasa Melayu, dia jawab bahasa Inggeris juga. Itu pun nahunya (bahasa Inggeris) salah," katanya sambil ketawa kecil.

Malah, kata Dr Abdul Latif, mereka juga sedang mengusahakan rancangan khas di RTM untuk menyindir golongan tersebut yang menggunapakai judul sama "tolol bahasa" yang kini dalam proses penyediaan skrip.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di Kuala Lumpur baru-baru ini, Dr Abdul Latif juga berkata, fenomena itu turut mendorong Gapena menubuhkan Majlis Pemantauan dan Tindakan Bahasa Kebangsaan untuk memantau penggunaan bahasa Melayu di sektor awam.

Perkataan 'presint' di Putrajaya?
 

Majlis itu, yang ditubuhkan sebagai sebahagian daripada resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan pada Oktober lalu, walaupun tiada penguatkuasaan bertujuan mengingatkan pelbagai pihak.

"Kita pun tak boleh mengenakan penguatkuasaan (bersifat) kekasaran, (kita hanya) mengingatkan supaya mereka berasa malu.

"Pemimpin yang tolol bahasa ini berubahlah, bertaubatlah. Ini negara kita ada bahasa kita, bukan bahasa asing. Gunakanlah bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan," katanya.

NONEDitanya sama ada tindakan itu bertindih dengan peranan audit bahasa yang dijalankan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Abdul Latif menberitahu, sebagai NGO mereka akan lebih mudah bersuara dan menegur.

"Kalau Dewan Bahasa, hal-hal berkaitan kerajaan, mereka tak boleh ke depan. Sebab itu mereka ada audit bahasa. Bagi kami, kami bebas (untuk menegur).

"Kalau Dewan Bahasa nak tegur PM depan-depan tak boleh, kami boleh (tegur) tetapi secara terhormat," katanya.

Ditanya tindakan kerajaan menyerap banyak istilah bahasa Inggeris secara terus ke dalam bahasa Melayu seperti perkataan "presint" di Putrajaya, Dr Latif berkata ia kini semakin berubah sedikit demi sedikit.

"Banyak lagi kerajaan buat perubahan tetapi bukan secara melulu. Misalnya Istana Kehakiman dahulu dalam bahasa Inggeris. Presintpun ada rasionalnya tetapi (perubahan) ini berperingkat-peringkat akan dilaksanakan.

"Yang penting kita hendakkan pemimpin yang cinta dan hayati bahasa kebangsaan," katanya lagi.(sumber: MK,18/7/12)


TB: TB juga kurang senang dengan sebahagian besar pengacara TV dan radio yang tidak tahu mana satu bahasa yang dituturkan dalam situasi rasmi dan situasi tidak rasmi. Apatah lagi apabila mewanwancara orang ramai tidak menyekat mana-mana individu yang tidak bertutur dengan betul dalam bahasa Melayu. Apa sudah jadi jikalau dalam situasi bahasa lisan tidak menggunakan bahasa persuratan yang betul. Yang menyedihkan lahirlah frasa tolol seperti 'kita orang', 'dia orang', 'semenjak dua menjak' dan pengaruh dialek bahasa asing yang kita telah sedia maklum. Kita akan menyambut hari kemerdekaan ke-55 tahun pada 31 Ogos ini tetapi masih tidak lekang memperkatakan hal bahasa kebangsaan kita yang diperlekehkan oleh rakyat Malaysia sendiri. Apakah ertinya kemerdekaan jika masih disaluti minda penjajahan?Apakah maknanya slogan janji ditepati jika pemimpin kita sendiri yang mengkhianati Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru dan banyak lagi!





























































HARI KEPUTERAAN SULTAN BRUNEI ke-66 TAHUN...DAULAT TUAN PATIK!

Ribuan rakyat dan penduduk berkumpul di Padang Bandaran di sini sejak dari awal pagi lagi 16 Julai lalu untuk sama-sama memanjatkan doa kesyukuran dan menjunjung kasih ke hadapan Majlis Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan yang menyambut hari keputeraan ke-66 tahun pada 15 Julai 2012 dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bagi memeriahkan dan menyaksikan dengan lebih dekat lagi acara Bercemar Duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait.

Suasana penuh gilang-gemilang, berwarna-warni dan ceria terpancar pada wajah semua yang hadir bagaikan lautan masyarakat berbilang bangsa bersatu bagi sama-sama menyembahkan rasa kasih pada Raja dan Pemimpin yang disanjung, dihormati serta dikasihi.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Helipad Jalan Maulana telah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Dimuliakan Pehin Dato Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Pegawai Daerah Belait Awang Haji Haris bin Othman.

Berangkat sama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran DiGadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan dan kerabat Diraja telah diiringi dengan pukulan hadrah oleh murid-murid dari Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan SOAS Kuala Belait. Lagu Kebangsaan "Allah Peliharakan Sultan" telah memulakan acara pada pagi ini, kemudiannya diikuti dengan laungan "Daulat Kebawah Duli Tuan Patik" dipimpin oleh penghulu dan ketua kampung Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Belait.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Pegawai Daerah Belait Awang Haji Haris bin Othman, selaku wakil Rakyat dan Penduduk Daerah Belait, yang antara lain menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat bercemar duli ke Daerah Belait.

"Hamba Kebawah Duli Tuan Patik dengan penuh kesyukuran serta dengan semarak cinta dan kasih hamba rakyat dan penduduk daerah ini, sukacita menyembahkan ucapan selamat ulang tahun Hari Keputeraan Baginda dengan iringan doa semoga Baginda serta kerabat Diraja sekalian dilanjutkan usia, sihat wal'afiat, sentiasa mendapat petunjuk dan perlindungan Allah Subhanahu Wataala, kekal karar memerintah turun temurun di atas takhta singgahsana Kerajaan dan Negara Brunei Darussalam dalam keadaan aman dami lagi sejahtera serta mendapat rahmat dan berkat daripada Allah Subhanahu Wataala."

Beliau mewakili seluruh rakyat dan penduduk di daerah ini menyembahkan dan membaharui ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan berikrar untuk terus menjunjung Titah Baginda sempena Hari Keputeraan Baginda pada 15 Julai kelmarin.

"Bersukut hari dan bulan Syaaban yang penuh keberkatan dan kerahmatan ini, abis hamba-hamba Kebawah Duli Tuan Patik bertekad untuk terus komited berusaha serta berdoa untuk tidak lalai bagi memenuhi Titah Ulung Kebawah Duli Tuan Patik semasa pemasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam iaitu supaya Negara Brunei akan selama-lamanya kekal menjadi Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran ugama Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah," sembah beliau.

Baginda Sultan berserta kerabat Diraja seterusnya dijunjung bagi menyaksikan Persembahan Khas (Sketsa) dengan Tema "Menyusur Tamadun Ilmu" bagi mendokong tema kebangsaan "Wawasan Raja, Wawasan Rakyat, Wawasan Negara."

Acara kemuncak bagi majlis tersebut ialah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat Diraja dijunjung bagi menerima junjung ziarah daripada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa, peserta Persembahan Khas serta rakyat dan penduduk Daerah Belait.

Mengakhiri majlis gilang gemilang ialah keberangkatan Baginda Sultan berserta kerabat Diraja ke Dewan Santap untuk majlis santap dan menerima pesambah dan kemudiannya berangkat meninggalkan majlis.(sumber  disesuaikan daripada Media Permata, 18/07/2012)

HINDRAF....Mana mahu lari?

TB pening, pusing kepala....Tidak berkesudahan Hindraf (pertubuhan tidak berdaftar) dan komuniti lndia Malaysia (kebanyakannya Tamil) berprangsa buruk (mungkin tidak semua) dengan mahu mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) agar subjek Pendidikan Moral tidak wajib lulus. Apa sudah jadi? Falsafah Pendidikan Negara mahu jadi manusiakah atau haiwan atau robot? Apakah anda semua kerapkali mahu dilayan seperti anak emas? Cuba anda semua renung-renungkan nasib kaum minoriti di Thailand, Singapura, Vietnam, Cambodia, Myanmar bahkan di lndia sendiri.

Sepatutnya fokuskan kepada objektif dan nilai-nilai kemanusiaan yang diperolehi daripada mempelajari subjek itu.Sepatutnya juga penekanan dititikberatkan aspek guru dan kaedah pengajarannya yang patut dikemaskinikan lagi.Ketahuilah banyak jasa kerajaan kepada komuniti mereka, tetapi mereka sentiasa mahu timbulkan masalah. Bertenanglah, bersabarlah...hasil pendidikan bukan hanya diukur berdasarkan berapa 'A' sahaja tetapi jenis manusia yang akan dihasilkan 5,10 atau 15 tahun akan datang! (TB)

Puisi: Catatan Awal Pagi

Aku menemui seorang gadis santai
pada awal pagi di sebuah restoran percuma wi-fi
di dadanya terbalut kain kapas tertulis
'aku hanya sayang mak sahaja'

Dengan mesra manja gadis itu melayani
seorang lelaki seusianya bagai kekasih
dengan panggilan akrab dipanggilnya hubby
mungkin bakal suami,bisik hatiku menerpa

Dan mungkin bakal bapa zuriatnya mendatang
gadis itu impikan romantika kehidupan
dan adakah sampai waktu diwarwarkan juga
anak-anakku hanya sayangi daku mamamu sahaja?


RAJIEE HADI,
Bandar Baru Nilai,NS.
Julai,2012.




16 Julai 2012

MODEN ANCAM TEATER TRADISI?

SATU  daripada ciri kota berbudaya adalah wujudnya tradisi pementasan teater yang berkesinambungan atau kerap. Kota, yang tidak secara tiba-tiba terbina, juga harus menghargai bentuk teater tradisional, seperti mana ia dulu dibangunkan atas lembah, paya dan belukar. Realiti budaya itu terpancar di banyak kota dunia. Di Tokyo umpamanya, teater tradisional kabuki dipentaskan sepanjang tahun dan pelbagai pentas lain menghidangkan teater moden.

Tindakan proaktif bersepadu untuk membawa teater Melayu keluar daripada kelesuannya mestilah diambil segera. Jika tidak teater Melayu akan terus nazak dalam masa panjang, hanya sekali sekala ‘mengigau’ dan ‘meracau’”Teater Melayu tradisional (seperti bangsawan) dan moden sepatutnya hidup subur di ibu kota dan di bandar lain negara ini. Teater, seperti tradisi kebudayaan besar, adalah satu daripada wadah yang memancarkan ketinggian pemikiran, intelektual serta seni estetika sesuatu bangsa. Sebab itulah di negara maju, pembangunan prasarana dan fizikal yang hebat turut disertai dengan pembangunan kesenian, termasuk teater. Ini berlaku sejak zaman Greek, Romawi atau tradisi Inggeris menerusi drama Shakespeare.

Apabila teater Melayu kurang bermaya di ibu kota, kita dapat membayangkan bagaimana nasib teater Melayu di kota kecil lain. Apabila yang hidup subur di ibu negara ialah teater Inggeris atau alunan orkestra simfoni yang membawakan lagu Barat, maka terpinggirlah citra kesenian kebangsaan negara ini yang berdasarkan kekuatan budaya Melayu dan Bumiputera lainnya.

Pembangunan semula teater Melayu memerlukan perancangan, seperti perkembangan bahasa Melayu memerlukan perancangan bahasa.

Dalam hubungan ini, wajar diambil tindakan proaktif dengan kadar segera oleh beberapa pihak seperti agensi kerajaan yang diamanahkan untuk fungsi ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) teater, penulis dan aktivis teater tanah air. Beberapa ahli perniagaan juga patut dibabitkan kerana mereka boleh memberikan idea bagaimana untuk menjadikan teater sebagai industri ‘hiburan’, atau industri kreatif yang menguntungkan.
Tidak kurang pentingnya ialah beberapa korporat nasional yang wajar mengembalikan sebahagian kecil keuntungan mereka untuk pembangunan seni kebangsaan, serta wakil media cetak dan elektronik.

Untuk membuktikan nadi teater Melayu terus berdenyut, ia memerlukan premis pementasan yang tetap. Tetap dalam erti kata pementasan teater Melayu sering dipentaskan di situ – sama ada setiap minggu, atau setiap dua minggu atau setiap bulan. Dengan adanya premis tetap serta jadual pementasan tahunan, khalayak teater tahu di mana dan bila mereka wajar menonton teater Melayu. Khalayak teater ini termasuk mereka dari Sabah, Sarawak, Semenanjung, atau dari luar negara.

Pementasan Teater Bangsawan Cinta Puteri Mekar Mewangi Layu Tak Berseri di Panggung  Bandar Raya  KL
13-15 Julai 2012
Menyebut premis pementasan, penggiat teater di Kuala Lumpur pasti teringat kepada beberapa tempat. Antaranya ialah Dewan Bandaraya, Panggung Bandaraya, dan dewan utama Pusat Pelancongan Malaysia di Jalan Ampang.

Akan tetapi ketiga-tiga premis terbabit, lantaran perlu menampung keperluan lain, tidak mungkin menjadi premis tetap persembahan teater Melayu. Perancangan teater juga harus mengambil kira beberapa program lain, umpamanya penataran penulis dan tenaga produksi. Kaedah promosi serta pemasaran yang berorientasi keuntungan juga harus dianggap sebagai program bersepadu pembangunan teater.

Tidak kurang penting ialah pendidikan terhadap apresiasi seni, membabitkan pelajar sekolah dan orang ramai. Pendidikan terhadap apresiasi seni dalam kalangan pelajar sekolah dalam jangka panjang akan menyediakan khalayak seni yang tinggi daya intelek serta cita rasa seni estetika rakyat negara ini.

Tindakan proaktif bersepadu untuk membawa teater Melayu keluar daripada kelesuannya mestilah diambil segera. Jika tidak teater Melayu akan terus nazak dalam masa yang panjang, hanya sekali sekala ‘mengigau’ dan ‘meracau’ ketika ada sayembara atau pekan teater yang bermusim sifatnya. Sementara Istana Budaya agak sukar ditembusi oleh teater yang bukan bergenre muzikal.

Usaha keserakanan membabitkan pelbagai pihak bergabung tenaga dan kepakaran untuk menyegarkan semula teater Melayu, bukanlah sesuatu yang baru.

Beberapa pendapat mengenainya, baik dalam bahasa Melayu (umpamanya tulisan Khalid Salleh) atau Inggeris (umpamanya tulisan Johan Jaaffar) diterbitkan. Malangnya, belum ada pihak yang mengambil tindakan serius. Situasi ini menyukarkan penafian terhadap pandangan umum bahawa birokrasi di beberapa institusi begitu rumit, perlahan, dan kurang berkesan.

Tindakan terhadap beberapa cadangan yang membina mengenai teater, begitu lambat diproses atau diambil tindakan susulan – sama ada akibat birokrasi yang ketinggalan zaman atau ditangani oleh pegawai yang kurang arif dan kurang minat terhadap bidang terbabit.

Sementara itu, sesetengah ketua melepaskan tanggungjawab ini kepada stafnya yang kurang berpengalaman, dirinya pula disibukkan dengan mesyuarat bertali arus, atau kesibukan politik ciptaannya. Sebuah institusi budaya dan ilmu sesungguhnya memerlukan pimpinan yang tidak hanya pandai beretorik dan berpolitik.
(sumber: Dr. Anwar Ridhwan,UM,16/07/12)
 

10 Julai 2012

AZAH AZIZ DALAM KENANGAN

BUDAYAWAN, Azah Aziz yang juga isteri kepada Profesor Diraja Ungku Aziz dan ibu Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz meninggal dunia kira-kira pukul 10 pagi hari ini.
Menurut sahabat baiknya, Zubaidah Abdul Rahman, 71, Azah yang berusia 84 tahun meninggal dunia kerana sakit tua.

Katanya, Allahyarham telah diserang angin ahmar sejak beberapa bulan lalu dan sering berulang-alik ke sebuah hospital swasta di sini untuk mendapatkan rawatan.

“Dia melayan saya bagaikan seorang anak dan sahabat. Allahyarham juga adalah mentor saya ketika zaman belajar di Universiti Malaya pada tahun 60-an dan seorang yang tidak kedekut ilmu malah sangat prihatin dengan kawan-kawannya.

“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat saya," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan sebelum solat Asar.
Antara yang hadir pada majlis itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta anggota keluarga dan kenalan rapat.

Terdahulu, solat jenazah disempurnakan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Sidiq, Bangsar.
Zeti Akhtar merupakan anak tunggal beliau.(sumber: UM, 10/7/12)

'MELAYU BERSATULAH'

MANTAN Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, masyarakat Melayu di negara ini sudah “kaku dan tidak boleh menjawab balik” kerana takut dituduh bersifat rasis.

Dalam satu temuramah khas bersama akhbar Mingguan Malaysia yang dikeluarkan hari ini, Dr Mahathir (gambar) menjelaskan, Melayu kini bersifat mementingkan undi sehingga apabila tuntutan dibuat yang melanggar perjanjian ketika zaman Kemerdekaan dilanggar sekalipun, mereka masih lagi berdiam diri.
“Saya berpendapat kita sudah kaku dan tidak menjawab balik kerana takut dituduh rasis. Sampaikan tuntutan dibuat yang melanggar perjanjian dahulu pun kita tak jawab.

“Malah, mereka buat lebih tuntutan lagi,” kata perdana menteri yang pernah berkhidmat selama 22 tahun itu.
Beliau turut mengemukakan contoh situasi tersebut apabila mengatakan “dahulu nak masuk kerja diploma hanya melibatkan universiti awam, tapi sekarang diploma Kolej Tunku Abdul Rahman, kita kena terima.”
Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan lebih 70 kursus yang ditawarkan di KTAR telah  diberi pengiktirafan retrospektif yang mana membolehkan graduan mereka turut mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pengiktirafan itu akan berkuatkuasa serta merta, dan akan meliputi kursus Diploma dan Diploma Lanjutan yang ditawarkan kolej berkenaan sejak pertengahan tahun 1990-an.

Tambah Dr Mahathir lagi, semua perkara yang berlaku itu adalah atas kebodohan orang Melayu sendiri kerana Melayu kini telah berpecah.

“Kita tentukan perkara ini semasa kemerdekaan supaya orang Melayu boleh menjadi majoriti. Bila majoriti dalam sesebuah negara, mereka akan berkuasa.

“Namun kini mereka sendiri yang menghancurkan majoriti mereka dengan berpecah belah,” tegasnya lagi dan menambah, “Melayu kini berpecah kepada tiga kelompok dan dengan itu memang mereka memerlukan sokongan kaum lain.”

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, apabila Melayu berpecah, mereka akan mencuba sedaya upaya untuk memenuhi tuntutan pihak lain bagi mendapatkan undi mereka.

“Sekarang ini dalam keadaan berpecah belah, maka orang lain minta kena bagilah kerana nakkan undi,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang masih lagi berpengaruh di negara ini turut menjelaskan, beliau bukan menentang masyarakat Cina, sebaliknya mereka perlu bersifat adil berdasarkan keadaan negara.
“Saya bukanlah menentang kaum Cina, tapi kena lah bersifat adil berdasarkan negara ini. Bila saya bercakap mengenai perkara ini, mereka kata saya rasis, tetapi kenyataan-kenyataan ini yang dipersetujui dalam Perlembagaan,” katanya merujuk kepada kedudukan Bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

“Jika mereka nak lebih, mereka juga perlu bagi lebih kepada kita. Barulah seimbang.
“Katalah mereka kata nak hapus hak istimewa orang Melayu, maka mereka perlulah hapuskan keistimewaan seperti tidak boleh menggunakan bahasa mereka atau sekolah jenis kebangsaan,” katanya kepada akhbar milik Umno itu.

Dr Mahathir juga turut menjelaskan, orang Melayu sekarang tidak lagi boleh bercakap berkenaan perkara itu dan hanya mengambil pendekatan bertahan jika dihentam.
“Bila kita bertahan, orang lain akan bampak ‘bintik-bintik hitam’ yang ada di muka kita,” jelasnya lagi.
KTAR merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang diwujudkan sejak 1969, dan setakat ini telah menghasilkan lebih 160,000 graduan.

Selain itu, kolej yang dipengerusikan oleh Datuk Seri  Dr Chua Soi Lek ini juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti ACCA, CIMA, ICSA, CIOB, dan banyak lagi.
Pada Oktober tahun lalu, Najib berkata beliau tidak mempunyai halangan untuk menaik taraf KTAR kepada status kolej universiti sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.

Dr Chua yang juga merupakan Presiden MCA turut berkata, parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sedang berurusan dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menaik taraf KTAR kepada status kolej universiti.

KTAR adalah institusi pengajian tinggi milik MCA yang ditubuhkan pada 24 Februari 1969, dan telah berkembang ke seluruh negara dengan mempunyai enam cawangan dan lebih 30,000 pelajar yang kebanyakan mengikuti pelbagai kursus dalam peringkat sijil dan diploma..(sumber:TMI,10/7/12)

07 Julai 2012

BABI PAHANG MENGAMUK

ORANG  ramai kecoh dibuatnya apabila melihat kelibat "Babi Hutan" tiba-tiba mengamuk di pusat bandar ini tengah hari semalam. Masing-masing terkejut kerana mana mungkin binatang terbabit boleh berkeliaran di dalam sebuah bandar yang merupakan ibu negeri pada waktu siang. Difahamkan, babi (khinzir) yang entah dari mana datangnya itu telah berkeliaran di sekitar Jalan Mahkota


Salah seorang saksi utama yang sempat merakamkan detik mencemaskan itu, Kamarulzaman Mohamed Yunus berkata "Pada jam 12.15 saya menuju ke kereta berada di dataran Mahkota, sebaik menaiki kereta, saya nampak seekor babi hutan sedang melintasi Jalan Mahkota dan menuju ke ke kedai Hamid Bros, babi tersebut terus masuk ke dalam kedai dan memecahkan dinding cermin kedai seterunya bersembunyi di bawah meja dalam pejabat pusat pelancungan dalam kedai tersebut, selepas itu lebih kurang jam 12.35 babi tersebut berjaya dikeluarkan dari kedai dan terus pula menuju ke Masjid Negeri dan masuk ke dalam masjid, dihalau seorang India babi menuju ke kawasan pejabat lama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), dan terus menuju ke Mahkahmah besar, seterusnya menuju ke pasar".




 Kamarulzaman yang juga dikenali sebagai Pak Long turut menegaskan beliau amat hairan dengan kejadian ini. "Apakah peristiwa ini ada kaitan dengan pembaziran SUKMA atau kenyataan Mufti Pahang mengenai Himpunan Bersih, kemarahan rakyat mengenai kilang Lynas atau tanda awal mula kejatuhan UMNO BN di negeri ini (Pahang)", kata beliau. "Selama ini kita memang selalu mendengar babi mengamuk di dalam kawasan kampung. Tapi, bila ia berlaku dalam bandar seperti Kuantan, ia sesuatu yang sungguh menakjubkan. Apatah lagi Kuantan kini sedang menyambut ketibaan tetamu-tetamu dari luar sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA). Situasi ini amat memalukan dan tidak pernah berlaku di Kuantan sebelum ini", tambah beliau lagi.(sumber: http://pahangdaily.blogspot.com)

PUISI JENAKA PULAU PENYENGAT (buat Leo AWS)

Pulau Penyengat bukan menyengat
ada aura ada semangat
jauh datang mesti ingat
Melayu suka makan pengat

Terima berita buku baru
dari Leo Darul Naim
dalam tongkang jangan garu
jika baca sms Tok Him

Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji
pujangga terbilang makam di sini
asam pedas jangan dipuji
kelak rupiah dibayar seguni

Putar-putar naik bemo
dua puluh lima ribu sejam bayaran
berat kami macam sumo
minta lebih mengaku jiran

Dalam cendol ada tapai
tepi laut balai adat
tangan pendek tidak tergapai
tangan panjang dipotong beradat

Gadis pasentren entah di mana
ada madrasah mengaji agama
Pulau Penyengat hantaran istana
usah mimpi ikut bersama

Bertenanglah jangan kuat terkenang
bersabarlah jauh debar
malam pertama kuak renang
malam kedua dalam gebar!


DR RAJIEE HADI,
Pulau Penyengat,Riau.
28 Jun 2012.










PULAU PENYENGAT : MENJEJAKI ALAM MELAYU


Pulau Penyengat atau Pulau Penyengat Inderasakti dalam sebutan sumber-sumber sejarah, adalah sebuah pulau kecil yang berjarak lebih kurang 6 km dari Kota Tanjung Pinang pusat pemerintahan Provinsi Kepulauan Riau. Pulau ini berukuran lebih kurang 2.500 meter x 750 meter, dan berjarak lebih kurang 35 km dari Pulau Batam.


Pada 28 Jun TB selamat sampai mendarat di Pulau Penyengat kira-kira jam 11 pagi dari Tanjung Pinang, Bintan (Bentan),Riau dengan menggunakan perahu bot atau lebih dikenal bot pompong. Dengan menggunakan bot pompong, memerlukan waktu tempoh lebih kurang 15 minit.
Pulau Penyengat merupakan salah satu destinasi pelancongan di Kepulauan Riau. Perkara-perkara yang boleh kita lihat adalah Masjid Raya Sultan Riau yang dibuat dari putih telur, makam-makam para raja, makam Raja Ali Haji, kompleks Istana Sultan dan benteng pertahanan di Bukit Kursi. Pulau Penyengat dan kompleks istana di Pulau Penyengat telah dicalonkan keUNESCO untuk dijadikan salah satu Tapak Warisan Dunia
Pada abad ke-18, Raja Haji membangun sebuah kubu di Pulau Penyengat, kubu tersebut tepatnya berada di Bukit Kursi, di sana ditempatkan beberapa meriam sebagai asas pertahanan Bentan.
Pulau Penyengat adalah sebuah pulau kecil yang terletak tak jauh dari Pulau BentanKepulauan Riau. Menurut Tuhfat Al-Nafis, Pulau Penyengat ialah hadiah daripada Sultan Mahmud Shah III kepada isterinya Raja Hamidah Binti Raja Haji atau Engku Puteri dan menjadi hak milik keturunan baginda dan saudara-saudaranya sebagai pewaris Raja Haji.
Pulau ini kemudiannya menjadi pusat pemerintahan Yang Dipertuan Muda bermula daripada Raja Ja'afar sehingga Raja Muhammad Yusuf, Yang Dipertuan Muda Riau terakhir.
Pusat pemerintahan Kesultanan Lingga-Riau juga telah berpindah ke sini pada zaman pemerintahan putera Raja Muhammad Yusuf yang dilantik sebagai Sultan Lingga-Riau terakhir iaitu Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah (1883-1911) setelah baginda menggabungkan jawatan Yang Dipertuan Muda dengan jawatan Sultan selepas kemangkatan ayahandanya.
Kini Pulau Penyengat didiami oleh kira-kira lebih 2500 orang penduduk yang kebanyakannya keturunan raja-raja Riau.Kisah Pulau Penyengat ini ada termuat dalam kitab Melayu klasik Taufat al-Nafis untuk kita sama-sama mendalami tamadun kesultanan Melayu dahulu.

§.




Makam Engku Puteri (Raja Hamidah)

Di Pintu Masuk Masjid Raya Sultan Riau Pulau Penyengat

Makam Raja Ali Haji (Gurindam 12)

Di Kompleks Makam Raja Ali Haji di Pulau Penyengat, Riau,lndonesia

Makam Yam DIPertuan Muda Riau Raja Jaafar

Telaga di Bawah Balai Adat Melayu Pulau Penyengat

Pemandangan Pulau Penyengat

06 Julai 2012

UNCLE SEEKERS : CAKAP SIANG PANDANG-PANDANG...


UNCLE Seekers memang suka mendedahkan berbagai-bagai rahsia tetapi tidak tahu apa yang diperjuangkan. Ada benar juga seperti kata Blogger Jejai adakah pendedahan beliau untuk mengejar trafik blog atau alexa ranking atau nak jadi Blogger paling kontroversi. Hanya Uncle Seekers sahaja yang dapat menjawab.
Kisah terbaru Uncle Seekers mendedahkan berbagai-bagai rahsia Keluarga Di Raja Johor terutamanya kisah Sultan Johor Sultan IbrahimTunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengulas mengenai tuduhan yang ditimbulkan Syed Abdullah itu berkata: “Biarlah xxxxx itu menyalak semahunya. Saya tahu kebenarannya, rakyat Johor juga tahu kebenarannya. Mengapa saya harus beri reaksi kepada (dakwaan) karut,” katanya ketika menjawab satu soalan yang diajukan seorang pengikutnya di Twitter.
"Aku" ada terbaca tapi lupa yang mana katanya Uncle Seekers sudah bersedia untuk ditangkap setelah beberapa penduduk Johor membuat aduan polis. Dalam kenyataan tersebut katanya paling lama polis boleh tangkap pun 7 hari  selepas itu pasti dibebaskan. Uncle Seekers tidak gentar dan katanya akan terus membongkar rahsia Kerabat Di Raja Johor. Sebagai salah seorang Anak Johor aku tertanya-tanya apa sebenar tujuan dan perjuangan Uncle Seekers. Mungkinkah ada orang di belakang Uncle Seekers yang juga datang dari keluarga Kerabat Di Raja Johor sehingga beliau jadi seberani ini.
Uncle Seekers dan sahabat wanitanya telah ditahan di Tol Senawang, Negeri Sembilan pada 9.45 pm, 4/7/2012. Polis hari ini mendapat perintah tahanan reman selama empat hari ke atas penulis blog Syed Abdullah Syed Husein Al-Attas. Majistret Johor Bahru Md Isa Mohamed mengeluarkan perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah ke atas Uncle Seekers.
Aku selaku Anak Johor memang tidak suka tingkah laku Sultan Johor disebarkan secara bebas sesuka hati untuk tatapan ramai. Kalau nak cerita buruk baik tingkah laku Sultan pasti ada sahaja ceritanya untuk setiap Negeri, 1001 malam tidak habis bercerita sama ada benar atau dogeng hanya mereka sahaja yang tahu. Demokrasi menjadi manusia terasa bebas untuk mengutuk sesiapa sahaja termasuk Sultan dan Pemimpin sendiri, kalau baca komen-komen mereka di FB dan Blog memang super berani seperti tak takut 'Tuhan'.
Inilah kebaikan dan keburukan internet yang sesiapa sahaja boleh membongkar apa sahaja rahsia untuk matlamat perjuangan yang hanya mereka sahaja yang tahu. (sumber:http://denaihati.com)