Salam Perjuangan

05 Mac 2011

BRUNEI DARUSSALAM: SEKILAS RENUNGAN & PERINGATAN

Negara Brunei Darussalam telah beberapa kali dipelihara, diselamatkan dan diberi perlindungan oleh Allah Taala dalam beberapa peristiwa yang tercatat dalam sejarah seperti Perang Kastila 1578, cubaan Inggeris menjadikannya tanah jajahan Inggeris pada 1948 dan undangan turut serta dalam penubuhan Malaysia pada 1963.

Sehubungan dengan itu Khatib dalam Kutbah Jumaat kelmarin mengingatkan warga negara Negara Brunei Darussalam supaya bersyukur dan jangan menjadi orang yang lupa daratan sebagaimana orang-orang yang diceritakan oleh Allah Taala dalam Al-Quran iaitu mereka berdoa minta diselamatkan ketika dalam bahaya tetapi selepas diselamatkan mereka jadi lupa daratan.

Mereka menjadi golongan yang tidak menghargai pertolongan Allah, tidak mensyukuri Allah, bahkan lebih parah lagi mereka telah menderhakai Allah Taala, sebagaimana diceritakan melalui Ayat 22-23, Surah Yunus, ujar Khatib.

"Kita perlu faham dan sedar bahawa dengan 'diselamatkan' daripada bergabung dengan persekutuan negeri-negeri bekas naungan dan jajahan Inggeris iaitu Brunei, Singapura, Sarawak dan Sabah dengan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) itu, negara dapat wujud dengan nama Negara Brunei Darussalam.

"Dengan tidak bergabung tersebut, Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara Melayu Islam Beraja yang merdeka lagi berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam Mazhab Syafi'e Ahli Sunnah Wal Jamaah," ujar Khatib.

Dan tidak kurang penting lagi, Negara Brunei Darussalam dapat mencapai kemerdekaannya sendiri pada 1984 dan seterusnya layak menduduki kerusi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai negara anggota ke-159, tambahnya.

"Sementara itu, rahmat di sebalik diselamatkan daripada menjadi tanah jajahan Inggeris pada 1948 itu pula ialah kekalnya kedaulatan Brunei sebagai negara Melayu Islam berpemerintahan beraja, memandangkan kuasa Sultan Brunei sudah mengalami kemerosotan ke atas wilayah dan pembesar-pembesar negeri sejak 1888 dan 1905-1906." Semenjak Sultan Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien menaiki takhta, Baginda dengan bijaksana berusaha mengembalikan kuasa Sultan untuk benar-benar memegang tampuk kerajaan dan negeri, ujar Khatib.

Khatib seterusnya berkata, maka menerusi Perlembagaan Negeri Brunei 1959 dan Pemasyhuran Mengangkat Raja dan Pemangku Raja 1959, Baginda telah berjaya mengembalikan kuasa tersebut secara bijak dan berkesan.

"Manakala diselamatkan daripada penaklukan Sepanyol pada 1578 itu pula menyebabkan Sepanyol gagal bertapak di Brunei sebagaimana ia bertapak di wilayah-wilayah yang ditaklukinya di rantau sebelah sini, dan natijahnya Negara ini dapat mempertahankan dan memelihara agama Islam dan pemerintahan beraja turun- temurun."

Menurut Khatib, sebagai rakyat dan penduduk negara ini, kita juga patut mensyukuri rezeki yang telah dikurniakan kepada negara kita yang berupa hasil minyak dan gas.

Adapun cara yang betul untuk mensyukuri nikmat dan rahmat Allah Taala ialah dengan mentaati-Nya, mengenang dengan insaf akan kurnia dan nikmat serta rahmat-Nya sambil mempergunakan kurnia dan nikmat-Nya itu dengan sebaik-baiknya, kata Khatib.

Janganlah kita mempersia-siakan dan menyalahgunakan segala kurnia dan nikmat Allah Taala itu kerana akibatnya Allah Taala akan menarik balik kurnia dan nikmat tersebut sebagaimana firman-Nya dalam Ayat 7, Surah Ibrahim, peringat Khatib. (sumber disesuaikan daripada MediaPermata, 27/2/11)

TB turut serta berdoa agar NBD kekal berdaulat dan rakyat sekaliannya patuh akan ajaran lslam,taat kepada pemerintah Beraja dan berterusan mencintai dan mengamalkan bahasa dan budaya Melayu . lngatlah bahawa bahasa itu jiwa bangsa! Hidup M.I.B!!!

Tiada ulasan: