Salam Perjuangan

18 September 2013

PANGGILAN HAJI 1434H/2013

TB dan isteri memohon berbanyak-banyak kemafan kepada semua insan makhluk Allah yang mengenali kami, khususnya para pembaca budiman blog TB ini kerana pada musim ini TB terpilih untuk menunaikan fardu haji bersama isteri. TB memohon ampun maaf jika ada terkasar bahasa terguris bicara dan halalkan mana-mana yang termakan terminum dan apa jua bentuk yang TB tidak sengajakan.

Doakan akan  kami selamat dalam perjalanan pergi ke tanah suci dan pulang ke tanah air kelak. Doakan juga kami dikekalkan kesihatan dalam sihat walafiat sepanjang pemergian, melaksanakan rukun dan ibadat haji dan kepulangan ke tanah air kelak. Semoga doa kalian sepanjang waktu akan menguatkan azam dan semangat kami.

 Dan doa kita semua agar kita semua dalam perlindungan Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Begitu juga kepada ahli keluarga yang ditinggalkan di tanah air agar kita semua juga dipelihara Allah SWT. Semoga kami memperoleh haji yang mabrur. Amin.(TB)

12 September 2013

GURU PUNYAI MASA DEPAN YANG CERAH KINI

SEHINGGA kini, guru-guru yang memiliki Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D) tidak diberi sebarang penghargaan atas usaha mereka menyambung pelajaran berbanding penjawat awam lain yang menerima dua kenaikan gaji untuk ijazah sarjana dan tiga kenaikan gaji bagi yang memiliki Ph.D.

Perjuangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) agar guru menikmati ganjaran seperti penjawat awam lain tidak diluluskan. Antara alasan yang diberi ialah bilangan yang terlalu ramai sehingga memerlukan peruntukan yang banyak.

Selain itu, juga diberi alasan tiada pelantikan untuk pengambilan guru dengan ijazah sarjana atau Ph.D berbanding perkhidmatan lain.

Memandangkan kenaikan pangkat guru menggunakan kaedah 'time based', lapan tahun untuk DG41 ke DG44, lapan tahun berikutnya untuk ke DG48, enam tahun berikutnya untuk ke DG52 dan tiga tahun lagi untuk ke DG54, saya mencadangkan agar kaedah Ex-PPLD, bekas Pegawai Perkhidmatan Lepasan Diploma yang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda digunakan.

Bagi mereka yang memiliki ijazah sarjana (master) dipendekkan tempoh 'time-based' sebanyak dua tahun untuk setiap kenaikan pangkat ke DG44, DG48, DG52 dan DG54. Sementara guru yang memiliki Ph.D pula diberi kelonggaran tempoh sebanyak tiga tahun.

Saya yakin kelonggaran sebegini akan menggembirakan guru-guru yang telah berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka, tambahan lagi sebahagian besar mereka ditaja oleh pihak kerajaan sendiri. Pada masa yang sama, kerajaan juga tidak memerlukan peruntukan yang besar mengikut kaedah ini.(sumber: UM, 12/09/13)