TIGA hari dua malam saya (A.Samad Said) berada di Brunei Darussalam—masa yang diisi sepadatnya dengan pertemuan seramai kawan dan lawatan sebanyak tempat. Saya pernah memimpin bengkel drama di negeri bertuah ini hampir dua dekad lalu.
Bersama Abdulaziz H.M. (Allahyarham), kami memimpin bengkel seni sambil sempat berulang alik ke Kampung Air. Bot-bot tidak sebanyak dan selaju dulu kerana saya melawat waktu cutian.
Sama seperti saya, teman-teman dulu yang kami sempat temui rata-ratanya semakin berpangkat dan semakin tua —memang masing-masing bergaya dengan busana cantiknya, tapi semua wajah tetap meluntur. Sebahagian kawan-kawan ini sempat temui di sebuah restoran “berwatak”; sebahagian lagi (ada yang berulang jumpa sebanyak 4 kali!) bertemu di Pesta Buku Brunei Darussalam.
Walaupun sehari acara rasminya, tapi sejak malam awal tiba, saya sudah pun sempat menghadiri majlis makan malam bagi meraikan wakil-wakil penerbit Asia Pasific yang disimbahi ucapan menarik dan digalaki tarian mengusik. Segala-galanya bertandak.
Acara terpenting—dan rasmi—saya hanyalah di pesta buku. Saya dan Ain Maisarah bergilir mikrofon untuk berhikayat tentang dunia buku kami. Hikayat saya sangat uzur; hikayat Maisarah terlalu segar. Dua pendedahan seni yang mengimbaskan dua wajah sasterawan melalui dekad-dekad yang berbeza. Saya kira saya banyak belajar daripada penulis muda ini—khususnya kerana kami datang dari latar sejarah yang berbeza; juga dari latar matlamat yang berbeza.
Saya daripada ASAS 50 tentu saja lebih menekankan ideologi seni kami; sementara Ain Maisarah lebih berjejak pada zaman serba komersial ini. Makanya, secara bandingan Ain Maisara sudah pun terbayang cepat akan menjadi 'seniwan'-juta, sementara saya tetap saja seniwan-ribu.
Paling menarik ialah teman-teman seniman di Brunei Darussalam yang sentiasa bergilir mengiringi saya, malah dipuncakkan dengan tidak saja makan malam di hotel bergaya, tapi dan dilanjutkan dengan makan larut malam di rumah seorang kuasawan yang sangat berjaya.
Sementara berehat di dalam hotel di celah-celah acara yang rasmi, saya sempat juga menjejaki perkembangan global. Tahulah saya bahawa Muammar Gaddafi masih bertahan hanya di Tripoli, dan Colin Firth terpilih bintang terbaik bagi “The King’s Speech”.(sumber: SN Datuk A.Samad Said)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan