Salam Perjuangan

24 Disember 2015

puisi: HARI LAHIR

hari lahir
dedaun waktu
gugur persatu
helaian kalendar
dalam getar
semalam & mendatang

kami tonton
kehidupan layar
kasih sayang
dalam keluarga
makna pengorbanan
erti perjuangan

di layar perak
cinta silam
lima belas tahun
prasangka sengketa
bertaut memori
alam terbentang

hari lahir
ada terpisah
resah gelisah
ada pertemuan
tidak berkesudahan
dalam mimpi indah.



DR RAJIEE HADI.
USIM, NS,
.
23 Disember 2015.




22 Disember 2015

puisi: SENANDUNG HATI

Bukan tidak pernah
air mata ini gugur
tanpa temaram
larut karam
tidak bertepian

Bukan tidak pernah
malam berbalam
kelam suram
purnama menghilang
diselimuti kesepian

Bukan tidak pernah
adik datang
dalam tangisan
pohon simpati
sengsara menanti
rebah ke bumi

Bukan tidak pernah
kenangan mendatang
terdampar musnah
cinta pun bertasbih
pesisir memutih

Bukan tidak pernah
berpisah lama
pergi menjauh
jangan oh jangan
agar rindu ini
tidak berpanjangan!



DR RAJIEE HADI,
Putra Nilai,NS.
22 Disember 2015.




18 Disember 2015

puisi: SAHABATKU TAHAJUD

Sahabatku Tahajud
mengusik tidurku
tatkala usia ini
menikmati santun kehidupan

Sahabatku Tahajud
menghilangkan indah mimpi
duniawi fatamorgana
mengingati ukhrawi abadi

Sahabatku Tahajud
membisik gelisah
lelah penghadaman
dinihari belum kecundang

Sahabatku Tahajud
bangkit zikirullah
taubah khusuk solat
refleksi riwayat

Sahabatku Tahajud
salam syukur pada-Nya
mengasihi diri ini
menyedarkan lenaku,



DR RAJIEE HADI,
Usim Anggerik,
Bandar Baru Nilai NS.
18 Disember 2015.








09 Disember 2015

puisi; SANGKAR HATI


dia balu muda
khabarnya jelita ayu
persis segar bayu
aroma aura bersatu
menusuk kalbu
gemersik kecapi dinihari

dia balu muda
keremajaan diri
disulami rapi
tangis masa silam
bersimpuh empati
bertemali simpati

dia balu muda
dinikahi pucuk usia
pesakit kanser hati
yang tabah melayari
bertahun-tahun bahtera
empat cahaya mata

dia balu muda
meneruskan titian
hari demi hari
pencarian cinta
mendamba hakiki
seorang suami mithali

dia balu muda
melakari impian
menggodam memori
dilema penantian
antara persimpangan
pencarian acuan diri

dia balu muda
kini terkepung
dalam sangkar hati
rintih kalbu suara
apakah yang dicari
sesingkat kehidupan ini
selain dalam reda-Nya.



DR RAJIEE HADI
Seri Mahkota, BBM,Bangi,
9 Disember 2015.













\










21 November 2015

NORUMAZA HASHIM

NORUMAZA HASHIM (Puan)  bukanlah seleberiti ataupun tokoh ternama di peringkat kebangsaan atau antarabangsa yang mahu TB ketengahkan.Beliau hanyalah seorang insan biasa.Tanpa sebarang prejudis, TB hanya mahu mencatatkan mengenai sebuah kejayaan yang berteraskan, sekiranya ada usaha maka di situ ada jalan kejayaan.

Norumaza dilahirkan di Sekinchan, Selangor Darul Ehsan pada tahun 1974.Beliau baharu menyambut hari kelahirannya pada 15 November lalu. Selamat hari lahir! Dilahirkan daripada sebuah keluarga besar yang berpendapatan sederhana,Bapanya seorang Pekerja Am di sebuah sekolah kerajaan.lbunya suri rumah sepenuh masa. Anak ketujuh daripada sepuluh orang adik beradik. Sejak dari kecil, beliau banyak belajar berdikari dan 1994 terus berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di Akademi Pengajian lslam, di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dengan pembiayaan sendiri. Beliau berjaya meraih Sarjana Muda Pengajian lslam bidang Usuluddin dengan kepujian pada tahun 1998.

Demi mengenangkan keluarganya yang susah; apatah lagi pada tahun akhir di UM bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. beliau menempuh duka pilu yang mendalam akibat tragedi bapanya.Dengan tabah dan kental semangat, anak yatim ini berjaya menamatkan pengajian sarjana muda dengan jayanya (TB: semasa ini di manakah Yapeim, Baitulmal, Pusat Zakat?)

Kerana kelangsungan kehidupan, pada tahun 1999 Norumaza tanpa membuang masa, tanpa memilih kerjaya, tanpa bimbang berjauhan, beliau sanggup menerima tawaran sebagai 'pensyarah' di sebuah kolej swasta di Kota Baharu, Kelantan Darul Naim.Walaupun pekerjaannya ini tidak boleh menjamin masa hadapannya, namun beliau berjaya bertahan sehingga lima tahun (2003) dan menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar di kolej tersebut.

Di kolej tempatnya bekerja di Kota Baharu, beliau terpaksa menghadapi cabaran lantaran persekitaran tempatnya bekerja termasuk rakan-rakan sejawatnya kebanyakannya mendapat pendidikan sekular total.Dan di antara mereka termasuklah rakan-rakan rumah sewanya yang pernah belajar di USA dan Eropah dan telah terdedah dengan pengaruh Barat yang agak bebas. Mujurlah beliau dapat menyesuaikan diri. Sudah ditakdirkan kolej tempatnya bekerja menerima musibah kebakaran teruk hingga terpaksa diberhentikan operasinya.

Tanpa membazir masa dan tanpa memilih pekerjaan, beliau memohon kursus Diploma Pendidikan lkhtisas Ambilan Ke-2 Sekolah Rendah (KPLI- Kursus` Perguruan Lepasan ljazah) pada tahun 2004. Ketika itu Bahagian Pendidikan Guru (BPG) memberi ruang kepada pemegang ijazah untuk mengikuti kursus perguruan sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia.Beliau tanpa konflik diri  namun memiliki semangat waja untuk berbakti kepada anak bangsa di peringkat sekolah rendah walaupun pernah bergelar 'pensyarah' .Dengan izin Allah pada bulan Jun 2004 beliau diterima berkursus di Maktab Perguruan lslam (kini IPGM kampus Pendidikan lslam),Bandar Baru Bangi,Selangor Darul Ehsan selama satu tahun. Beliau berjaya menamatkan KPLI pada bulan Jun 2005.Kemudian semasa konvokesyen Diploma Pendidikan KPLI di MPI 2005 beliau memperoleh keputusan' Cemerlang'. Dan tidak lama selepas itu, beliau diarahkan bertugas di Sarawak. Walau bagaimanapun takdir telah menentukan yang mana beliau tidak ke Sarawak tetapi berjaya berkhidmat dalam Negeri Selangor negeri kelahirannya di sebuah sekolah dalam daerah Hulu Langat di sekitar Bangi.

Sepanjang perkhidmatannya sehingga kini (2005- ) beliau telah berjaya naik pangkat gred 44 dan memegang pelbagai perfolio sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Walaupun kesibukan dan telah dikurniakan anak, beliau komited dengan tugas persekolahan tanpa mengabaikan rumah tangga.Justeru demi menyambut baik seruan KPM dengan Budaya llmu beliau telah mendaftarkan  pengajian sarjananya (master) di UKM  pada tahun 2009 secara separuh masa dengan biaya sendiri.

Banyak dugaan terpaksa dihadapinya. Selain pernah menghadapi kemalangan jalan raya semasa memandu kereta ke UKM, cuti sakit, cuti bersalin, beban kewangan pengajian dan sebagainya beliau masih gigih mahu menamatkan pengajian. Siapakah 'di belakang tabir' yang menjadi pendorong kuat kepada kejayaan Norumaza? ; biarlah, hanya dia yang mengetahui jawapannya. Kepada penyelianya Prof Datin.Dr Amla Salleh (balu Allahyarham Datuk Mahadir Khir bekas timbalan Menteri Pendidikan), jasanya tidak mudah dilupakan.Berbanyak-banyak terima kasih Norumaza tujukan ternasuk rakan-rakan sejawat dan semua ahli keluarga kerana dorongan positif yang telah dicurahkan.

Kini Ustazah Norumaza Hashim telah berjaya meraih gelar Sarjana Pendidikan (M.Ed.) dalam bidang Bimbingan Kaunseling Fakulti Pendidikan UKM pada konvokesyen kali ke-43 di UKM, Bangi 2015.
Semoga hari-hari esok dan mendatang akan terus menyinari bersama cahaya mata baharu lagi, insya-Allah dengan selamat,sejahtera ,sihat wal'afiat dan dilindungi Allah jua. Adakah rezeki beliau akan dianugerahkan pada kali ini (kerana tidak pernah memperoleh biasiswa!) Hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran (PhD) secara sepenuh masa, biarlah masa yang akan menentukan! Tahniah.(TB)




15 November 2015

YAPEIM

SEBENARNYA TB telah menulis dalam blog ini apa kaitan hidup TB dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi lslam (Yapeim) pada 20 Mei 2015. TB telah meramalkan ada sesuatu yang tidak kena, tidak betul dengan Yapeim.

Akhirnya baharu sehari dua ini NOW sebuah pertubuhan pemikir dan penyelidik yang diketuai anak muda generasi kini sdr Akmal telah 'berjaya' membongkar apa yang dikatakan 'penyelewengan dana wang dalam Yapeiem.lni suatu permulaan sejarah.teruskan bahawa kes ini ke muka pengadilan.Dakwa mereka yang terbabit menyalahgunakan kuasa dan sebagainya.

Ya, hancur luluh hati TB mengenangkan Yapeim ini. Sebenarnya kita wajar selidik juga dana wang di baitulmal yang banyak di setiap jabatan agama/majlis agama negeri, yayasan-yayasan kebajikan, pusat-pusat zakat yang mana wang ini 'tidak diaudit oleh auditor bertauliah'.

Alangkah hancur luluh semua umat lslam Malaysia termasuk TB yang setiap bulan dahulu sebagai penjawat awam memotong gaji bulanan bertahun-tahun dahulu; begini kesudahan akhirnya atas tagline atau label lSLAM. Apakah hukuman yang sewajarnya kepada pengkhianat ini?

01 November 2015

puisi: PERISTIWA

Sebelum berijab
engkau paparkan
jejak berliku
ayat-ayat sengsara
simpatis empatis
perjalanan hidup
mendamba cahaya
sehingga kuhafal
bait-bait hingga kini

Sebelum berijab
doamu seringkali
seorang suami
zuriat kasih sayang
pengikat amanah
jambatan duniawi
ke sana kelak ukhrawi

Selepas berijab
apa lagi dikejari
whasap astro ICT
temanmu sejati
tidak peduli lagi
emosi harga diri
alpa sejarah hayat
jerebu kelabu
mengepung kalbu

Sesungguhnya begini
dalam kemiskinan
ada kebesaran
dalam kekayaan
ada kealpaan
dalam kegembiraan
ada kelekaan
dalam kemarahan
ada peringatan.


RAJIEE HADI,
Seri Mahkota, BBM.
1 November 2015.

04 Oktober 2015

KOON YEW YIN : JUTAWAN PEMURAH

KAMI tidak saling mengenali. TB sendiri tidak tahu apakah fahaman agama atau politik Koon Yew Yin seorang jutawan yang sederhana tetapi tidak sekaya Robert Kuok atau Ananda Krisnan ataupun Vincent Tan. Pada kebiasaannya ahli perniagaan yang mula 'galak' dan mula mengumpul aset dan wang melangkaui jutaan ringgit sudah memakai gelar sama ada Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, atau Dato'. Paling minimum pun memakai gelaran 'ustaz' di pangkal nama. lihatlah para pedagang produk herba tempatan yang berlumba-lumba dengan gelaran. Apa ada pada gelaran? Tentulah masing-masing ada kemahuan yang tersirat di sebaliknya. terserahlah.Namun ini berbeza dengan Koon Yew Yin, 88 tahun yang mula menceburi diri di alam perniagaan sejak di peringkat asas dan meningkat dari satu tingkat ke satu tingkat dengan berbekalkan azam semangat, berjimat cermat, punya perancangan tajam dan merendah diri serta suka menderma. lnilah yang menarik hati TB. TB tidak mahu mengulas panjang.Semoga artikel di bawah (The Malaysian lnsider,3 Oktober 2015) akan menjadi bahan renungan kita bersama. Berikut TB kutip tulisan tersebut tanpa mengubah teks asal. Terima kasihkepada TMI dan penulis asalnya:





Pada 2009, Koon Yew Yin menawarkan untuk menderma RM30 juta kepada Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) untuk membantu membina asrama di kampus Kampar. Tawaran tersebut ditolak serta-merta pentadbiran universiti tersebut, seingatnya.

Beliau berusia 76 tahun pada ketika itu, berjaya dan berduit dan memutuskan menggunakan sebahagian besar kekayaannya untuk membantu yang miskin.
Apabila tawarannya ditolak, Koon melabur RM30 juta di pasaran saham. Enam tahun kemudian beliau kembali dengan tawaran lebih besar – RM50 juta untuk dana membina asrama di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.


Derma sebesar itu menghairankan, tetapi itulah yang diinginkan Koon, 82, pengasas syarikat pembina Mudajaya Sdn Bhd (kini IJM Corporation) dan Gamuda Sdn Bhd.
Menetap di Ipoh kini, dan mengajar kepada orang lain bagaimana untuk menjadi kaya supaya mereka juga dapat membantu golongan miskin dengan kekayaan yang diperolehi.
Dalam satu temuramah emel bersama The Malaysian Insider, warga emas itu berkata beliau cenderung kepada kerja-kerja kebajikan disebabkan zaman kanak-kanaknya yang sukar.
"Saya mempunyai 11 adik-beradik dan sering memerlukan barang kerana saya anak lelaki. Sebab itulah saya ingin membantu orang miskin. Selain derma RM50 juta saya kepada kerajaan Pulau Pinang untuk membina asrama pelajar, saya ada membiayai lebih 300 biasiswa kepada pelajar miskin supaya mereka dapat melengkapkan pengajian tinggi," katanya.

Kekayaan adalah untuk membantu

Bapanya memiliki kedai keranda di Kuala Lumpur, dan Koon lulus pengajian dengan diploma kejuruteraan sivil daripada Kolej Teknikal (kini Universiti Teknologi Malaysia) pada 1957 di bawah biasiswa Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau kemudiannya berkelayakan sebagai Chartered Civil Engineer dengan pembelajaran sendiri pada 1962, sebelum memulakan kerjaya korporat yang membawanya kepada mengasaskan syarikat pembinaan terbesar di Malaysia – IJM dan Gamuda.

Beliau mengasaskan kedua-dua syarikat dengan 2 rakan kerja pada 1967, sebelum Mudajaya bergabung dengan IGB dan Jurutama untuk membentuk IJM Corporation pada 1980.
Pada 1975, beliau menjual saham pemilikan beliau di Gamuda.

Namun di pasaran sahamlah di mana Koon, 32 tahun lalu, mula mengumpul lebih banyak lagi aset dan kekayaan."Pada 1983 saya mempunyai sakit jantung yang serius. Sebelum pembedahan jantung saya di London, saya memberi semua aset saya kepada isteri dan anak-anak. Selepas pembedahan saya, saya mula belajar bagaimana untuk membuat wang dari pasaran saham," katanya.
Pada masa itu beliau adalah pengarah eksekutif di Mudajaya/IJM tetapi melepaskan jawatannya dan melabur masa dan wangnya dalam saham.

Beliau bermula dengan RM200,000 untuk digunakan dan semenjak itu seringkali untung berjuta.
Koon berkata, cara beliau menguasai pasaran adalah dengan menjadi 'pelabur contrarian' - seseorang yang membeli semasa semua sedang menjual dan menjual semasa semua sedang membeli.
Dan ini ilmu yang beliau ingin berikan kepada orang ramai, kerana beliau sering menulis di blognya tentang tips pelaburan.
"Selepas membaca beberapa buku tentang pelaburan daripada guru terkenal seperti  Benjamin Graham, Warren Buffet, Peter Lynch serta pengalaman 32 tahun saya, saya ingin berkongsi pengetahuan saya dengan mereka yang berminat." katanya."Saya percaya mengajar orang lain bagaimana untuk membuat duit adalah seperti mengajar seseorang bagaimana untuk memancing berbanding memberi mereka ikan," tambahnya.

Harapannya adalah sama tidak kiralah sesiapa yang membantu, sama ada dengan berkongsi tips pelaburan atau dengan wang – mereka juga akan membantu yang miskin apabila mempunyai duit.
Ini juga sama dengan mereka yang memanfaatkan tips pelaburan beliau, lebih 300 pelajar menerima biasiswanya, dan juga kerajaan negeri Pulau Pinang kerana menerima ferma RM50 juta kepada hostel USM.

Mahukan negara lebih baik

Koon bukan sahaja aktif membuat duit dan memberi derma, beliau juga sering menulis tentang isu nasional."Pada 1970 apabila polisi ekonomi baharu diperkenalkan, KDNK per kapita Singapura, Taiwan dan Korea Selatan sama dengan kita. Mereka menjadi negara maju walaupun tidak mempunyai sumber semula jadi seperti kita," kata penyumbang artikel kepada The Malaysian Insider itu."Kita masih belum menjadi negara maju kerana pentadbiran buruk dan rasuah kerajaan BN (Barisan Nasional). Saya akan terus menulis untuk membangkitkan keburukan tentang kerajaan sehingga pengundi akan mengundi keluar BN dari Putrajaya," tambahnya.

Di antara ketidakpuashatiannya dengan kerajaan pemerintah hari ini juga terserlah dalam jawapan balasnya kepada penolakan tawaran RM30 juta derma kepada Utar pada 2009."Pemimpin MCA yang mengawal Utar memiliki semua tanah di luar kampus universiti, menolak tawaran saya kerana tidak mahu saya rosakkan perniagaan lumayan hartanah pembangunan mereka," katanya.
Koon percaya DAP sedang mentadbir Pulau Pinang "dengan baik" dan ada sebabnya mengapa beliau memilih untuk menderma RM50 juta kepada kerajaan negeri itu.Derma terkini beliau untuk membina asrama boleh menempatkan 2,200 pelajar. Pada masa ini USM hanya boleh menawarkan kemudahan asrama kepada pelajar tahun pertama.

'Anak-anak tak perlukan wang saya'

Koon berkata tidak berniat untuk menyimpan kekayaan peribadinya juga.
"Saya sudah menulis dalam wasiat saya, selepas pemergian saya, semua aset yang tinggal akan didermakan kepada yang miskin untuk membuatkan mereka gembira," katanya.
Koon percaya beliau memberi yang terbaik kepada anak-anaknya dan mereka tidak memerlukan wangnya."Saya memberikan anak-anak saya pendidikan terbaik yang boleh dibeli dan mereka dapat hidup senang tanpa wang saya," katanya.

"Saya ingin membantu pelajar miskin untuk melengkapkan pengajian tinggi mereka kerana saya percaya dengan pendidikan yang baik, mereka boleh mendapat pendapatan cukup untuk keluarga mereka sendiri dan orang lain," katanya.Beliau juga menegaskan, mereka yang menerima biasiswanya tidak perlu membayar semula, tetapi perlu mendedikasikan diri mereka untuk membantu orang miskin apabila sudah mempunyai wang.

"Saya percaya ada antara mereka yang akan meneruskan kebajikan selepas pemergian saya jika mereka amalkan sistem atau falsafah yang sama, akan ada lebih banyak lagi pekerja kebajikan,"
katanya.Banyak kebahagiannya dalam membantu, kata jutawan itu, kerana ia "mewujudkan" kebahagiaan."Orang ramai perlu sedar tujuan utama kita adalah kebahagiaan. Mereka akan mendapat kebahagiaan jika mereka boleh wujudkannya. Jika mereka beri sebahagian wang mereka untuk membantu yang miskin yang akan gembira, maka mereka juga akan gembira," katanya. –(sumber: TMI 03/10/ 2015.

30 September 2015

NAJIB

TB sekadar mengutip teks sepenuhnya daripada blog chedet.cc tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia. Segala tulisan,catatan,komen,judul yang sama dan seumpamanya adalah pendapat peribadi Y.Berbahagia Tun Mahathir dan tidak ada kena mengena dengan blogger Tiub Bocor(TB).TB siarkan agar tulisan tersebut menjadi banding beza dan renungan kita/pembaca budiman bersama. Berikut adalah tulisan tersebut:


1. Saya telah bekerja keras untuk menjadikan Najib Perdana Menteri Malaysia.
2. Tetapi sekarang saya mahu dia disingkirkan, meletak jawatan daripada menjadi Perdana Menteri.
3. Ia bukan hal peribadi.
4. Ia adalah kerana dia telah gagal teruk sebagai Perdana Menteri.
5. Daripada awal lagi saya perhatikan perkara-perkara salah yang dia lakukan.
6. Kita telah merdeka semenjak 1957. Kita sepatutnya dapat mentadbir negara kita sendiri. Sesungguhnya kita telah pun berbuat demikian selama beberapa dekad sebelum Najib, dan kita telah melakukannya dengan cemerlang.
7. Tetapi Najib melantik beberapa pegawai British sebagai penasihatnya.
8. Najib telah melantik ramai perunding asing untuk menasihatinya bagaimana mentadbir negara.
9. Orang-orang ini melibatkan kos berbilion-bilion ringgit tetapi nasihat mereka secara amnya tidak baik untuk negara ini. Mereka tidak tahu apa-apa tentang politik, ekonomi dan sensitivi Malaysia. Akibatnya pembangunan Malaysia lembab dan bangsa-bangsa berada dalam keadaan menentang satu sama lain.
10. Kerajaan di bawah pimpinan Najib menjadi sangat tidak popular. Walaupun memberi banyak wang kepada rakyat, mereka menolak beliau dalam Pilihan Raya 2013. Prestasi beliau lebih buruk daripada Abdullah, yang juga telah ditolak oleh rakyat. Orang Cina menolaknya sama sekali walaupun beliau mengisytiharkan dirinya sebagai saudara mereka.
11. Dia menimbulkan kemarahan kakitangan awam dengan menubuhkan Pemandu untuk mengambil alih tugas EPU. Kakitangan Pemandu yang bukannya pegawai Kerajaan telah dibayar gaji yang tinggi, jauh lebih tinggi mengatasi Skim Gaji Kerajaan. Begitu marah, sebilangan pejawat awam sebaik sahaja bersara mereka telah menyertai parti pembangkang dan bertanding sebagai calon pembangkang, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
12. Pertumbuhan ekonomi jatuh di bawah paras pertumbuhan ekonomi Filipina dan Indonesia.
13. Mata wang telah susut dan harga saham susut dengan teruk mengakibatkan masalah untuk perniagaan, pengimport dan pengeksport. Kos sara hidup meningkat terutama selepas GST.
14. Kemudian datangnya pula skandal 1MDB. Suatu dana yang sama sekali tidak perlu telah diwujudkan yang akan dibiayai oleh pinjaman yang besar. Kerajaan telah memberi satu juta Ringgit sebagai modal tetapi 1MDB (1Malaysia Development Berhad) telah meminjam 42 bilion Ringgit daripada pasaran. Ia membayar faedah yang tinggi sebanyak 5.9% dan memberikan komisen 10% kepada Goldman Sachs. Kerajaan tidak pernah meminjam begitu banyak atau membayar kadar yang begitu tinggi itu.
15. 1MDB membeli loji kuasa elektrik pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran. Ia juga membeli/mengambilalih hutang piutang syarikat-syarikat janakuasa. Jumlah kos adalah 18 bilion Ringgit. 1MDB kehilangan begitu banyak wang sehingga ia tidak boleh membayar faedah ke atas pinjaman.
16. 1MDB membeli tanah Kerajaan pada 60 Ringgit kaki persegi sedangkan harga sebenarnya adalah lebih daripada RM3,000 kaki persegi. Dengan menilai semula tanah itu sebanyak 50 kali ganda, ia mendakwa asetnya adalah lebih besar daripada hutangnya. Ini adalah seperti menjual permit import yang didapati secara percuma daripada Kerajaan.
17. Kemudian 1MDB telah menyertai perniagaan yang mencurigakan dengan Petro Saudi sebagai rakan usaha sama. Ia membayar USD1 Bilion bagi saham 40 peratus miliknya itu. Enam bulan kemudian usaha sama ini telah dibubarkan. Akan tetapi USD1 Bilion itu bersama dengan USD700 juta yang lain telah ditukar menjadi pinjaman kepada Petro Saudi. Wang ini kini telah lesap.
18. Satu-satunya aset yang dipunyai oleh 1MDB sekarang adalah loji kuasa dan tanah di Kuala Lumpur. Lebih daripada RM20 Bilion daripada 42 Bilion ringgit itu tidak dapat dikesan atau dihitung.
19. Kemudian tiba-tiba Wall Street Journal melaporkan bahawa Najib mempunyai USD700 juta dalam akaun peribadinya di Bank Arab-Malaysia (bersamaan RM2.6 bilion pada masa itu).
20. Tidak ada PM Malaysia atau Presiden UMNO yang boleh mempunyai wang sebanyak itu. Semua sumbangan kepada UMNO biasanya diterima dan dibankkan oleh Bendahari UMNO. Semua aset diletakkan di bawah nama tiga pemegang amanah.
21. Tidak pernah dalam sejarah UMNO terdapat lebih daripada RM250 juta secara tunai. Semua aset lain adalah dalam bentuk saham, tanah dan bangunan. Presiden adalah bertanggungjawab untuk menyerahkan semua sumbangan kepada Bendahari untuk perbankan. Presiden tidak pernah menyimpan wang UMNO atau wang didermakan kepada UMNO, untuk pilihan raya misalnya, di dalam akaun peribadinya. Tiada peruntukan untuk akaun UMNO dikendalikan oleh Presiden.
22. Najib dan isterinya terkenal dengan gaya hidup yang mewah. Jelas sekali jutaan telah dibelanjakan untuk pertunangan dan pelbagai majlis perkahwinan di Malaysia dan Kazakhstan. Anak tiri Najib membelanjakan ratusan juta dolar membeli hartanah di London, New York dan California. Beliau juga membiayai pembikinan filem Hollywood, “The Wolf of Wall Street” dengan perbelanjaan melebihi USD100 juta.
23. Dengan gaji Najib sebagai Perdana Menteri, adalah mustahil baginya untuk membelanjakan jutaan ringgit bagi semua ini. Ada satu kenyataan oleh PMO yang mendakwa bahawa wang bagi harta-harta luar negara dan filem itu telah diwarisi. Adalah mustahil bagi Tun Razak, atau Haji Noah atau bapa Rosmah untuk memiliki dan mewariskan ratusan juta Ringgit. Malah mereka tidak dikenali sebagai jutawan pun. Adik beradik Najib menafikan dakwaan itu.
24. Jadi dari mana datangnya wang itu? Najib mendakwa 2.6 bilion Ringgit itu telah didermakan kepadanya oleh seorang Arab. Ini tidak masuk akal. Tiada siapa yang pernah memberikan wang sebanyak itu kepada sesiapa. Dan Najib tidak dapat membuktikan bahawa orang Arab itu telah memberinya wang.
25. Dan dengan itu sebuah pasukan petugas khas yang terdiri daripada Peguam Negara, Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah, Gabenor Bank Negara dan Ketua Polis Negara telah ditubuhkan untuk menyiasat punca RM2.6 bilion berada dalam akaun peribadi Najib di Bank Arab-Malaysia.
26. Jawatankuasa Kira-Kira Dewan Rakyat juga sedang menyiasat apa yang berlaku kepada RM 42 bilion Ringgit yang dipinjam oleh 1MDB. Begitu juga Ketua Audit Negara.
27. Tiba-tiba Najib memecat Peguam Negara dengan mendakwa dia sakit. Peguam Negara menafikan beliau sakit. Tidak ada sijil oleh doktor membuktikan dia sakit. Najib tidak mempunyai hak untuk mendakwa bahawa Peguam Negara sedang sakit.
28. Pada masa yang sama, ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dikatakan telah pergi bercuti. Gabenor Bank Negara membisu. Kemudian dia menyatakan dia takut ditangkap.
29. Dua daripada ahli-ahli Kerajaan PAC dilantik Timbalan Menteri dan dua lagi diberi pekerjaan lain. Mereka tidak dapat meneruskan kerja-kerja mereka sebagai ahli PAC. PAC adalah tanpa seorang Pengerusi dan siasatan 1MDB telah berhenti.
30. Dua anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah telah ditangkap, dibebaskan dan dipindahkan ke Pejabat Perdana Menteri. Selepas komplen dibuat mereka telah dipindahkan semula ke Suruhanjaya.
31. Penolong Ketua Cawangan Khas telah dipindahkan keluar. Beliau kemudian membuat kenyataan yang keras terhadap pemindahannya.
32. Orang yang bercakap mengenai 1MDB dan 2.6 bilion ringgit dalam akaun Najib, atau melaporkan mengenainya telah ditangkap, pasport mereka dirampas dan diancam oleh polis dengan soal siasat. Ianya seolah-olah sebarang soalan mengenai 1MDB dan Najib 2.6 bilion merupakan tindakan untuk melemahkan demokrasi dan menjatuhkan Kerajaan yang dipilih dengan betul. Orang boleh ditahan sehingga 28 hari tanpa perbicaraan di bawah undang-undang baru yang bertujuan untuk mencegah tindakan keganasan. Bercakap tentang 1MDB dan RM2.6 bilion kepunyaan Najib seolah-olah merupakan tindakan keganasan. Najib lupa bahawa beliau sendiri terlibat dalam penyingkiran pemimpin terdahulu yang juga dipilih secara demokrasi.
33. Kemudian datangnya sesuatu yang menggemparkan. Al Jazeera menayangkan kisah pembunuhan gadis Mongolia Altantuya. Adalah jelas daripada kisah itu bahawa Najib mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu.
34. Ramai rakyat Malaysia tidak mahu mempercayainya. Tetapi orang di seluruh dunia mempercayai cerita itu. Ia telah menjadi satu skandal antarabangsa. Ia telah memalukan Malaysia. Di mana-mana sahaja sesiapa pergi, ada yang bertanya, “Apa yang telah berlaku kepada Malaysia”.
35. Di antara 1MDB, 2.6 bilion ringgit dalam akaun peribadi Najib dan pembunuhan Altantuya, nama baik Malaysia benar-benar rosak. Tidak pernah sebelum ini, Malaysia menjadi begitu hina oleh Perdana Menterinya sendiri. Tidak pernah orang memandang rendah negara ini. Tidak pernah sebelum ini rakyat Malaysia begitu malu dengan negara mereka.
36. Najib telah membayar orang untuk menunjuk perasaan di jalan-jalan untuk menyokong beliau. Dengan sewenangnya beliau juga mengharamkan usaha orang-orang tunjuk perasaan bagi memecatnya.
37. Untuk mata wang dan ekonomi pulih, Najib mesti berhenti menjadi Perdana Menteri Malaysia. Rakyat Malaysia mesti menuntut penyingkiran Najib. Ianya sesuatu yang amat demokratik untuk menuntut penyingkiran beliau. Tindakan yang diambil beliau untuk menahan seseorang untuk mengadakan perhimpunan untuk menuntut penyingkiran beliau adalah apa yang tidak demokratik dan bercanggah dengan undang-undang negara ini.
38. Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk menuntut Najib membenarkan siasatan terhadapnya yang akan dijalankan oleh orang-orang bebas yang tidak dilantik olehnya. Najib mesti membenarkan proses undang-undang berjalan. Jika didapati bahawa dia telah melakukan kesalahan dia perlu didesak untuk
meletakkan jawatan.
39. Hanya dengan pengundurannya sebagai Perdana Menteri Malaysia barulah ekonomi akan pulih, nilai ringgit akan meningkat, dan kos sara hidup akan turun. Hanya selepas penyingkirannya rakyat Malaysia akan mampu berdiri semula.

22 September 2015

puisi: RM2.6 Bilion

dapatkah saudara bayangkan
andainya karpal singh
masih lantang bersuara
dalam mulia dewan rakyat
menjerit dan berhujah
bertanyakan RM2.6 bilion
menafsirkan politiknya
antara rakyat dan peribadi

bagaimana pula tiba-tiba
anwar ibrahim muncul
sidang bermula kelak
adakah beliau juga
membuka kamus dewan
memberi definisi baharu
sambil garang suara
menunjukkan buku lima
atau akaun simpanannya

adakah anda pasti
dewan mulia ini
akan bermula dimensi
jika kerusi empok itu
boleh dicabut lontar
pastikah berterbangan
di atas kepala setiap ahli
demi menjaga kepentingan diri

dan sampai bilakah
kita tidak menemui
sebarang jawapan
meleraikan kekeliruan
jengkel berpanjangan
sidang yang ditangguhkan
dan rakyat pun terus
bercakaran.


DR RAJIEE HADI,
Bandar Baru Nilai, N9.
22 September 2015.





17 September 2015

ASTRO, WHATS'AP dan seumpamanya............

TB sengaja mengemukakan topik mudah untuk mencergaskan kemahiran berfikir anda. Apakah akan terjadi kepada hubungan komunikasi sehala/ dua hala anda terhadap rakan sekerja, rakan sebaya, ahli keluarga anda, privasi diri anda, pemikiran anda dan gaya hidup anda andainya anda menamatkan perkhidmatan berbayar ASTRO, Whats'ap dan seumpamanya serta merta pada hari ini? Dan anda senaraikan baik/faedahnya dan buruk/kelemahannya secara jujur terhadap semua aspek yang telah dinyatakan dalam kehidupan anda.

Sila lakukan. Selamat mencuba.

10 September 2015

puisi: KAPTEN

kapten pastikan juara
dalam gemuruh penonton
dihina dan disanjung
apa jua diterima
menuju ke piala dunia

kapten mengemudi bahtera
samudera saujana gelora
gelombang adalah alunan rindu
daratan hanya meruntun jiwa
kepada keluarga tercinta

kapten bagaikan sayap
dunia adalah angkasa raya
menghubungkan benua ke benua
menjalinkan kasih sayang
dan jua suatu peperangan

kapten seperti abang sulung
sebuah platun didakap belantara
pertempuran tidak diduga
akibat kelalaian angkara
mati dan sengsara

kapten dalam suram kerdipan
ada maksiat dosa melingkari
di sebuah bar atau pub
perempuan dan minuman jalang
diurusnya dengan lancar

kapten bersara dengan gelar
mengusung kenangan silam
muda angkuh riak di wajah
diselaputi dendam membara
di sebuah agensi keselamatan

kapten bersara dengan gelar
seorang haji yang berdikari
merendah diri mengusung hati
berjaya ternama dengan bisnes
di sebuah takaful ukhrawi,



DR RAJIEE HADI,
Seri Mahkota,Bangi SDE.
10 September 2015.




05 September 2015

puisi: KLASIK

juara bertemu juara
alunan merdu suara
linangan dan leraian
di pesisir wajah
nostalgia dan tabah

tidak semudah itu
memutar kembali
masa silam kelam
ada mesra menduga
ada kaca berbalam

kerikil usia mendepa
kaki terus melangkah
ada jejak luka pasrah
dalam lirik indah
pesona seniman dahulu

terima kasih kepadamu
anak-anak muda kini
mengembalikan basah ingatan
bunga hutan penawar rindu
menggamit kenangan.


DR RAJIEE HADI,
Seri Mahkota,Bangi,SDE.
5 September 2015.





03 September 2015

puisi: PURI BUANA

di sini saya menanti
kehadiran taulan
saat berbulan-bulan
mengatur persiapan
antara kalung ingatan
kasih berpanjangan

di sini saya impikan
jambatan ukhwah
silaturahim lslamiah
yang jauh di hati
yang dekat dalam jiwa
kita saling bicara

di sini lerai cinta
kita mahu tautkan
di penghujung usia
apa mahu direbutkan
peluit telah berangkat
dan mula merenung
sebuah pelabuhan

di sini tiba waktunya
abu hassan rakan sekelas
hassan topit rakan semaktab
ali mahmood rakan seuniversiti
abdul walid semail rakan pemuisi
tidak mengunjungiku di puri buana
dan aku terus menanti
saatnya Kekasih Abadi
di saujana sana.

Dr.Rajiee Hadi,
Puri Buana, BBB,SDE.
30 Ogos `2015.


29 Ogos 2015

puisi: SELAMAT DATANG 34 JAM

kalian usah berang
saya tidak pernah
membawa diri muncul
di perhimpunan bersih
yang dikatakan nyaman
segar udaranya

maaflah seperjuangan
saya hanya paparkan
apa itu bersih
lewat puisi kalam
suara pena hati
gelora kecewa
rakyat tertindas
korupsi & eksploitasi

hari ini anda kalian
menukarkan 24 jam
yang lama kita nantikan
kepada 34 jam
dengan amanah sabar
tekad,gerak & hasrat
demi air mata rakyat
darah pedih menyayat

Maafkan saya
dan terima kasih
masih ada yang ingat
saya di jalan raya
disakiti gas pemedih
semata-mata kasihkan
bahasa ibunda saya
rebahnya ppsmi
dahulu suatu waktu
& salam perjuangan!


DR RAJIEE HADI,
Seri Mahkota,Bangi,SDE.
29 Ogos 2015.


26 Ogos 2015

puisi: PANTAI BAGAN LALANG


sana sini sisir pantai
kian pesona landai
rumah-rumah di tepian
kian riuh penghuni
kamar-kamar terapung
hujung minggu kini
tiada yang termangu
yang berjualan meriah
pedagang seberang
dan orang asing

sana sini sisir pantai
kian ragam membangun
wisata riang tawa
hujung teluk memukau
mimpi malam enak
tiada margasatua rimba
tiada hutan menakutkan
anak-anak kecil dilepaskan
bermain ombak rakus
hilang dilambung ganas

bagan lalang di sini
pernah kami berkampung
bersama rakan seperjuangan
diskusi tuju hala
bicara sebuah perjuangan
pada dekad-dekad lalu
memartabatkan pendidikan
anak semua bangsa
kini entah ke mana

bagan lalang di sini
anak-anak yang kukasihi
kita dekat di pelipis mata
mengapa jauh di lubuk hati
walau di sini pernah kita
bermesra dan meluah rasa
berbicara degup resah laut
berseloka camar di sebalik awan
mengutip kulit-kulit siput
pasir-pasir pantai kehitaman
tapi telah kita jernihkan
dengan azam & akujanji
namun ke manakah menyepi?


DR RAJIEE HADI,
Bagan Lalang, Sepang,SDE.
24 Ogos 2015.



21 Ogos 2015

puisi: CATATAN YANG BERTERBANGAN

apabila dia membaca
travelog guru karyaku
matanya mula berkaca
hatinya mula bersinar
kenangannya mula berputar
antara arwah suaminya
bersama-samaku awal kerjaya
tempat jatuh lagi dikenang

dia adalah seorang isteri
sahabatku ali yang baik
lulusan maktab bahasa
kami mengusung buku
dan mengatur hiruk-pikuk
di kelas-kelas peralihan
demi suatu perjuangan
yang tidak sesiapapun
mahu mengerti memahami

dia terus bercerita
ali  almarhum suaminya
seringkali menyebut namaku
guru muda yang tabah
mendaki puncak payah
kadangkala membuka album
kenangan dan airmata
silih berganti pilu
rakan-rakan kian menghilang
menjauh ditelan waktu

suatu hari ceritanya lagi
dia dan suaminya,ali
bersiar-siar ke desa gubuk ibu
melewati rumah kelahiranku
hasrat mahu bertandang
tapi sepi tidak berpenghuni
tidak diduga saatnya
beberapa hari kemudian
ali, sahabatku yang baik
meninggalkan nafas terakhirnya



maafkan aku
cikgu ali sugiman
cikgu abu bakar sobor
kami tiga serangkai
bertahun-tahun menyalin ingatan
di kelas-kelas peralihan itu
ada suka duka catatan
dan aku meninggalkan kalian
menimba ilmu lagi
dalam lipatan takdir
kalian pula meninggalkanku
buat selama-lamanya, alfatihah!


DR RAJIEE HADI,
Seri Mahkota, Bangi SDE.
21 Ogos 2015.





17 Ogos 2015

puisi: KEMERDEKAAN

kemerdekaan sebenarnya
yang kunikmati kini
bagaikan disirami hujan
umpama dipanah matahari
laksana deru angin
yang kukecapi percuma
pemberi Yang Maha Kuasa
tanpa muslihat musnah pekerti

kemerdekaan itu adalah
tanpa rasuah tipu daya
tanpa helah akaun peribadi
tanpa fitnah membela korupsi
tanpa urus niaga maruah diri
tanpa membeli peti undi
tanpa pohon ikhsan sana sini
tanpa menjual nama peribumi

kemerdekaan bukan hanya
mengenang perarakan semalam
kereta antik ke dataran pahlawan
tahun peristiharan pemimpin dijulang
belenggu penjajahan silam
si lebai pulang kelaparan
lalu sorak-sorai si kaduk
menang ayam kampung tergadai

sebenarnya mula kumengerti
kemerdekaanku bebas daripada
perintah am & pancaroba
pangkat & gila harta
aneka gelaran & kuasa
mahukan harum persepsi
tidak mengira usia angka
biarlah di ruang sempit ini
hanya jeriji besi ditabiri !



DR RAJIEE HADI,
McD B.B.Nilai, N9DK.
17 Ogos 2015.





16 Ogos 2015

puisi: PADA HARI INI

satu zulkaedah
hari mulia ini
muhammad junjunganku
berangkat dari madinah
menuju makkah al-mukaramah
dengan wida' lafazmu
akupun merinduimu
airmata membasahi pipi

satu zulkaedah ini
setelah meninggalkan syawal
ramadan yang berlalu
zulhijjah menyusul lagi
apakah sempurna
doa ampunku pada-Nya?

pada hari ini
adam bapa salsilahku
memohon keampunan
yunus, zakaria dan lainnya
bermunajat tawaduk
dengan kudus doa pada-Nya
pada cahaya purnama ini
dimakbulkan jua oleh-Nya

pada hari ini
masih diberi kesempatan
untuk aku menahan segala
api kemarahan dan kelaparan
mengutip butiran dosa silam
dengan ampun doa zikirullah
untuk kulontar jauh selamanya!



RAJIEE HADI,
BBM, Bangi,SDE,
16 Ogos 2015



14 Ogos 2015

puisi: API MASIH MEMBARA

semalam yang kutahu
hujan membasahi bumi
api membakar merah
berhari-hari bahkan bertahun
namun tidak padam jua
entah mengapa

aku tidak pasti
mendung kian resah
ada hujan petanda
ribut datang menggila
pepohonan di perkebunan ini
entahkan rebah jua

kupohon flora alam
rerumput hijau mengecil
berzikir doa buatku
agar bumi indah ini
dapat kupijak aman
sebelum nafasku berhenti.




DR RAJIEE HADI,
MacDonald BBN, N9.
14 Ogos 2015.

12 Ogos 2015

puisi: MENUJU UTARA

Hujan dan angin
datang dan pergi
simpang-siur perjalanan
di lebuh maknawi ini
sepantas van jenazah
melepasi wajah kami

Di hentian rawat rehat
keletihan menakluki diri
tafsir sebuah kehidupan
menggalas lemahnya jiwa
kami manusia kerdil
tidak upaya meneruskannya

Kami melihat juga
van jenazah itu
berhenti di parkir
meninggalkan si mati
pasti tiada lagi kelaparan
keseorangan tidak ketakutan

Begitulah analogi
si mati sendirian
tidak seperti si pemandu
kelaparan panjang
sebuah perjalanan
menuju utara.


DR RAJIEE HADI,
Tapah, Perak darul Ridhwan.
6 Ogos 2015.



11 Ogos 2015

puisi: MERDEKA

Adakah aku masih merdeka
di hadapanku kem tahanan
ketika penjara sejarah ini
masih mencipta masalah

Adakah aku masih merdeka
andainya di belantara bukit ini
cengal jati dan meranti
dimusnahkan sesuka hati

Adakah aku masih merdeka
sekiranya setiap inci
di bumi pertiwiku ini
bukan kini milik bangsaku

Adakah aku masih merdeka
saat perasuah kini dipuja
antara kita pun
bercakaran sesama sendiri

Adakah aku masih merdeka
andainya di mana-mana destinasi
petaka diri bagaikan jerangkap samar
peluru di hujung nyawa!


DR RAJIEE HADI,
Kamunting, Perak.
9 Ogos 2015.

05 Ogos 2015

puisi: ANTARA AKU & DIA

aku anak marhaen
dia anak bangsawan
moyangku hanya penghulu
bersetia kepada temenggung
tidak punya apa
hanya sekangkang tanah
di desa hulu muara

dia anak bangsawan
pegawai istana negeri
dengan magis kuasa
akrab dengan istana
segala datuk paduka menteri
dijunjung adat berzaman
segala hutan belantara

dia anak pemimpin negara
aku hanya anak pengusaha karet
bersarapan pagi keledek ubi
berbasikal usang ke sekolah
tidak ada drebar peribadi
hanya subur tanah berbakti
kepada ibu pertiwi

dia menjadi ahli parlimen
kemudian timbalan menteri
ketika usia sebaya
aku hanya guru muda
lepasan maktab bahasa
yang gaji bukan luar biasa
tanpa biaya ke universiti

ketika dia mengira ribuan
aku hanya membilang angka
satu persatu tidak seberapa
mampu dengan vespa
dia telahpun nyaman
dalam mercedes
aku hanya garu kepala

ketika aku masih mengira
ratusan yang kecil
dia telahpun jauh
mengira jutaan bilion
meninggalkan aku
yang masih berkira-kira
honorarium sumbangan
sebuah puisi kecilku.



RAJIEE HADI,
BSP, Bangi,SDE,
6 Ogos 2015.






31 Julai 2015

puisi: HUJAN DI TANAH BANGI


Hujan tidak berjanji
akan lebat turunnya
hujan tidak pasti
akan berhentinya

Hujan turut membisu
reda gerimisnya
hujan tidak mengundang
halilintar membelah gema

Bisik hujan berkali-kali
apabila sampai waktuku
aku rela menyepi
bersemi bersatu bumi

Apa yang pasti
di tanah bangi ini
hujan yang berderai
gersang merekah
bertukar hijau subur

Apa yang pasti
tandus bahang ini
bertukar dingin nyaman
persada bening kembali
damai sukma pesona

Apa yang pasti
sesungguhnya hujan ini
menyimpan misteri
bahasa punjangga
dalam diri.

DR RAJIEE HADI,
Bangi,SDE.
20 Julai 2012.

puisi: : PANTUN JENAKA PULAU PENYENGAT (buat Leo AWS)



Pulau Penyengat bukan menyengat,
ada aura ada semangat,
jauh datang mesti ingat,
Melayu suka makan pengat.

Terima berita buku baharu,
daripada Leo Darul Naim,
dalam tongkang jangan garu,
jika baca SMS Tuk Him.

Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji,
pujangga terbilang makam di sini,
asam pedas jangan dipuji,
kelak rupiah dibayar seguni.

Putar-putar naik bemo,
dua puluh lima ribu sejam bayaran,
berat kami macam sumo,
minta lebih mengaku jiran.

Dalam cendol ada tapai,
tepi laut balai adat,
tangan pendek tidak tergapai,
tangan panjang dipotong beradat.

Gadis pasentren entah di mana,
ada madrasah mengaji agama,
Pulau Penyengat hantaran istana,
usah mimpi ikut bersama.

Bertenang jangan asyik terkenang,
bersabar saat menanti debar,
masa lalu berkuak renang,
masa sekarang di dalam gebar.



DR RAJIEE HADI,
Pulau Penyengat, Riau, lndonesia.
28 Jun 2012.




28 Julai 2015

puisi:SIAPAKAH GERANGAN

SIAPAKAH GERANGAN


siapakah gerangan
yang termuda
dilantik dalam kabinet
semata-mata legasi
kepada ayahandanya
yang dikatakan rakyat
banyak jasanya



siapakah gerangan
ketua pemuda itu
yang kemudiannya
dilantik mudah
menjadi penuh menteri
ketika hijau pucuknya



siapakah gerangan
yang memperkenalkan
akta pendidikan 1996
pendidikan tanpa sempadan
natijahnya berduyun-duyun
visa tanpa warna
dari seluruh dunia
dengan peningkatan IPTS
gejala virus pun menular
penyalahgunaan berleluasa

siapakah gerangan
timbulnya kapal selam
berjuta-juta harga
tidak dipastikan nilainya
hinggalah berduka
bapa si monggolia
puterinya terbunuh
misteri merajalela

siapakah gerangan
mengenakan GST
petrol dan barangan
harga rumah menggila
dan rakyat kian mencuka
onar pati di sana sini
jenayah bimbangkan
rakyat jelata

siapakah gerangan
memenggalkan jawatan
seorang tipiem
yang banyak berjasa
suatu ketika itu
tiada VCD cetak rompak
diburunya habisan
ketika di KPDN
dan guru-guru riang
warna-warni masa hadapan

siapakah gerangan
pelaku onar malang
negara tanah airku
yang tercinta ini
panas mula suram
hujan mula syahdu
tidak ada pasti
dalam penjara ini.



RAJIEE HADI,
BSP,28 Julai 2015

SALLEHUDIN ABDUL WAHAB, HAJI - Al-Fatihah

HAJI Sallehuddin Abdul Wahab ,TB memperoleh khabar telah meninggal dunia pada bulan Ramadan yang lalu pada saat-saat umat lslam mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri. Allahyarham, 63 tahun adalah rakan sejawat TB yang sama-sama mengajar di Tingkatan 6 di Sekolah Menengah (SMK) Datuk Mohd.Said, Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus pada tahun-tahun 1980-an yang lalu. Kami adalah guru perintis bagi Tingkatan 6 yang baharu dibuka yang mana pengetua ketika itu adalah Encik Taib Hussin.

TB rasa terkejut dan amat terharu. Beliau cuma mengidap penyakit lemah jantung dan sesak nafas yang TB rasa tidaklah kronik seperti penyakit jantung saluran ateri tersumbat atau kerosakan buah pinggang ataupun diabetis.Beliau yang tinggal di Taman Nilai, Pekan Nilai telah bersara wajib daripada jawatan terakhirnya sebagai Pengarah di Maktab Perguruan Kota Baharu/IPGM-KB,Kelantan beberapa tahun yang lalu.Selepas bersara, TB telah mencari dan dapat menziarahi beliau ketika beliau terlantar uzur di rumahnya.TB lihat beliau mengalami kemurungan, keuzuran dan keletihan setelah menempuh alam persaraan.Apatah lagi hidup diselubungi kesunyian tanpa teman-teman sejawat di sisi.Begitulah putaran kehidupan.

Awal tahun ini TB berpeluang lagi bertemunya yang hanya berkerusi roda kerana menziarahi majlis perkahwinan anak bongsunya. Arwah yang telah berjaya memperoleh ijazah Sarjana Pendidikan (kaunseling) M.Ed UKM pada tahun 1992 adalah rakan yang menjadi 'pesaing positif' ketika kami sama-sama mahu memperoleh ijazah lanjutan di UKM ketika itu.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya bersama orang-orang beriman dan para solihin di
'alam sana'- Al-Fatihah. (TB).

17 Julai 2015

SALAM AIDILFITRI 2015

WALAUPUN marah dengan GST, harga barangan dan petrol kian meningkat, dan nilai wang RM yang kian mengecil dan pelbagai masalah kehidupan, TB dapat rumuskan bahawa sambutan Aidilfitri tahun ini dalam sejarah lebih 40 tahun yang lalu...paling tidak meriah. Di sana sini TB lihat lebih banyak wajah mencuka daripada riang ria. Sungguhpun daripada segi agama, kita semua telah berjaya menempuh pelbagai cabaran ketika Ramadan dan dengan 'semangat fitrah' menyambut Hari Raya Aidilfitri namun realitinya adalah di sebaliknya. Pada petang 'mantai' dan malam hari raya; TB tinjau di kawasan Bandar Baru Bangi dan Bandar Seri Putra kelihatan suasana masih meriah dengan orang ramai. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu; biasanya kedua-dua kawasan majoriti orang lslam itu telah lengang apabila akhir Ramadan.

TB juga ada kedengaran suara jiran yang mula meniggikan suara; mungkin ada pergaduhan kecil suami isteri yang memecah keheningan malam raya. Dan entah mengapa pula, pada malam hari raya PM Datuk Seri Najib Razak memberi ucapan dengan memakai baju Melayu berwarna hitam. Apakah ini petanda kemuraman hatinya atau kemuraman rakyat? Pembaca boleh jelaskan sendiri. Wallahualam. Dan paling menyayat hati Hari Raya Puasa tahun ini adalah tahun yang paling tinggi kemalangan jalan raya yang membabitkan kematian. Dan apakah petanda ini? lni juga pembaca boleh menjelaskan sendiri.

Apapun TB ucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri, maaf `zahir batin jika ada kesalahan tutur kata dan bahasa serta halalkan mana-mana ada 'terhutang' , termakan dan terminum.
Salam Lebaran!

15 Julai 2015

puisi: DI RESTORAN MAKANAN SEGERA

DI RESTORAN MAKANAN SEGERA


di kota ini, desa kian menjauh pergi
tidak kudengar pinggan mangkuk berlaga
bergemalatuk dingin air telaga
kami bersila siap siaga
sambil menjengok di luar langit jingga
menggosok pelipis mata merah saga

dinihari malam masih muda
dengan minyak tanah pelita waspada
rumah usang datuk berkumpul sekeluarga
menikmati sahur juadah  pulut durian
dengan nasi berbaki lauk yang ada
ada ketikanya perut remajaku tidak menerima

setelah bertahun-tahun ditakdirkan
aku masih bermesra dengan si kecil itu
saujana menadah  langit yang damai
membilang bintang dan mahu mendapatkan bulan
sambil menghirup udara segar fajar
sebelum menikmati juadah pelbagai cita rasa

di restoran makanan segera ini
si kecil itu diselimuti dimensi baharu
dan sering aku membayangkan
puluhan dekad waktu mendatang
bagaimana si kecil itu sepertiku kini
memberi takrif sahur ramadan nanti.


RAJIEE HADI,
Bandar Seri Putra, SDE.
15 Julai 2015.






14 Julai 2015

puisi: DI PADANG AWAM ITU

DI PADANG AWAM ITU


di padang awam itu
yang saban dwitahun
cukai majlis perbandaran
tanpa tunggakan dijelaskan
kami menikmati prasarana

di padang awam itu
anak-anak kecil kami
berlari riang bebasnya alam
tanpa gangguan anjing liar
atau onak duri menjalar

kini di padang awam itu
entah bila bertukar gelanggang
kulihat ada pemain nepal & myanmar
ada pemain bangladesh & pakistan
ada pemain vietnam & thailand
ada pemain afrika & sri lanka
serta para pemain lain
yang menanti giliran
demi giliran untuk saling menendang
saling menanduk, saling berlarian
hingga membuat anak kecilku kian bosan

sebenarnya di padang awam itu
di tanah airku malaysia kini
telah berlangsung piala dunia
tanpa tiket tanpa visa
tidak siapapun peduli lagi!


RAJIEE HADI,
Bangi, SDE.
14 Julai 2015.

17 Jun 2015

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL MUBARAK

TB dan warga kerja mengucapkan Selamat Menyambut Puasa pada bulan Ramadan al Mubarak pada hari Khamis, 18 Jun 2015 bersamaan 1 Ramadan. Semoga umat lslam khususnya diri TB, ahli keluarga, sahabat-handai dan seluruh umat lslam dapat mengamalkan ibadah ini dengan penuh tawaduk dan keredaan akan memperoleh keberkatan daripada Allah SWT.

Mana-mana ada kesilapan TB, terkasar bahasa, termakan dan terminum harap maafkan dan halalkan.Semoga kit semua kita dilindungi oleh-Nya sepanjang bulan ini yng penuh berkat.
Kepada ahli keluarga Allahyarham Cikgu Saibi lbrahim (pesara Pengetua SMBG Ledang & SMTSL,Felda Bukit Serampang yang telah kembali ke rahmatullah pada petang semalam, Selasa,16 Jun 2015)didoakan semoga roh beliau dihimpunkan dalam golongan para salihin. Al-Fatihah.
Salam Ramadan al-Mubarak!

16 Jun 2015

PETUA ELAK SAKIT JIWA

 Mereka yang suka melakukan 'troll' atau mengeluarkan kenyataan bernada menyindir dengan tujuan provokasi dan menyebarkan keburukan orang lain menerusi media sosial, merupakan golongan 'sakit jiwa.'


Penceramah motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkata, golongan ini boleh dikenali menerusi empat ciri dengan yang pertama orang yang 'sakit dari segi rohani.'"Jiwa atau rohani mereka tidak sihat. Orang yang sakit dari segi jiwa memang tidak mempunyai perasaan malu atau rasa bersalah untuk menyebarkan keburukan orang lain walaupun dengan niat berjenaka," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, ciri kedua ialah jahil agama kerana secara jelas agama menghalang mana-mana pihak menyampai atau menghebah keburukan orang lain.Yang ketiga, katanya, mungkin dipengaruhi oleh rakan-rakan atau persekitaran."Kalau semua geng dia kongsi atau sampaikan keburukan, keaiban dan perkara yang negatif maka dia akan terbawa-bawa sifat itu serta melakukan perbuatan yang sama.

"Yang keempat ialah orang yang sewenang-wenangnya menyampaikan sesuatu perkara tanpa mengetahui kesahihan dan kebenaran keseluruhan cerita itu. Ini akan menjurus kepada perlakuan memfitnah dan mengumpat serta sangat berbahaya," katanya.Menurut Mohd. Fadzilah, pelaku 'troll' sebenarnya terlupa perbuatan mereka itu adalah suatu sabotaj terhadap diri sendiri.

Orang terlepas pandang apabila mereka memberi komen bersifat negatif terhadap sesuatu isu, secara tidak langsung akan mencerminkan sifat peribadi pelaku 'troll' dan menjatuhkan maruah diri mereka sendiri, katanya.

"Apabila mereka menyampaikan keaiban orang lain dalam media sosial, dosa pelaku kesalahan itu mungkin terhenti setakat itu namun dosa orang yang menyebarkan cerita tersebut akan berterusan selagi isu itu masih dibincangkan," katanya mengakhiri bicara.(disesuaikan) 

09 Jun 2015

RAJIEE HADI: ANTOLOGI PUISI PATRIOTISME 'DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA'

               

BUKU  antologi puisi patriotisme 'Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' yang mengandungi hampir  lebih 150 buah puisi yang sarat dengan tema kalbu insani,pesona alami dan subur lslami telah berjaya diterbitkan dan mula ada di pasaran terhad mulai hari ini. Antologi yang memuatkan 3 bab kumpulan puisi penyair Rajiee Hadi yang bermula  dengan bab 'Pesona Alam' kemudian 'Kalbu lnsani' dan 'Subur lslami'. Puisi-puisi yang dimuatkan dalam antologi perseorangan ini mengandungi elemen kasih sayang yang pelbagai terhadap alam, hubungan kemanusiaan dan ketakwaan kepada Allah Yang Maha Pencipta. Segala kasih sayang ini tidak dapat dipisahkan daripada 'di mana bumi dipijak' tanah leluhur ini.
.

Antologi ini diterbitkan oleh Penerbitan Awan Prima dengan harga RM25.00 (SM), Sabah & Sarawak Rm28.00 dan Singapura & Brunei S/B D 11.00. Tambahan kos pos di mana-mana destinasi cuma RM7.00 sahaja. Antologi setebal 155 muka surat boleh dipesan secara pos melalui Pengurus P.Awan Prima, Puan Nor di talian: HP: 01136405523 (pesanan boleh dibuat) .

Anda boleh juga dapatkan di pasaran di kedai-kedai bukiu seluruh Malaysia, selagi stok masih ada., lnsya-Allah.

25 Mei 2015

PELACUR BAHASA

TB bukan mahu menghuraikan apa itu 'Pelacur Bahasa' yang telah digunakan sejak 1970-an yang silam. Mungkin pelacur bahasa digunakan dalam pelbagai 'sikon' (situasi & kondisi). Namun apapun tujuannya adalah semata-mata untuk menegur para pengguna bahasa agar bertanggungjawab, menggunakan bahasa kita, bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara kita,Malaysia tercinta.

Tiga hari lalu, TB berlegar-legar dan membelek-belek buku-buku yang terjual di sebuah toko buku. TB tidak menafikan zaman ini adalah kebangkitan buku-buku agama dan novel-novel pop yang yang 'ghairah diurusniagakan bagaikan di pasaran bursa saham.' TB hanya sedikit peduli hal keghairahan itu; asalkan masyarakat tidak lupa akan budaya membaca yang kita sendiri suka tanamkan anak-anak kita sejak dari zaman bayi lagi.

Walaupun keghairahan pemasaran  di sesebuah syarikat penerbitan berusaha dengan pelbagai pemancingan psikologi bakal pembeli (baca,'pembaca') namun orang yang beragama lslam dan berbudaya masyarakat Melayu; janganlah semuanya 'terlampau atau terlajak' dari pelbagai aspek termasuk judulnya. TB naik mual dan mahu termuntah jikalau TB menulis di ruangan ini secara terperinci..(TB kurang menulis cara 'copy n paste').

TB terkejut ada penulis dan penerbit (bukan penerbit PTS) yang menggunakan perkataan/istilah 'KORANG,' CANTEEK', 'SODAP', 'SEDAPPP' dan sebagainya dalam judul buku, keterangan judul di bahagian kulit luar bukunya (adakah terbit sendiri tidak dipantau?) dan seumpamanya. Alangkah malangnya jikalau penulis buku berbahasa Melayu tidak tahu:

1. Apa itu bahasa Melayu persuratan?
2. Apa itu bahasa Melayu lisan?
3,Apa itu bahasa Melayu isyarat?
4.Apa itu bahasa Melayu rojak?
4.Apa itu bahasa Melayu cacamarba?
5.Apakah itu 'keselerasan ejaan sebutan/vokal bahasa Melayu?

Tanpa banyak bicara panjang; TB menyeru agar penulis atau bakal penulis mengenal pasti 5 perkara pokok di atas itu sebelum menulis sesebuah buku atau apa jua penulisan; baik kreatif atau deskriptif.Jika tidak, anda yang berbuat sewenang-wenangnya melakukan kejahilan bahasa dalam penulisan rasmi (menggunakan bahasa Melayu persuratan) dalam buku-buku,jurnal &majalah maka anda adalah manusia tidak bermaruah dan layak dipanggil 'PELACUR BAHASA' (istilah pelacur tubuh adalah berbeza konotasinya).  (TB)

21 Mei 2015

GHAZALI HAJI HAMZAH, PPD PETALING PERDANA

TERLEBIH dahulu TB mohon maaf kepada sahabat lama TB, Tuan Haji Ghazali Hamzah yang kini menjawat sebagai Pegawai Pendidikan Daerah (PP) Petaling Perdana, Shah Alam, Selangor D.E andainya kata-kta TB dalam blog ini mengguriskan hatinya.Namun TB terpaksa katakan berterus terang demi prinsip sebuah janji. Ya, janji yang tidak ditepati.

TB tahu, Haji Ghazali cuma tinggal hanya beberapa hari lagi akan menempuh alam persaraan, bersara wajib daripada perkhidmatan pendidikan kerajaan. lni bermakna, jikalau diikut perkiraan, TB masih ada lagi tempoh perkhidmatan wajib sehingga akhir tahun ini. Namun situasi telah menjadi sebaliknya.

Haji Ghazali adalah sahabat baik TB, rakan semaktab (MPB, 1976-77) dan rakan serumah sewa di rumah kedai bertingkat di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian beliau ditakdirkan menjadi super junior TB di UPM. Setelah TB berjaya meraih ijazah profesional B.Ed., beliau baharulah mencecah masuk ke menara gading UPM untuk mendapatkan B.Ed.selama empat tahun! Begitulah masa dan waktu berlalu, Beliau terus komited berkhidmat di sekolah dan JPN Selangor. Dan TB pun meneruskan perjuangan dalam pendidikan dengan terus meningkatkan kelayakan akademik, menimba ilmu dan berkhidmat di IPGM dan IPT. Kami satu matlamat, tetapi cara dan bentuk sahaja berbeza.

Ghazali yang 'warak' ini  begitu aktif dalam aktiviti lslam semasa kami di MPB.. Namun sebagai anak muda 'kisah gosip anak muda' tidak dapat dielakkan namun beliau berjaya menanganinya dengan bijak. Begitulah Haji Ghazali, yang juga aktif dalam pasukan pengakap bersama TB. Difahamkan beliau melanjutkan pengajian dalam bidang kaunseling semasa di UPM. Justeru, TB berharap beliau dapat memanfaatkan ilmunya semasa tempoh persaraannya kelak. Tempoh bersara adalah tempoh yang menguji kita kerana banyak perkara kita telah 'kehilangan' semasa kita hidup dalam 'dunia kita' sahaja nanti.

Namun ada suatu perkara yang TB 'kurang seronok' ialah apabila Haji Ghazali gagal menunaikan janjinya dengan TB. Kononnya sebagai seorang sahabat lama yang karib, TB ikhlas mahu memberi sanjungan dan penghormatan sebagai tanda kenangan dalam buku TB ' Travelog Guru: Seribu Warna Seribu Makna' untuk ruangan Kata Pengantar buku tersebut. Sebelum ini pun buku TB kumpulan puisi 'Cinta Arafah' pernah diringi kata-kata aluan/pengantar oleh Allahyarham Datuk Haji  Razali lsmail, mantan Timbalan Menteri Pendidikan yang juga mantan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, KPM. Justeru, jika dibandingkan Allahyarham Datuk Haji Razali; siapalah dia Haji Ghazali? Namun TB mahu hargai atas nama persahabatan kepada beliau. Bahkan seorang bekas pengetua (MAS ADEKI,penulis 'muda' dengan menggunakan nama samaran) yang pernah menjadi Pengetua di Sekolah Menengah Tasik Selatan,Kuala Lumpur pernah buku sastera puisinya "Gurindam" diiringi kata-kata aluan oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein!

TB kecewa dengan Haji Ghazali Hamzah walaupun TB telah mengirimkan draf kata pengantar yang merupakan teks penuh melalui emelnya.Apabila dihubungi melalui telefon beberapa kali, beliau menyatakan kesibukannya. Apakah 'sibuknya' setiap minit dalam masa 24 jam? Beliau sendiri yang menyarankan agar TB mengirimkan teks secara emel.Tidak pula dikatakan bertemu muka dan 'serah tangan' . Walau bagaimanapun semuanya sudah menjadi sejarah. TB menanti respons beliau hampir 2 bulan! Hari Guru 2015 sudah berlalu. Alhamdulillah buku tersebut  telah pun berjaya diterbitkan tanpa ' Haji Ghazali Hamzah' dengan cetakan pertamanya sudah habis dijual!

Apapun TB ucapkan kepada sahabat lama TB 'Selamat hari Guru' dan 'Selamat Bersara Wajib' dan selamat menempuh kehidupan dengan serba realti!

20 Mei 2015

YAYASAN PEMBANGUNAN EKONOMI ISLAM MALAYSIA (YAPEIM)

TB sudah lama terpanggil untuk menyahut aduan/komen/keluh kesah daripada seorang sahabat dan mungkin juga mewakili sebahagian besar penjawat awam berketurunan Melayu /bumiputera beragama lslam yang agak musykil bersebab mengenai YAPEIM. TB pun tidak pasti adakah YAPEIM didaftarkan atas akta syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ataupun didaftar atas sebuah badan/yayasan kebajikan atas akta ROS. lngatlah, dua tempat ini ada mekanisme yang berbeza tatkala beroperasi.

Dipendekkan cerita, sahabat itu mengadu gaji bulanannya dipotong oleh jabatannya (mungkin melalui Perbendaharaan/Akauntan Negara) sejak lebih 20 tahun lalu. Sama ada ketika itu 'izin dalam paksa' atau 'rela dalam duka' beliau mengizinkan gajinya dipotong secara bulanan (dia hanya mampu RM10/sebulan), dia tidak pasti. Namun segala-galanya atas dasar 'amal jariah'.

Tetapi bukan isu pokok pemotongan dan sedekah itu mahu dipersoalkan. Tetapi mekanisme,perjalanan dan ketelusan YAPEIM selama ini yang dipertikaikan. Katanya, beliau terpanggil bertanya dalam hati, mengapa sana sini sekarang didapati YAPEIM mengusahakan premis perniagaan 'Pajak Gadai lslam'? Apakah rasionalnya? Sedang ar-Rahnu kini banyak dijalankan oleh Bank Rakyat, Bank lslam dan pelbagai ejensi yang berorientasikan lslamik.

Bayangkan jika sekitar 3 juta penjawat awam sejak 25 tahun lalu dipotong gaji bulanan kerana bersedekah jariah sebanyak RM10-RM50 sebulan? Maka berapakah jumlah/amaun yang telah dikutip? Apakah dan ke manakah wang itu dibuat dan dialirkan? Sedangkan Tabung Haji yang menyimpan tabungan orang awam lslam telah melakukan pelbagai perlaburan untuk pulangan baik bagi jangka pendek dan jangka panjang itupun menghadapi pelbagai isu panas.

Jikalau YAPEIM ada objektifnya maka apalah gunanya kita ada Pusat Pungutan Zakat, Baitul Mal dan pelbagai jenis tabung sedangkan di sana sini kita dapati ramai golongan asnaf, OKU, warga emas tidak berpencen , anak-anak yatim, janda miskin ramai anak, penganggur,pelajar miskin, mahasiswa IPT dan sebagainya yang hidup merempat dan meminta-minta belas ikhsan daripada orang ramai atau organisasi yang berkaitan? Tanyalah KKM dan LHDN yang mengendalikan BRIM berapakah jumlahnya individu lslam yang kategorinya miskin layak dapat bantuan BRIM? Tidakkah ini memalukan kita sebagai penderma yang bertahun-tahun tetapi kita tidak tahu ke manakah hala tuju wang itu?

Hari berganti hari, bulan dan tahun juga bersilih ganti, YAPEIM terus mendapat dana daripada pemotongan gaji penjawat awam dan lain-lain sumber. Sehinggalah TB diberitahu sahabat itu telah pun pencen/bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan pemotongan itupun terhenti setakat itu. Apa yang beliau tidak puas hati, tidak ada pun sepatah kata surat ucapan terakhir daripada YAPEIM kepadanya. Dan berpuluh-puluh tahun dia tidak pun menerima apa jua laporan/penyataan atau notis ataupun pembentangan bajet dan sebagainya wang hasil derma orang ramai kepada YAPEIM.lngatlah, tabung surau/masjid pun dilaporkan kepada orang awam di papan-papan notis masjid/surau.lni adalah langkah telus bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa, penipuan, tidak amanah, culas dan macam-macam sifat buruk.

Yang TB sedar jawatan esekutif YAPEIM dahulu daripada seorang pegawai biasa kini sudah bergelar Ketua Pengarah. Andainya perjawatan mengikut gred JPA maka pegawai utamanya itu tentulah sekurang-kurang gred JUSA A. Wah, besar dan lumayan gaji dan elaunnya. Tetapi apakah besar juga tugas dan tanggungjawab yang dibuatnya?

18 Mei 2015

MELAYU CEKAP,BIJAK & PANDAI BERNIAGA JUGA

TB sangat benci jika orang-orang Melayu yang berniaga di gerai-gerai tepi jalan, warung-warung, pasar-pasar malam dan sebagainya bersikap tamak dengan menjual makanan dan apa jua produk sama harga dengan yang dijual di restoran atau di pasar-pasar raya atau di kedai-kedai runcit yang terpaksa membayar sewa kedai, belanja air elektrik,pekerja ramai dan seumpamanya. Sebab itu peniaga yang tamak ini bertahun-tahun di takuk itu juga, kerana pendapatan mereka mungkin tidak berkat dan disumpahi orang ramai.Bahkan membayar cukai kepada LHDN jauh sekali. Adakah LHDN malas mahu membuka fail? Pimai pimai para penjawat awam yang gaji tidak seberapa juga 'diratah' oleh LHDN!

Di sebuah restoran segera pagi ini TB perhatikan seorang pemuda Melayu yang dapat 'menarik' seorang pemuda Cina untuk bersama-sama berkongsi perniagaan. Oleh kerana perbualannya jelas, tidak berapa jauh daripada kerusi meja TB maka TB dapat kutip setiap butir perbualannya. Lantaran TB berminat dan mendapat degree dalam bidang komunikasi dan psikologi (psikolinguistik) maka TB dapat tangkap setiap inti perbualan dan memahami bahasa badan mereka.

Sahlah, pemuda Melayu itu seorang 'leader terkenal' sebuah syarikat jualan langsung yang berjenama & berprestij.Dia berjaya 'mengheret' pemuda Cina itu mendengar celotehnya. Dengan bahasa lnggerisnya yang lancar, bahasa badan yang meyakinkan dan dia dapat menguasai situasi maka pemuda ciona itu bagaikan terperangkap secara halus sambil memegang borang keahlian yang belum siap ditulis. Pemuda itu terus berhujah dan terus berhujah pantas tanpa kompromi.Sesekali pemuda Cina itu mencelah dengan bahasa lnggeris rojak yang kurang fasih. Dipendekkan cerita, akhirnya pemuda Cina itu akur dan 'tewas' lalu mengisi borang keahlian syarikat direct selling milik kaumnnya juga.(jika kepunyaan Melayu, bagaimana?).Setelah selesai, TB perhatikan mereka berdua mula berkomunikasi pula dalam bahasa Melayu tanpa masalah. Begitulah peranan bahasa, ada yang digunakan untuk mempengaruhi situasi jangka pendek.Kliennya beredar.

Tanpa disangka, seorang pemuda Cina lain yang sibuk menaip komputer sudah hampir 2 jam tadi mula merapati pemudah Melayu yang petah berbicara itu.Mereka kelihatan tiba-tiba sudah jadi seperti rakan kongsi bisnes yang mula 'buka kedai' berbicara tentang bisnes.

Moralnya cerita di atas bahawa orang Melayu bukan mustahil jika mahu ceburi dalam perniagaan. Janganlah anggap orang-orang cina itu hebat. Tips yang paling penting, banyak memca semua aspek bahan dan galilah pelbagai pengetahuan, rajin merujuk kamus, berlatihlah komunikasi, yakinkanlah diri, tanamkan sikap 'kita boleh' dan sentiasa berjimat cermat, bersabar dan bersikap mesra tidak sombong! Selamat maju jaya!

15 Mei 2015

RAHIMIDIN ZAHARI KEMBALI KE RAHMATULLAH

SEMALAM baharu TB menyebut dan bertanya khabar sosok Rahimidin Zahari penyair muda terkenal abad ke-21 menerusi blog TB. Beberapa hari lalu penyair veteran Le0 AWS ada mengirim SMS memberitahu TB mengenai Rahimidin dimasukkan ke Hospital Sungai Buluh kerana mengalami pendarahan otak.

Rahimidin (sila rujuk biodatanya di mana-mana website) hari ini selamat dikebumikan di kampung halamannya di Peringat,Kelantan sebelum solat Jumaat. TB terkejut dan amat terharu.Sesungguhnya dunia perpuisian Malaysia  kehilangan seorang seniman puisi yang berbakat dan mula menggilap nama di persada puisi tanah air. Berita yang dikirimkan oleh Leo Aws juga menerusi SMS ini juga mengejutkan TB. Takdirnya, Allah lebih menyayangi Rahimidin yang telah kembali dalam usia muda.Menurut Leo antara teman penulis yang hadir menziarahi Allahyarham di kampung halamannya ialah penyair Azmi Yusuf, Marsli N.O, Norhisham Mustaffa. Leo Aws dan Presiden Pena.

TB: Al-Fatihah...semoga roh Allahyarham dihimpunkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman.Amin.
Dan setelah pemergian RZ baharulah TB tahu bahawa arwah adalah Bendahari Pena terkini. Dan selanjutnya baharulah TB dapat tahu daripada portal berita bahawa 11 (sebelas) buah buku RZ telah diterbitkan oleh ITBM. Apa yang TB tahu KPM pernah menyumbangkan dana kepada Pena-ITBM untuk penerbitan karya-karya sastera kebangsaan. Dan TB terima banyak aduan mengenai kronisme,nepotisme dan macam-macam telahan termasuk 'penilai hantu' yang mana banyak penulis yang sudah ada nama ditolak oleh ITBM! Dan apabila 'kembalinya 'RZ maka sedikit sebanyak ada sesuatu yang tersembunyi...hingga 11 buku RZ diterbitkan oleh ITBM sahaja. Wallhualam!


14 Mei 2015

FAISAL TEHRANI

TB tidak berniat mahu ulas apa yang Faisal Tehrani (FT) buat atau kemelut yang dihadapi. Bagi TB siapa TB, FT pun tidak kenali dan siapakah FT, TB pun tidak kenali sangat. Walupun kadang-kadang TB sering lepak di tangga depan ATMA UKM. Cuma yang TB tersedar nama penulis ini mendadak naik walaupun TB tidak pernah pun membaca seabarang bukunya (mungkin sudah tidak banyak masa lagi, tidak seperti zaman kanak-kanak/remaja TB banyak baca karya fiksyen Melayu karya Hamka, Abdul Moes,lwan Simatupang, Pramoedya , Ruhi Hayat, Abdullah Hussein, Keris Mas,Arena Wati dan lain-lain ).

Walau apapun TB tidak pasti adakah FT bertugas sebagai pensyarah (berjawatan tetap) atau Felo ataupun Tutor yang bukan berjawatan tetap tetapi bersifat kontrak/sementara. Justeru, Sekiranya berjawatan tetap maka FT dan sesiapun kena faham dan akur apa itu 'Perintah Am Kerajaan'; selagi kita berkhidmat sebagai penjawat awam bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tatatertib dan sebagainya....(sebab dalam bahasa kasar, "universiti itu bukan bapa kita punya",),lNamun jika bukan pensyarah maka perjawatan seperti felo atau tutor, penjawat itu boleh "belah" bila-bila masa jikalau individu itu mahu kebebasan minda umpama "tukar tiub" yang bekerja sendiri dan boleh menyalurkan idea/pendapatnya dengan bebas (asalkan tidak menyalahan undang-undang negara).

Begitulah FT dalam kemasyhuran namanya dekad ini dan dekad lalu kerana anehnya "menang menjuarai anugerah sayembara menulis novel utama dsb. dan disampaikan oleh VVIP" tetapi anehnya juga baharulah kemudiannya karya-karya dinobatkan dan difatwakan HARAM...(Apa maksud hukumnya 'haram'?)...Apakah langit tidak selalu cerah? Apakah ini bermakna karya-karya FT tidak menepati, tidak mematuhi peraturan-peraturan,syarat-syarat dan objektif peraduan tersebut?

TB: Dua,tiga lalu teman penyair kelahiran pramerdeka dari Pantai Timur beritahu TB mengenai penyair Rahimidin yang dimasukkan wad di Sungai Buluh kerana mengalami pendarahan di kepala (strok?). Apa khabar beliau sekarang? Didoakan cepat sembuh.Amin.

11 Mei 2015

TEMA HARI GURU 2015: GURU MEMBINA ILMU,MENYEMPURNAKAN AKHLAK

SEMPENA HARI GURU 2015 dan mempunyai tema yang bertepatan dan  selaras dengan isi kandungan buku "Travelog Guru: Seribu Warna Seribu Makna" maka adalah amat baik dan bersesuain semua warga pendidik memperoleh dan membaca buku ini. Jikalau sudah habis dijual di kedai buku sila buat tempahan secara talian. Cetakan kedua dalam proses.



Kulit buku hadapan dan belakang
Buku yang mengandungi 365  (fon 14) muka surat terbitan  Penerbitan Awan Prima terbaharu  2015 dan terlaris di pasaran kini ditulis oleh Dr Haji Rajiee Hadi.

Buku ini menyalurkan sumber utama motivasi, biografi dan informasi daripada penulis yang berpengalaman dalam dunia pendidikan dan keguruan. Buku ini adalah kisah guru, kisah kita dan kisah masyarakat yang secara langsung terbabit sama dalam dunia pendidikan. 

Penulis telah menghimpunkan coretan pengalamannya dalam dunia keguruan lebih 35 tahun. Sejarah awal kehidupan penulis dan detik hari mulanya menerima tawaran berkursus asas perguruan di sebuah maktab perguruan terulung di Kuala Lumpur telah membuka lembaran baharu perjuangannya yang penuh asam garam kehidupan. Suka lara, duka riang, marah,kecewa dan ceria telah dipaparkan dengan berani dan berterus terang demi kelangsungan dan kemuliaan profesion keguruan untuk generasi kemudian.


Dapatkan buku di atas dengan menghubungi: (Tempahan On-Line dan Terus Daripada Penerbit)

Pengurus: Pn.Nor: H/P:  01136405523 (sms)
Bank-in : Akaun BSN: 10001-41-00001008-6
Harga Semenanjung Malaysia :RM 45.00, Sabah-Sarawak RM48, Brunei Singapura BD/SD 18
Contoh Harga Diskaun Promosi lstimewa  (potongan 10% termasuk Sabah,Sarawak,Brunei,Singapura)  Contoh Harga Selepas `diskaun SM: RM 40.00  & RM7.00 (kos penghantaran pos ekspres) = RM 47.00 (EMPAT PULUH TUJUH RINGGIT MALAYSIA)+ RM3.00 (sedekah tambahan untuk kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim & Orang Tua. JUMLAH/AMAUN BESAR RM: 50.00 (LIMA PULUH RINGGIT MALAYSIA SAHAJA).

Formula sama digunakan untuk harga dan kos penghantaran bagi Sabah,Sarawak,Brunei & Singapura.

Nota:

Membeli sambil menderma, bersedekah amal jariah. Terima kasih, pembelian buku ini turut menyumbangkan 05%Kepada  Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Kurang Upaya serta Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua. Terima kasih!

04 Mei 2015

HASSAN TOPIT, HAJI

TERSEBUTLAH kisah diam tidak masa terus berlalu.Walaupun pergerakan masa dikatakan merangkak namun datang dan perginya deras bagai air sungai yang mengalir dari hulu menuju ke kuala.Begitu juga kisah sahabat semaktab TB, Tuan Haji Hassan Topit yang seingat TB jawatan mutakhirnya sebagai Pengetua Cemerlang di sebuah sekolah menengah sains (SBT) berasrama penuh di Air Keruh,Melaka.

TB pernah hadir dan tinggal di asrama sekolahnya pada tahun 1977 sewaktu TB menghadirinya sebagai peserta di Konvensyen Pendidikan (1) anjuran Persatuan Suluh Budiman pimpinan Allahyarham P.E.Dr.Awang Had Salleh.Banyak kenangan lalu ketika TB berada di sekolah ini.

Dan sehinggakan TB baharu tersentak seringkali tidak sempat hadir datang ke sekolah ternama ini kerana ada sahaja halangan.Dan diam tidak masa telah beralih pergi dan TB teringat sahabat TB Haji Hassan Topit adakah beliau telah bersara? Jika sudah bersara di mana beliau bersemenda sekarang?
Sebenarnya nama Haji Hassan Topit dan sekolah ini ada tercatat dalam buku motivasi,biografi & informasi tulisan TB yang terbaharu berjudul 'Travelog Guru: Seribu Warna Seribu Makna' yang kini berlegar di pasaran. Selain Sdr Hassan, TB terpanggil bertanya di manakah Sahak Wahid, Museri Latib, Arumugasamy, Chew Hock Liong, Dahlan Tampin, dan ramai lagi rakan-rakan TB satu MPB,Lembah Pantai 1976-77? Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat.......... (TB)

02 Mei 2015

AHMAD FADZILLAH MENINGGAL DUNIA

TIGA hari lalu TB dapat tahu daripada staf penerbitan Aras Mega Sdn.Bhd. yang beroperasi di Taman Desa Damai, Sungai Merab Luar, Bandar Baru Bangi, Selangor bahawa penyair Ahmad Fadzillah, 58 tahun telah meninggal dunia hampir sebulan lalu secara mengejut setibannya beliau di rumahnya.Allahyarham. seringkali berulang-alik daripada tempat kerja dan pulang ke rumah  di Kuala Lumpur setiap hari kerana bekerja sebagai editor di syarikat penerbitan tersebut.

Ahmad Fadzillah yang TB kenali sejak lebih 25 tahun lalu ketika beliau bertugas sebagai kerani di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur (jika TB tidak silap). Beliau seorang yang pendiam dan gemar menyendiri. Namun apabila didekati beliau juga gemar berseloroh dan berminat apabila membicarakan perkembangan kesusasteraan tanah air. Dikhabakan beliau pergi akibat serangan jantung mengejut. Ada kemungkinan dalam usia sebegitu, beliau terpaksa terus survival demi kehidupan diri dan keluarga. Namun takdir, Allah lebih menyayangi dirinya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dihimpunkan Allah dalam golongan para salihin. Al- Fatihah.

30 April 2015

BERMULANYA MENULIS NOVEL......

TB ada terbaca sebuah buku karya Shahnon Ahmad lebih 30 tahun lalu yang menyatakan bahawa permulaan untuk seorang pengarang atau bakal pengarang 'tergoda' mahu menulis novel ialah adanya 'kegatalan' mahu menulis akibat daripada faktor-faktor yang menolak dalam batinnya membusar dalam kalbunya yang meluap-luap mahu coretan pena ditumpahkan di atas kertas (sekarang dalam komputer). Ya, lain orang lain padang, lain orang lain ragam!

Adalah amat bermanfaat jika penulis memiliki asas ilmu bantu pengetahuan sastera sama ada pengetahuan dasar ataupun berilmu sastera tulen.Paling minimum penulis bijak dan tahu mengaplikasi dan memanipulasi  tema,mesej,bahasa dan gaya bahasa (stilistik), watak dan perwatakan serta teknik penceritaan. Dan amat-amat dihormati andainya penulis tersebut berpengetahuan dalam ilmu teori dan pendekatan kesusasteraan serta kebahasaan. Justeru, penulis boleh melakar dalam mindanya sama ada mahu menggunakan pendekatan psikologi, persejarahan (histografi), kewartawanan baharu (journalisme) dan banyak lagi.


Kita faham, ada penulis zaman silam hanya menulis dan terus menulis apa yang terakam dalam mindanya tanpa memikirkan aspek struktural atau formalistiknya. Begitu juga seperti pemuzik zaman tuk kaduk yang bermain alat muzik secara 'by hard'. Namun keadaan telah berubah. Kita tidak mahu karya yang kosong, hampas dan hambar tidak ada pembangunan jiwa dan kosong dalam memberi pengetahun yang membangun kalbu insani dan kehebatan manusiawi.lnilah yang terjadi kepada hampir 85% buku-buku fiksyen di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baharu-baharu ini yang mengetengahkan 'TSUNAMI NOVEL POP' yang mengandungi mesej yang hampas! Maaf, TB tidak berhasrat mahu mengupaskan dalam blog kali ini.lnsya-Allah pada waktu lain. Sebenarnya gejala novel-novel pop pernah melanda dalam perkembangan kesusasteraan lndonesia pada tahun-tahun 1990-an lalu.

Berbalik kepada permulaan menulis novel, kata Shahnon lagi; penulis/pengarang mestilah ada rasa sensitivi dalam dirinya  sama ada disebabkan persekitaran hidupnya, kehidupan yang melakarinya, beban hidupnya sehinggalah termasuklah lagu-lagu yang boleh menceritakan kisah hidupnya atau yang boleh membuahkan inspirasi. Ah, untuk permulaan ini, TB sudah ada 'mood' kembali apabila 'diusik nostalgik' dengan lagu-lagu yang memberangsangkan motivasi TB seperti berikut:

1. Selamat tinggal bungaku
2.Mimpi yang tak sudah
3.lstana menanti
4.Biarku menjadi lilin
5.Suratan atau kebetulan
6.Aku jambatan buatmu
7.Ayat-ayat cinta
8.Dealova
9.Pamitan

TB: Apa kata jika ada pembaca mendengar semua lagu itu, sila berikan cadangan 2 tajuk/judul cadangan untuk novel TB yang mahu TB tulis/karangi. Ada hadiah misteri menanti jika ada judul yang terbaik dan bertepatan! Silakan.





28 April 2015

DUA KISAH O.K.U (oku)

SUDAH lama TB tidak menggarap idea. Kekadang idea datang mencurah bagai air terjun Niagara tetapi kerana tertangguh maka banyak telah dilupakan dan terlupa terus daripada memori.TB mahu bangkit kembali berjuang di arena pena; mengasah yang tajam ini daripada mata pedang! Terasa TB diberikan Allah SWT seperti 30 tahun lalu. Syukur nikmat yang Allah kuniakan usah dipersiakan asalkan niat murni ke jalan Allah.

Dua kisah yang TB mahu ceritakan kali ini adalah kisah OKU. Terpulanglah sama ada OKU adalah orang kelainan upaya atau orang kurang upaya. Kekadang ada lojiknya ada perbezaan antara kelainan dan keupayaan. Tetapi jangan salah anggap yang menyatakan OKU itu termasuk orang tua yang uzur, sakit tenat, sakit kronik kita mahu gelarkan OKU. itu adalah orang tidak berdaya@uzur (OTB)...hehehe.

Kisah pertama tersebutlah pada abad lalu (abad ke-20...sekarang abad ke-21 mulai tahun 2001) ada seorang isteri mahu 'membenarkan suaminya berkahwin(bernikah). Pada mata zahirnya isteri ini o.k. Tetapi kehidupan bertahun-tahun pasangan suami isteri ini bagaikan api dalam sekam. Suami merasakan dirinya tidak dihormati dan berbagai-bagai lagi tingkah laaku negatif yang tidak perlu TB ceritakan.

Oleh kerana mahu menunjukkan si isteri ini hebat dan 'baik' maka dia mencadangkan calon isteri baharu suaminya mestilah OKU. Hebat sungguh si isteri ini kerana tanpa berfikir jauh seolah-olah dia yang menetapkan dengan syarat wajib bahawa calonnya isteri baharu suaminya (isteri ke-2) wajib OKU.
Maka ditunggu-tunggu mana-mana wanita OKU yang mahu diperjodohkan.

Tahun berganti tahun. Entah siapa sangka akhirnya si lelaki/si suami ini bertemu dengan seorang gadis malang yang mengalami gangguan jiwa.Oleh kerana kejahilan ilmu si isteri ini maka disangkanya juga wanita tersebut tergolong dalam OKU.Mereka bertemu bersua muka.Mereka saling bertakruf.Entah apa yang dibincangkan si suami pun tidak tahu.Entah di mana silapnya kerana 'OKU' ini kelihatan lebih berpelajaran maka si isteri ini merasakan dirinya kekurangan.Dan si isteri ini seperti memungkiri katanya. Maka berlakulah konflik demi konflik. Dipendekkan cerita, bersandarkan bahawa JODOH itu adalah KUASA Allah dan mahu berterusan memberi ujian kepada hamba-hamba-Nya maka si suami itu akhirnya berkahwin juga dengan gadis yang dikatakan OKU.Setelah berkahwin, inilah ujian Allah yang mahu berikan....bukan OKU tetapi wanita itu adalah OBU iaitu Orang Banyak Upaya!  Hahaha berperanglah dua wanita yang kedua-duanya OBU! Moral ceritanya: Kita tidak boleh melawan hukum Allah.Akibatnya apa yang dimahukan atas kehendak sendiri, terima akibatnya.

Cerita kedua berlaku dalam abad ke-21 ini. Kisah seorang isteri yang seperti tidak kisah si suaminya mahu mendapatkan pahala seperti mendirikan sebuah masjid apabila berijabkabul. Kata isteri ini, dia tidak mahu mencarikannya (maklumlah hati isteri) dan katanya tidak perlu minta izin (sememangnya betul kata si isteri ini kerana tiada dalam syariat lslam) jika si suami ini mahu bernikahl lagi. Si suami ini memberitahu penulis bahawa dia mahu menikah niat kerana Allah kerana melihatkan zaman sekarang ramai wanita tidak bertemu jodoh  (kerana lelaki lslam sekarang ramai yang 'rosak akhlak' dan terbabit dalam ketagihan dadah,jenayah ,porno, penyelewengan seksual dan malas). Niat dia baik. Adakah ini dikatakan sudah ke tahap hukum fardu kifayah? Wallahualam. Demi menyelamatkan umat Nabi Muhammad SAW. Sudahkah agensi berkaitan wanita membuat penyelidikan jujur berapa ramai gadis-gadis  lslam sekarang yang sudah rosak akhlak? Menjadi pelacur dan perempuan simpanan? Gejala lesbian, menjadi sugar mummy, mencari sugar daddy dan sebagainya?

Setelah memperoleh penjelasan isterinya maka Ss suami bertekad sama ada ada jodoh atau tidak berserah kepada Yang Maha Berkuasa.Suatu hari si suami bertemu dengan seorang gadis yang mengaku bahawa dirinya telah diberi pengesahan oleh doktor sebagai OKU. Gadis ini ini pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya. Pada zaman keemasan lalu gadis ini menceritakan bahawa hidupnya 'enjoy', tidak menutup aurat, tidak solat dan sebagainya. Apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya, mungkin memandu laju , hancur remuk keretanya maka menyebabkian gadis ini hilang sebelah mata (kecacatan kekal), gangguan saraf minda, dan kerosakan saraf kaki.Gadis ini telah tinggal di hospital selama setahun dan hilang ingatan. Dengan izin Allah yang menyayanginya maka gadis ini kemudian pulih hampir lima tahun kemudian dan seterusnya masih menerima rawatan walupun dibenarkan bekerja semula.Apa yang dia sedar kemudian, abang-abang dan adik bongsunya perempuan telah berumahtangga dan telah pun mempunyai cahaya mata masing-masing.Gadis ini telah berusaha mencari jodohnya dengan macam-macam cara.

Ditakdirkan gadis ini bertemu si lelaki yang telah bersuami tadi yang reda memperisterikannya walaupun gadis ini tidak sempurna kerana telah disahkan OKU. Namun ironisnya gadis OKU ini tidak mahu menjadikan si lelaki itu suaminya.  dan diringkaskan cerita maka hubungan dan cerita lelaki itu dengan gadis OKU itu hilang ditiup awan yang menghilang entah ke mana. Dan hanya Allah yang Maha Mengetahui mengapa dan kenapa jodoh si lelaki itu dengan OKU sebenar tidak kesampaian. Wallahualam.

TB: Begitulah dua kisah si lelaki/si suami dengan OKU. Fikir-fikirlah moral cerita ini. Kun fayakun.....