Salam Perjuangan

09 Mac 2011

EMPAT SASTERAWAN NEGARA SOKONG INTERLOK

EMPAT  Sasterawan Negara sepakat menegaskan bahawa novelInterlok karya Datuk Abdullah Hussein langsung tidak menghina mana-mana kaum. Malah, mereka berpendapat bahawa tujuan sebenar penceritaan dalam novel itu merupakan sebuah harapan tanpa melihat masalah pada istilah yang digambarkan oleh penulis.

Sasterawan Negara yang terdiri daripada Profesor Dr. Muhammad Salleh, Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan, Datuk Shahnon Ahmad dan Datuk Noordin Hassan turut bersetuju Interlokadalah sebuah novel yang melukis suatu deretan waktu, watak dan latar sejak 1910 hingga sebelum merdeka.

"Tujuan penulis cukup mulia iaitu melukis gambaran kaum-kaum yang terdapat di negara ini dengan masalah dalamannya sendiri dan akhirnya bersatu untuk menerima negara dan harapan baru. "Manusia yang dilukiskan juga cukup mulia terutama watak Maniam yang besar hati dan jiwanya yang masih ingin membantu orang lain walaupun dia pernah menjadi mangsa,'' kata mereka dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mereka berkata, pindaan pada beberapa perkataan yang ingin dibuat terutama istilah yang ditujukan kepada kaum tertentu bakal memberikan gambaran tidak seimbang kepada kaum lain. Kata mereka, sekiranya perubahan dibuat kepada satu kaum, maka akan wujud lukisan tidak benar yang hanya cantik pada suatu kaum.
"Kami berasa sangat prihatin sekiranya pengarang terus didesak untuk merubah karya mereka sehingga gagasan awal mereka dicairkan,'' katanya.

Justeru itu, kumpulan Sasterawan Negara itu menyeru semua pihak untuk memberi kebebasan kepada sasterawan untuk menulis, berfikir dan berpendirian. "Benarkan penulis negara melukis kenyataan Malaysia walaupun kenyataan itu tidak manis.

"Penulis juga berfikir bagi pihak kita dengan sudut pandangan mereka sendiri. Walaupun berlainan tetapi ia masih diperlukan di negara yang demokratis,'' katanya. Dalam pada itu, mereka menegaskan bahawa teks sastera bukan sebuah teks politik, sejarah atau geografi sebaliknya sebuah teks yang melukis jiwa manusia, perasaan nilai dan kepentingan dalam konteks zaman dan sejarahnya.

"Sastera bukan dokumen rasmi pemerintah atau maklumat yang dirapikan dan dicantikkan untuk disebarkan.
"Sastera adalah lukisan kehidupan dan sudah pasti, kehidupan tidak selalu rapi dan cantik,'' kata mereka.(sumber : UM,9/3/11)

Tiada ulasan: