IZINKAN saya mengucapkan selamat datang kepada saudara saudari sekalian, para
rakan sealiran dan sahabat sekalian, ke majlis pelancaran Angkatan
Amanah Merdeka atau ringkasnya AMANAH ini. Saya berasa amat terhutang
budi atas kehadiran saudara sekalian pada hari ini.
Saya ucapkan ribuan
terima kasih kepada semua yang dapat hadir dan yang membantu untuk
menjayakan Majlis Pelancaran ini. Saya percaya bahawa di hujung jalan
yang kita mulai dengan langkah awal ini, kita akan dituntut untuk
membuat beberapa pilihan yang sangat penting bagi masa depan negara kita
- pilihan yang mesti kita buat tidak kira apakah masalah, cabaran dan
rintangan yang terpaksa kita hadapi.
Pagi ini mungkin merupakan suatu
peristiwa sosial yang biasa sahaja dalam lanskap (senario) seharian
Malaysia atau ia mungkin juga boleh merupakan suatu permulaan dalam
perjalanan ke arah sesuatu yang belum pernah terjadi, yang mungkin dapat
mengubah arus arah tuju masa depan negara kita.
2. Biar saya
katakan dengan tegas, tanpa ragu-ragu dan rasa berbelah-bagi bahawa saya
sayangkan negara ini sepertimana saya percaya saudara sekalian pun
begitu. Kita berkumpul di sini, bekas kediaman rasmi Perdana Menteri
Pertama kita, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pada hari ini
bukan untuk melancarkan gerakan membantah atau protes dan tidak juga
untuk bermain politik.
Kita berkumpul di sini kerana kebanyakan
daripada kita, secara tulus berasa amat prihatin dan risau, gundah dan
sedih melihat apa yang sedang berlaku di negara kita yang tercinta ini.
Warga
Malaysia yang berfikiran benar dan saksama jangan lagi berpeluk tubuh,
menyerah dan menerima secara pasif dan berlembut hati terhadap buruk
laku dan keadaan yang dahsyat seperti rasuah, kronisme dan krisis
perkauman yang berlaku setiap hari di depan mata kita. Kita mesti
bertindak segera sebelum keadaan ini sampai ke tahap yang tidak dapat
dipulihkan lagi sehingga akhirnya seluruh asas peraturan hidup sosial,
moral, budaya, undang-undang dan perlembagaan yang menjadi wadah
ketahanan negara kita selama ini akan hancur dan musnah. Kita jangan
menunggu lama lagi sebelum kita terlambat untuk melakukan perubahan.
3.
Kita berkumpul di sini hari ini kerana kita memerlukan suara hati budi
ramai, suara untuk melafazkan kehendak hati kita kepada pihak-pihak yang
berkuasa dengan cara yang tertib dan demokratik sebagaimana yang
dijamin dan dipertunjukkan oleh peraturan perlembagaan kita dan juga
oleh tradisi bersama kita sebagai rakyat yang cintakan keamanan. Kita
jangan membiarkan perbuatan manipulasi politik apa pun dan dari
mana-mana pihak pun, untuk memecahkan rakyat majoriti melalui apa-apa
dasar dan keputusan yang secara sengaja dibuat untuk kepentingan
golongan-golongan minoriti yang berkepentingan. Sejak masa sebelum
kemerdekaan sampai sepanjang tempoh 54 tahun yang lepas Malaysia telah
membuktikan bahawa penduduknya dapat hidup bersama dalam semangat
perpaduan, harmoni, dan timbang rasa antara satu sama lain. Semangat
timbang rasa antara penduduk negeri ini luarbiasa sekali sifatnya, dan
kalau kita mengimbau kembali masa-masa yang lepas kita dapati bahawa
interaksi atau perhubungan antara kaum dan toleransi atau rasa timbang
rasa keagamaan tidak pernah menjadi masalah kita. Berkali-kali di
masa-masa dahulu Malaysia disebut-sebut oleh masyarakat antarabangsa
sebagai contoh atau "model" negara yang penduduk pelbagai kaum etniknya
dapat hidup bersama dan bersatu. Semangat inilah, model perpaduan
antara etnik inilah, sebagai asas perpaduan kebangsaan kita, yang mesti
kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memulih dan memeliharanya.
Jikalau pada hari ini semangat ini sudah tidak ada lagi - sebagaimana
yang dapat kita saksikan sedang berlaku setiap hari - tentu ada sesuatu
yang sangat tidak betul berlaku dalam cara kita memerintah atau
mentadbirkan negara ini. Maka saya katakan bahawa masanya sudah tiba
untuk kita mencegah dan memberhentikan perkembangan menurun dan merosot
yang dahsyat ini. Jangan kita teruskan sindrom penapian terhadap
keadaan ini untuk menutup kebenaran atau realiti yang sebenar.
4.
Saya memerhatikan, dengan hati yang sangat gusar, melihat keadaan yang
amat merunsingkan, iaitu keadaan perhubungan antara kaum dan antara
agama yang kian memburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan jika
keadaan ini saya tambahkan lagi dengan perbuatan sesetengah pihak dan
orang perseorangan yang secara terang-terang dan barangkali dengan
sengaja merosakkan institusi-institusi perpaduan di negara ini untuk
kepentingan mereka, maka saya katakan terus terang bahawa saya amat
sedih dan risau.
5. Sudah sekian lama, di antara kalangan kita
yang mewakili suara pertengahan dan sederhana menyepi dan cuba mengelak
risiko konfrontasi (dengan pihak berkuasa) kerana kita mahu meneruskan
kehidupan biasa kita yang bebas daripada masalah dan kesusahan yang
dicari-cari. Sikap seperti ini tidak sepatutnya berlaku berterusan
kerana kalau kita menyepi dan tidak berbuat apa-apa padahnya amat buruk
kepada kita dan keadaan itu tidak akan dapat dipulihkan.
6.
Inilah masanya golongan majoriti yang menyepi selama ini mendengarkan
suara mereka. Inilah masanya ayah yang selama ini senyap untuk bersuara
bersama-sama alunan dan jeritan suara yang lain dan bertanya: "Kami
mahukan kebenaran, tidak paparan kepalsuan dan penipuan". Inilah
masanya suri rumah tangga yang selama ini
berdiam diri dan tidak
bersuara berkata: "Saya mahukan masa depan untuk anak-anak saya yang
bebas daripada segala macam masalah yang dicetuskan oleh pelbagai pihak
dan individu politik, ekonomi dan kumpulan-kumpulan sosial
berkepentingan sendiri".
Ini masanya orang muda-dewasa yang bekerja
berkata "Kami mahu tahu ke manakah arah tuju negara kita dan kami mahu
tahu bahawa keputusan dan pilihan yang dibuat adalah yang terbaik dan
benar". Inilah masanya saudara sekalian dan saya sendiri dengan tegas
menolak perbuatan rasuah besar-besaran dan perpecahan kaum yang sedang
berlaku sekarang, dan berkata, "Berhentilah! Cukuplah"! dalam sejarah
Malaysia belum pernah timbul keadaan dan ketika yang lebih mendesak
daripada keperluan ketika kini untuk kita semua berdiri menentang
keadaan yang buruk itu.
7. Apabila Bapa Kemerdekaan kita Almarhum
Tunku Abdul Rahman yang tercinta menubuhkan Malaysia, dia bercakap
tentang penduduk pelbagai kaum hidup sebagai anggota dalam satu keluarga
yang besar. Dia berkata, kira-kira demikian bunyinya: "Jikalau kita
mahu bersatu sebagai satu keluarga dan mahu hidup di bawah satu bumbung
yang kita sebut Malaysia, kita kenalah bersikap jujur terhadap satu sama
lain Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, kaum Siam dan lain-lain lagi -
Orang Islam, orang Buddhist, orang Hindu, orang Kristian, dan
sebagainya. Jikalau kita jujur dan ihklas, kita tidak akan berkata
apa-apa yang boleh menyakiti orang lain. Kita juga tidak akan melakukan
apa-apa perbuatan yang boleh menyakiti hati dan perasaan satu sama
lain. Sebagai anggota keluarga yang iklhas dan jujur kita mestilah
sentiasa hadir, bersedia untuk menolong satu sama lain. Yang kaya
hendaklah menolong yang miskin dan yang sudah berjaya hendaklah menolong
yang kurang bernasib baik. Dengan cara begitulah baru kita boleh
menjadi satu bangsa dan menjadikan negeri ini bersatu-padu dan kuat.
Setiap orang akan berasa gembira. Barulah Malaysia akan dihormati oleh
dunia..."
8. Alangkah hebatnya kata-kata yang mudah tetapi penuh
hikmah ini. Dia mahukan kita hidup dengan cara demikian sebagai anggota
dalam keluarga yang bahagia. Selepas 54 tahun, di mana kita berada
sekarang? Adakah kita sudah dapat hidup sebagai satu keluarga? Seperti
yang telah saya katakan tadi, jikalau belum, tentu ada sesuatu yang
salah. Kita tidak boleh menunggu terlalu lama lagi untuk mengembalikan
negeri kita ke jalan yang benar. Kita mesti berbuat sesuatu dan
melakukannya sekarang juga! Setiap warga Malaysia yang berfikiran benar
hendaklah bersama-sama dalam gerakan ini, gerakan untuk menyatakan
hasrat dan suara kita - dan menyatakannya dengan lantang dan jelas.
9.
Tunku Abdul Rahman mengamalkan apa yang dia serukan kepada orang lain.
Oleh sebab kerajaan pada masa itu tidak mempunyai wang yang cukup, dia
berjaya memujuk kawan-kawan bukan Islamnya dan beberapa pihak lain untuk
memberi sumbangan kepada tabung pembinaan Masjid Negara. Masjid itu
dibina dengan kos RM10 juta sahaja. Projek itu tidak sahaja merupakan
tanda jasa Tunku tetapi ia juga menjadi lambang kerjasama antara orang
Islam dan bukan Muslim dalam memupuk persefahaman yang lebih baik dan
rapat antara pelbagai kumpulan etnik dan agama di negara ini. Tunku
juga giat berusaha mempertemukan negara-negara Islam untuk menggalakan
kerjasama dalam bidang ekonomi dan memupuk keamanan dan kestabilan.
Akhirnya idea atau gagasan yang dia cetuskan itu menjadi kenyataan
apabila dia berjaya mempertemukan 52 negara Islam, besar dan kecil, yang
kaya dan yang miskin, dalam sebuah pertubuhan Persidangan Islam setelah
Tunku mendapat restu dan sokongan Almarhum Raja Faisal dari Arab Saudi
untuk menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (yang kini terkenal dengan
nama singkatnya dalam bahasa Inggeris 'OIC'). Pertubuhan ini kini
menjadi monumen sebagai saksi kepada usaha jerih Tunku memupuk perpaduan
di kalangan umat Islam sedunia. Tunku tolak kezaliman dan diskriminasi
apabila dia perang Apartheid sehingga Rejim Rasis Afrika Selatan itu
disingkir dari Commonwealth dan dari badan-badan dunia yang lain untuk
mengajak seluruh dunia mengutuk dasar Apartheid yang kejam dan tidak
berperikemanusiaan itu.
10. Dalam bidang sukan, Tunku memajukan
bola sepak, badminton, sepak takraw, golf dan lain-lain lagi. Saya
terpaksa mengulangi apa yang pernah saya ucapkan dalam majlis-majlis
yang lain tentang betapa dunia sukan dipromosi oleh Tunku sebagai wadah
untuk memupuk semangat kekitaan dan kebersamaan di negara ini: Saya
pernah berkata, "Apabila terfikir tentang bola sepak, saya terkenang
bagaimana Tengku berjaya membawa pasukan dari Timur Tengah dan serantau
Asia untuk bermain di Kuala Lumpur dalam Pertandingan Bola Sepak
Merdeka. Pasukan dari Korea dan Jepun datang mengambil bahagian dan dah
jadi kebiasaan pada masa itu pasukan bola sepak kita mengalahkan
mereka. Hari ini, menurut ranking FIFA, kita jatuh ke tahap bilangan
ke-157 daripada 203 buah negara. Ini bererti ranking kita lebih rendah
daripada Maldives yang rankingnya terletak pada nombor 149. Maldives
ialah negara paling kecil di Asia; penduduknya cuma 400,000 orang,
mereka hidup lebih kurang 1.5 meter dari paras laut. Di ASEAN, kita
berada di belakang Indonesia, Negara Thai dan Singapura yang suatu
ketika dahulu kita menguasai mereka. Nama-nama wira bola sepak kita
pernah bermain di bibir kanak-kanak sekolah kita; mereka meniru mereka
di padang bola sekolah mereka. Di manakah mereka sekarang? Jaguh bola
seperti Soh Chin Aun, Arumugam, Isa Bakar, Santokh Singh, James Wong dan
Mokhtar Dahari, sudah tidak ada lagi dalam arena bola sepak negara.
Ini bukan soal kita hendak menjadi pasukan yang terbaik di dunia; ini
soal semangat dan rasa ghairah kepada sukan. Masa dulu kita pernah
melihat budak-budak kecil di kampung memukul bulu tangkis (badminton)
dengan raket yang patah dan rosak di sekitar kampung mereka dan
menggelar diri mereka Wong Peng Soon. Ya, Peng Soon adalah hero (wira)
badminton Malaya, sama seperti wira-wira bola sepak kita. Hari ini rasa
ghairah sukan itu tidak ada sedikit pun lagi dalam nadi kebangsaan
kita. Ke mana perginya mereka?
11. "Pencapaian kita dalam
pertumbuhan ekonomi yang saksama (dengan ekuiti) diakui seluruh dunia.
Kumpulan negara sebaya kita dalam bidang pembangunan ekonomi pada masa
itu adalah Korea Selatan, Hong Kong, Singapura dan Taiwan, dan kita
mendahului mereka. Saya teringat masa dahulu kita pernah menerima
delegasi dari Korea Selatan untuk datang belajar sedikit sebanyak
daripada proses pembangunan kita. Hari ini, malangnya, kita berada jauh
di belakang kumpulan negara-negara itu. Dan hari ini taraf kita
sebagai negara pilihan atau sasaran pelaburan adalah sama dengan
Cambodia, Myanmar dan Filipina. Tidak syak lagi bahawa Malaysia sedang
melunsur ke bawah
Namun, kita dapat berkumpul pada hari ini dalam
keadaan selesa. Orang berkata ini bukan kerana pengurusan kita baik dan
cekap tetapi kerana negara ini mempunyai kekayaan (sumber asli) yang
luar biasa. Malaysia diberkati oleh sumber kekayaan, baik sumber asli,
baik sumber kekayaan budaya dan sosial tetapi, malangnya, disebabkan
kelemahan pengurusan dan rasuah, kemajuan kita kini sedang menurun dan
merosot." Ya, memang orang berkata Malaysia kaya, tetapi berbanding
dengan jiran-jiran kita, kita masih secara relatifnya tidak bebas.
12.
Apabila Tunku mengisytiharkan kemerdekaan negeri ini 54 tahun dahulu,
kita diberitahu bahawa Malaysia akan menjadi negara demokrasi
berparlimen dengan institusi kehakiman yang bebas.
13. Saya
berdoa moga-moga kita tidak lagi lepas tangan dan berdiam diri, menjadi
pemerhati yang tidak terlibat (komited), melihat perkembangan berlaku
dan berlalu di depan kita, mengharapkan orang lain akan melakukan
sesuatu seperlunya. Jika kita bersikap demikian bererti kita berada
dalam dunia ilusi dan impian dan kita akan menghadapi padahnya apabila
padah itu berlaku nanti
Kita perlu melakukan sesuatu yang baru, yang
berlainan, dan untuk melakukan perubahan itu saya minta saudara sekalian
menyertai kita dalam gerakan yang kita rintiskan hari ini. Demi masa
depan anak-anak saudara sekalian dan cucu-cucu kita, kita tidak boleh
gagal dalam gerakan pembaharuan ini.
14. Kita akan menubuhkan
sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang diberi nama Angkatan Amanah
MERDEKA (ringkasnya AMANAH) untuk menggembelingkan suara dan tenaga kita
untuk menjadikan gerakan ini sebagai wadah Semangat Malaysia yang
baru. Suara ini ialah suara perpaduan, suara solidariti, suara
kebenaran, dan kita akan berdiri teguh menentang wabak rasuah, kronisme,
perkauman, sikap pelampau dan pembaziran. Kita akan berkata,
"dahulukan kepentingan kebangsaan, yakni, kepentingan negara, dan
kepentingan rakyat. Ini matlamat utama kita. Segala prioriti,
keputusan dan pilihan dasar yang lain mesti tertakluk kepada matlamat
kebangsaan yang utama ini."
15. Keadaan penduduk negeri yang
miskin dan daif, terutama di kawasan luar bandar - mereka masih
merupakan penduduk majoriti di negeri ini - mesti diperbaiki dan
dimajukan melalui perancangan dan keputusan dasar yang sistematik dan
sistemik, tidak melalui laungan slogan yang kosong isinya. Legasi dan
visi Tun Razak berhubung dengan dasar-dasar pembangunan luar bandar,
dasar pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan warna kulit, dan
keseluruhan dasar pembangunan sosio-ekonomi berdasarkan prinsip
Keadilan, Kesaksamaan dan Perimbangan merentas segala sektor, perlu kita
jenguk semula dan jika perlu "di-remodel" sesuai dengan keadaan dan
perkembangan semasa
Kita akan mempromosi Visi Tunku tentang pembinaan
atau pengwujudan "Keluarga Bahagia Malaysia Yang Satu". Kita akan
memastikan bahawa hak rakyat yang asas, yang fundamental, hak yang tidak
sahaja ditakrifkan dalam Perlembagaan tetapi lebih penting hak-hak yang
telah wujud dan yang dapat dikongsi bersama dalam tradisi agama, nilai
moral dan budaya kita, akan dipromosi dan dipelihara sebagai rujukan
fungsi negara.
16. Saya sendiri akan pergi ke merata ceruk rantau
negeri kita yang hebat ini (dan saya mengajak saudara sekalian
menyertai saya) untuk meruntuhkan segala tembok persengketaan,
kecurigaan dan sikap tidak berperasaan terhadap satu sama lain. Saya
tahu bahawa orang Melayu - demikian juga kaum-kaum lain di negara ini -
tidak rasis dan tidak pernah rasis tetapi mereka bersikap perkauman
kerana mereka dimanipulasi oleh pihak-pihak berkepentingan supaya
berkelakuan, berfikir dan bertindak sebagai "komunalis", yakni kaum yang
bersikap perkauman
Bagi orang Melayu sikap seperti itu sama sekali
bertentangan dengan ajaran Islam dan apabila orang Melayu bersifat
kurang "Islamik" mereka cenderung ke arah bersikap perkauman atau rasis,
berbalik ke zaman jahiliah sebelum Nabi Muhammad S.A.W. berdakwa
menentang kepercayaan dan fikiran jahiliah (dan menyeru kepada perpaduan
ummah, tidak kira kaum, bangsa, warna kulit dan sebagainya).
17.
Kita boleh dan kita akan berikrar untuk berpegang kepada prinsip
integriti dan kita tidak boleh gagal dalam usaha kita ini untuk
mengembalikan nilai-nilai teras dalam membina kehidupan perpaduan dan
sikap menerima satu sama lain.
18. Rakyat mahukan perubahan dan
mengharapkan perubahan dan kita mempunyai misi yang cukup mendesak untuk
bergerak menuju ke arah itu. Kini terserah kepada kita semua, kepada
saudara dan kepada saya, untuk melakukan perubahan. Saya ingin
menggalakkan saudara menghubungi saudara mara dan sahabat handai saudara
untuk menolong kita mendapatkan sokongan mereka terhadap usaha yang
mulia ini. Galakan mereka seterusnya untuk menghantarkan rayuan yang
sama kepada rakan-rakan mereka pula.
Mari kita pacukan gerakan ini
sampai ke tahap dapat "menjangkit" Ke seluruh Negara. Jangan lagi
majoriti daripada kita yang selama ini membisu tidak dipedulikan di
negara yang menjadi kebanggaan dan sanjungan kita. Terima kasih saya
ucapkan kepada rakan-rakan Perkongsian dan sahabat sekalian kerana
memberi peluang kepada saya untuk meluahkan suara saya pada pagi ini.
Jangan kita gagal dalam misi cinta kita kepada Negara ini.
19.
Biar saya akhiri ucapan ini dengan memetik kata-kata Nelson Mandela,
manusia agung itu: Dia berkata (saya terjemahkan ke dalam bahasa
kebangsaan kita): "Biarlah wujud keadilan untuk semua manusia. Biarlah
wujud keamanan dan perdamaian untuk semua manusia. Biarlah ada
pekerjaan, roti, nasi, air dan garam untuk semua manusia. Biarlah
setiap daripada kita tahu dan sedar bahawa bagi setiap manusia itu -
jasad mereka, fikiran dan roh (jiwa) mereka telah dibebaskan untuk
memenuhi kehendak diri mereka (dalam segala keperluan hidup)".
Kata-kata Mandela ini menegaskan mesej dan suara hati manusia sejagat,
mesej yang benar sepanjang masa dan zaman, mesej yang merupakan fitrah
manusia, dimiliki dan dirasakan oleh seluruh umat manusia
Biarlah
seruan ini menjadi ilham untuk kita mencapai kecemerlangan dalam usaha
kita - usaha untuk memastikan bahawa setiap warga Malaysia, setiap
rakyat, diberikan ruang dan peluang (platform) kebebasan dan peluang
untuk memenuhi keperluan dan kehendak badan, akal, hati dan jiwa mereka.
20.
Jika misi ini dikendalikan dan diuruskan dengan betul dan dengan jujur
dan ikhlas, negara kita yang bertuah dan hebat ini boleh menjadi suatu
ruang dan tempat untuk melahirkan kemakmuran dan keamanan dan perdamaian
untuk semua penduduk (warga/rakyat) Malaysia. Terima kasih.
(sumber: Ucaptama Y.B. Tengku Razaleigh semasa merasmikan pelancaran AMANAH pada 22 Julai 2011 jam 9 pagi di Memorial Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan