Salam Perjuangan

29 Julai 2011

MALAYSIA: ANTARA 10 TERSELAMAT DI DUNIA


SAYA (Subky Latif)  amat seronok apabila Malaysia tersenarai sebagai sebuah dari 10 negara terselamat di dunia. Negara kita terletak di belakang Australia, Jepun dan sebuah negara Asia lagi yang saya tidak ingat. Dan teratas di kalangan negara umat Islam.

Itulah hasil tinjauan tahunan antarabangsa.
Buat masa ini adalah lebih baik dari tahun lalu.
Jika benar bagai yang ditinjau, apakah menyebabkan Malaysia mencapai keselamatan yang terbaik itu. Rasanya tentulah faktor kestabilan politik, sosial dan ekonomi.
Apakah yang memungkin kestabilan politik itu?

Tentulah disebabkan oleh rata-rata rakyatnya bertanggungjawab dan tahu tanggungjawab masing-masing.
Antara rakyat itu adalah pembangkang. Wujudnya keamanan, keselamatan dan kestabilan politik dan ekonomi itu adalah atas peranan, dorongan dan kerjasama yang diberikan oleh golongan pembangkang yang bertanggungjawab dan tinggi tahap kesabarannya.
Jika pembangkang tidak bertanggugjawab, seperti pembangkang di Sri Lanka, seperti di Nepal sebelum menjadi republik dulu atau sekurang-kurangnya seperti di Thailand sebelum pilihan raya umumnya baru-baru ini, sukar bagi kerajaan dan negara mewujudkan kestabilan dan keamanan itu.
Malah jika pembangkang terikut-ikut dengan sikap pembangkang di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah sekarang, dengan cara tidak bertanggungjawab itu mengancau dan mengganggu kerajaan negeri tersebut untuk mentadbirkan kebajikan rakyat secara licin.
Tidakkah hampir tercetus kekacauan di Perak apabila pembangkangnya selepas PRU 12 secara tidak bertanggungjawab merampas kuasa di luar semagat perlembagaan setahun kemudian. Tidakkah gara-gara pembangkang yang tidak beradab itu sekurang-kurangnya buat beberapa purnama tercemar duli, perlembagaan dan terganggu ketenteraman?
Bagaimana pun kecewa, naik darah dan marah kepada penyelewangan dan kerakusan golongan yang memerintah sejak berakhirnya darurat tahun 1960, pembangkang pada umumnya bersabar terus kekal menghormati demokrasi, institusi istana dan perlembagaan.
Dengan rasa tanggungjawab itu tidak pernah pembangkang berfikir untuk mengambil alih kekuasaan di luar kehendak perlembagaan. Tidak pernah mereka cuba buat seperti yang dibuat di Perak dua tahun lalu dan percubaan yang gagal di Selangor.
Cuma dalam masa sepuluh tahun terakhir ini, negara bertambah mantap walau pun kesempurnaan demokrasinya menurun, pembangkang dilihat lebih bertenaga dan tambah berpengaruh.
Dalam tempoh terakhir itu dilihat banyak unjuk rasa besar-besaran oleh pembangkang yan rata-rata dibuat secara aman sekali pun ia berdepan dengan cabaran dan provokasi getir dari polis.
Sekali pun rentak kebangkitan itu dirasa panas, tetap pembangkang menjunjung demokrasi, istana dan perlembagaan, lalu ditafsir dan ditempelak oleh peneraju demokrasi tiga suku perkembangan itu mahu mencetuskan huruhara dan mengganggu ketenteraman.
Dalam apa yang dirasakan bergelora itu tinjauan antarabangsa mendapati tahap keselamatan negara bertambah baik. Laporan tahun ini adalah antara 10 negara terselamat di dunia. Tahun ini lebih baik dari tahu lalu. Tahun lalu lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.
Jika tinjauan dunia itu dapat diterima dan ia diterima pakai, tiada bukti acapnya unjuk rasa reaksaksa itu menjadikan negara kurang selamat. Keinginan menunjuk rasa itu bertambah dari semasa ke semasa. Tetapi pencapaian suasana selamat itu bertambah baik dari setahun ke setahun.
Maklumat itu kita ketahui atau dikeluarkan beberapa ketika selepas unjuk rasa Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Apa yang dikatakan huruhara oleh kerajaan dan polis itu tidak mencacatkan Malaysia menjadi negara ke 10 paling selamat di dunia.
Apa pun orang hendak kata, unjuk rasa 9 Julai itu tetapi dilaksanakan oleh pembangkang dengan semangat tanggungjawab yang tinggi. Jika diikut kata Perdana Menteri dan polis, kejadian 9 Julai itu adalah untuk menghancurkan keamanan dan ketenteraman nagara, tetapi laporan tinjauan dunia mengatakan Malaysia 10 negara terselamat di dunia.
Perdana Menteri amat gembira menyambut berita itu. Tertanya kejadian 9 Julai itu tidak mengganggu menjadikan Malaysia 10 negara ter aman di dunia.
Walau pun saya membaca berita pembunuhan setiap minggu, Mat Rempit meragut di sana sini, Ah Long mengancam mangsa setiap hari,  rumah saya dipecah pencuri dua bulan lalu, malah kawasan kediaman saya berlaku pecah rumah selang beberapa malam dan ada kalanya lebih dari satu rumah dipecah satu malam.
Dari semua kejadian dan laporan itu saya rasa suasana kita cukup terancam dan tidak selamat. Tetapi tetap dunia mengira kita antara 10 negara paling selamat tahun ini.(sumber:TMInsider,29/7/11)

Tiada ulasan: