Salam Perjuangan

07 Julai 2011

BAHASA MELAYU DAN DBP: BILAKAH PENGUATKUASAAN TEGAS TANPA KOMPROMI DILAKSANAKAN?


Kerajaan negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) mengutamakan bahasa Melayu dalam pemberian nama projek-projek yang dibangunkan di bandar tersebut.




Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, nama yang diguna pakai pada tempat tumpuan ramai atau papan tanda hendaklah mengambil kira kedudukan dan taraf Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja.

"Saya telah menegaskan kepada MPKK supaya mengambil langkah segera membetulkan dan bukannya membuat kenyataan untuk mempertahankan perkara ini.

"Perlu diingatkan dalam konteks Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja, nama yang diguna pakai untuk sesuatu tempat di bandar itu perlu mengambil kira tarafnya sebagai Bandar Diraja," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco di pejabatnya di sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kebimbangan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) mengenai peningkatan penggunaan bahasa Inggeris dalam menamakan bangunan dan tempat tumpuan ramai termasuk yang menjadi ikon pelancongan di Kuala Kangsar.

Gesaan itu turut disokong oleh beberapa persatuan lain termasuk orang ramai yang mahu MPKK mendaulatkan bahasa Melayu. Bagaimanapun, semalam, Yang Dipertua MPKK, Datuk Mohd. Shafie Ariffin menjelaskan penggunaan nama dalam bahasa Inggeris termasuk pada projek taman dan landskap di tebing Sungai Perak, adalah berasaskan pada nilai komersial dan bagi kemudahan pelancong.

Zambry berkata, arahan mengutamakan bahasa rasmi bukan sahaja terhad kepada MPKK, tetapi semua pihak berkuasa tempatan (PBT) lain juga telah diberikan arahan sama. Katanya, walaupun penggunaan bahasa Melayu diberi keutamaan, ini tidak bermakna kerajaan menafikan peranan bahasa asing.

"Saya telah menegaskan bahawa bahasa utama adalah bahasa Melayu, bahasa Inggeris boleh digunakan, namun penggunaannya tidak perlu lebih besar berbanding bahasa Melayu.

"Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita dan lambang identiti di sesuatu tempat. Oleh itu, saya harap MPKK mengambil maklum arahan kerajaan negeri ini dan mencari istilah yang tepat bagi menterjemahkan penggunaan nama Sayong Riverfront," katanya.(sumber: UM, 7/7/11).
TB: Apalah sukarnya menukarkan Sayong Riverfront kepada ' Tebing Sayong'.(ejaan betulnya "Sayung")

Tiada ulasan: