Salam Perjuangan

13 Julai 2011

BERSIHKAN LAMAN INI


kita bersihkan laman  rumah ini
peninggalan warisan nenek moyang
di desa yang kian sepi ditinggalkan
bendang gersang yang tidak dipedulikan
tetangga yang menyulam masa silam

kita bersihkan gubuk pusaka yang kian runtuh
agar kita sentiasa ingat asal-usul dahulu
buat anak cucu yang tidak betah lagi
menangkap keli memasang lukah di tambatan
kerana sungai jernih telah  jauh dari pandangan

kita bersihkan jerebu kota dan desa
dari serombong muntahan sang haloba
penguasa dan hulubalang petualang
yang kini memberi sisa-sisa untuk esok
racun onak duri berbisa kalbu terluka



kita bersihkan sarang yang melakari lelangit
walau pintu senja kian menghampiri
kebendaan kota kian rakus menghimpit
kerana tiada jalan lain untuk dipilih
dan kita padamkan segala kotor terpalit!


RAJIEE HADI,
12 Julai 2011.


(sajak ini untuk para pejuang anak semua bangsa, Malaysia tanah airku tercinta-TB)
Sajak ini telah disiarkan juga dalam HARAKAHDAILY pada 13 Julai 2011.














Tiada ulasan: