BAIK pemerhati,penganalisis,pengkritik mahupun pengulas dalam apa jua bidang pun sama ada bidang teater dan filem, politik, kebudayaan dan sukan; tidak semestinya mereka terlibat secara langsung di lapangan. Bahkan golongan ini dianugerahkan Tuhan mempunyai pandangan mata yang tajam dan daya akal yang tinggi untuk memberi tafsiran dan penambahbaikan yang membina.Begitu juga di arena bola sepak; golongan ini diperlukan selain pandangan jurulatih dan mereka yang berada di sekeliling padang stadium ketika itu.
Justeru pada 23 Julai 2011 kita menyaksikan pasukan Harimau Malaya yang mewakili Malaysia kecundang 3-5 di tangan pasukan Lion, Singapura di pertandingan bola sepak perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Zon Asia di Stadium Jalan Besar, Singapura.Sebenarnya pasukan Malaysia tidak sewajarnya kalah memandangkan pendedahan lasak yang telah dialami termasuk menentang pasukan Taiwan dan beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan luar negara Manchester United, Arsenal dan Chelsea. Wow... hebat pengalaman kalian!
TB percaya setiap pasukan mesti ada cara tersendiri untuk saling menumpaskan. Bagi TB fokuskan: TEKNIK dan TAKTIK (2T) dari segi sepak, bawa, hambatan, lari dan tendang. TB tidak mahu mengulas panjang.TB mahu kita sama-sama berfikir.Ada masa penjaga gol perlu menendang jauh bola ke hadapan melepasi separuh padang. Ada masa penjaga gol melontar atau membaling bola ala kadar kepada rakan sepasukan yang berhampiran. Masihkah anda ingat, penjaga gol Malaysia asyik membaling bola kepada rakan yang berdekatan yang kekadang begitu mudah disambar pihak lawan. Kekerapan seperti ini wajar dikurangkan atau dijauhkan.
Apa yang patut difikirkan oleh pasukan Malaysia ialah pemberatan bola wajar berada di sebelah gawang musuh.Jangan biarkan bola sentiasa ada di kawasan Malaysia.lni membahayakan kerana keadaan kelam-kabut dan sarat dengan pemain-pemain boleh mengundang pelbagai kemungkinan.
Pemain Malaysia wajar bergerak pantas.Jikalau mahu memperlahankan rentak pun bagi tujuan mengatur strategi sebelum terus mengasak dan menyerang,menendang bola ke sasaran. Elakkan menendang bola tanpa tepat ke sasaran rakan.lni membuang masa dan memberi peluang musuh secara percuma.
Tekanan dan faktor psikologi sering menghantui pasukan Malaysia sejak zaman Ghani Minhat, Mokhtar Dahari, Zainal Abidin hingga kini. Adalah wajar jika pasukan Malaysia memanggil pakar motivasi yang bukan di kalangan mereka yang berijazah sains sukan atau psikologi sukan.Sesekali panggillah pakar motivasi di bidang sains sosial agar pemain-pemain ini didedahkan dengan semangat dan tanggungjawab kepada negara dari aspek kesan kepada sosial dan budaya, pendidikan dan patriotisme.
Tujuannya agar para pemain memperoleh input yang berbeza tetapi bermakna.Kita mahu pasukan bola sepak kita konsisten dari segi semangat tanpa mengejar habuan kebendaan semata-mata.Kita mahu walau di mana mereka beraksi, mereka tetap utuh dan konsisten. Seperkara lagi adakah wajar pasukan yang paling terkuat yang menjuarai Piala Malaysia atau mana-mana pertandingan bola sepak berprestij di Malaysia dicuba untuk mewakili pasukan kebangsaan. lni memudahkan keserasian antara mereka lantaran memilih mereka daripada pasukan berlainan negeri atau kelab untuk mewakili pasukan negara menimbulkan masalah ketidakserasian, latihan dan kerenah birokrasi dan peribadi yang tenggelam timbul. Apakah FAM mahu mencubanya?(TB)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan