SIKAP menganggap bahasa Melayu bahasa yang “belum maju” berbanding bahasa-bahasa lain termasuk bahasa Inggeris merupakan punca asas ia berhadapan dengan “krisis martabat”, kata tokoh bahasa Datuk Dr Hassan Ahmad.
Beliau yang juga bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, ia merupakan salah satu daripada dua punca utama bahasa Melayu berhadapan dengan situasi “tidak tetap, tidak stabil sehingga kemajuannya tidak menentu, sebentar naik, sebentar turun, akhirnya berlaku semacam krisis martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.”
“Ada dua sebab... pertama, sikap yang salah terhadap bahasa Melayu, sikap menganggap bahawa bahasa Melayu adalah bahasa yang ‘belum maju’ berbanding, misalnya dengan bahasa Inggeris oleh yang demikian bahasa Inggeris hendaklah digunakan sebagai bahasa kemajuan negara ini manakala bahasa Melayu bolehlah terus digunakan dalam urusan biasa pentadbiran kerajaan atau sebagai ‘bahasa perpaduan’,” kata beliau.
Sebab kedua, menurut Hassan ialah pendidikan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan nampaknya tidak berjaya melahirkan generasi warga Malaysia yang lahir selepas Merdeka yang mempunyai komitmen dan keyakinan yang tinggi untuk terus menggunakan bahasa ini dengan betul, baik dan bermutu tinggi sebagai alat pembangunan negara.
“Setelah lebih 50 tahun bahasa ini diajarkan di sekolah sebagai bahasa yang wajib kita perhatikan rata-rata penggunaan bahasa ini dalam komunikasi awam, dalam sektor-sektor profesional dan dalam sektor swasta tidak sahaja tidak meluas bahkan mutu penggunaannya nampaknya kian buruk.
“Merebaknya fenomena ‘bahasa Melayu rojak’ dalam kalangan pengguna bahasa ini dalam hampir semua sektor dan golongan menunjukkan bahawa pendidikan dalam bahasa kebangsaan tidak mencapai kejayaan yang boleh kita banggakan,” kata beliau lagi.
Justeru tegas Hassan, fenomena ‘bahasa rojak’ ini juga berlaku kerana pendidikan bahasa kebangsaan tidak berlaku atau tidak dilanjutkan ke dalam masyarakat, ke dalam institusi-institusi awam atau ke dalam sektor awam.
“Pendidikan itu tamat di sekolah sahaja,” katanya lagi.
Malah menurut beliau, “perlu diingatkan bahawa kecekapan dan keluasan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai alat komunikasi kebangsaan merupakan faktor penting yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan dasar bahasa kebangsaan di negara ini.”
Beliau menyatakan demikian dalam kertas kerjanya bertajuk “Dasar Bahasa Kebangsaan Di Malaysia: Melihat Semula Peranannya Sebagai Alat Perpaduan dan Kemajuan Negara” pada ceramah anjuran bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan DBP di Seremban hari ini.
Malah kata Hassan, tidak banyak orang Melayu dan bukan Melayu, termasuk para menteri dan pegawai tinggi kerajaan yang mengetahui atau sedar secara ‘terdidik’ bahawa bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang cukup maju di dunia sejak sekurang-kurangnya abad ke-14.
“Oleh sebab mereka tidak mempunyai pengetahuan itu maka akal dan emosi mereka dipengaruhi kepercayaan bahawa mulai tahun 1957 bahasa ini perlu ‘dibina’ semula (seolah-olah seperti rumah lama yang sudah runtuh) dan perlu ‘dimajukan’ supaya mencapai taraf sebagai ‘bahasa maju’. Kepercayaan ini nampaknya kekal sampai ke hari ini,” katanya lagi.
Jelas beliau, sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan atau bahasa urusan kerajaan lama sebelum dasar itu digubal pada1957.
Katanya, pada abad ke-15 atau ke-16, bahasa Melayu mulai berkembang sebagai lingua franca kerajaan, lingua franca ilmu dan kesusasteraan tinggi di seluruh rantau ini, merentas sempadan geografi dan segala tembok etnik dan bahasa-bahasa etnik yang lain sehingga akhirnya dalam awal abad ke-20 bahasa ini menjadi bahasa pemersatuan kawasan, yang kini disebut Indonesia.
“Dalam tahun 1945, Sukarno, orang Jawa, dan rakan-rakan seperjuangannya mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa nasional negara republik Indonesia, tidak bahasa Jawa atau bahasa-bahasa lain yang jauh lebih besar jumlah penutur aslinya daripada jumlah penutur asli bahasa Melayu di Indonesia.
“Hari ini bahasa Melayu (termasuk bahasa Indonesia) merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang kelima besarnya di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta (ada yang berkata hampir 300 juta) orang di serata dunia, khususnya di kawsan induknya iaitu kawasan Malaysia-Indonesia-Brunei-Patani (dan selatan Filipina),” katanya.
Oleh itu kata beliau, penting juga diingatkan bahawa bahasa Islam yang terbesar di dunia bukan bahasa Arab atau bahasa Parsi tetapi bahasa Melayu.“Bahasa ilmu atau bahasa pengajian tinggi yang terbesar di rantau ini bukan bahasa lain, bukan bahasa Inggeris, tetapi bahasa Melayu-bahasa Indonesia.
“Di seluruh rantau ini terdapat lebih kurang 3,000 institusi pengajian tinggi yang hampir semuanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya. Jumlah buku ilmu yang terbanyak di rantau ini ialah buku dan pelbagai penerbitan ilmiah dan bukan ilmiah dalam bahasa Melayu,” katanya lagi.(sumber:TMinsder, 26/7/11)
TB bukan sahaja bimbang dan keluh-kesah mengenang nasib masa hadapan Bahasa Melayu di Malaysia sahaja tetapi juga tentang nasib baik Bahasa Melayu di Singapura, lndonesia, Selatan Thailand, Selatan Filipina dan Negara Brunei Darussalam. Walaupun nasib bahasa Melayu belum teruk terumbang-ambing tetapi TB amat sedar bahawa bangsa Melayu hanya boleh dikalahkan bukan hanya dengan aneka senjata teknologi tetapi boleh kalah dan pupus tamadun dan jati diri budayanya dengan 'membunuh semangatnya' melalui bahasanya.
Orang Melayu kini diasak-asak jiwanya agar tidak berjiwa besar, tidak membanggakan tamadun budayanya, tidak menghargai ketinggian nilai akal budi khazanah persuratan dan kesusasteraannya dan memperlekehkan apa jua yang berjenama 'Melayu'. Walhal Melayu itu lslam, lslam itu Melayu mempunyai rahsia besar yang tersembunyi yang berkaitan dengan peradaban dan ketamadunan bangsa.
Justeru TB mengambil sekadar contoh tanpa prasangka bahawa andainya Negara Brunei Darussalam yang menjunjung falsafah dan paksi negara dengan 'MIB" atau Melayu,lslam,Beraja maka adakah dapat dipertahankan pada masa akan datang sekiranya Bahasa Melayu juga mula terancam dan segelintir orang Melayu di sana juga mula memandang 'dingin' terhadap bahasa Melayu sendiri?
Walhal MIB itu ada kaitan dengan jiwa dan jiwa bangsa itu adalah bahasanya.Dan kita juga berasa sedih mengenangkan darjat dan jati diri bahasa Melayu yang kian terhakis di Selatan Thailand dan Selatan Filipina. Manakala di lndonesia walaupun penuturnya kian melebar tetapi kita juga tidak mahu melihat bahasa Melayu lndonesia 'dirosakkan' oleh elemen cacamarba dan sembrono dalam sosok bahasa itu sendiri. Amalkan dan sebarkanlah Bahasa Melayu yang betul,indah,baku dan gramatis dengan apa jua sekalipun selagi kita ada kuasa dan berkuasa. Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan