BAHASA MELAYU MESTI DIJUNJUNG, BAHASA INGGERIS KENDONG SAHAJA
RENCANA tulisan Rejal Arbee yang disiarkan dalam akhbar ini bertarikh pada 7 Julai lalu bertajuk 'Mengapa orang tidak fasih bahasa Inggeris diperlekeh' berkaitan dengan komen ahli politik veteran DAP, Karpal Singh amat menarik direnung. Sebenarnya hal ini bukanlah perkara baru. Sejak di bangku sekolah 70-an, 80-an hingga kini tidak banyak berubah. Inilah antara kejayaan terbesar penjajah yang ditanam ke dalam minda rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, status ekonomi dan sosial.
Malah untuk menyebut nama bahasa Melayu pun rasa malu, takut-takut sehingga disebut nama bahasa Malaysia, sedangkan itulah nama yang sah dan betul seperti tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Orang Melayu sedia menerima bahasa Mandarin, Tamil, Inggeris dan bahasa lain bagi diajar dalam sistem pendidikan negara kita.
Tentulah tidak wajar untuk sesiapa pun menolak istilah atau nama bahasa Melayu yang sah dan betul itu sehingga perlu menggunakan nama bahasa Malaysia yang tidak betul. Semua bahasa asalnya dituturkan oleh sesuatu bangsa di sesebuah negara dan bukannya oleh negara rupa bumi itu.
Berbalik rasa megah bahasa, keghairahan rakyat Indonesia, Thailand, China, Korea, Jepun, Jerman, Perancis, Finland, Norway dan lain-lain mempelajari bahasa Inggeris ditonjolkan secara mengelirukan seolah-olah di negara mereka wujud aliran Inggeris dan sains, matematik dan teknologi diajar dalam sistem pendidikan mereka secara berleluasa sedangkan hakikatnya di negara itu bahasa Inggeris digunakan secara amat terhad.
Istilah tepat mungkin banyak orang kita sudah ‘kemabukan’ bahasa Inggeris. Jika pun kita ‘perlu’ mabuk, biarlah ‘mabuk’ bahasa Melayu dan ‘teguklah’ bahasa Inggeris itu seteguk dua agar kembali normal. Sepatutnya bahasa Melayu dijunjung dan bahasa Inggeris dikendong, bukan sebaliknya.(sumber: BH 14/7/11)
KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden Persatuan
Linguistik Malaysia.
Nota: TB turut sama berjuang bersama sahabat dan rakan pejuang bahasa Melayu bukan sahaja di tanah air sendiri bahkan seluruh rantau Nusantara yang mana TB turut menyaksikan bahasa Melayu bagaikan diperlekehkan dan tidak diambil peduli serta diremehkan oleh bangsanya sendiri. Bukan salah ibu mengandung andainya orang Melayu sendiri tidak lagi dapat menghayati apa itu 'Bahasa Jiwa Bangsa'; sedangkan kaum Cina dan lndia merupakan kaum pendatang minoriti di Nusantara ini dapat mengembangkan bahasa dan tulisannya kerana semangat mereka yang tidak luntur. Seandainya 'semangat' orang Melayu secara beransur-ansur dilemahkan dan dimatikan; bukan mustahil jika bahasa Melayu yang menjadi bahasa utama di Singapura, Brunei dan lndonesia suatu waktu nanti akan menerima nasib seperti Lebai Malang yang menimpa ke atas orang-orang Melayu di Selatan Thailand. Beringat-ingatlah sebelum nasi menjadi bubur wahai orang-orang Melayu! (pertama kali disiarkan pada 18/7/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan