Salam Perjuangan

12 Julai 2011

PASCA BERSIH: ADA FAKTOR KETIGA POLITIK MALAYSIA KINI

MESKIPUN bukan seorang ahli politik aktif, kemunculan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dilihat telah membawa kewujudan paradigma baru dalam arena politik negara, kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian. Seniman berusia 76 tahun ini menjadi perhatian selepas melahirkan puisi berjudul “Unggun Bersih” pada majlis pelancaran perhimpunan Bersih 2.0 bulan lalu , sekali gus membawa kepada soal siasat oleh pihak polis.
Puisi itu disusuli dengan “Peludah Warna” dan dua lagi bakal menyusul.

Samad (tengah, kemeja-T kuning) ketika berunding dengan pasukan polis di kawasan Stadium Merdeka, kelmarin. — Foto The Malaysian Insider
Melihat pada perkembangan sejak sebulan lalu, Ibrahim melihat Samad sebagai “ikon kepada mereka yang mencintai dan mereka yang melihat tentang kesedaran bru tuntutan semasa.” “Datuk Samad Said dilihat sebagai seorang seniman yang dikenali ramai, seorang yang rendah diri dan boleh diterima ramai,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Ibrahim juga melihat kemunculan Samad akan membawa kelainan kepada penonjolan khususnya di kalangan orang Melayu.

Malah beliau juga telah mengetepikan bahawa perhimpunan Bersih 2.0 tidak dikuasai atau dipengaruhi oleh pihak pembangkang.

“Samad Said telah membuktikan bahawa Bersih 2.0 tidak ada agenda politik, yang didakwa bertujuan memecahbelahkan orang Melayu,” katanya sambil menambah, kemunculan Samad menggambarkan keperluan pengisian semangat kemerdekaan dan membebaskan minda rakyat dihidupkan semula.
“Malah Samad Said juga telah menunjukkan bahawa mewujudkan perpaduan, kita tidak memerlukan faktor politik semata-mata, tidak semestinya pendekatan politik tetapi kreativiti sudah pun cukup,” katanya.
Selepas lima dekad Samad dilihat mengembalikan peranan seniman dalam mengartikulasikan tentang keperluan kebebasan.

“Saya lihat ini gelombang baru selepas era sebelum merdeka. Pada akhir 1990-an, misalnya 1998, kita pernah menyaksikan Datuk Shahnon Ahmad, tetapi beliau terlibat dalam politik secara langsung dan mengkritik kepimpinan Dr Mahathir (Mohamad, perdana menteri ketika itu).

“Tetapi Datuk Samad menggunakan pendekatan berbeza, yang telah diterima semua pihak dan kaum,” kata Ibrahim lagi yang turut mengakui bahawa Samad boleh menjadi “pesaing” kepada gagasan 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.(sumber: baca penuh TMI,12/7/11)
.
TB: Sekadar mengingatkan bahawa tanggungjawab dan rasa kasih sayang terhadap negara ini bukan hanya diucapkan oleh orang-orang politik sahaja. Dan bukan sahaja hanya orang-orang politik sahaja yang boleh mewarnakan masa hadapan negara. Kita ada para pendidik, cendekiawan,sasterawan, seniman,belia dan sebagainya.Kini era bertindak dan melakar telah tiba, ayuh! Salam perjuangan!

Tiada ulasan: