Salam Perjuangan

27 Julai 2011

IBU BAPA DAN GURU BERPISAH TIADA

BARU-BARU ini anak lelaki saya (En.Kew) yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Durah, Seremban dikenakan tindakan kerana rambut panjang dan berfesyen (menggunakan gel dan berwarna ala punk).

Sebagai bapa, saya sudah beberapa kali mengingatkan dan menyuruhnya membetulkan semula fesyen rambut itu supaya tidak melanggar peraturan sekolah tetapi tidak diendahkan.
Saya ingin mengucapkan terima kasih dan menghargai tindakan pihak sekolah terhadap anak saya. Ini adalah satu langkah betul. Saya percaya pihak sekolah memberi amaran kepada anak saya terlebih dulu sebelum bertindak.
Setiap penjaga memang mengharapkan yang terbaik daripada anak mereka dalam apa jua aspek termasuk disiplin. Saya mungkin antara bapa yang prihatin dalam hal disiplin pelajar tetapi tidak berupaya membendung budaya negatif yang sering dilakukan oleh pelajar termasuk anak saya.

Nasihat dan peringatan ibu bapa tidak memberi banyak kesan akibat pengaruh sekeliling termasuk rakan sebaya. Pelajar sangat mudah menerima dan meniru apa saja yang menjadi ikutan rakan seangkatan mereka termasuk pengaruh negatif.

Budaya merokok, melepak dan membuang masa, ponteng sekolah, merempit, berpeleseran, berfesyen mencolok mata dan sebagainya antara fenomena yang sangat mudah meresapi jiwa pelajar.

Tidak semua ibu bapa mempunyai kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak dalam era masa kini yang sangat terdedah dengan bermacam pengaruh. Jika pihak sekolah tidak dapat menangani dengan tegas dan berterusan maka pelajar akan hanyut dengan keseronokan dunia ciptaan mereka.
Sebagai institusi pendidikan yang diberi amanah mendidik anak bangsa, sekolah bukan saja untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi cemerlang juga sahsiah, budi pekerti dan kuat jati dirinya.

Ibu bapa hanya mampu memberi nasihat dan peringatan tetapi di peringkat sekolah, saya percaya mereka ada saluran betul untuk memperelok sahsiah pelajar seperti guru kelas, guru kaunseling, guru disiplin, program motivasi dan sebagainya. Mereka adalah pemain penting dalam membentuk disiplin pelajar.

Saya percaya ibu bapa lain juga bersetuju dengan saya dalam hal ini. Teruskan usaha murni ini supaya anak generasi masa depan ini terbentuk jiwa nurani mereka dengan cemerlang.(sumber:Surat daripada KEW,Bharian,27/7/11)

Tiada ulasan: