Salam Perjuangan

04 Julai 2011

BRUNEI DARUSSALAM DAN MALAYSIA PUNYAI HUBUNGAN KERJASAMA PELBAGAI BIDANG





MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah berkata Negara Brunei Darussalam dan Malaysia merupakan dua buah negara berjiran terdekat yang mempunyai pertalian bangsa yang serumpun dengan hubungan sejarah panjang serta mempunyai banyak persamaan di bidang kebudayaan serta diperkukuhkan lagi oleh ikatan kesultanan Melayu, bahasa dan agama.



Dalam aspek sosial dan ekonomi Brunei Darussalam dan Malaysia katanya, mempunyai hubungan kerjasama yang meluas dan sangat baik di pelbagai bidang seperti Perkhidmatan Awam, keselamatan dan ketenteraan perdagangan, pelaburan, kesihatan, pendidikan, pelancongan serta kebudayaan.






MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah memberi ucapan alu-aluan di majlis makan malam.(Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman)
Tambahnya sebahagian besar jalinan kerjasama di antara Malaysia dengan Brunei Darussalam didukung oleh penandatanganan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama di antara kedua buah negara.
Yang Berhormat menyatakan perkara tersebut semasa Majlis Makan Malam Sempena Lawatan Kerja Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Yang Berhormat Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek ke negara ini.
Namun yang penting, tambah Yang Berhormat, sebagai pemangkin kepada hubungan kerjasama yang kukuh dan sangat baik itu kerana ianya diterajui dan dihasilkan daripada hubungan yang sangat akrab serta mesra di antara pemimpin atasan kedua-dua buah negara iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dengan hasrat mereka untuk terus memperkukuh dan mempertingkatkan hubungan rakyat dan kerajaan melalui memperluaskan bidang-bidang kerjasama yang mendatangkan manfaat kepada pembangunan rakyat dan negara serta menyumbang kepada keamanan dan pembangunan serantau dan antarabangsa.

YANG Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan berbual mesra bersama Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Yang Berhormat Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek.
(Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman)
Jelas Yang Perhormat lagi, hubungan yang sedia wujud perlu diasuh dan dikembangkan serta seharusnya 'not to be taken for granted' kerana ianya perlu diangkat, tanamkan, fahami kembangkan dan teruskan oleh generasi seterusnya di kedua buah negara melalui platform belia dan sukan.
"Ini memandangkan belia-belia adalah merupakan sebagai aset negara yang berharga dan pemimpin masa depan kita," jelas Yang Berhormat.
Manakala menerusi kesukanan menurut Yang Berhormat kedua buah negara akan dapat memupuk semangat setia kawan dan persaudaraan yang sihat di kalangan generasi muda Brunei Darusalam dan Malaysia.
Menyentuh mengenai keperluan untuk mengadakan MoU bagi kerjasama di bidang belia dan sukan di antara Brunei Darussalam dengan Malaysia, jelas Yang Berhormat, ia ditekankan lagi di dalam Mesyuarat Perundingan Tahunan Ketua Kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Malaysia Ke-14 pada September tahun lepas.

MENTERI KKBS Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Hazair menyerahkan cenderahati kenang-kenangan kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Yang Berhormat Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek.
(Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman)
Dalam konteks ini, terang Yang Berhormat, Negara Brunei Darussalam sangat menyambut baik cadangan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia itu bagi mengadakan MoU kerjasama di bidang belia dan sukan di antara kedua buah negara kerana ia dapat memperkukuhkan dan memperkembangkan lagi kerjasama yang sedia ada.
Dalam waktu yang sama, tambah Yang Berhormat, kerjasama di bidang belia dan sukan adalah sangat signifikan ke arah lonjakan pencapaian kecemerlangan pembangunan belia dan kemajuan sukan di kedua buah pihak khususnya Negara Brunei Darussalam.
Melalui MoU yang akan ditandatangani, ujar Yang Berhormat, akan lebih banyak lagi program-program pertukaran lawatan, perhimpunan, latihan dan kerjasama belia yang menjurus kepada kepimpinan, keusahawanan, intelektual, kebudayaan dan kemasyarakatan akan dapat dilaksanakan secara meluas di antara Negara Brunei Darussalam dengan Malaysia.(sumber : Abu Bakar Haji Abdul Rahman, Pelita Brunei , 1/7/11)
(

Tiada ulasan: