Salam Perjuangan

31 Julai 2011

HADIAH SASTERA NEGERI JOHOR 2011

TB diberitahu rakan, ada penyampaian Hadiah Sastera Johor  semalam (30 Julai 2011) anjuran  Yayasan Warisan Negeri Johor. TB pun tidak begitu sangat mengikutinya. TB pun tidak tahu dan tidak pasti susur-galurnya.Maklumlah, tempat jatuh lagi dikenang,inikan pula tempat bermain, sudah tidak dipedulikan orang pada era yang serba kebendaan ini.

 Apatah lagi teman-teman penulis dan penggiat seni budaya yang pernah berganding bahu bersama TB pada tahun-tahun 1970-an dan awal 1980-an di Johor ramai yang telah kembali ke rahmatullah.Sekadar ingatan dan sedekah al-Fatiha buat Allahyarham Kadir Bawok,Aris Tahir (Said Tahir), Mahfar Tahir, Jufri Sitam, Saparman Bakri dan lain-lain; semoga Allah menempatkan roh mereka di kalangan para solihin.

Sesekali untuk menghilangkan rindu lama, TB ke Batu Pahat bertemu Cikgu Said Jamhari (Said Johor) yang kini berusia 70-an untuk bertanya khabar sambil bercerita nostalgia. Walaupun jarak usia TB agak jauh dengan mereka tapi hubungan kami agak akrab.TB sememangnya menghormati penulis vateran kerana daripada mereka TB timba pengalaman yang serba rencah ragamnya.Ada juga TB bertemu Zam lsmail yang kini dengan dunia persaraannya. TB tabik kerana Zam bukan sahaja berjaya dalam kerjaya dan penulisan bahkan pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Johor dan Tokoh Guru peringkat kebangsaan suatu waktu dahulu. Tahniah! TB tidak tahu di manakah kini lsmail Kayat, Haji Juraimi, Jumanoh Abdul Bunga....jika ada sesiapa yang mengenalinya beritahulah TB.

Apapun Hadiah Sastera Johor yang disampaikan semalam, TB tidak pasti sama ada tetap stereotaip atau ada kelainan. TB ingin tahu siapakah para hakim/pengadil atau jurinya yang bijaksana itu yang memilih para pemenangnya.Oleh kerana hadiah ini bukan suatu pertandingan tetapi suatu penilaian berdasarkan karya-karya penulis 'anak-anak Johor' yang telah tersiar di mana-mana media dalam tempoh tertentu maka ketidakterbatasan tema, bentuk,bahasa, mesej dan visi tentulah menjadi ukuran dan nilai taranya.

 Justeru, memilih karya berdasarkan objektif dan falsafah tertentu TB rasa kurang mengena. Lebih-lebih lagi nama-nama penulis/penyair yang ada tercatat dalam karya-karya yang dikirimi tidak dapat mengelakkan daripada elemen-elemen prasangka.Apapun hendak dikata apa..biarlah luncai terjun dengan labu-labunya. Salam kemenangan kepada semua. Masih TB ingat .'sekali menulis,tetap menulis'. (TB)

30 Julai 2011

HARIMAU MALAYA TANPA KUNING HILANG SEMANGAT?




SEORANG teman sambil berseloroh berkata, 'apakah kerana Harimau Malaya tanpa berbajukan kuning berbelang hitam menyebabkan taring semangatnya hilang tanpa disangka-sangka. Masakan tidak, jersi yang selama ini dipakai bagaikan seri bercahaya menyinari gelanggang bertukar  biru kegelapan dan penuh kesamaran pula.Kemungkinan pakar psikologi aura boleh mengesahkan telahan ini.



Justeru pemerhati,penganalisis,pengkritik mahupun pengulas dalam apa jua bidang pun sama ada bidang teater dan filem, politik, dan kebudayaan boleh juga memberi saranan membina dalam sukan bola sepak dan  tidak semestinya mereka terlibat secara langsung di lapangan.

 Bahkan golongan ini dianugerahkan Tuhan mempunyai pandangan mata yang tajam dan daya akal yang tinggi untuk memberi tafsiran dan penambahbaikan yang membina.Begitu juga di arena bola sepak; golongan ini tanpa predjudis gender diperlukan selain pandangan jurulatih dan mereka yang berada di sekeliling padang stadium ketika itu.

Justeru pada 23 Julai 2011 kita menyaksikan pasukan Harimau Malaya yang mewakili Malaysia kecundang 3-5 di tangan pasukan Lion, Singapura di pertandingan bola sepak perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Zon Asia di Stadium Jalan Besar, Singapura.Dan tidak kecapaian pada malam 28 Julai 2011 setelah keputusan 1-1 di Stadium Nasional,Bukit Jalil,Malaysia. Singapura menang aggregat 6-4 yang terus memadamkan impian Malaysia untuk menuju ke Pertandingan Kelayakan Piala Dunia 2014 bagi zon Asia.

Sebenarnya pasukan Malaysia tidak sewajarnya kalah memandangkan pendedahan lasak yang telah dialami termasuk menentang pasukan Taiwan dan beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan luar negara Manchester United, Arsenal dan Chelsea. Wow... hebat pengalaman kalian!

Saya percaya setiap pasukan mesti ada cara tersendiri untuk saling menumpaskan. Bagi saya fokuskan: TEKNIK dan TAKTIK (2T) dari segi sepak, bawa, hambatan, lari dan tendang. Saya tidak mahu mengulas panjang.Saya mahu kita sama-sama berfikir.Ada masa penjaga gol perlu menendang jauh bola ke hadapan melepasi separuh padang.

 Ada masanya penjaga gol melontar atau membaling bola ala kadar kepada rakan sepasukan yang berhampiran. Masihkah anda ingat, penjaga gol Malaysia asyik membaling bola kepada rakan yang berdekatan yang kekadang begitu mudah disambar pihak lawan. Kekerapan seperti ini wajar dikurangkan atau dijauhkan.

Apa yang patut difikirkan oleh pasukan Malaysia ialah pemberatan bola wajar berada di sebelah gawang musuh.Jangan biarkan bola sentiasa ada di kawasan Malaysia.lni membahayakan kerana keadaan kelam-kabut dan sarat dengan pemain-pemain boleh mengundang pelbagai kemungkinan.

Pemain Malaysia wajar bergerak pantas.Jikalau mahu memperlahankan rentak pun bagi tujuan mengatur strategi sebelum terus mengasak dan menyerang,menendang bola ke sasaran. Elakkan menendang bola tanpa tepat ke sasaran rakan.lni membuang masa dan memberi peluang musuh secara percuma.

Tekanan dan faktor psikologi sering menghantui pasukan Malaysia sejak zaman Ghani Minhat, Mokhtar Dahari, Zainal Abidin hingga kini. Adalah wajar jika pasukan Malaysia memanggil pakar motivasi yang bukan di kalangan mereka yang berijazah sains sukan atau psikologi sukan.

Sesekali panggillah pakar motivasi di bidang sains sosial agar pemain-pemain ini didedahkan dengan semangat dan tanggungjawab kepada negara dari aspek kesan kepada sosial dan budaya, pendidikan dan patriotisme.Di samping itu segala ulasan di media elektronik dan cetak patut  dikumpulkan,dikupas,diulangtanyangkan dan dibicangkan di dalam bilik darjah /kuliah.

Tujuannya agar para pemain memperoleh input yang berbeza tetapi bermakna.Kita mahu pasukan bola sepak kita konsisten dari segi semangat tanpa mengejar habuan kebendaan semata-mata.Kita mahu  walau di mana mereka beraksi, mereka tetap utuh dan stabil minda.

Seperkara lagi adalah wajar pasukan yang paling terkuat yang menjuarai Piala Malaysia atau mana-mana pertandingan bola sepak berprestij peringkat nasional  di Malaysia dicuba untuk mewakili pasukan kebangsaan. lni memudahkan keserasian antara mereka lantaran memilih mereka daripada pasukan berlainan negeri atau kelab untuk mewakili pasukan negara menimbulkan masalah ketidakserasian, latihan dan kerenah birokrasi dan peribadi yang tenggelam timbul. Apakah FAM mahu mencubanya? (by TB)

29 Julai 2011

MALAYSIA: ANTARA 10 TERSELAMAT DI DUNIA


SAYA (Subky Latif)  amat seronok apabila Malaysia tersenarai sebagai sebuah dari 10 negara terselamat di dunia. Negara kita terletak di belakang Australia, Jepun dan sebuah negara Asia lagi yang saya tidak ingat. Dan teratas di kalangan negara umat Islam.

Itulah hasil tinjauan tahunan antarabangsa.
Buat masa ini adalah lebih baik dari tahun lalu.
Jika benar bagai yang ditinjau, apakah menyebabkan Malaysia mencapai keselamatan yang terbaik itu. Rasanya tentulah faktor kestabilan politik, sosial dan ekonomi.
Apakah yang memungkin kestabilan politik itu?

Tentulah disebabkan oleh rata-rata rakyatnya bertanggungjawab dan tahu tanggungjawab masing-masing.
Antara rakyat itu adalah pembangkang. Wujudnya keamanan, keselamatan dan kestabilan politik dan ekonomi itu adalah atas peranan, dorongan dan kerjasama yang diberikan oleh golongan pembangkang yang bertanggungjawab dan tinggi tahap kesabarannya.
Jika pembangkang tidak bertanggugjawab, seperti pembangkang di Sri Lanka, seperti di Nepal sebelum menjadi republik dulu atau sekurang-kurangnya seperti di Thailand sebelum pilihan raya umumnya baru-baru ini, sukar bagi kerajaan dan negara mewujudkan kestabilan dan keamanan itu.
Malah jika pembangkang terikut-ikut dengan sikap pembangkang di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah sekarang, dengan cara tidak bertanggungjawab itu mengancau dan mengganggu kerajaan negeri tersebut untuk mentadbirkan kebajikan rakyat secara licin.
Tidakkah hampir tercetus kekacauan di Perak apabila pembangkangnya selepas PRU 12 secara tidak bertanggungjawab merampas kuasa di luar semagat perlembagaan setahun kemudian. Tidakkah gara-gara pembangkang yang tidak beradab itu sekurang-kurangnya buat beberapa purnama tercemar duli, perlembagaan dan terganggu ketenteraman?
Bagaimana pun kecewa, naik darah dan marah kepada penyelewangan dan kerakusan golongan yang memerintah sejak berakhirnya darurat tahun 1960, pembangkang pada umumnya bersabar terus kekal menghormati demokrasi, institusi istana dan perlembagaan.
Dengan rasa tanggungjawab itu tidak pernah pembangkang berfikir untuk mengambil alih kekuasaan di luar kehendak perlembagaan. Tidak pernah mereka cuba buat seperti yang dibuat di Perak dua tahun lalu dan percubaan yang gagal di Selangor.
Cuma dalam masa sepuluh tahun terakhir ini, negara bertambah mantap walau pun kesempurnaan demokrasinya menurun, pembangkang dilihat lebih bertenaga dan tambah berpengaruh.
Dalam tempoh terakhir itu dilihat banyak unjuk rasa besar-besaran oleh pembangkang yan rata-rata dibuat secara aman sekali pun ia berdepan dengan cabaran dan provokasi getir dari polis.
Sekali pun rentak kebangkitan itu dirasa panas, tetap pembangkang menjunjung demokrasi, istana dan perlembagaan, lalu ditafsir dan ditempelak oleh peneraju demokrasi tiga suku perkembangan itu mahu mencetuskan huruhara dan mengganggu ketenteraman.
Dalam apa yang dirasakan bergelora itu tinjauan antarabangsa mendapati tahap keselamatan negara bertambah baik. Laporan tahun ini adalah antara 10 negara terselamat di dunia. Tahun ini lebih baik dari tahu lalu. Tahun lalu lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.
Jika tinjauan dunia itu dapat diterima dan ia diterima pakai, tiada bukti acapnya unjuk rasa reaksaksa itu menjadikan negara kurang selamat. Keinginan menunjuk rasa itu bertambah dari semasa ke semasa. Tetapi pencapaian suasana selamat itu bertambah baik dari setahun ke setahun.
Maklumat itu kita ketahui atau dikeluarkan beberapa ketika selepas unjuk rasa Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Apa yang dikatakan huruhara oleh kerajaan dan polis itu tidak mencacatkan Malaysia menjadi negara ke 10 paling selamat di dunia.
Apa pun orang hendak kata, unjuk rasa 9 Julai itu tetapi dilaksanakan oleh pembangkang dengan semangat tanggungjawab yang tinggi. Jika diikut kata Perdana Menteri dan polis, kejadian 9 Julai itu adalah untuk menghancurkan keamanan dan ketenteraman nagara, tetapi laporan tinjauan dunia mengatakan Malaysia 10 negara terselamat di dunia.
Perdana Menteri amat gembira menyambut berita itu. Tertanya kejadian 9 Julai itu tidak mengganggu menjadikan Malaysia 10 negara ter aman di dunia.
Walau pun saya membaca berita pembunuhan setiap minggu, Mat Rempit meragut di sana sini, Ah Long mengancam mangsa setiap hari,  rumah saya dipecah pencuri dua bulan lalu, malah kawasan kediaman saya berlaku pecah rumah selang beberapa malam dan ada kalanya lebih dari satu rumah dipecah satu malam.
Dari semua kejadian dan laporan itu saya rasa suasana kita cukup terancam dan tidak selamat. Tetapi tetap dunia mengira kita antara 10 negara paling selamat tahun ini.(sumber:TMInsider,29/7/11)

28 Julai 2011

KEMURUNGAN: SEMAKIN SERIUS


DUA  bekas presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln dan Theodore Roosevelt pernah mengalaminya pada suatu ketika.
Malah beberapa seniman agung seperti pemuzik Beethoven, penulis Edgar Allen Poe dan Mark Twain serta pelukis Vincent van Gogh turut melalui pengalaman yang sama.
Ini membuktikan kemurungan tidak mendiskriminasi sesiapa.
Dalam satu kajian, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati kemurungan klinikal ialah penyakit keempat dalam ranking penyakit penyebab ketidakupayaan paling teruk dan dijangka akan naik pada kedudukan kedua menjelang 2020.
SIMPTOM KEMURUNGAN
Gejala atau simptom kemurungan berbeza-beza, tetapi secara amnya, mangsa mengalami perasaan negatif untuk jangka masa yang panjang seperti kehilangan minat atau kehendak untuk hidup dan anhedonia atau hilang perasaan nikmat kehidupan.
Tanda lain termasuk perubahan berat badan dan selera makan secara drastik, gangguan tidur, kesunyian, mudah terasa, mudah cemas, kepenatan, dihantui perasaan tidak berguna, sering rasa bersalah, kurang bertenaga, hilang tumpuan dan rendah diri.
Kemurungan juga boleh termanifestasi dalam pelbagai bentuk masalah fizikal seperti sakit belakang, pening, masalah gastrik dan lain-lain sakit kronik.
Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar menjelaskan bahawa kemurungan sebenarnya sangat berbeza dengan kesedihan.
“Diagnosis kemurungan ialah mempunyai lima atau lebih gejala berkaitan selama sekurang-kurangnya dua minggu yang cukup teruk hingga mengganggu prestasi kerja dan kehidupan sosial,” jelasnya.
Ia boleh menjadi kronik sehinggakan menjurus kepada membunuh diri.
“Apapun, kebanyakan kes kemurungan sebenarnya boleh dirawat dengan ubat atau melalui psikoterapi,” kata Abdul Kadir dalam satu temu bual baru-baru ini.
“Tanpa rawatan sewajarnya, gejala yang dialami pesakit boleh mengambil masa sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun,” ujar Abdul Kadir.

KECENDERUNGAN BUNUH DIRI
Pakar bersetuju bahawa sekiranya seseorang itu nekad untuk membunuh diri, tiga jenis perasaan telah terbentuk di dalam dirinya, iaitu – tidak lagi tahan untuk menanggung azab, tidak lagi mampu melarikan diri dan tidak upaya lagi menghadapi ketentuan.
Rekod Daftar Statistik Bunuh Diri Malaysia mencatatkan seramai 731 (545 lelaki dan 186 wanita) membunuh diri dalam tempoh tiga tahun antara 2007 hingga 2010.
Daripada angka itu 321 kes melibatkan individu yang berkahwin, 298 bujang, 34 orang balu dan 29 orang yang bercerai.
Statistik itu merupakan sebahagian daripada laporan Kabinet yang dibentangkan di Dewan Negara April lalu.
Kajian WHO mendapati, penyebab utama kematian akibat bunuh diri adalah kemurungan.
WHO turut menganggarkan bahawa di rantau Asia Pasifik, orang yang mati akibat bunuh diri sebenarnya lebih ramai berbanding mati akibat tuberculosis.
Senario bunuh diri dijangka akan meningkat sekiranya masyarakat enggan bersikap terbuka terhadap isu yang berkaitan dengan masalah sosio-ekomoni yang boleh menjurus kepada isu psikiatrik.
WANITA MUDAH ALAMI KEMURUNGAN
Kajian mendedahkan bahawa dalam satu-satu masa, sekitar lima hingga 10 peratus anggota masyarakat berdepan dengan episod kemurungan yang memerlukan bantuan psikiatri atau bantuan psikososial.
Tetapi, wanita mempunyai kadar risiko yang lebih tinggi berbanding lelaki iaitu sekitar satu nisbah dua kebarangkalian untuk mengalami episod kemurungan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Saintis percaya kekerapan itu berpunca daripada beban mengimbangi pelbagai peranan sebagai suri rumahtangga, tugas profesional, isteri dan ibu.
Berbeza dengan wanita, lelaki sering merawat sendiri kemurungan dengan terjebak dalam kegiatan tidak sihat seperti dadah dan arak sekaligus menyebabkan isu kemurungan sukar dikesan.
Kajian juga menunjukkan bahawa penyakit kemurungan ini lebih mudah menyerang pada tempoh paling produktif seseorang individu, iaitu mereka yang berusia kurang 45 tahun, berbanding mereka yang lebih tua.

MENTAL DAN FIZIKAL SALING BERKAITAN
Dr Abdul Kadir menegaskan bahawa kesihatan mental dan kesihatan fizikal adalah dua perkara berbeza tetapi sama penting dan saling berkaitan.
“Kedua-dua komponen ini mesti seimbang bagi membolehkan seseorang menjalani kehidupan yang lebih sejahtera, memiliki hubungan kekeluargaan yang baik dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.
“Hakikatnya di Malaysia, rakyat yang mengalami kemurungan sebenarnya lebih ramai berbanding angka yang telah dikenalpasti mengalami masalah itu,” katanya..
Beliau berkata ramai yang malu tampil mendapatkan bantuan ekoran stigma negatif masyarakat yang masih mempunyai mentaliti dunia ketiga apabila menyentuh isu berkaitan masalah psikiatrik.
Beliau turut menekankan bahawa ramai dalam kalangan pengidap yang didiagnos tidak menerima rawatan sewajarnya ekoran pelbagai halangan, turut sekaligus menghalang mereka kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif.
“Hanya melalui pendidikan, lebih ramai akan sedar dengan isu ini dan akan tampil mendapatkan rawatan sewajarnya atau sekurang-kurangnya berbincang dengan pegawai perubatan,” ujarnya.

DAPATKAN BANTUAN SEBELUM TERLAMBAT
Justeru, apa yang boleh dilakukan jika anda mendapati ahli keluarga, rakan atau diri anda sendiri mungkin mengalami tekanan atau kerunsingan sehingga mengganggu urusan harian atau produktiviti kerja?
Dr Abdul Kadir menjelaskan bahawa meluahkan perasaan sebenarnya satu perbuatan yang sihat, tetapi sukar dilakukan, ekoran merasa malu dianggap bermasaalah.
Justeru, cara yang mungkin lebih berkesan ialah, meluahkan perasaan melalui saluran yang betul kepada orang yang tidak dikenali iaitu perkhidmatan kaunseling yang kini disediakan di banyak hospital.
Mereka yang tidak sanggup bersemuka dengan kaunselor dicadangkan menghubungi talian bantuan The Befrienders iaitu 03-79568145 yang dibuka sepanjang hari.
Pengerusi The Befrienders, S. Gangadara Vadivel menerangkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyediakan ramai sukarelawan yang bersedia memberikan sokongan emosi kepada yang memerlukan.
“Pemanggil kami seringkali merupakan mereka yang berada dalam keadaan takut, marah, sedih, sunyi atau murung yang perlu meluahkan perasaan tentang pelbagai masalah keluarga, kerja, perhubungan, wang dan sebagainya,” jelas Gangadara.
Beliau memberi jaminan bahawa pemanggil akan dilayan dengan penuh rasa hormat dan setiap panggilan adalah sulit.
“Malahan kami tidak akan menyimpan sebarang rekod bagi memastikan rahsia atau masalah pemanggil selamat dengan kami,” ujarnya. –(sumber: mynewshub.my, 28/7/11)

POLIGAMI : MENURUT KACA MATA WANITA


BAGI lelaki poligami sesuatu yang indah, tetapi bagi kebanyakan wanita hidup bagaikan tidak bermakna apabila mengetahui suami ingin berkahwin lagi. Malah, dalam kajian yang dijalankan mendapati kebanyakan wanita dimadukan mengakui mengalami tekanan emosi yang hebat.

Malah, katanya, ada wanita yang mengalami kemurungan kronik sehingga tidak mengendahkan urusan rumah tangga khususnya anak selain terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menenangkan perasaan.
“Saya mendapati wanita yang dimadukan sama ada terpaksa, dipaksa atau memaksakan diri mereka menerima suami yang berpoligami, menghadapi masalah membabitkan perasaan yang serius kerana begitu kecewa dengan sikap suami yang dianggap tidak mengenang budi dan pengorbanan mereka selama ini.
“Jika ketika hidup susah semuanya dilalui bersama, tetapi apabila sudah merasa sedikit kemewahan, suami sanggup menduakan mereka. Dalam keadaan itu, yang menjadi mangsa ialah anak, tetapi kebanyakan lelaki berpoligami tidak melihat isu itu sebagai masalah kepada mereka,” katanya.
Kajian bertajuk ‘Poligami Dari Perspektif Pandangan Wanita’ itu dijalankan pada Julai 2005 hingga Mei 2006 membabitkan 270 orang wanita daripada pelbagai peringkat kerjaya.
Dr Rusinah berkata, poligami bukan lagi satu isu yang kontroversi dan sensasi untuk disalahertikan oleh pengamalnya atau isteri yang terkena tempias poligami, tetapi sesuatu yang perlu dipandang dari sudut lebih rasional dan bukan emosional oleh pihak suami dan isteri.
Daripada 270 responden itu, seramai 12 peratus mengakui dan mengetahui suami mereka mengamalkan poligami, manakala 35 peratus lagi mengesyaki suami mereka ada menjalin hubungan dengan wanita lain tetapi tidak berpoligami.
Bagi responden yang secara terang menyatakan bahawa suami mereka mengamalkan poligami mengakui mereka berasa rendah diri dan kekurangan sehingga suami beralih kasih kepada wanita lain. Malah, ada yang mengalami perubahan hidup termasuk rakan dan saudara menjauhkan diri kerana berprasangka suami berkahwin lain kerana perlakuan isteri yang tidak menyenangkan.
Bagaimanapun, kata Dr Rusinah, ada wanita yang bersikap positif dengan menganggap tindakan suami bukan penamat kepada kehidupan.
“Ada responden yang mengaku tidak ambil pusing dengan tindakan suami kerana sudah lama dibiarkan sendirian dan menanggung sendiri kehidupan bersama anak. Malah ada responden menyatakan ‘suami tidak balik lagi ke rumah lagi baik kerana tidak ada apa yang hendak diharapkan daripada suami’.
“Malah, ada juga yang dapat menerima tindakan suami dengan tabah dan menganggap ia takdir, lebih-lebih lagi suami masih menunjukkan kasih sayang dan tanggung jawab seperti biasa serta tindakan suami itu sudah mencukupi untuk mereka kekal dalam kehidupan rumah tangga,” katanya.
Begitu pun, beliau berkata, semua responden yang hidup bermadu itu mengakui tetap akan kekal dalam perkahwinan dengan mengamalkan strategi bertahan demi anak yang memerlukan kasih sayang bapa mereka, meskipun pada masa sama ada perubahan dalam kedudukan kewangan yang semakin sempit apabila suami terpaksa mengagihkan pendapatan dengan keluarga baru.
Begitupun, beliau menasihatkan wanita yang tidak dapat menerima hidup dimadukan supaya membuat keputusan dengan penuh rasional dan bukan emosional bagi membina kehidupan yang anda sendiri akan tentukan untuk kebahagiaan diri pada masa depan dan keluarga.
Benar seperti yang dikatakan, poligami adalah hak lelaki, tetapi kebanyakan lelaki yang mengambil keputusan itu sering kali tidak mengambil kira perasaan isteri dan anak yang sering menjadi mangsa. Bayangkan jika sebelum berkahwin lagi, seluruh tumpuan dan pendapatan yang diperoleh digunakan untuk keluarga sepenuhnya, tetapi apabila sudah menambah cawangan perhatian tidak lagi seperti sebelumnya.
Jangan hanya fikir keperluan diri sendiri, tetapi fikirkan akan apa yang anda lakukan kepada isteri dan anak. Gejala sosial yang semakin berleluasa ketika ini perlulah dilihat dari perspektif yang luas dan menyeluruh kerana mungkin kesibukan bapa dengan isteri baru dan keadaan ibu yang mengalami tekanan perasaan menyebabkan anak tersisih.
Fokus utama sesebuah perkahwinan ialah pembentukan rumah tangga bahagia yang mana suami menjadi pemimpin dan isteri menjadi pendorong kepada kepimpinan itu. Poligami hanya indah untuk suami, tidak kepada isteri dan anak.
FAKTA: Punca suami berpoligami

  • Tidak ada anak selepas lama berkahwin
  • Tidak tahu sebab dan punca mengapa suami berkahwin lain
  • Suami gemar berpoya-poya dengan wanita kerana ajakan kawan sekerja
  • Suami bosan di rumah dan gemar keluar rumah
  • Suami idak bertanggungjawab dan tidak bersyukur dengan pengorbanan isteri semasa hidup susah di awal perkahwinan
  • Suami sukakan wanita muda dan lebih menarik
  • Suami jatuh cinta dengan wanita lain
  • Suami ‘berubah tiba-tiba’ dan ada gangguan makhluk halus
  • Suami ingin bertanggungjawab terhadap percintaan itu
  • Suami kalah dengan godaan wanita
  • Suami sengaja mencari kesusahan diri
  • Suami tidak mahu terus mencari dosa
  • Suami yang tidak keharuan kerana godaan dan perasaan kecintaan terhadap wanita berkenaan
  • Suami tidak ada alasan yang munasabah
  • Suami tidak mahu bertindak ganas terhadap isteri dan anak-anak jika permintaan hendak berpoligami dihalang oleh isteri
    Kesan terhadap diri hasil tindakan suami yang berpoligami
  • Tidak lalu makan dan minum
  • Gangguan tidur malam yang berterusan semasa kemelut rumah tangga
  • Mengambil cuti sakit yang berterusan
  • Mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan untuk menenangkan perasaan
  • Rasa rendah diri dan merasakan kekurangan diri sehingga suami beralih kasih pada wanita lain
  • Rasa kekecewaan yang mendalam dengan tindakan suami
  • Tidak menghiraukan urusan rumah tangga dan anak ketika kemelut rumah tangga
  • Tidak peka dengan keadaan sekeliling kerana terlalu runsing dengan keadaan suami
  • Berendam air mata sehingga menjejaskan kesihatan diri
  • Suami berubah tingkah laku dan sangat menyedihkan isteri kerana tiada lagi kasih sayang dan gurau senda suami
  • Kepercayaan kepada suami berkecai dan hati yang retak sukar untuk pulih kembali
  • Personaliti berubah kerana tekanan perasaan seperti sifat periang bertukar kepada sikap pendiam dan pemarah
  • Perasaan kasih kepada suami telah berubah kepada kemarahan dan kekecewaan
  • Kemurungan dan sakit kepala yang teruk
  • Mencari kesalahan diri dan kesalahan suami
  • Ketidaktentuan terhadap kehidupan anak-anak
  • Tidak berminat dalam hubungan seksual
  • Gangguan makhluk halus
  • (sumber:umminessa.blogspo.com/ BH, 27/7/2011)

    DAP KENA LAGI.....


    SEMUA  pemimpin DAP termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah diminta memohon maaf kepada keluarga Teoh Beng Hock kerana tidak membantunya ketika dia dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebelum kematiannya.

    "Ketika Teoh (Beng Hock) dipanggil (oleh SPRM), dimanakah Ean Yong, mana penasihat DAP Lim Kit Siang, mana Karpal Singh. Kenapa tak bantu ketika Teoh (Beng Hock) disiasat.

    "Yang pasti, hanya selepas Teoh (Bengh Hock) meninggal dunia, mereka (DAP) datang pasang lilin putih depan pejabat SPRM,” kata Allan Liew Sin Kim, jurucakap sekumpulan enam orang yang menyifatkan diri mereka sebagai rakan dan penyokong Beng Hock. -(sumber:  Bernama,28/7/11)

    TB: Prinsip TB tidak memihak tapi cuba sedaya upaya menyuluh yang samar atau kegelapan agar memperoleh cahaya.TB faham inilah namanya politiking demi mecari dan meraih kepentingan politik.Bukan kes Beng Hock sahaja tetapi kes gadis Melayu yang didapati dipaksa berbogel dalam klip video ketuk-ketampi  enam tahun lalu pun DAP hanya menyuarakan 'sekerat jalan'.Apa hendak dihairan jika tidak menguntungkan mereka. Kes gadis Melayu itu pun kita tidak pasti adakah ada reaksi Umno? Reaksi Pas?Mujur kes itu selesai di luar mahkamah dan difahamkan gadis tersebut (yang kini sudah berkahwin) mendapat pampasan ganti rugi.

    JENAYAH & MAHKAMAH

    PASUKAN POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM), pasukan pendakwaan dan pembelaan ,mahkamah yang telah berpengalaman menempuhi prosiding dan perbicaraan kes-kes yang disabitkan.Manakala orang awam telah beberapa kali mengikuti perkembangan perbicaraan kes-kes berprofil tinggi seperti pembunuhan misteri yang mensabitkan hukanan mandotori gantung sampai mati.

    Tentulah setiap kali perbicaraan dan hukaman dijatuhkan setiap episod menjadi teka-teki dan perhatian. Apa yang orang awam mahu ialah biarlah para penjenayah yang melakukan kejahatan jenayah itu dijatuhi hukuman setimpal dan undang-undang tidak diperkotak-katikan. Orang ramai juga tentu berdukacita andainya si penjenayah sebenarnya terlepas di tali gantung atau diringankan huukuman lantaran kelemahan pendakwaan, saksi-sakti yang berpaling tadah dan bersikap 'auta' serta kebijaksaan di pihak pembelaan.

    Dalam era yang serba celik ini, kita faham kadang-kadang sukar pihak penyiasat (PDRM) mahu memperoleh maklumat jika setiap prosedur biasa yang dilakukan akan ditohmah dengan pelbagai  kecaman di pihak luar. Agak aneh zaman sekarang ada juga mereka yang di luar 'gemar' bersimpati dengan penjenayah sebenarnya. Kita faham bahawa mengikut undang-undang 'seseorang belum didapati bersalah sekiranya mahkamah belum menjatuhkan hukuman bersalah ke atas si pelaku atau 'Orang Kena Tuduh' (OKT).lnilah dilema pegawai-pegawai penyiasat yang pada masa kini kena gunakan pendekatan psikologi tinggi.

    Apatah lagi jika pembabitan wang ringgit digunakan dan dimanipulasikan yang mana 'saksi-saksi boleh dibeli'. Dalam erti kata lain ' hari ini kata lain, esok cakap lain, semasa siasat cakap lain, dalam mahkamah membisu seribu bahasa dengan menggeleng-gelengkan kepala'. Segala aksi-aksi inilah juga memerlukan kebijaksanaan pihak pendakwa.Apatah lagi sekiranya OKT ini terpengaruh dengan filem-filem jenayah yang membabitkan perbicaraan di mahkamah.Pihak berkuasa juga boleh memikirkan tentang kesannya sekiranya OKT itu dibawa ke mahkamah untuk sesi perbicaraan bersama-sama dengan 2,3, atau lebih kawan-kawan yang disabitkan yamg mana boleh memberi impak psikologi. Kemungkinan wujud hilang rasa ketakutan, hilang rasa bersalah bahkan seperti memberi sokongan psikologi di antara rakan-rakan mereka.

    Dalam apa jua situasi pun apa yang kita harapkan semoga tiang keadilan dapat ditegakkan.Mereka yang bersalah sama ada melakukan, bersubahat dan berkomplot menerima hukuman yang sebenarnya-benarnya hukuman. Sehubungan ini setiap manusia juga mengharap Tuhan Yang Maha Berkuasa menunjukkan cahaya kepada para hakim kita agar menperoleh hidayah dan rahmat-Nya.(TB)


    27 Julai 2011

    FASAKH: APAKAH ADA KEBENARAN DAN KETELUSAN DALAM MAHKAMAH SYARIAH KITA?

    ...
    APAKAH dia Fasakh? Fasakh bermaksud suatu pembubaran suatu pernikahan mengikut keputusan Hakim Syar'ie kerana sebab tertentu yang telah ditetapkam mengikut hukum syarak


    Pasangan yang berkahwin boleh memohon untuk membubarkan perkahwinan mereka secara fasakh atas alasan-alasan  berikut :


    1. Dalam tempoh satu tahun atau lebih tidak diketahui di mana suaminya berada.

    2. Dalam tempoh satu tahun atau lebih suaminya berada dalam tahanan.


    Suami dalam tahanan


    3. Suami telah cuai atau gagal mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 4 bulan.


    Cuai atau gagal memberikan nafkah


    4. Suami telah dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih.


    Suami dipenjara


    5. Suami telah gagal menunaikan tanpa sebab yang munasabah kewajipan memberikan nafkah batin selama tempoh satu tahun.


    Tiada nafkah batin


    6. Suami telah mati pucuk.


    Suami mati pucuk


    7. Suami telah gila selama tempoh 2 tahun.

    8. Suami menghidap penyakit kusta atau vitiligo atau AIDS atau pembawa kuman HIV atau penyakit kelamin yang boleh berjangkit.


    Suami menghidapi Aids


    9. Isteri maseh tidak disetubuhi kerana suami senghaja enggan menyetubuhinya walaupun sudah diperintahkan oleh Hakim Syar'ie.

    10. Isteri tidak izin terhadap perkahwinan itu samada sebab paksaan, kesilapan dan kecacatan akal.

    11. Isteri mempunyai kecacatan yang menghalang persetubuhan dilakukan.


    Jelas sekali sebab2 di atas menunjukkan bahawa bukan saja isteri yg boleh memohon cerai secara fasakh ini akan tetapi suami juga boleh memohonnya jika bersesuaian dengan sebab2 di atas.

    Mungkin ada yang belum berapa jelas mengenai dengan sebab2 untuk bercerai sebelum ini, maka diharap dengan apa yang sudah dinyatakan di atas akan dapat memberikan info baru bagi yang berhajat untuk memohonnya.(sumber:shahsbs.blogspot.com)


    TB dimaklumkan daripada beberapa responden ada mahkamah-mahkamah rendah syariah dalam negeri-negeri di negara kita tidak melaksanakan prosedur kerja seperti mana yang ditetapkan dalam piagam pelanggan.Dan harus dingatkan jua mahkamah syariah khususnya para kakitangannya termasuk pendaftar dan hakimnya juga tertakluk kepada peraturan-peraturan kerja perintah am kerajaan.Sekiranya sesuatu pengadilan mahu dilakukan atau diputuskan keputusan wajar mengikut prosedur.Ketergesaan dan terburu-buru wajar dihindari. KPI bukan diukur berdasarkan kecepatan tindakan tetapi ketelitian dan kepatuhan prosedur. Misalnya pasangan tersebut mesti menunjukkan bukti telah menemui kaunselor keluarga terlebih dahulu daripada Bahagian Kekeluargaan di pejabat atau jabatan agama berkenaan. Surat saman atau perintah mahkamah wajib disampaikan atau dipos secara A.R Register ke tangan responden atau defenden dengan pengesahan penerimaan ditandatangani oleh individu berkenaan.Apabila perkara-perkara asas ini dipatuhi maka baharulah pihak mahkamah boleh menjalankan prosidingnya.lnilah asas utama bagi kita mahu menegakkan tiang keadilan untuk semua pihak.


    IBU BAPA DAN GURU BERPISAH TIADA

    BARU-BARU ini anak lelaki saya (En.Kew) yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Durah, Seremban dikenakan tindakan kerana rambut panjang dan berfesyen (menggunakan gel dan berwarna ala punk).

    Sebagai bapa, saya sudah beberapa kali mengingatkan dan menyuruhnya membetulkan semula fesyen rambut itu supaya tidak melanggar peraturan sekolah tetapi tidak diendahkan.
    Saya ingin mengucapkan terima kasih dan menghargai tindakan pihak sekolah terhadap anak saya. Ini adalah satu langkah betul. Saya percaya pihak sekolah memberi amaran kepada anak saya terlebih dulu sebelum bertindak.
    Setiap penjaga memang mengharapkan yang terbaik daripada anak mereka dalam apa jua aspek termasuk disiplin. Saya mungkin antara bapa yang prihatin dalam hal disiplin pelajar tetapi tidak berupaya membendung budaya negatif yang sering dilakukan oleh pelajar termasuk anak saya.

    Nasihat dan peringatan ibu bapa tidak memberi banyak kesan akibat pengaruh sekeliling termasuk rakan sebaya. Pelajar sangat mudah menerima dan meniru apa saja yang menjadi ikutan rakan seangkatan mereka termasuk pengaruh negatif.

    Budaya merokok, melepak dan membuang masa, ponteng sekolah, merempit, berpeleseran, berfesyen mencolok mata dan sebagainya antara fenomena yang sangat mudah meresapi jiwa pelajar.

    Tidak semua ibu bapa mempunyai kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak dalam era masa kini yang sangat terdedah dengan bermacam pengaruh. Jika pihak sekolah tidak dapat menangani dengan tegas dan berterusan maka pelajar akan hanyut dengan keseronokan dunia ciptaan mereka.
    Sebagai institusi pendidikan yang diberi amanah mendidik anak bangsa, sekolah bukan saja untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi cemerlang juga sahsiah, budi pekerti dan kuat jati dirinya.

    Ibu bapa hanya mampu memberi nasihat dan peringatan tetapi di peringkat sekolah, saya percaya mereka ada saluran betul untuk memperelok sahsiah pelajar seperti guru kelas, guru kaunseling, guru disiplin, program motivasi dan sebagainya. Mereka adalah pemain penting dalam membentuk disiplin pelajar.

    Saya percaya ibu bapa lain juga bersetuju dengan saya dalam hal ini. Teruskan usaha murni ini supaya anak generasi masa depan ini terbentuk jiwa nurani mereka dengan cemerlang.(sumber:Surat daripada KEW,Bharian,27/7/11)

    26 Julai 2011

    FACEBOOK & BLOG: BUKAN KEWARTAWANAN SEBENAR

    Media internet jadi senjata penulis tak beretika racuni minda masyarakat

    TIDAK ramai yang mengenali Amizudin Ahmat sebelum ini. Dia sekadar penulis blog yang tulisannya kurang mendapat perhatian umum. Tetapi gara-gara ‘laporan’ yang dimuatkan dalam blognya, dia akhirnya disebut dan ada yang mempercayai kebenarannya. 

    Bagaimanapun, pengendali laman sharpshooterblogger.blogspot.com yang diheret ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terpaksa akur kepada kebenaran fakta. Dalam bidang kewartawanan, ketepatan dan kesahihan fakta bakal menentukan kewibawaan sesebuah berita dan rencana. Hal ini yang membezakan kewartawanan sebenar dengan penulis blog, portal berita dan catatan di facebook.
    Tradisi kewartawanan yang ada di media arus perdana dan stesen penyiaran berdasarkan fakta dan etika, berbeza tulisan di laman web dan blog yang boleh menulis apa saja, termasuk menuduh seseorang melakukan perbuatan rogol atau bunuh tanpa sebarang bukti.


    Amizudin diarah membayar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim RM400,000 berhubung satu artikel berkaitan dakwaan merogol pembantu rumah Indonesia. 

    Pada 1 Januari lalu, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, 42, yang juga ahli jawatankuasa Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blognya pada 28 Disember lalu. 

    Dalam penghakimannya, Hakim Zabariah Mohd Yusof, berkata selepas mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dilakukan oleh Amizudin dalam blognya dan juga nilai wang semasa, jumlah yang diberikan kepada Rais adalah munasabah. 

    Hakim mendapati fitnah yang dibuat itu adalah sangat serius, dan jika seseorang itu mempercayainya, bukan saja reputasi Rais akan terjejas pada peringkat nasional dan antarabangsa, tetapi yang lebih penting ialah kesannya terhadap kehidupan Rais dan keluarga. Mahkamah memutuskan tidak ada keterangan yang boleh mengaitkan Rais dengan perbuatan salah laku sehingga mendorong Amizudin mengeluarkan artikel berkenaan. 
    Zabariah berkata, fitnah itu membabitkan perbuatan merogol seorang individu dari negara lain dan ini satu tuduhan paling kotor yang dibuat terhadap seseorang. 

    Katanya, artikel itu diterbitkan dalam satu laman blog yang dapat diakses oleh sesiapa saja, termasuk di luar negara. 

    Kes terbaru ini membuktikan isu blog dan internet tidak pernah reda. Penulis bebas menulis apa saja seolah-olah mereka mengetahui setiap kejadian dan boleh berperanan sebagai hakim untuk menentukan seseorang melakukan kesalahan. 

    Sebelum ini seorang kerani bank menjadi individu pertama disabitkan kesalahan menggunakan aplikasi lucah menerusi internet bagi tujuan komersial, didenda RM30,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 27 Mei lalu. 

    Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman terhadap Tajulzairi Tajuddin, apabila dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial. 

    Seorang belia berusia 29 tahun pula ditahan di Kelantan selepas tulisan dalam blognya menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar. Selepas dua hari menyembunyikan diri, penulis blog Adukataruna, akhirnya ditahan di Kota Bharu, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Dia disiasat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

    Pada 0gos 2008, penulis blog Penarik Beca, Abu Bakar Mohd Rashid, ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai penghinaan kepada pasukan itu dan cubaan menghasut orang ramai membenci polis. 

    Penulis dan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin pula ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008 kerana didapati boleh mengganggu dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam. 

    Seorang lagi penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz ditahan mengikut Akta Hasutan pada September 2008 kerana membuat cadangan di laman blognya supaya bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan negara. 

    Semua mereka yang dikaitkan di atas tidak mempunyai latar belakang kewartawanan dan perundangan. Mereka menjadikan blog sebagai senjata untuk menulis apa saja, termasuk menghina dan mencerca peribadi orang lain, termasuk insan yang sudah meninggal dunia. 

    Jika internet yang sepatutnya digunakan untuk menyebarkan maklumat diseleweng, kita tidak tahu bagaimana pembaca boleh menghargai sebarang bentuk tulisan yang boleh memberi kesan kepada masyarakat itu sendiri. 

    Amat malang jika teknologi maklumat disalah guna kerana ledakan media penyiaran sepatutnya seiring perkembangan tamadun manusia itu sendiri. 

    Penulis juga mendapati beberapa catatan di facebook tidak terkecuali mempunyai unsur yang boleh dikaitkan dengan Akta Hasutan. Isu perhimpunan haram 9 Julai disensasikan. Ada yang menggunakan facebook untuk mengecam pihak yang bertentangan fahaman politik. Tidak terkecuali juga media sosial menjadi alat menjatuhkan hukuman kepada pihak lawan. 

    Jika keadaan ini berterusan, laman web, blog dan facebook sekadar media murahan yang bertentangan konsep sebenar media baru. Kita tentunya rugi jika tradisi kewartawanan diperlekehkan oleh segelintir golongan yang jahil. Tentunya lebih rugi jika penulis tidak berilmu terus kekal dengan laporan yang tidak manusiawi! (sumber: lmlan Adabi: bharian, 25/7/11)