Salam Perjuangan

21 Ogos 2011

UMNO,PAS,PKR:MAIN KONGKALIKONG?

PERKASA hari ini menuduh pemimpin-pemimpin Melayu dari Umno, PAS dan PKR mengorbankan Islam semata-mata mahu mendapatkan sokongan masyarakat Kristian dalam pilihan raya.
Kumpulan membela hak Melayu itu mengadakan satu demonstrasi di Masjid Negara di sini — disertai kira-kira 20 orang — menuduh kumpulan Kristian memurtadkan umat Islam.
“Gereja biadab,” kata Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali di sebalik persekitaran panas terik.
“Mereka berkeras mahu menggunakan kitab injil versi Bahasa Malaysia. Sekarang mereka cukup berani untuk memurtadkan umat Islam, yang mana ia menyalahi undang-undang. Pemimpin-pemimpin Umno, PKR dan PAS terdesak mahu mendapatkan undi penganut Kristian sehingga sanggup mengorbankan Islam,” tambahnya.
Peserta-peserta demonstrasi turut membawa kain rentang yang tertulis “Haramkan guru-guru Kristian di Sekolah”, “Istana perlu mengajar pemimpin Melayu” dan “Guru Kristian sudah melampau! Halau mereka daripada mengajar pelajar Melayu”.
Penganut Kristian sekitar 9.2 peratus daripada 28.3 juta rakyat Malaysia, menurut bancian terbaru.
Mereka juga terdiri daripada hampir separuh 2.4 juta penduduk di Sarawak, negeri Malaysia timur yang dianggap undi kemenangan Barisan Nasional (BN).
Ketegangan antara komuniti Islam dan Kristian muncul ekoran pertikaian penggunaan kalimah “Allah” yang sehingga kini masih belum selesai. Ia kini di peringkat mahkamah rayuan.
Keputusan awal mahkamah yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah “Allah” menyebabkan sebuah gereja dibakar Januari tahun lalu.
Kerajaan juga terpaksa melepaskan 35,100 kitab Injil versi Bahasa Malaysia yang dirampas pihak Kastam.
Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya awal bulan ini, yang didakwa cuba memurtadkan umat Islam memburukkan lagi keadaan selepas Utusan Malaysia dan Perkasa menuduh DAP terlibat dalam konspirasi dengan pihak gereja untuk menukar Malaysia kepada negara Kristian.
Semalam editor Utusan Malaysia berkata murid sekolah rendah telah diajar ajaran agama Kristian secara halus yang mana ia bertentangan dengan undang-undang negara.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, percubaan memurtadkan murid sekolah rendah beragama Islam mungkin berlaku semasa kelas tuisyen selepas sesi sekolah.
Syed Hassan menambah guru tuisyen juga boleh terdiri daripada guru sekolah.
“Jika mereka berjanji tidak akan memurtadkan (umat Islam), mereka boleh terus mengajar (di sekolah),” katanya.
Beliau juga berkata Jais perlu mempercepatkan siasatan berhubung pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.(sumber:TMI, 21,8,11)

Tiada ulasan: