TIDAK berhati-hati, cuai. Itu jawapan paling mudah, diberikan mengenai insiden hilang anak ketika ibu bapa membeli-belah. Sebagai manusia biasa, insiden sedemikian tidak boleh kita elak berlaku. Dalam keadaan orang ramai dan membawa anak ramai pula, ibu bapa boleh terlepas pandang, biar pun antara suami dan isteri itu saling memerhatikan pergerakan si kecil.
Katanya, ibu bapa boleh menjadi leka kerana sibuk memilih barangan untuk dibeli, sementara anak pula cenderung leka akibat tabiat gemar membelek sesuatu barangan yang mungkin pelik atau menjadi kegemarannya seperti permainan atau mungkin juga bermain sorok-sorok sesama sendiri.
“Dalam kejadian itu, saya bersama suami dan dua anak yang lain berjalan menuju ke bahagian dapur. Ketika ingin bertanya kepada Damea dia mahukan minuman perisa apa, ketika itulah kami baru tersedar dia tiada. Seingat saya, ada dalam 15 minit sebelum kami perasan dia tiada.
“Ketika itu, saya dan suami memang panik, tetapi mengingatkan diri sendiri supaya jangan tonjolkan muka panik pada nada suara mahu pun tingkah laku kerana tidak mahu menjadi perhatian orang lalu lalang. Saya dan suami, berpakat untuk pecah kepada dua bahagian. Saya mencari pada bahagian pakaian kerana dia memang sukakan baju, manakala suami mencari di bahagian permainan. Tetapi dia tiada,” katanya yang menyatakan proses mencari itu memakan masa kira-kira 15 minit.
Menurut Anis, dia tidak mahu menuju ke bahagian keselamatan untuk membuat pengumuman, kerana bimbang akan membahayakan Damea.
“Lebih daripada itu, hati saya kuat menyatakan Damea tidak akan hilang lama. Kerana saya selalu mengingatkan anak, kalau tidak berjumpa dengan ibu dan ayah, duduk di tempat berkenaan kerana kami akan mencari.
“Akhirnya, kami berjumpa Damea di bahagian buku. Saya tidak terus menerpa ke arahnya, sebaliknya melihat reaksinya terlebih dulu, sama ada nampak takut atau menangis kuat. Ketika itu, matanya berkaca dan dadanya berombak kecil, menunjukkan dia pun sebenarnya takut, tetapi mengawal keadaan kerana itulah yang selalu saya tekankan kepada anak,” katanya.
Pengajarannya, ketika membeli-belah bersama anak, Anis akan pastikan lebih bersabar melayan kerenah anaknya yang selalunya leka melihat sesuatu yang cantik dan baru.
“Kalau anak saya ingin duduk lama sedikit di bahagian mainan, saya akan biarkan dan rela menunggu, menyatakan sesuatu barangan yang diminatinya itu, berbaloi atau tidak untuk dimiliki. Anak pun macam orang dewasa juga, kadangkala mereka bukan bertujuan untuk membeli sesuatu, tetapi cuma ingin pegang atau sentuh saja sebab ‘geram’ dengan keunikan sesuatu,” katanya.
Dalam tinjauan ke sebuah pusat beli-belah, baru-baru ini, seorang pegawai khidmat pelanggan di Gombak yang hanya ingin dikenali sebagai Raja, menyatakan dalam sehari sekurang-kurangnya lima kali pengumuman mengenai kes kehilangan anak ketika membeli-belah dibuat, khususnya di hujung minggu.
Katanya, antara sebab, bukan saja ibu bapa leka malah kerana anak juga ralit melihat barangan menarik terutama bahagian mainan hingga tidak sedar ibu bapa sudah bergerak jauh.
“Selalunya kami mempunyai pengawal keselamatan yang akan meronda. Kalau kami dapati anak kecil berkeliaran sendirian, menangis dan sebagainya, kami bawa mereka ke bahagian khidmat pelanggan untuk membuat pengumuman.
“Walaupun keadaan dikatakan terkawal, ibu bapa perlu terus beringat sebab pepatah menyebut jerat tidak pernah melupakan mangsa,” katanya.
Kejadian kanak-kanak hilang ketika bersama ibu bapa membeli-belah, kes terpencil tetapi perlu diambil serius. Negara pernah gempar dengan nasib Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, (ketika itu berusia lima tahun) yang hilang ketika ibu bapanya membeli-belah di Kompleks Sogo, lima tahun lalu.
Yin hilang ketika bapanya mencuba pakaian di bilik persalinan dan ibu pula mengawasi adiknya. Yin dijumpai selepas dua minggu dan sepanjang kehilangannya itu, dia dipelihara keluarga pasangan Myanmar.
Rancang beli-belah
AKTIVIS keselamatan, K Balasupramaniam, mendedahkan antara punca kanak-kanak boleh hilang ketika membeli-belah ialah kerana kelekaan ibu bapa dengan ‘misi’ berbelanja, khususnya pada waktu perayaan. Ibu bapa boleh hilang kawalan serta pengawasan kerana kanak-kanak juga mudah bosan menunggu, lalu mula mencari aktiviti lain yang menarik.
Bagi mengelakkan kejadian ini, ikuti panduan di bawah:
Jika anak hilang:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan