Salam Perjuangan

23 Ogos 2011

JPA: 2 September 2011 ISTIHAR CUTI UMUM

TIDAK sampai 2 minggu lagi, seluruh rakyat Malaysia akan merayakan Hari Raya Aidilfitri khasnya bagi umat Islam dan Hari Kemerdekaan ke-54 bagi seluruh rakyat Malaysia.

Kegembiraan yang hadir sekali dalam masa 54 tahun kemerdekaan perlu dihayati oleh semua rakyat tidak mengira golongan dan kefahaman agama.

Hari Raya merupakan kejayaan umat Islam membebaskan diri daripada belenggu nafsu makan dan melatih jiwa supaya lebih prihatin terhadap kesengsaraan rakyat di negara lain dan sebagai contoh negara Somalia yang rakyatnya mengalami kebuluran yang amat teruk. Kejayaan menahan daripada makan pada siang hari dirayakan dengan meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Manakala kemerdekaan pula merupakan perayaan yang disambut saban tahun bagi merayakan kejayaan negara kita mendapat kemerdekaan tanpa menumpahkan setitis darah. Perayaan ini perlu disambut dengan meriah oleh seluruh rakyat Malaysia dengan semangat 1Malaysia.

Seperti yang sedia maklum, Hari Raya Aidilfitri akan dirayakan pada 30 dan 31 Ogos 2011 dan pada tarikh yang sama juga kita akan menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-54. Pihak kerajaan telah menyatakan bahawa 1 September 2011 diberi cuti bagi menggantikan Hari Kebangsaan yang jatuh pada hari yang sama dengan hari raya kedua Aidilfitri. Oleh itu rakyat Malaysia akan bercuti tiga hari bagi meraikan kedua-dua perayaan.

Saya bagi pihak rakyat Malaysia dan dengan semangat 1Malaysia memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak memberi kebenaran kepada kerajaan agar hari Jumaat, 2 September 2011 diisytiharkan sebagai cuti umum bagi memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia merayakan kedua-dua perayaan yang disambut serentak ini.

Dengan pengisytiharan ini, rakyat dapat merancang perjalanan dengan lebih selesa agar tidak terburu-buru untuk pulang semula ke tempat kerja selepas bercuti kedua-dua perayaan ini. Ini akan dapat mengelakkan kecelakaan jalan raya yang sering berlaku semasa cuti perayaan.

Akhir sekali, terima kasih kerajaan Malaysia kerana prihatin dengan dilema rakyat terutama yang beragama Islam bagi membuat perancangan cuti dan perancangan perjalanan masing-masing agar tidak terburu-buru di jalan raya dan mengelak kejadian yang tidak diingini.(sumber: UM, 22/8/11)

Tiada ulasan: