Salam Perjuangan

26 Ogos 2011

MELAKA: SEJARAH HITAM JANGAN BERULANG LAGI

OGOS ini bulan yang istimewa. Pada bulan ini, umat Islam menyambut Ramadan, Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan negara serentak. 

Namun, ramai yang lupa tarikh 24 Ogos ada cerita besar yang memberikan iktibar kepada kita sebagai rakyat Malaysia. Pada tarikh ini, genaplah 500 tahun Kesultanan Melayu Melaka runtuh dan diranapkan penjajah Portugis. Dalam keadaan kini, kisah sejarah Kesultanan Melayu Melaka harus menjadi contoh teladan yang baik untuk masyarakat ambil peduli. Perpaduan rakyat, kepemimpinan yang amanah, kesetiaan kepada negara adalah tunjang penting membina negara dan seterusnya membangunkan negara supaya terus maju.

Sejarah lampau juga mengajar kita mengenai si kitol yang belot kepada negaranya. Dewasa ini, si kitol moden semakin berlambak dan bersiap sedia untuk memusnahkan negaranya sendiri. Kita juga tidak perlu bergantung kepada warga luar untuk menjaga negara kita ataupun membangunkan negara kita. Lihatlah, bagaimana askar upahan Jawa melarikan diri saat Melaka diserang. Apakah kita mahu perkara sebegitu berulang?
Ini negara kita, maka kitalah yang patut menjaga dan membangunkannya. Kepemimpinan atasan juga perlu amanah ketika menjalankan tugasnya. Kesultanan Melayu Melaka porak peranda akibat pemimpin politiknya yang mengamalkan pilih kasih, fitnah dan tidak jujur dalam pemerintahan. Kebelakangan ini fitnah semakin menjadi-jadi dalam masyarakat kita. Ambillah iktibar, peristiwa Tun Mutahir difitnah hingga membawa kepada kematiannya.

Contohilah kepemimpinan Umar Abdul Aziz yang menjadikan jawatan disandangnya sebagai amanah yang akan dipersoalkan. Umar tidak menjadikan jawatannya sebagai ghanimah yang direbut-rebut ataupun sebagai kemuliaan yang dibangga-banggakan. Perpaduan adalah aspek utama bagi negara yang berbilang kaum. Lupakan warna kulit, kasta, perbezaan agama, pangkat dan bahasa demi membentuk rakyat Malaysia tulen yang menyayangi negara ini. Umar Abdul Aziz amat mementingkan perpaduan. Beliau tidak membezakan bangsa Arab ataupun bangsa bukan Arab seperti golongan Mawali yang pernah dilayan sebagai kelas kedua. Layanan diberikan berteraskan pemerintahan Islam.

Keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah sejarah lampau yang tidak perlu diulangi lagi. Kita perlu belajar daripada sejarah. (sumber:BH, 26/8/11)

Tiada ulasan: