Setelah 15 tahun saya bersara dan menjadi warga emas, baru-baru ini pada 4 Mei 2011, saya menerima sepucuk surat daripada LHDN yang bertarikh 8 April 2011 menyatakan saya masih ada tunggakan bagi taksiran tahun 2000 sebanyak RM450.90 sen.
Jika tidak dijelaskan sebelum 22 April 2011, pihak LHDN akan mengambil tindakan mahkamah dan sekatan perjalanan keluar negara mengikut Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967.
Pada 9 Mei 2011, saya pergi ke Kompleks Kerajaan Jalan Duta dan berjumpa dengan pegawai pentaksir LHDN untuk berbincang dan ingin mendapatkan penjelasan kerana saya kecewa perkara semacam ini berlaku setelah 15 tahun bersara.
Penjelasan yang saya terima daripada pegawai berkenaan yang hanya menyatakan pihak LHDN terlepas pandang dan meminta saya menjelaskan juga secara ansuran bulanan mulai Mei lalu.
Sebagai seorang pesara berjawatan pangkat rendah, pencen saya tidaklah sebanyak mana dan kini pula bergelar warga emas serta keadaan kesihatan saya pun agak merosot, maklumlah umur sudah menjangkau 70 tahun.
Tunggakan LHDN itu adalah separuh daripada pendapatan pencen bulanan saya walaupun terpaksa juga membayarnya bermula Mei lalu kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang seperti disebut dalam surat arahan LHDN (CP547X) yang saya terima.
Sebagai seorang bekas anggota PDRM yang sentiasa patuh pada disiplin dan undang-undang negara, dengan perasaan kecewa, saya akur dengan arahan itu walaupun bukan atas kelalaian dan kesilapan saya.
Diharap kejadian 'terlepas pandang' sedemikian tidak berulang lagi terutamanya terhadap golongan seperti saya yang masih memerlukan wang untuk membeli ubat-ubatan tambahan walaupun mendapat rawatan percuma di hospital.(UM,8/8/11)
TB: Dalam pelaksnaan dan penguatkuasaan di sektor kerajaan, TB percaya ada tata cara tindakan diambil. Pertama, mengikut ndang-undang,kedua berdasarkan budi bicara. TB sedih kerana LHDN bagaikan memberi tekanan kepada pesara kerajaan uzur yang kini telah berusia 70 tahun. Pesara ini bagaikan tertekan dan terpsiko.
Bayangkan jika tekanan ini diterima kelak kepada pegawai LHDN ketika mereka melalui tempoh warga emas nanti. Tambahan pula ini bukan kesilapannya tetapi akibat 'kelalaian dan kealpaan' 15 tahun yang lamapu.
TB rasa tidak patutlah. Banyak cara lagi jika pihak LHDN mahu meningkatkan pendapatan cukai negara.TB dimaklumkan ada kes pegawai-pegawai kerajaan termasuk yang telah bersara semasa berkhidmat 'terpaksa' dipotong gaji berdasarkan potongan gaji berjadual hinggakan ada pegawai yang sepatutnya tidak layak dikenakan cukai tetapi potongan gaji berjadual terus dilakukan beberapa tahun.Adakah ini terlepas pandang?
Tetapi apabila aduan dibuat untuk membuat tuntutan semula; nampaknya pihak LHDN sering memberi pelbagai alasan dolak-daliknya.Begitulah,,,.janganlah LHDN bersikap seperti ketam yang mahu mengajar anaknya berjalan betul dan bayangkan jika pesara tersebut telah lama meninggal dunia alamatnya surat dari LDHN akan dihantar oleh posmen ke tanah perkuburan! Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan