Salam Perjuangan

07 Ogos 2011

MUALAF DAN PERMASALAHANNYA: JABATAN AGAMA TERUS TIDURKAH?

“SAYA bermimpi menghadap Kaabah. Selepas terjaga, saya rasa cukup tenang. Tidak lama selepas itu, saya berjumpa seorang ustazah dan bertanyakan hal ini.

Selepas diterangkan, saya dan suami tertarik dengan Islam lalu menukar agama,” itu detik awal Norjalilah Abdullah Wong, 46, mendapat hidayah memeluk Islam.


Sebagai saudara baru dia memerlukan bimbingan daripada rakan Islam, terutama ilmu agama, namun pada peringkat awal sokongan sungguh sukar diperoleh.

Jiwanya meronta kerana harapannya mendalami Islam seolah-olah dipandang sebelah mata banyak pihak, terutama di kampung halamannya. Bukan sokongan diperoleh, sebaliknya sindiran dan ejekan.



“Pemahaman saya mengenai Islam cukup tipis, apatah lagi untuk mengenali huruf al-Quran. Saya cuba belajar dengan menghadiri solat berjemaah dan kuliah agama yang diadakan di surau kampung saya.

“Namun ketika menjejakkan kaki ke rumah Allah itu, saya dihalau. Malah, jemaah surau berkata orang Cina tidak boleh memasuki surau berkenaan.

“Bagaimanapun, demi mengenali Islam dan mendalami ilmu agama ini, saya dan suami sanggup berulang alik dari Pahang ke Kuala Lumpur setiap hari,” kata Norjalilah yang lebih mesra disapa Nor.

Apa diceritakan Nor antara pengalaman pahit dan dugaan yang dilalui golongan mualaf di negara ini. Jika dihitung, ia hanya sedikit jika mahu dibandingkan dengan pelbagai herdikan, kejian dan penerimaan negatif keluarga masing-masing dan masyarakat.

Walaupun pada dasarnya negara kita berbilang kaum dan menjadikan Islam sebagai agama rasmi, pendedahan mengenai golongan berkenaan cukup sedikit. Selain itu, penerimaan masyarakat sering menjadikan golongan ini patah semangat untuk lebih mengenali agama Allah.

Jika mahu dihitung, kebanyakan saudara baru Islam mengalami pelbagai dugaan hanya untuk mengenali agama ini. Sedikit sebanyak, ramai juga yang tewas di tengah jalan kerana tidak diterima.

Menurut Nor, dia dan suaminya sama-sama ikhlas untuk mengenali Allah dan agamanya. Disebabkan itu, mereka memeluk Islam dan merantau seluruh negara untuk mengenali-Nya.

“Di kampung, kami sering dipandang sinis termasuk oleh orang Islam. Jangan kata mahu membimbing kami, mereka lebih rela menuduh dan menghina kami memeluk Islam kerana harta.

“Jika mahu diikutkan, kami tidak dapat apa-apa dengan memeluk agama ini. Jadi, bagaimana kami boleh dituduh begitu? Malah, ketika mengucapkan dua kalimah syahadah di Pejabat Agama Bentong, kami tidak diberikan apa-apa. Jangan kata wang ringgit, membimbing kami pun tidak.

“Saya cuma terkilan apabila ada masyarakat mengaku Islam tetapi tidak menerima kami seadanya. Sepatutnya, mereka mengajar kami solat, mengaji dan mengenali Allah dengan lebih dekat. Ini tidak. Ketika mula-mula memeluk Islam, kami terpaksa duduk di rumah dan belajar solat hanya berpandukan VCD.

“Sampai satu masa, saya dan suami menangis kerana dilayan seperti itu dan tidak memahami sepenuhnya apa yang diajar menerusi VCD berkenaan. Mujur Tuhan membantu dan menguatkan semangat kami. Akhirnya, kami berpindah ke Raub dan memulakan hidup baru di sana,” katanya.

Nor berkata, kini dia dan suami sering merantau seluruh negara demi mengenali Allah SWT dan agamanya. Pada masa sama, setiap kali tiba Ramadan, mereka berulang alik dari Raub ke Perkim, Kuala Lumpur untuk sama-sama mengerjakan ibadat dengan saudara baru lain.

“Saya sudah serik untuk pergi ke masjid dan surau kerana pandangan negatif masyarakat. Sebab itu, bila tiba bulan puasa, saya dan suami sanggup berulang alik ke Perkim untuk mengerjakan solat tarawih bersama-sama.

“Alhamdulillah, kami tidak pernah rasa penat setiap kali datang ke Kuala Lumpur walaupun jaraknya jauh. Mungkin ini ganjaran buat kami berdua,” katanya.

Berbeza pula dengan Saiful Sim, 50. Sejak memeluk Islam, dia diketepikan oleh isteri dan dua anaknya. Kerana tidak mampu menerima perubahan agama, Saiful akhirnya disingkirkan keluarga.

“Saya meminati Islam sejak di bangku sekolah. Waktu itu saya gemar membaca, termasuk buku agama. Lama-kelamaan apabila dewasa, saya merantau dari kampung di Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk mendalami agama ini.

“Namun, apabila benar-benar ingin memeluk Islam, saya disingkir isteri. Malah lebih teruk, dia memburukkan saya dan menghasut anak supaya membenci saya.

“Terus terang, saya tidak faham kenapa dia buat begitu. Puas saya jelaskan, tetapi dia tidak boleh menerimanya. Namun sejak itu, saya mula reda dan menganggapnya sebagai dugaan Tuhan. Kini, saya lebih tenang apabila mendekatkan diri kepada-Nya,” katanya.

Menurut Saiful, selain keluarga, dia tidak terlepas daripada pandangan sinis masyarakat yang majoritinya beragama Islam. Namun, apabila berpindah ke Kuala Lumpur, pandangan itu lama-kelamaan hilang.

“Mungkin, perbezaan fikiran antara masyarakat di kampung dan bandar jauh berbeza. Rasanya, di bandar pendedahan mengenai mualaf lebih banyak berbanding di kampung.

“Syukur, kini saya tidak lagi terasa asing. Malah, kebanyakan orang Islam seperti saudara saya. Alhamdulillah, Tuhan membawa saya bertemu jalan tepat dan kini saya gembira. Rasanya, ia mungkin dugaan buat kami (mualaf),” katanya.(sumber: Metro,6/8/11)

Tiada ulasan: