Salam Perjuangan

25 Ogos 2011

MURTAD: TANGANI EKONOMI SEGERA

WANG mampu membeli apa sahaja, hatta memalingkan agama orang Islam kepada kekufuran. Mungkin kenyataan ini agak keras, namun tiada siapa boleh menyangkal hakikat ini. Umat Islam zaman sekarang tidak sebagaimana zaman dahulu.

Jika sekiranya umat Islam dahulu bertungkus-lumus mempertahankan agama seorang remaja perempuan yang bernama Natrah di Singapura meskipun hidup dalam kemiskinan, namun tidak pada masa kini. Amat malang sekali, apabila adanya umat Islam yang sanggup menggadaikan agama semata-mata wang. Umat Islam kini mudah terpesona dengan wang ringgit.

Hendak salahkan mereka pun tidak tepat sama sekali jikalau adanya segelintir pemimpin yang terlalu taksub kuasa dan wang ringgit sehingga lupa mempertahankan agama Islam. Atas sebab itu, umat Islam diserang dari segenap penjuru tidak kira masa termasuklah di bulan Ramadan yang suci ini.

Bermula dengan kehadiran 12 orang Islam di gereja, diikuti dengan iklan hidangan babi untuk berbuka puasa, adakah kita masih lagi dibuai mimpi enak betapa umat Islam di Malaysia masih kuat? Maruah umat Islam diinjak-injak! Semuanya angkara kesilapan kita sendiri yang lemah serba serbi. Paling nyata, kita bercakaran sesama sendiri dalam hal-hal remeh dan berbahas melampaui batas mengenai perkara ranting sehingga lupa untuk mempertingkatkan kekuatan umat Islam.

Ini tanggungjawab bagi setiap umat Islam. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 190 yang bermaksud: "Perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu. Dan janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas".

Banyak lagi agenda utama yang mesti diperjuangkan untuk mengangkat maruah umat Islam Malaysia. Masalah sebenar perlu ditangani segera dan bukannya menyalahkan pihak lain kononnya pihak tersebut yang menjadi dalangnya. Sampai bila pun permasalahan umat Islam tidak akan selesai. Carilah punca sebenar.
Dalam konteks isu murtad, punca utama masalah ini berkait rapat dengan kemiskinan. Islam sendiri menyatakan dengan jelas kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran. Masakan tidak apabila adanya golongan pendakwah daripada agama lain yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang Islam, akhirnya mereka termakan budi sehingga sanggup menukar agama.

Meskipun dalam Perlembagaan negara sudah cukup jelas menyatakan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan kepada umat Islam Malaysia, tetapi hakikatnya, pendakwah-pendakwah ini langsung tidak mengendahkan sama sekali. Elaun dibayar setiap bulan untuk orang Islam bagi memujuk mereka menukar agama. Strategi halus mereka sememangnya ampuh.

Mereka bukan sahaja mencari golongan bergelandangan atau bermasalah kewangan sahaja tetapi mereka juga sanggup masuk ke hospital-hospital swasta mencari pesakit-pesakit Islam. Modus operandi mereka cukup licik dengan "memujuk" golongan yang berada dalam kesusahan. Bagaimana pula strategi kita untuk "melawan" mereka balik?

Bagi penulis, antara strategi paling ampuh adalah dengan mempertingkatkan ekonomi umat Islam sepenuhnya. Islam sendiri mengesyorkan agar umatnya berusaha mencari rezeki.
Firman Allah Surah Al-Mulk, Ayat 15 yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)".

Mungkin ada yang mengatakan kita boleh menggunakan wang zakat untuk membantu golongan miskin. Memang benar, zakat adalah salah satu strategi. Bagaimanapun, mekanisme zakat mestilah disepadukan dengan usaha-usaha lain.

Tambahan pula, berdasarkan pengamatan penulis ke atas syarikat-syarikat Islam senaraian awam, hanya segelintir sahaja yang membayar zakat! Apakah yang membuatkan mereka lebih berminat membayar cukai korporat berbanding zakat? Sebab itulah penulis mengesyorkan agar transformasi ekonomi umat Islam mestilah dilaksanakan secara holistik merangkumi institusi zakat, sistem kewangan dan perbankan serta usaha-usaha terbaru yang lebih berkesan untuk membantu umat Islam yang miskin dan bergelandangan.

Janganlah kita hanya bermurah hati membantu mereka ketika bulan Ramadan sahaja sedangkan pada bulan-bulan lain kita melupakan mereka. Satu mekanisme menyeluruh bagaimana untuk menyalurkan bantuan kepada mereka perlu difikirkan agar suatu hari nanti mereka mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

Di samping itu, pihak-pihak yang diamanahkan bertanggungjawab untuk mencari mereka. Janganlah hanya sekadar menunggu laporan sampai di atas meja atau media massa memaparkan kemiskinan seseorang, maka barulah tindakan diambil.

Tidak cukup dengan itu, maklumat daripada banci penduduk yang terkini sewajarnya digunakan untuk menjejaki golongan miskin ini. Apalah gunanya maklumat tersebut jika tidak digunakan sebaik mungkin. Jejaki mereka sampai dapat. Kalau mengharapkan mereka melaporkan kesusahan mereka, mungkin ada di antara mereka berasa malu.

Bagi organisasi bukan kerajaan Islam (NGO), salurkan kekuatan yang ada untuk sedaya upaya mengubah ekonomi umat Islam. Jika kita boleh bersatu hati berkaitan isu kehadiran 12 orang Islam di gereja, sudah tentu kita juga boleh bersatu hati untuk menangani punca sebenar bagaimana isu ini boleh timbul. (sumber: UM, 25/8/11)

Tiada ulasan: