MELAYU pasca Dasar
Ekonomi Baru (DEB) bukan saja berubah dari segi pemikiran dan struktur
pekerjaan, juga sistem nilai dan penanggapan terhadap kehidupan tradisional.
DEB yang diperkenalkan selepas kejadian 13 Mei 1969 membawa sebilangan Melayu
berhijrah ke kota besar untuk merebut peluang ekonomi, sekali gus mengubah cara
hidup dan berfikir.
Walaupun ada sebahagian Melayu yang kekal di desa, tetapi sanak
saudara mereka yang berhijrah turut membawa asimilasi kehidupan berbeza dan
tanpa disedari turut merebak ke desa hingga kini.
Pada era kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 1982, istilah
Melayu baru mula diguna pakai sebagai citra kehidupan seiring perubahan zaman.
Melayu yang mendapat manfaat DEB bukan saja aktif sebagai pengusaha dan
penggerak syarikat multinasional, juga ejen perubahan budaya dalam masyarakat.
Dari sinilah lahirnya kalangan cendekiawan,
teknokrat, intelektual dan pemikir budaya yang turut bersaing di pentas global.
Serpihan mereka juga melahirkan elitis Melayu yang terasing daripada kehidupan
tradisional dan ada masanya mempertikaikan sistem nilai dan jati diri yang
dimiliki moyang mereka sendiri. Golongan inilah yang akhirnya merendahkan
bahasa Melayu sebagai lingua franca dan mendewakan bahasa Inggeris sebagai
pengantar utama subjek Matematik dan Sains di sekolah.
Kesan langsung daripada budaya elitis baru adalah
perubahan tanggapan terhadap kehidupan tradisional Melayu. Tradisi muafakat
semakin terpinggir dan kehidupan disandarkan kepada perkiraan untung dan rugi
perniagaan. Majlis kenduri-kendara semakin meminggirkan kerjasama setempat di
kawasan perumahan kerana jamuan di dewan berhawa dingin di hotel tidak memerlukan
sistem penanggah dan sorak-sorai seperti dekad lampau.
Majlis berbuka puasa
pula lazimnya dibuat di premis mewah bertaraf lima bintang yang dihadiri oleh
jemputan saja. Berbeza zaman lampau apabila majlis buka puasa di kampung
terbuka kepada semua umat Islam tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang
dalam masyarakat.
Kehidupan moden menjadikan sebahagian Melayu
semakin akrab mendiami kota besar. Wajah desa hanya subur ketika lebaran.
Tradisi balik kampung yang jarang kedengaran sebelum DEB, kini semakin banyak
diperkatakan. Belum pun Ramadan menjelma, tiket pengangkutan awam ke pelbagai
destinasi sudah habis dibeli. Kenangan zaman kanak-kanak dan remaja menjadikan
warga kota teruja untuk melihat kembali zaman lampau yang semakin jauh.
Dari segi politik pula, golongan yang mendapat
ihsan DEB menjadi penggerak utama dalam gerakan siasah Melayu. Mereka
mendominasi UMNO yang menjadi tunjang Barisan Nasional serta PAS dan Parti
Keadilan Rakyat. Latar belakang pendidikan, pengalaman dan penguasaan siasah, menjadikan
Melayu baru lebih vokal. Keperluan politik kepartian dan hubungan antara kaum
menjadikan Melayu baru amat berbeza. Perbezaan ini melahirkan percaturan
politik yang berlainan. Perebutan jawatan dalam parti politik – BN atau
pembangkang – melahirkan naungan tersendiri. Politik wang, kelompok dan
pengaruh menjadi budaya baru dalam saingan politik Malaysia.
Akhirnya yang menjadi rugi ahli parti terbanyak
kerana orang yang diamanahkan untuk memimpin akan mengkhianati hasrat peringkat
bawahan.
Selepas empat dekad DEB diperkenal, ada Melayu
yang masih merungut kononnya dasar yang digubal khas untuk Bumiputera maju
dalam sektor ekonomi moden diselewengkan. Pro dan kontra lebih banyak daripada
hasil yang diraih oleh usahawan Melayu sendiri. Pelan transformasi ekonomi yang
diperkenal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini menjadi
agenda nasional tidak terkecuali diperdebatkan. Apakah Melayu baru sekadar
hebat berdebat dan mempertikai sesuatu dasar ketika pihak lain meraih hasil? (sumber: Imlan Adabi, BH,8/8/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan