Walaupun ia bukan alasan kukuh untuk mengecualikan diri daripada solat berjemaah atau bersama ahli qariah yang lain dalam urusan ibadah, tetapi setiap alasan ada rasionalnya, kita hanya perlu berbaik sangka.
Tidak ketinggalan, dalam urusan ibadah lain seperti bersedekah dan menunaikan umrah. Pada Ramadan, ramai mengambil kesempatan untuk turut berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan.
Bukan setakat zakat fitrah, beras seguni dan gula sekampit juga menjadi buah tangan, selain juadah berbuka puasa. Ini masanya umat Islam menginsafi sifat pemurah Rasulullah SAW dan sahabat yang bersedekah harta tanpa bimbang atau risau akan kekurangan keperluan ahli keluarga sendiri. Mereka yakin pemilik rezeki akan menjaga mereka seperti dijanjikan-Nya.
Jika sebelum ini mereka tidak pernah menziarah makam Rasulullah SAW dan sahabat atau bersolat di Tanah Haram, Ramadan menghantar mereka ke sana. Ini semangat Ramadan, sinarnya mencerahkan kehidupan dan bahangnya menghangatkan jiwa supaya semakin kuat untuk kembali kepada ajaran-Nya.
Semangat ini harus dikekalkan selepas Ramadan. Biarpun Syawal meriah dengan juadah, mereka yang kekurangan tidak boleh terus dibiarkan susah. Amalan bersedekah sepanjang Ramadan mesti diteruskan secara konsisten.
Sepanjang Syawal, ia boleh dilakukan dengan memberi wang, biskut, kuih muih, baju dan kelengkapan raya yang lain. Tidak lupa juga bermurah hati menjenguk muka menziarah mereka yang sebatang kara.
Ketika sibuk dengan sanak-saudara, mungkin bertandang ke rumah orang tua atau anak yatim akan memberikan kita peringatan bukan sedikit. Golongan kanak-kanak juga akan belajar menghargai rezeki yang mereka miliki selain berpada-pada dengan nikmat daripada Ilahi.
Anak akan mendapat manfaat dari tarbiah amali ini dan secara tidak langsung ibu bapa berpeluang mengambil kesempatan mengajar anak bersyukur.
Ramadan yang mengakrabkan umat Islam dan masjid haruslah menjadi permulaan sebuah kehidupan lebih baik. Jika bulan lain kita sentiasa mempunyai helah untuk berjemaah atau memeriahkan program komuniti memakmurkan masjid, Ramadan membuka pintu luas untuk individu Muslim mengunjungi rumah Allah di mana saja.
Alangkah indah andai masjid dapat terus dimakmurkan dengan jemaah, kesepakatan qariah dan semangat golongan muda yang menjadikan masjid sebagai rumah kedua dikongsi sesama saudara seagama.
Semangat Ramadan yang menyatukan ibu bapa dan anak dengan pelbagai aktiviti sosial serta ibadah sesuai menjadi bekal untuk terus menjadikan institusi kekeluargaan pusat syura utama.
Kesepakatan dan kerjasama yang jitu antara suami isteri harus menjadi asas pembinaan rumah tangga yang utuh dan terus diperteguhkan oleh anak yang dibimbing dengan tarbiah sama.
Amalan menziarahi ibu bapa dan sanak saudara pada Ramadan dan Syawal untuk berbuka puasa serta berhari raya pula elok dilakukan sepanjang tahun jika ada kelapangan. Tentu yang muda perlu mengunjungi yang lebih berusia.
Apatah lagi anak yang sudah lama tidak bersua muka dengan orang tua atau sebaliknya, inilah waktunya paling tepat menggantikan masa yang berlalu tanpa perhatian kasih sayang kepada mereka. Semangat ini harus berpanjangan supaya sifat takwa ditanam oleh Ramadan subur merimbun sehingga Ramadan seterusnya.
Memang tidak mudah untuk mengekalkan semangat Ramadan sampai bila-bila, apatah lagi jika ia tidak dilakukan oleh setiap umat Islam, tetapi ambillah sebahagian daripadanya.
Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang lebih baik boleh dipertahankan untuk meningkatkan takwa diri sehingga bertemu Ramadan akan datang. Bayangkan jika saban tahun begitu, bukankah setiap individu Muslim akan lebih baik dari dulu. (sumber: BH, 25/8/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan