Dalam mengharungi masa depan yang lebih mencabar, mereka dinasihatkan supaya memberi tumpuan kepada pendidikan, mempertingkatkan kemahiran dan mengamalkan hidup sederhana.
MASYARAKAT Melayu/Islam dianjurkan menyediakan payung sebelum hujan sedang Singapura berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Gesaan itu disuarakan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zaqy Mohamad, ketika berucap di majlis iftar bersama penduduk Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Chua Chu Kang dan kawasan undi perseorangan (SMC) Hong Kah North kelmarin.
'Kita juga harus memberikan fokus dan perhatian pada nilai-nilai asas yang membawa kepada kejayaan dan kemajuan kita ke tahap ini, seperti menitikberatkan pendidikan dan mempertingkatkan kemahiran, belanja dalam kemampuan kita dan menjalankan hidup sederhana, seperti yang dianjurkan agama,' kata Encik Zaqy.Dalam ucapan bahasa Melayunya, Encik Zaqy berkata ketidaktentuan ekonomi itu harus diperhatikan sedang masyarakat mengorak langkah membina kehidupan lebih baik.
Justeru, ada baiknya masyarakat Melayu/Islam memanfaatkan sumber-sumber tersebut demi meningkatkan lagi kemajuan sosial serta pendidikan mereka dan anak-anak mereka.Tambahnya, pemerintah dan badan-badan pemerintah mempunyai pelbagai program dan sumber bagi membantu rakyat baik dari segi bantuan sosial mahupun pendidikan.Acara iftar di Kelab Masyarakat Chua Chu Kang kelmarin menarik sekitar 800 penduduk berbilang bangsa dan merupakan acara kemuncak bagi beberapa acara kemasyarakatan sepanjang hari di kawasan itu.
Selain ceramah tersebut, sekitar 150 penduduk menyertai satu acara jalan kaki simbolik bermula dari tiga tempat rumah ibadat dan berkumpul di kelab masyarakat itu bagi acara iftar itu kelmarin.Sebelum itu, 100 belia, termasuk pelajar sekolah menengah dan belia daripada pelbagai pertubuhan keagamaan, menghadiri ceramah antara agama di Masjid Al-Khair.Turut hadir di acara iftar kelmarin ialah Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong.
Dalam ucapannya, Encik Gan menekankan kepentingan untuk kekal waspada terhadap ancaman yang boleh menggugat keharmonian kaum di Singapura dan terus bekerja keras untuk memelihara kesejahteraan yang dinikmati sejauh ini.'Apabila kita mula menghargai bahawa terdapat lebih banyak persamaan daripada perbezaan antara kita dan lebih banyak kekuatan daripada ancaman, kita akan mula menerima dan meraikan keunikan masyarakat berbilang kaum dan agama kita ini,' ujar Encik Gan.(sumber:CyB,8/8/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan