BERJUANG TERUS BERJUANG DEMI KESEJAHTERAAN UMMAH SEJAGAT KRITIS & ANALITIS MENGUPAS SOSIOPOLITIK BUDAYA & PENDIDIKAN, TANAH AIR DAN SERANTAU.
07 Ogos 2011
DARAH TINGGI @ HYPERTENSION
PEMERIKSAAN kesihatan adalah adalah langkah terawal yang disifatkan paling terbaik dalam usaha mencegah serangan gejala penyakit darah tinggi.
Tetetapi ia mungkin bukan amalan di kalangan kita, tetapi lebih baik disegerakan pemeriksaan supaya apa juga penyakit terutama darah tinggi dapat dikesan di peringkat lebih awal.
Ini kerana penyakit darah tinggi yang dikenali sebagai pembunuh senyap itu biasanya tidak menunjukkan apa-apa tanda di peringkat awal.
Malah kata Pakar Perubatan Hospital Pusrawi, Dr. Shaharuddin Che Kadir pemeriksaan kesihatan itu menjadi lebih penting terutama kepada mereka yang tergolong dalam kategori berisiko tinggi.
"Contohnya mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, kurang aktiviti fizikal, menghidap kencing manis, mempunyai paras kolesterol yang tinggi dan sejarah darah tinggi di kalangan keluarga,'' katanya.
Beliau berkata, dengan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dapat melakukan usaha pencegahan dari awal.
"Kajian yang dilakukan di Malaysia (Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Ke 3) menunjukkan 42.6 peratus rakyat negara ini menghidap darah tinggi pada 2006,'' katanya.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 29.9 peratus semasa kajian pada 10 tahun sebelum itu.
"Kajian pada tahun 2006 juga menunjukkan hanya 36 peratus sahaja yang mengetahui mereka menghidap darah tinggi dan hanya 87.7 peratus daripada mereka yang menerima rawatan,'' katanya.
Dr. Shaharuddin berkata, sebahagian besar pesakit yang menerima rawatan pula tidak berada pada tahap pengawalan darah tinggi yang baik.
"Penyakit darah tinggi perlu dikawal dengan baik kerana ia sebenarnya menjadi salah satu penyebab utama serangan jantung, lemah jantung, angin ahmar dan kegagalan buah pinggang,'' katanya.
Mengenai punca penyakit darah tinggi, kata Dr. Shahruddin, lebih daripada 90 peratus tidak mempunyai penyebab yang khusus dan dipanggil essential hypertension.
"Walaubagaimanapun ia berkait rapat dengan faktor genetik, berat badan berlebihan, pemakanan yang tidak sihat dan peningkatan umur,'' katanya.
Selain itu, katanya, sebilangan kecil penyakit darah tinggi disebabkan oleh penyakit-penyakit lain dan dipanggil secondary hypertension.
"Antara penyebabnya ialah penyakit buah pinggang, primary hyperaldosteronism, cushing syndrome dan phaeochromocytoma," katanya.
Tambahnya, terdapat juga sebilangan pesakit mengalami tekanan darah tinggi hanya bila datang berjumpa doktor yang dinamakan white-coat hypertension atau office hypertension.
"Jika mengesyaki perkara ini biasanya doktor akan menyarankan pesakit merekod bacaan tekanan darah di rumah atau membuat pemeriksaan tekanan darah menggunakan alat merekod tekanan darah yang dipakai pesakit selama 24 jam,'' katanya.
Selain itu, katanya, pemakanan juga turut mempengaruhi kemungkinan seseorang itu boleh mendapat penyakit darah tinggi.
"Kajian menunjukkan pemakanan yang sihat mengurangkan risiko penyakit darah tinggi dan juga menurunkan tahap tekanan darah pesakit darah tinggi,'' katanya.
Tambahnya, salah satu kajian klinikal dinamakan DASH (Dietary Approaches to Stop Hypertension) menunjukkan keberkesanan pemakanan yang sihat untuk menurunkan tekanan darah.
"Pemakanan DASH merangkumi meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, ikan dan kekacang,'' katanya
Diet itu juga menyarankan pengurangan pengambilan garam, gula, minuman yang mengandungi gula, mengurangkan pengambilan lemak tepu dan daging.
Selain itu, katanya, penyakit darah tinggi dan juga kolesterol yang tinggi juga boleh menyebabkan masalah atherosclerosis - kerosakan salur darah yang mengakibatkan salur darah menjadi keras dah sempit.
Katanya, akibat kerosakan salur darah, pesakit boleh mengalami serangan jantung dan angin ahmar.
Walaubagaimanapun tidak semua pesakit yang mempunyai kolesterol tinggi mengidap penyakit darah tinggi dan begitu juga tidak semua pesakit darah tinggi mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.
Tetapi kebiasaannya kedua-dua penyakit itu berkait rapat.
"Stres boleh meningkatkan tekanan darah untuk seketika tetapi kesan jangka panjang stres keatas tekanan darah masih tidak begitu jelas,'' katanya.
Begitupun pesakit darah tinggi disaran mengambil langkah-langkah mengurangkan stres dan mendapatkan rehat secukupnya sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan mereka.
Dr. Shahruddin memberitahu, darah tinggi boleh dielak dengan mengamalkan cara hidup yang sihat.
Ia merangkumi mengawal berat badan di mana mesti mengekalkan berat berat badan yang ideal iaitu jisim berat badan 18.5-22.9 kg/m2.
"Jika mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes, penurunan berat badan disyorkan.
"Sebaiknya ambil makanan yang rendah lemak, mengurangkan penggunaan minyak dan santan, mengurangkan pengambilan garam dan gula dan juga meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin,'' katanya.(sumber: UM,2/8/11)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan