Salam Perjuangan

27 Ogos 2011

MY DISTRESS: DAFTAR SEGERA

LEBIH  8,000 orang memohon dan mendaftarkan aplikasi isyarat jenayah di telefon pintar, "My Distress" yang dilancarkan Polis Selangor bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bantuan polis semasa kecemasan. 

Ketua Urusetia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kontinjen Selangor, Deputi Superintinden Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata sambutan menggalakkan yang diterima menunjukkan ramai kagum dengan aplikasi yang dilancarkan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada Rabu lalu.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 8,305 orang, kebanyakannya dari Selangor mendaftar dengan aplikasi 'My Distress'," katanya hari ini.
Melalui aplikasi "My Distress" menerusi telefon pintar, orang ramai boleh menghantar isyarat kecemasan dengan menekan butang ikon pada telefon pintar. Isyarat itu dihantar terus ke Bilik Gerakan di ibu pejabat polis Selangor dan lapan balai polis daerah di negeri itu. 

'My Distress' dilengkapi dengan Sistem Pengesanan Global (GPS) akan membantu polis mengesan individu yang menghantar isyarat ke lokasi berkenaan. 

Mohamed Mokhsein berkata, polis banyak menerima pertanyaan daripada orang ramai di luar Selangor memohon aplikasi itu diperluaskan ke negeri lain. 

Beliau berkata, orang ramai perlu berhenti menguji keberkesanan aplikasi berkenaan dengan menghantar isyarat masalah remeh dan sebaliknya menggunakan aplikasi dengan bijak semasa situasi cemas dan yang mengancam nyawa. - BERNAMA

Tiada ulasan: