Salam Perjuangan

31 Ogos 2011

KEMENTERIAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM MALAYSIA & MERDEKA 54

DATUK Ibrahim Ali  Presiden Perkasa dan TBD menyarankan semua rakan NGO menyokong cadangan dan desakan Perkasa agar kerajaan menubuhkan Kementerian Hal Ehwal Islam yang mana kini urusan Islam ditadbir oleh JAKIM di peringkat agensi di bawah JPM.

Ini menggambarkan kedudukan JAKIM setaraf dengan agensi-agensi yang lain. Walhal agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan maka sewajarnya Kementerian Hal Ehwal Islam diwujudkan tambahan pula majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam.Dengan ini kedudukan agama Islam akan bertambah unggul dan statusnya kekal dihormati.Negara Brunei Darussalam telah sedia  wujud kementerian ini dan boleh dijadikan model.

Dengan tidak secara langsung penganut agama lain akan akur dan sentiasa sedar kedudukan dan taraf Islam sebagai Ad-Din dan selaras dalam Perlembagaan Negara. Apatah lagi kini banyak wujud model-model Islam seperti perbankan Islam, Universiti Islam,Takaful Islam , pembahagiaan harta secara Islam, sisitem ekonomi, zakat , wakaf dan sebagainya..

Justeru sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-54 pada hari ini , TBD dan Perkasa berbangga dan menyeru kepada golongan profesional , intelek, pemimpin dan sukarelawan anak bangsa agar  mengemblingkan tenaga dan bersatu hati menumpahkan bakti membangunkan watan dan nusa tercinta.

Jauhilah daripada hasutan, fitnah dan sengketa petualang Melayu yang mahu merosakan bangsa dan tanah air tercinta.Fakta sejarah telah membuktikan bahawa kerana gejala fitnah,cemburu dan sengketa berpanjangan maka kuasa politik orang Melayu jatuh dan pupus beratus-ratus tahun yang silam. Apakah kita mahu sejarah berulang?

Kepada para pejuang kemerdekaan tanah air yang menentang penjajahan sejak dahulu dan telah gugur di medan perjuangan semoga roh-roh mereka ditempatkan di kalangan para solihin. Semoga minda kita merdeka daripada belenggu sengketa, fitnah dan bebas daripada elemen kolonialisme.(TB)

30 Ogos 2011

SALAM AIDILFITRI

TB dan tim TBD mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir batin kepada seluruh keluarga, pembaca setia TBD yang budiman, para sahabat dari pelosok tanah air dan Nusantara baik di Singapura, Thailand, Brunei dan lndonesia.

TB menyusun jari sepuluh dengan ikhlas mohon kemaafan andainya ada terkasar bahasa terlanjur kata ketika TB menyampaikan tarbiyah dan kata-kata perjuangan melalui wadah tinta pena ini.

Harapan TB agar kita terus meneroka kejayaan dari semasa ke semasa. Salam Aidilfiri dan ukhuwah abadi.(TB)

28 Ogos 2011

SELAMAT MENYAMBUT MENJELANG SYAWAL: SABAR

SIKAP sabar dipandang mulia di sisi Allah SWT kerana mendatangkan banyak kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.Sikap tersebut patut diamalkan setiap masa dalam kehidupan seharian. Terdapat lebih 70 ayat al-Quran yang menyebut mengenai keperluan bersikap sabar dan kebaikannya. Keperluan sabar dikategorikan kepada dua perkara ,iaitu pertama sabar menahan diri daripada perkara yang disukai tetapi dilarang oleh agama. Kedua, sabar menahan diri daripada keadaan yang tidak disukai atau kesusahan yang dihadapi. 

Sabar bererti menahan diri daripada mengikut kehendak hati atau perasaan yang mendorong melakukan perbuatan yang mendatangkan keburukan,menahan diri ketika penderitaan,sanggup melakukan perkara yang sukar demi mendapat kebaikan dan bersedia menghadapi tempoh yang panjang untuk memperoleh sesuatu.

Sempena pulang ke kampung atau ke mana jua destinasi perjalanan atau kepulangan, bersabarlah di jalan raya ketika memandu atau menunggang kenderaan.Jangan terburu-buru, gelojoh atau bersikap membabi buta dalam apa jua tingkah laku. Bersabarlah dalam apa jua situasi.Natijahnya kelak kita semua akan selamat walau di mana jua berada. Salam Aidilfitri.(TB)







ANWAR RIDHWAN: TAMADUN MELAYU DAN PPSMI

TERAS - TERAS jati diri kebangsaan Malaysia berpaksi kepada bahasa Melayu dan agama Islam(tanpa menafikan hak serta kepentingan bahasa dan kepercayaan lain).
Di dalam Perlembagaan Persekutuan, antara perkara yang disebut ialah Perkara 32(1) yang memaktubkan kedudukan raja-raja Melayu; Perkara 152(1) tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi; dan Perkara 3(10) mengenai Islam sebagai agama Persekutuan.

Berhubung perkara yang menyentuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, mereka yang berjiwa Melayu dan rakyat Malaysia yang terbuka minda untuk bergerak ke hadapan bersama-sama jati diri kebangsaannya, pastilah ingin melihat bahasa kebangsaan itu diperkasakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, termasuk sebagai bahasa ilmu pengetahuan.

Golongan yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu tinggi, lebih disebabkan kelemahan mereka menguasai bahasa Melayu, bukan kerana kelemahan bahasa Melayu. Dan semua pejuang bahasa kebangsaan bukanlah golongan fanatik, berpandangan jumud atau berusaha mengundurkan bangsanya ke belakang.

Pejuang-pejuang bahasa selalu memetik kebijakan Hang Tuah yang menguasai 12 bahasa, sebagai suatu unjuran profetik 'pujangga penulis' karya agung itu bahawa setiap bangsa akan menjadi lebih maju jika dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Akan tetapi walaupun menguasai pelbagai bahasa, setiap bangsa harus meletakkan bahasa kebangsaannya dimercunya yang tinggi, atau seperti sepotong puisi Sasterawan Negara Usman Awang, “manakan sama bahasa bunda.”
Jika menurut tiga kriteria yang dikenalpasti oleh Charles Ferguson, sesungguhnya bahasa Melayu sudah dianggap sebagai 'bahasa maju.'

Tiga kriteria Charles Ferguson itu ialah 
(a) Bahasa itu sudah mempunyai sistem tulisan. Dalam hubungan ini bahasa Melayu telah mempunyai sistem tulisannya sendiri – sama ada dalam jawi atau pun rumi; 
(b) Bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam atau bentuk yang mengatasi segala dialek bahasa itu. Bahasa Melayu jelas mengatasi segala dialek, kerana di Malaysia dialek tidak mempunyai penerbitan bakunya; dan
(c) Bahasa itu sudah mampu digunakan sebagai alat untuk mengungkapkan ilmu dan pemikiran moden.

Ini jelas terbukti dengan penerbitan pelbagai buku dalam bidang dan subbidang ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu, sejak kurun ke-12 Masihi lagi, dan memasuki era 'moden'nya sejak sebelum merdeka lagi hingga memuncak mutakhir ini.

Tradisi ilmu dalam bahasa Melayu telah berkembang, termasuk di IPTA, umpamanya di UKM sejak awal tahun 1970-an. Tokoh ilmuwan Selangor 2011, Dr Shahril Mohamad Zain (mantan profesor fizik dan matematik di UKM) pernah membentangkan fakta bahawa UKM telah menghasilkan lebih 450 tesis Ph.D dan lebih 2,000 tesis Sarjana (MA & M.Sc.) dalam bidang sains dan pelbagai bidang lain, yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa pengantar untuk pelbagai bidang ilmu pengetahuan moden di IPT, dan memanfaatkan penguasaan bahasa asing sebagai pelengkap sebagaimana saranan profetik Hang Tuah.

Tamadun Melayu boleh diperkasakan jika terdapat ilmu-ilmu pengetahuan moden (termasuk sains & matematik) disampaikan dan ditulis dalam bahasa ini (Melayu).
Sehubungan itu pelbagai pihak berasa terperanjat apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran membayangkan pendirian kerajaan untuk membenarkan sekolah membuat pilihan sama ada meneruskan dasar PPSMI atau sebaliknya.

Pendirian tersebut amat berbeza semangatnya daripada pengumuman yang beliau lakukan tahun lepas, untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012.

Sesuatu dasar kerajaan (termasuk untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012, empat bulan dari sekarang) mestilah bersifat merata dan menyeluruh. Tidak boleh mana-mana kumpulan kecil dan serpihan untuk menebuk dasar itu di mana-mana, lalu menghidupkan dasar PPSMI semula.

ppsmi march 070309 crowd.jpgJika kumpulan kecil dan serpihan itu mewakili elit di bandar dan kota, yang kaya raya, maka mereka boleh menghantar putera puteri mereka ke sekolah swasta atau sekolah antarabangsa, dan jangan dibiarkan menebuk dasar pemansuhan PPSMI mulai 2012 menurut selera mereka.

Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran pastilah telah menerima “Kajian Tahap Kompetensi Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid” (2008, setebal 186 halaman tidak termasuk tiga lampiran) oleh Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA).
Kajian ini dengan jelas menunjukkan kompetensi guru yang boleh dipersoalkan, yang mengakibatkan kelemahan pembangunan modal insan murid khususnya di luar bandar, Felda dan sebagainya.

Prinsip ketamadunan kerajaan harus berpegang kepada kajian yang berwibawa, menyeluruh dan mendalam seperti dilakukan PEMBINA.

Sebarang polisi yang tidak didasari kajian akan goyah dalam tempoh yang pendek. Bagi pejuang bahasa Melayu dan mereka yang yakin akan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu moden, dapatan PEMBINA adalah pendorong utama kepada 'cadangan' pemansuhan dasar PPSMI mulai 2012, dan dengan itu mereka tidak perlu lagi turun ke jalan raya untuk mendesak pemansuhan PPSMI.

Akan tetapi jika dasar PPSMI hidup semula selepas ditalqinkan, ia adalah zombie baru. Mamat Khalid pun tahu bagaimana cara untuk menewaskan zombie!(sumber:MK,28/8/11)






MENIMBANG RASA



Sama ada menimbang rasa atau bertimbang rasa, sempena menyambut Aidilfitri berhati-hati dan berhemahlah ketika memandu di jalan raya. Elakkan memandu laju; baik laju yang melebihi had laju atau laju melampau ataupun  apa jua kategori laju.Kelajuan mendekatkan kematian anda yang sia-sia.

KEMERDEKAAN: BANGKITKAN SEMANGAT JATI DIRI BANGSA

OGOS tahun ini, bangsa kita Malaysia menemukan dua momentun yang tepat sebagai anugerah Allah untuk menilai sejarah kemerdekaan tanah air daripada belenggu penjajahan. 

Ibadah puasa pada Ramadan adalah aktiviti keagamaan yang tidak semata-mata sebagai bentuk ritual ibadat saja tetapi juga boleh diertikan sebagai usaha dan perjuangan membangunkan nilai kemanusiaan secara keseluruhannya.

Upacara atau program memperingati hari ulang tahun kemerdekaan negara boleh menjadi peringatan yang tepat untuk menghidupkan semangat kebersamaan dan kolektif seperti dilakukan secara nyata oleh pejuang kita ketika mempertahankan kemerdekaan dengan titisan darah dan air mata.
Jangan kita merosak dan mencemari lingkungan hidup kita pada keseluruhannya. Jangan kita membiarkan tumbuhnya penyakit sosial berupa rasuah, kolusi, monopoli, eksploitasi manusia, memandang rendah undang-undang dan hukum negara, pelanggaran hak asasi manusia dan sebagainya.
Siapa yang tidak kenal Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut dan lain-lainnya. Mereka bukan pemberontak, tetapi pejuang kemerdekaan untuk menghalau penjajah dari tanah air yang perkasa dan tercinta.

Begitu juga dengan jasa dan perjuangan ulama kita, termasuk juga penulis, wartawan, sasterawan, tokoh politik, tentera dan lainnya, mereka berjuang untuk mencapai taraf kemerdekaan tanah air daripada penjajahan asing atau luar sehingga kemerdekaan negara dapat diraih pada 31 Ogos 1957, sebagai tarikh keramat dan bersejarah.

Berbicara mengenai kemerdekaan selain nikmat dan amanah, kemerdekaan juga ujian dan peringatan daripada Allah. Dalam konteks ini hendaknya kita dapat mencontohi sikap Nabi Sulaiman. Tatkala beliau dicucuri kebahagiaan dan kesenangan yang melimpah ruah, beliau bersabda yang bermaksud: “Ini kurniaan daripada Tuhanku dan Allah berkenan mengujiku, memberi ujian kepadaku, apakah aku ini akan bersyukur atau kufur.” (Surah an-Naml, ayat 40).

Kita hendaklah melihat kemerdekaan sebagai amanah, nikmat dan sekali gus sebagai ujian atau peringatan. Ini supaya kita tidak lupa dengan anasir asing, seperti memperdagangkan manusia, gejala dan keldai dadah, sempadan negara yang mudah dibolosi, kes jenayah, pelanggaran undang-undang dan hukum negara, merosak hutan, bukit, lautan, alam sekitar dan segala macam yang semua itu adalah amanah daripada Allah.
Dengan demikian, jelas bagi kita semua kemerdekaan dan tanah air dikurniakan kepada kita hendaklah dipelihara dan dikawal sebaik-baiknya bagi kesejahteraan kehidupan masyarakat dan bangsa yang bermaruah serta berdaulat.

Jangan kita berlaku boros dan membazir terhadap kurniaan dan anugerah kekayaan nasional. Jangan kita merosak dan mencemari lingkungan hidup kita pada keseluruhannya. Jangan kita membiarkan tumbuhnya penyakit sosial berupa rasuah, kolusi, monopoli, eksploitasi manusia, memandang rendah undang-undang dan hukum negara, pelanggaran hak asasi manusia dan sebagainya.

Jangan sampai hal di atas terus berkembang dan bermaharajalela di alam kemerdekaan kita yang dulunya ditebus dengan titisan darah dan air mata, bahkan nyawa pejuang kemerdekaan kita.

Kita hendaknya terus aktif dan kreatif untuk mengisi erti pejuang kemerdekaan dengan sumbangan pelbagai amal soleh bagi bangsa dan negara. Dengan izin Allah marilah kita berdiri di garis depan dalam membela, membangun masa depan ummah dan negara yang lebih cemerlang.

Memperingati sejarah kemerdekaan tanah air bukan saja sebagai momentum untuk mengenang jasa pejuang, melainkan juga kesempatan terbaik untuk meninjau kembali hal yang sudah kita lalui dan capai bersama dalam mengisi perjuangan kemerdekaan berkenaan.

Perjuangan kemerdekaan harus diisikan dalam bentuk pengabdian kepada masyarakat dan karya nyata. Tujuannya ialah menciptakan cara hidup yang lebih baik, aman, makmur dan sejahtera secara material mahupun spiritual.

Sejauh ini wajar disyukuri kerana perjuangan dalam mengisi kemerdekaan itu telah mencapai pelbagai hasil yang dapat dibangga dan dirasakan bersama oleh masyarakat kita.

Kita juga harus menyampaikan terima kasih kepada pejuang bangsa, yang sudah meninggal dunia ataupun yang masih hidup, yang telah bertungkus lumus dalam mempertahankan kemerdekaan tanah airnya dengan jerih payah, darah dan air mata.

Kita berharap unsur negatif dalam masyarakat dan negara dibuang dan disingkir jauh-jauh, seperti demonstrasi jalanan, antikerajaan, dan lain-lainnya yang boleh merosak dan menjejaskan nilai kemerdekaan yang sudah kita capai bersama sebelumnya.(sumber: BH, 26/8/11)

27 Ogos 2011

MY DISTRESS: DAFTAR SEGERA

LEBIH  8,000 orang memohon dan mendaftarkan aplikasi isyarat jenayah di telefon pintar, "My Distress" yang dilancarkan Polis Selangor bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bantuan polis semasa kecemasan. 

Ketua Urusetia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kontinjen Selangor, Deputi Superintinden Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata sambutan menggalakkan yang diterima menunjukkan ramai kagum dengan aplikasi yang dilancarkan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada Rabu lalu.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 8,305 orang, kebanyakannya dari Selangor mendaftar dengan aplikasi 'My Distress'," katanya hari ini.
Melalui aplikasi "My Distress" menerusi telefon pintar, orang ramai boleh menghantar isyarat kecemasan dengan menekan butang ikon pada telefon pintar. Isyarat itu dihantar terus ke Bilik Gerakan di ibu pejabat polis Selangor dan lapan balai polis daerah di negeri itu. 

'My Distress' dilengkapi dengan Sistem Pengesanan Global (GPS) akan membantu polis mengesan individu yang menghantar isyarat ke lokasi berkenaan. 

Mohamed Mokhsein berkata, polis banyak menerima pertanyaan daripada orang ramai di luar Selangor memohon aplikasi itu diperluaskan ke negeri lain. 

Beliau berkata, orang ramai perlu berhenti menguji keberkesanan aplikasi berkenaan dengan menghantar isyarat masalah remeh dan sebaliknya menggunakan aplikasi dengan bijak semasa situasi cemas dan yang mengancam nyawa. - BERNAMA

PEGUAM: HATI-HATI ADA YANG PALSU


ORANG  awam dinasihatkan supaya berwaspada dengan kewujudan pihak ketiga yang menyamar sebagai peguam di mahkamah sekitar Selangor.

Pegawai Khas kepada Ketua Hakim Negara, Shazali Hidayat Shariff berkata, mereka ini tidak mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai peguam tetapi menyamar sebagai peguam untuk mendapatkan pelanggan kononnya bagi membantu mereka menyelesaikan sesuatu kes mahkamah.

Beliau berkata, pihak ketiga tersebut didapati berada di premis mahkamah pada sebelah pagi dan antara tempat mereka mencari pelanggan ialah Mahkamah Daerah Klang, Ampang, Selayang dan Petaling.

"Orang awam diminta melaporkan kepada polis atau mahkamah sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melakukan perkara sedemikian. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia turut merujuk kepada satu kes penipuan yang melibatkan keluarga tertuduh yang telah ditipu sebanyak RM36,000 oleh seorang yang menyamar sebagai peguam di Mahkamah Klang.

Perkara ini telah dimaklumkan oleh Jawatankuasa Peguam Selangor yang mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Hakim Negara hari ini, kata Shazali. - (sumber:  Bernama , UM,26/8/11)

26 Ogos 2011

AWASI ANAK KETIKA BERBELANJA

Waspada ketika membeli-belah 

TIDAK berhati-hati, cuai. Itu jawapan paling mudah, diberikan mengenai insiden hilang anak ketika ibu bapa membeli-belah. Sebagai manusia biasa, insiden sedemikian tidak boleh kita elak berlaku. Dalam keadaan orang ramai dan membawa anak ramai pula, ibu bapa boleh terlepas pandang, biar pun antara suami dan isteri itu saling memerhatikan pergerakan si kecil.

Keadaan di pusat beli-belah yang menyeronokkan dengan aneka permainan, boleh jadi juga menyebabkan kanak-kanak berkenaan `terlupa’ mengikut ibu bapanya, apabila leka terhadap sesuatu hingga menyebabkan ‘tertinggal’.
Bagi ibu, Anis Arianti Ariffin, 33, pengalaman hilang anak sulung, Damea Aleenia Shiffiyah, 6 tahun ketika membeli-belah di sebuah pasar raya berhampiran rumahnya baru-baru ini, memberikan pengajaran cukup besar kepada dirinya bukan saja untuk lebih berwaspada, malah lebih memahami tabiat anak ketika keluar ke tempat berkenaan.

Katanya, ibu bapa boleh menjadi leka kerana sibuk memilih barangan untuk dibeli, sementara anak pula cenderung leka akibat tabiat gemar membelek sesuatu barangan yang mungkin pelik atau menjadi kegemarannya seperti permainan atau mungkin juga bermain sorok-sorok sesama sendiri.

“Dalam kejadian itu, saya bersama suami dan dua anak yang lain berjalan menuju ke bahagian dapur. Ketika ingin bertanya kepada Damea dia mahukan minuman perisa apa, ketika itulah kami baru tersedar dia tiada. Seingat saya, ada dalam 15 minit sebelum kami perasan dia tiada.

“Ketika itu, saya dan suami memang panik, tetapi mengingatkan diri sendiri supaya jangan tonjolkan muka panik pada nada suara mahu pun tingkah laku kerana tidak mahu menjadi perhatian orang lalu lalang. Saya dan suami, berpakat untuk pecah kepada dua bahagian. Saya mencari pada bahagian pakaian kerana dia memang sukakan baju, manakala suami mencari di bahagian permainan. Tetapi dia tiada,” katanya yang menyatakan proses mencari itu memakan masa kira-kira 15 minit.
Menurut Anis, dia tidak mahu menuju ke bahagian keselamatan untuk membuat pengumuman, kerana bimbang akan membahayakan Damea.

“Lebih daripada itu, hati saya kuat menyatakan Damea tidak akan hilang lama. Kerana saya selalu mengingatkan anak, kalau tidak berjumpa dengan ibu dan ayah, duduk di tempat berkenaan kerana kami akan mencari.

“Akhirnya, kami berjumpa Damea di bahagian buku. Saya tidak terus menerpa ke arahnya, sebaliknya melihat reaksinya terlebih dulu, sama ada nampak takut atau menangis kuat. Ketika itu, matanya berkaca dan dadanya berombak kecil, menunjukkan dia pun sebenarnya takut, tetapi mengawal keadaan kerana itulah yang selalu saya tekankan kepada anak,” katanya.

Pengajarannya, ketika membeli-belah bersama anak, Anis akan pastikan lebih bersabar melayan kerenah anaknya yang selalunya leka melihat sesuatu yang cantik dan baru.

“Kalau anak saya ingin duduk lama sedikit di bahagian mainan, saya akan biarkan dan rela menunggu, menyatakan sesuatu barangan yang diminatinya itu, berbaloi atau tidak untuk dimiliki. Anak pun macam orang dewasa juga, kadangkala mereka bukan bertujuan untuk membeli sesuatu, tetapi cuma ingin pegang atau sentuh saja sebab ‘geram’ dengan keunikan sesuatu,” katanya.

Dalam tinjauan ke sebuah pusat beli-belah, baru-baru ini, seorang pegawai khidmat pelanggan di Gombak yang hanya ingin dikenali sebagai Raja, menyatakan dalam sehari sekurang-kurangnya lima kali pengumuman mengenai kes kehilangan anak ketika membeli-belah dibuat, khususnya di hujung minggu.

Katanya, antara sebab, bukan saja ibu bapa leka malah kerana anak juga ralit melihat barangan menarik terutama bahagian mainan hingga tidak sedar ibu bapa sudah bergerak jauh.

“Selalunya kami mempunyai pengawal keselamatan yang akan meronda. Kalau kami dapati anak kecil berkeliaran sendirian, menangis dan sebagainya, kami bawa mereka ke bahagian khidmat pelanggan untuk membuat pengumuman.

“Walaupun keadaan dikatakan terkawal, ibu bapa perlu terus beringat sebab pepatah menyebut jerat tidak pernah melupakan mangsa,” katanya.

Kejadian kanak-kanak hilang ketika bersama ibu bapa membeli-belah, kes terpencil tetapi perlu diambil serius. Negara pernah gempar dengan nasib Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, (ketika itu berusia lima tahun) yang hilang ketika ibu bapanya membeli-belah di Kompleks Sogo, lima tahun lalu.

Yin hilang ketika bapanya mencuba pakaian di bilik persalinan dan ibu pula mengawasi adiknya. Yin dijumpai selepas dua minggu dan sepanjang kehilangannya itu, dia dipelihara keluarga pasangan Myanmar.

Rancang beli-belah

AKTIVIS keselamatan, K Balasupramaniam, mendedahkan antara punca kanak-kanak boleh hilang ketika membeli-belah ialah kerana kelekaan ibu bapa dengan ‘misi’ berbelanja, khususnya pada waktu perayaan. Ibu bapa boleh hilang kawalan serta pengawasan kerana kanak-kanak juga mudah bosan menunggu, lalu mula mencari aktiviti lain yang menarik.

Bagi mengelakkan kejadian ini, ikuti panduan di bawah:


  • Cuba rancang aktiviti membeli-belah anda. Jika perlu, tinggalkan anak anda di rumah saudara atau sahabat yang difikir selamat. 
  • Jika perlu membawa mereka bersama, cuba dapatkan tenaga sokongan seperti si suami, kakak atau kawan untuk menjaga mereka sementara. 
  • Ada juga pusat membeli-belah menyediakan tempat aktiviti kanak-kanak berbayar untuk satu jangka masa tertentu. 
  • Memilih waktu sesuai, seperti bukan waktu puncak atau waktu yang sibuk mampu mengurangkan risiko kehilangan kanak-kanak 
  • Pastikan anda kenal pakaian yang dipakai anak hari itu kerana ia memudahkan semua pihak mengenal pasti jika berlaku keciciran. Kalau boleh ambil gambar mereka dan simpan dalam telefon bimbit kerana mudah diberikan kepada pengawal atau untuk dicetak. 
  • Pastikan anak diberitahu tempat berjumpa (the meeting point) jika berpisah, contohnya restoran makan segera McDonald, KFC atau kaunter pertanyaan. 
  • Jika anak itu terlalu kecil, tulis nama dan nombor telefon kedua ibu dan bapa dalam satu kad kecil dan sematkan dalam saku anak. Latih anak untuk menghafal nama ibu atau bapa dan nombor telefon adalah antara cara terbaik. 

    Jika anak hilang: 
  • Beritahu semua. Anda boleh umumkan kehilangan anak menerusi kaunter pertanyaan dan minta pihak pusat beli-belah untuk melihat rakaman CCTV mereka dengan segera. 
  • Minta kerjasama pihak keselamatan pusat beli-belah memeriksa semua ‘check point’ keluar masuk pusat beli-belah, termasuk jalan keluar di kawasan letak kereta. 
  • Minta jasa baik pihak pencuci bangunan memeriksa semua tandas dan periksa tandas yang berkunci untuk mengelak kanak-kanak ini dibotakkan atau ditukar rupa atau diberi sebarang bentuk dadah khayal dengan niat untuk menyeludup mereka keluar. Jangan percaya mana-mana pihak, semua diperiksa rapi termasuk ibu yang menolakanak mereka menggunakan kereta sorong. 
  • Dapatkan bantuan polis dengan meminta pihak pusat beli-belah menghubungi mereka dengan segera. Hubungi juga rakan secepat mungkin. 
  • Periksa semua bilik pembersihan, stor simpanan, kedai tertutup, kedai yang menjalani pengubahsuaian, kotak besar dan sederhana serta rak pakaian kerana ada kala kanak-kanak suka bersembunyi dan tertidur atau pengsan akibat kurang udara atau terhidu kencing tikus.(sumber:BH, 26/8/11)
  • MELAKA: SEJARAH HITAM JANGAN BERULANG LAGI

    OGOS ini bulan yang istimewa. Pada bulan ini, umat Islam menyambut Ramadan, Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan negara serentak. 

    Namun, ramai yang lupa tarikh 24 Ogos ada cerita besar yang memberikan iktibar kepada kita sebagai rakyat Malaysia. Pada tarikh ini, genaplah 500 tahun Kesultanan Melayu Melaka runtuh dan diranapkan penjajah Portugis. Dalam keadaan kini, kisah sejarah Kesultanan Melayu Melaka harus menjadi contoh teladan yang baik untuk masyarakat ambil peduli. Perpaduan rakyat, kepemimpinan yang amanah, kesetiaan kepada negara adalah tunjang penting membina negara dan seterusnya membangunkan negara supaya terus maju.

    Sejarah lampau juga mengajar kita mengenai si kitol yang belot kepada negaranya. Dewasa ini, si kitol moden semakin berlambak dan bersiap sedia untuk memusnahkan negaranya sendiri. Kita juga tidak perlu bergantung kepada warga luar untuk menjaga negara kita ataupun membangunkan negara kita. Lihatlah, bagaimana askar upahan Jawa melarikan diri saat Melaka diserang. Apakah kita mahu perkara sebegitu berulang?
    Ini negara kita, maka kitalah yang patut menjaga dan membangunkannya. Kepemimpinan atasan juga perlu amanah ketika menjalankan tugasnya. Kesultanan Melayu Melaka porak peranda akibat pemimpin politiknya yang mengamalkan pilih kasih, fitnah dan tidak jujur dalam pemerintahan. Kebelakangan ini fitnah semakin menjadi-jadi dalam masyarakat kita. Ambillah iktibar, peristiwa Tun Mutahir difitnah hingga membawa kepada kematiannya.

    Contohilah kepemimpinan Umar Abdul Aziz yang menjadikan jawatan disandangnya sebagai amanah yang akan dipersoalkan. Umar tidak menjadikan jawatannya sebagai ghanimah yang direbut-rebut ataupun sebagai kemuliaan yang dibangga-banggakan. Perpaduan adalah aspek utama bagi negara yang berbilang kaum. Lupakan warna kulit, kasta, perbezaan agama, pangkat dan bahasa demi membentuk rakyat Malaysia tulen yang menyayangi negara ini. Umar Abdul Aziz amat mementingkan perpaduan. Beliau tidak membezakan bangsa Arab ataupun bangsa bukan Arab seperti golongan Mawali yang pernah dilayan sebagai kelas kedua. Layanan diberikan berteraskan pemerintahan Islam.

    Keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah sejarah lampau yang tidak perlu diulangi lagi. Kita perlu belajar daripada sejarah. (sumber:BH, 26/8/11)

    CHIANGRAI THAILAND: MAETAMANN VILLAGE ALAM HIJAU YANG NYAMAN.

    BARU-BARU ini TB menyusuri hingga ke Maetamann Village di Chingrai utara Thailand. Alam  flora yang menghijau, keaslian yang terserlah dan sungai deras yang selamat untuk berakit membuatkan hati ini yang dihimpit oleh hiruk-pikuk kehidupan nyata terasa mengasyikkan.Apatah lagi pengalaman menunggang gajah dan berakit di sungai  deras amat teruja dan mengesankan. Hidupan liar seperti gajah yang menjerit riang  saling bersahut-sahutan bagaikan memahami bahawa betapa sewajarnya kita menghargai kehijauan alam ciptaan Tuhan Yang Maha Esa.









































    25 Ogos 2011

    MURTAD: TANGANI EKONOMI SEGERA

    WANG mampu membeli apa sahaja, hatta memalingkan agama orang Islam kepada kekufuran. Mungkin kenyataan ini agak keras, namun tiada siapa boleh menyangkal hakikat ini. Umat Islam zaman sekarang tidak sebagaimana zaman dahulu.

    Jika sekiranya umat Islam dahulu bertungkus-lumus mempertahankan agama seorang remaja perempuan yang bernama Natrah di Singapura meskipun hidup dalam kemiskinan, namun tidak pada masa kini. Amat malang sekali, apabila adanya umat Islam yang sanggup menggadaikan agama semata-mata wang. Umat Islam kini mudah terpesona dengan wang ringgit.

    Hendak salahkan mereka pun tidak tepat sama sekali jikalau adanya segelintir pemimpin yang terlalu taksub kuasa dan wang ringgit sehingga lupa mempertahankan agama Islam. Atas sebab itu, umat Islam diserang dari segenap penjuru tidak kira masa termasuklah di bulan Ramadan yang suci ini.

    Bermula dengan kehadiran 12 orang Islam di gereja, diikuti dengan iklan hidangan babi untuk berbuka puasa, adakah kita masih lagi dibuai mimpi enak betapa umat Islam di Malaysia masih kuat? Maruah umat Islam diinjak-injak! Semuanya angkara kesilapan kita sendiri yang lemah serba serbi. Paling nyata, kita bercakaran sesama sendiri dalam hal-hal remeh dan berbahas melampaui batas mengenai perkara ranting sehingga lupa untuk mempertingkatkan kekuatan umat Islam.

    Ini tanggungjawab bagi setiap umat Islam. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 190 yang bermaksud: "Perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu. Dan janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas".

    Banyak lagi agenda utama yang mesti diperjuangkan untuk mengangkat maruah umat Islam Malaysia. Masalah sebenar perlu ditangani segera dan bukannya menyalahkan pihak lain kononnya pihak tersebut yang menjadi dalangnya. Sampai bila pun permasalahan umat Islam tidak akan selesai. Carilah punca sebenar.
    Dalam konteks isu murtad, punca utama masalah ini berkait rapat dengan kemiskinan. Islam sendiri menyatakan dengan jelas kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran. Masakan tidak apabila adanya golongan pendakwah daripada agama lain yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang Islam, akhirnya mereka termakan budi sehingga sanggup menukar agama.

    Meskipun dalam Perlembagaan negara sudah cukup jelas menyatakan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan kepada umat Islam Malaysia, tetapi hakikatnya, pendakwah-pendakwah ini langsung tidak mengendahkan sama sekali. Elaun dibayar setiap bulan untuk orang Islam bagi memujuk mereka menukar agama. Strategi halus mereka sememangnya ampuh.

    Mereka bukan sahaja mencari golongan bergelandangan atau bermasalah kewangan sahaja tetapi mereka juga sanggup masuk ke hospital-hospital swasta mencari pesakit-pesakit Islam. Modus operandi mereka cukup licik dengan "memujuk" golongan yang berada dalam kesusahan. Bagaimana pula strategi kita untuk "melawan" mereka balik?

    Bagi penulis, antara strategi paling ampuh adalah dengan mempertingkatkan ekonomi umat Islam sepenuhnya. Islam sendiri mengesyorkan agar umatnya berusaha mencari rezeki.
    Firman Allah Surah Al-Mulk, Ayat 15 yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)".

    Mungkin ada yang mengatakan kita boleh menggunakan wang zakat untuk membantu golongan miskin. Memang benar, zakat adalah salah satu strategi. Bagaimanapun, mekanisme zakat mestilah disepadukan dengan usaha-usaha lain.

    Tambahan pula, berdasarkan pengamatan penulis ke atas syarikat-syarikat Islam senaraian awam, hanya segelintir sahaja yang membayar zakat! Apakah yang membuatkan mereka lebih berminat membayar cukai korporat berbanding zakat? Sebab itulah penulis mengesyorkan agar transformasi ekonomi umat Islam mestilah dilaksanakan secara holistik merangkumi institusi zakat, sistem kewangan dan perbankan serta usaha-usaha terbaru yang lebih berkesan untuk membantu umat Islam yang miskin dan bergelandangan.

    Janganlah kita hanya bermurah hati membantu mereka ketika bulan Ramadan sahaja sedangkan pada bulan-bulan lain kita melupakan mereka. Satu mekanisme menyeluruh bagaimana untuk menyalurkan bantuan kepada mereka perlu difikirkan agar suatu hari nanti mereka mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

    Di samping itu, pihak-pihak yang diamanahkan bertanggungjawab untuk mencari mereka. Janganlah hanya sekadar menunggu laporan sampai di atas meja atau media massa memaparkan kemiskinan seseorang, maka barulah tindakan diambil.

    Tidak cukup dengan itu, maklumat daripada banci penduduk yang terkini sewajarnya digunakan untuk menjejaki golongan miskin ini. Apalah gunanya maklumat tersebut jika tidak digunakan sebaik mungkin. Jejaki mereka sampai dapat. Kalau mengharapkan mereka melaporkan kesusahan mereka, mungkin ada di antara mereka berasa malu.

    Bagi organisasi bukan kerajaan Islam (NGO), salurkan kekuatan yang ada untuk sedaya upaya mengubah ekonomi umat Islam. Jika kita boleh bersatu hati berkaitan isu kehadiran 12 orang Islam di gereja, sudah tentu kita juga boleh bersatu hati untuk menangani punca sebenar bagaimana isu ini boleh timbul. (sumber: UM, 25/8/11)

    RAMADAN: KEKALKAN SEMANGAT

    BUKAN satu kejutan apabila rumah ibadah umat Islam semakin lengang di hujung Ramadan. Ia berulang setiap tahun apabila masing-masing mula sibuk melangsaikan pelbagai urusan sebelum bercuti panjang untuk berhari raya di kampung halaman bersama ibu bapa dan sanak saudara.

    Walaupun ia bukan alasan kukuh untuk mengecualikan diri daripada solat berjemaah atau bersama ahli qariah yang lain dalam urusan ibadah, tetapi setiap alasan ada rasionalnya, kita hanya perlu berbaik sangka.
    Paling utama, walaupun tidak menjadi makmum di masjid, bapa perlu mengambil peluang menjadi pemimpin solat, tadarus dan qiamullail anak serta isteri di rumah. Inilah semangat Ramadan yang jelas terlihat, banyak perkara dilakukan secara berjemaah, terutama bersama ahli keluarga.
    Jika sebelumnya, solat dan mengaji dilakukan secara individu, lain pula di bulan Ramadan. Ahli keluarga juga merancang menu, memasak dan makan bersama apabila sampai waktunya. Kesepakatan juga ketara dalam urusan lain seperti pemilihan tempat untuk berhari raya dan persediaan material menyambut Syawal.

    Tidak ketinggalan, dalam urusan ibadah lain seperti bersedekah dan menunaikan umrah. Pada Ramadan, ramai mengambil kesempatan untuk turut berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan.

    Bukan setakat zakat fitrah, beras seguni dan gula sekampit juga menjadi buah tangan, selain juadah berbuka puasa. Ini masanya umat Islam menginsafi sifat pemurah Rasulullah SAW dan sahabat yang bersedekah harta tanpa bimbang atau risau akan kekurangan keperluan ahli keluarga sendiri. Mereka yakin pemilik rezeki akan menjaga mereka seperti dijanjikan-Nya.

    Jika sebelum ini mereka tidak pernah menziarah makam Rasulullah SAW dan sahabat atau bersolat di Tanah Haram, Ramadan menghantar mereka ke sana. Ini semangat Ramadan, sinarnya mencerahkan kehidupan dan bahangnya menghangatkan jiwa supaya semakin kuat untuk kembali kepada ajaran-Nya.
    Semangat ini harus dikekalkan selepas Ramadan. Biarpun Syawal meriah dengan juadah, mereka yang kekurangan tidak boleh terus dibiarkan susah. Amalan bersedekah sepanjang Ramadan mesti diteruskan secara konsisten.

    Sepanjang Syawal, ia boleh dilakukan dengan memberi wang, biskut, kuih muih, baju dan kelengkapan raya yang lain. Tidak lupa juga bermurah hati menjenguk muka menziarah mereka yang sebatang kara.

    Ketika sibuk dengan sanak-saudara, mungkin bertandang ke rumah orang tua atau anak yatim akan memberikan kita peringatan bukan sedikit. Golongan kanak-kanak juga akan belajar menghargai rezeki yang mereka miliki selain berpada-pada dengan nikmat daripada Ilahi.

    Anak akan mendapat manfaat dari tarbiah amali ini dan secara tidak langsung ibu bapa berpeluang mengambil kesempatan mengajar anak bersyukur.

    Ramadan yang mengakrabkan umat Islam dan masjid haruslah menjadi permulaan sebuah kehidupan lebih baik. Jika bulan lain kita sentiasa mempunyai helah untuk berjemaah atau memeriahkan program komuniti memakmurkan masjid, Ramadan membuka pintu luas untuk individu Muslim mengunjungi rumah Allah di mana saja.

    Alangkah indah andai masjid dapat terus dimakmurkan dengan jemaah, kesepakatan qariah dan semangat golongan muda yang menjadikan masjid sebagai rumah kedua dikongsi sesama saudara seagama.

    Semangat Ramadan yang menyatukan ibu bapa dan anak dengan pelbagai aktiviti sosial serta ibadah sesuai menjadi bekal untuk terus menjadikan institusi kekeluargaan pusat syura utama.

    Kesepakatan dan kerjasama yang jitu antara suami isteri harus menjadi asas pembinaan rumah tangga yang utuh dan terus diperteguhkan oleh anak yang dibimbing dengan tarbiah sama.

    Amalan menziarahi ibu bapa dan sanak saudara pada Ramadan dan Syawal untuk berbuka puasa serta berhari raya pula elok dilakukan sepanjang tahun jika ada kelapangan. Tentu yang muda perlu mengunjungi yang lebih berusia.

    Apatah lagi anak yang sudah lama tidak bersua muka dengan orang tua atau sebaliknya, inilah waktunya paling tepat menggantikan masa yang berlalu tanpa perhatian kasih sayang kepada mereka. Semangat ini harus berpanjangan supaya sifat takwa ditanam oleh Ramadan subur merimbun sehingga Ramadan seterusnya.

    Memang tidak mudah untuk mengekalkan semangat Ramadan sampai bila-bila, apatah lagi jika ia tidak dilakukan oleh setiap umat Islam, tetapi ambillah sebahagian daripadanya.

    Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang lebih baik boleh dipertahankan untuk meningkatkan takwa diri sehingga bertemu Ramadan akan datang. Bayangkan jika saban tahun begitu, bukankah setiap individu Muslim akan lebih baik dari dulu. (sumber: BH, 25/8/11)

    MUFTI: MELAYU BERPECAH KERANA KERAJAAN RASUAH

    MUFTI  Perak Tan Sri Harussani Zakaria mendedahkan, bagi memastikan perpaduan Melayu-Islam, beliau pernah mengingatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tentang kerajaan yang "lemah, tidak amanah dan rasuah."

    "Saya kata pada Najib, Datuk Seri, perpecahan Melayu sebab kerajaan ini cukup lemah, tak amanah dan rasuah," kata Harussani.

    Bercakap dalam wacana "Ulama dan Politik" di Shah Alam hari ini, Harussani berkata sebagai orang yang tidak berparti, beliau telah mengambil pendekatan itu sejak zaman Tun Razak Hussein lagi.

    Diminta menghuraikan tegurannya itu, Harussani bagaimanapun enggan melakukannya kerana berharap ia "habis di sini sahaja".

    Bercakap dalam wacana "Ulama dan Politik" di Shah Alam hari ini, Harussani berkata sebagai orang yang tidak berparti, beliau mengambil pendekatan itu sejak zaman bapa Najib - Tun Razak Hussein - menjadi perdana menteri lagi.

    Harussani turut berkata, beliau juga pernah cuba menasihati bekas perdana Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini berhubung pelbagai isu.

    Harussani berkata, walaupun Dr Mahathir selalu mendengar nasihatnya, terdapat tiga perkara yang tidak dipedulikan.

    Perkara itu menurutnya, nasihat yang cuba disampaikan supaya Dr Mahathir tidak memecat timbalannya ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    "Waktu nak pecat Anwar, saya pergi tapi tak boleh masuk (jumpa). Saya kata, kalau pecat dia, bukan sikit pengaruh dia (Anwar), berpecah orang Melayu... Kalau hendak buat tuduhan liwat, kalau tak ada saksi, buruk padahnya.
    Tak ingat

    "(Nasihat) kedua, kalau nak pecat, buat rombakan kabinet dulu. Letakkan dia (Anwar) sebagai menteri biasa (baru pecat).

    "Satu lagi (nasihat) saya tidak ingat," kata Harussani.

    Pada zaman Abdullah pula, mufti paling kanan di Malaysia itu berkata, beliau pernah tiga kali menasihatinya tetapi semuanya ditolak.

    Beliau bagaimanapun tidak menyebutkan apa tiga nasihatnya kepada Abdullah itu.

    Harussani tegas mengulangi pendiriannya bahawa Melayu-Islam bersatu-padu, termasuk melalui pembentukan kerajaan campuran antara Umno-PAS kerana dalam al-Quran umat Islam diperintah berkasih-kasihan antara satu sama lain dan bukannya dengan orang kafir.

    "Dalam al-Quran disebut orang kafir zalim. Tak pernah lagi disebut orang Islam itu zalim," katanya merujuk kepada kerjasama politik parti Melayu dengan parti yang didokong bukan Islam.

    NONEDua lagi anggota panel dalam wacana itu Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ulama muda Umno Fathul Baru Mat Jahya. Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertindak sebagai moderator.

    Sebagai respons kepada pendapat itu, Tuan Ibrahim (kiri) sebelum itu secara berseloroh mengusik Harussani dengan berkata:

    "Kalau mufti hendak jumpa perdana menteri pun tak boleh, lu fikirlah sendiri."
    Ketawa besar

    Kata-kata itu nyata mengundang ketawa besar kira-kira 500 peserta yang hadir dalam majlis kira-kira dua jam itu.

    Mengaitkan perkara itu tentang pengiktirafan terhadap ulama, Tuan Ibrahim mengambil kesempatan menyifatkan kerajaan dan Umno selama ini selama ini hanya menjadikan ulama seolah-olah 'terompah kayu' dan 'ricecooker' (periuk nasi).

    NONE"Ia beri gambaran, bila perlu saja pakai ulama. Pandangan majlis fatwa ditolak, pandangan mufti diketepi. (Jadi ulama) nak pandu politik macam mana kalau pengiktirafan pun tak ada," katanya.

    Sementara itu, Fathul pula berkata, usaha dakwah memerlukan masa dan tempoh sebelum membuahkan hasil.

    Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam di negara ini mendoakan kebaikan kepada pemimpin supaya kesannya dirasai semua lapisan masyarakat.

    "Ini tidak, doa minta mampuslah, pecah perutlah," katanya yang kesal kerana pernah digelar "ulama upahan".(sumber:MK,24/8/11)

    24 Ogos 2011

    AZIZI HJ ABDULLAH: CERITA SEORANG SENIMAN


    ALLAHYARHAM Haji Azizi Haji Abdullah bertubuh kecil tetapi 
    mempunyai jiwa yang besar, pandangan yang tajam, 
    kritikan yang pedas terhadap sesiapa yang makan cili 
    terutamanya kepada pemerintah yang jelas tidak mahu
    melakukan kebaikan bahkan pemerintah yang  terus
    angkuh dengan kezaliman.

    Walaupun namanya 'gah' di pesada seni sebagai noveli 
    sebarisdengan Sasterawan Negara namun hidupnya tetap
    sederhana. Tidak mempunyai rumah mewah atau
    kenderaan mewah sekadar ala kadar  untuk berurusan
    membantu
     rakyat yang cintakan kedamaian.


    Setelah menamatkan perkhidmatan sebagai seorangpendidik beliau 
    yang tidak jemu-jemu berkarya menabur bakti pula sebagai pengarang 
    di Utusan Pengguna keluaran Persatuan Pengguna Pulau Pinang
     (CAP) yang diterajui oleh Presidennya, SM Mohamad Idris.

    Memang tidak dinafikan, novel bertajuk 'SeorangTua Di Kaki Gunung'
     menaikan nama Allahyarham Azizi Haji Abdullah malahan mengangkat jiwa 
    seninya ke tahap yang lebih matang apabila terus berkarya dengan
     menerapkan unsur nasihat.

    Allahyarham Haji Azizi walaupun saya tidak mengenalinya secara dekat
     tetapi setiap kali bertemu di majlis ceramah politik sering bertanyakan
     bagaimana kerja dengan "Harakah' serta memberikan semangat 
    kepada saya untuk terus bertahan di Harakah .Bukan itu 
     kadang-kadang terkeluar juga ketidakpuasan hatinya terhadap 
    Harakah kerana tidak menyiarkan apa yang dikirimkannya.


    Memang jika hendak diukur dari segi pendapatan di Harakah tidaklah 
    sebanyak mana .Tambahan pula sebagai pemberita negeri tetapi kerana mahu 
    mendaulatkan sinar Islam dan bersama kepimpinan yang sah menyanjung
    Islam saya terus kekal sehingga kini.


    Sewaktu Pejabat Harakah beroperasi di No 6, Tingkat 2, Jalan Todak, Bandar
    Sunway, Seberang Jaya kerap juga terserempak denganya terutamanya 
    sebelah petang kerana beliau sering juga bermalam di ruang hadapan iaitu bilik yang
    boleh diibaratkan rumah persinggahantuan punya bangunan tiga tingkat yang Harakah 
    menyewa.

    Pemiliknya ialah 'Bos Petronas' iaitu Haji Sidek yang baik hati orangnya.   
    Beliau sanggup memberikan Harakah menyewa dengan kadar Rm350.00 
    sahaja sebulan sedangkan harga pasaran boleh mencecah sehingga
     RM600.00 sebulan.

    Tetapi, kerana mahukan Harakah bertapak di situ beliau sanggup melupakan 
    nilaian wang ringgit asalkan pejabat berkenaan mesti dalam keadaanbersih
    terutamanya jalan ke pintu masuk dan tandas kerana baginya Islam itu
    mementingkan kebersihan.

    Berbalik kepada cerita Allahyarham Azizi di situlah kadang-kadang dia tidur 
    bermalam untuk mencari idea untuk novel beliau seterusnya kerana di rumah
    bukan tempat yang sesuai untuk berkarya.

    Pernah Allahyarham Azizi berkata kepada saya  dia tidak boleh mengarang
    dalam keadaan bising atau isteri suruh itu dan ini.  Dia lebih tenang dan  
    sanggup menyewa hotel semata-mata mengarang  atau menghilangkan 
    diri seketika untuk tujuan tersebut sebagaimana yang dilakukan terhadap
     novel 'Sanggtheea'.

    Mengikut ceritanya ketika melancarkan novel tersebut di Perbadanan
    Perpustakaan Negeri di Seberang Jaya beliau mendapat ilham semasa
    melaluisatu  jalan berdekatan Pekan Kulim iaitu sebuah rumah  lama
    yang pernahdiduduki oleh orang putih kemudianya pula diduduki
    keluarga India.

    Kali terakhir saya bertemunya 
    ialah ketika bersama Pengarang 
    Harakah, Taufek Yahya turun 
    ke Pulau Pinanguntuk wawancara 
    dengan Pesuruhjaya PAS Negeri
    Datuk Saleh Man, Presiden CAP, 
    SM Mohamad Idris serta 
    pertemuan dengan Pengerusi
    Badan  Bertindak Tanjung Tokong,
    Mohd Saleh Yahya di Masjid Negeri.
    (Taufek Yahya bergambar dengan Azizi di depan pejabat CAP)



    Setelah menerima panggilan telefon daripada Taufek saya terus menelefon 
    Azizi kerana denganya senang berbicara walaupun kadang-kadang ayat  yang 
    diucapkan pedih bagiorang yang tidak biasa dengan gelagatnya.

    Memang senang, sekali buat panggilan telefon sahaja beliau terus mendapatkan
    temu janji dengan bosnya.  Setelah mengambil Taufek di Lapangan Terbang 
    Bayan Lepas kami terus ke CAP bertemu SM Mohamad Idris diiringi bersama
    peguamMohideen Kader, Setiausaha CAP serta Azizi sendiri.

    Bukan itu sahaja setelah selesai berbincang seperti biasa SM Mohamad Idris
     menyuruh Azizi membawa kami makan tengahari di kedai Makan Ikan Sembilang 
    berdekatan terowong lebuh raya Jelutong.

    Saya masih ingat lagi, dia kalut cari gulai ikan sembilang untuk dijamukan pada
    kami.  
    Akhirnya gagal kerana ikan tersebut habis diambil orang.  Maklumlah kedai berkenaan
     ramai pelanggan.  

    Sambil makan beliau bercerita sebenarnya doktor menasihatinya supaya jangan 
    makan makanan yang berlemak tetapi apakah daya di sebabkan makanan sedap
    lazimnya nasihat doktor sekadar pengingatan.

    Sejak pertemuan di pejabat CAP dan belanja makan saya sendiri tidak pernah
    bertemunya lagi cuma pada suatu hari saya mendapat panggilan daripada Ketua
    Pengarang Harakah,Ahmad Lutfi Othman bertanyakan saya tentang  kesihatan 
    Azizi yang dikatakan tenat di Hospital  Besar Pulau Pinang.

    Saya terus menghubungi talian telefon miliknya  tetapi anak perempuanya yang
    angkat dan mengesahkan kesihatan ayahnya tidak stabil  ekoran terasa sakit
    di bahagian dada ketika bersiap-siap ke tempat kerja.

    Memandangkan kesihatanya makin serius beliau terus dimasukan ke wad 
    dan selang beberapa minggu kemudian dia kembali pulih tetapi doktor 
    melarang orang ramai melawat sebab bimbang dijangkiti kuman.

    Saya teruskan buat berita ringkas mengatakan kesihatanya makin pulih
    walaupun tidak sempat bertemu bertanyakan sendiri.

    Cuma pada hari Ahad lepas 21 Ogos 2011 sekali lagi Ahmad Lufti menghubungi
    saya bertanyakan adakah benar Azizi meninggal lantas saya pun menghubungi
    Zulkifli Yusuf yang bertugas di bahagian Luar Bandar di CAP dan beliau akhirnya 
    mengesahkan berita berkenaan.

    Ketika menghubungi Penolong Pengarang Utusan Pengguna, Saudara
    Mohd Ridzuan Mohamad beliau berkata kehilanganya amat dirasai kerana 
    beliau seorang yang gigih bekerja untuk menyebarkan  info kepada rakyat.

    Menurutnya, Azizi banyak menghasilkan buku yang menceritakan masalah 
    sosial untuk CAP seperti 'Jiwa Hamba, Luka Rakyat dan Mustaafin yang 
    tertindas'.  Semuanya menceritakan pergelutan masyarakat terhadap sosial
     yang melanda masa kini.

    "Kehilangan Azizi satu kehilangan besar terhadap bidang penulisan dan 
    kesusasteraan. Buku terbarunya bertajuk Badai Cinta dan Anak Belantara'
    merupakan apisod terakhir penulisan yang diterjemahkan melalui penulisan
    kreatif, " jelasnya. (sumber : HD 23/8/2011)