UNIVERSITI-UNIVERSITI di Mesir banyak melahirkan tokoh-tokoh agama di Malaysia suatu ketika dahulu.
Tidak dinafikan Mesir merupakan salah satu destinasi pilihan dalam pengajian agama di kalangan pelajar Malaysia.
Namun sejak kebelakangan ini, semakin banyak kedengaran suara-suara yang tidak enak didengari mengenai pelajar-pelajar kita di Mesir
.
Kualiti pelajar keluaran Mesir terutama dari bidang agama semakin diragui. Umum mengetahui sistem jadual dan pengajaran di Mesir agak longgar dan agak tidak menitikberatkan soal kedatangan. Keadaan ini sebenarnya memerlukan disiplin yang tinggi di kalangan pelajar untuk menimba sebanyak ilmu yang mungkin.
Akan tetapi, bagi pelajar-pelajar yang kurang rajin (malas), keadaan sebegini semestinya membuatkan mereka tidak menghadiri kuliah-kuliah di universiti.
Akhirnya, graduan-graduan yang dilahirkan kurang berilmu apabila pulang ke Malaysia kelak. Padahal, majoriti masyarakat awam Malaysia masih memandang tinggi graduan-graduan yang dilahirkan dari Mesir.
Secara tidak langsung, fenomena ini dapat menimbulkan fitnah kepada 'orang-orang agama' lebih-lebih lagi apabila mereka memegang jawatan-jawatan utama dalam institusi agama di Malaysia.
Sebagai perbandingan secara kasar, sebanyak 1,000 graduan dari Mesir menamatkan pengajian mereka setiap tahun.
Tetapi terlalu sedikit yang kita lihat mereka menjadi suara-suara di barisan hadapan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah. Ke mana perginya graduan-graduan Mesir yang lain?
Apakah mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang cukup untuk memperjuangkan dakwah dengan menerangkan asas-asas Islam yang sahih kepada masyarakat? Persoalan ini bukan untuk merendahkan graduan-graduan Mesir, sebaliknya ambillah sebagai kata semangat dan perangsang untuk mengembangkan pemahaman agama Islam yang tulen di kalangan masyarakat. Percayalah, masyarakat amat memerlukan input- input agama dari anda semua
.
Kepada pihak kerajaan, saya berpendapat bahawa sudah tiba masanya kita menghantar pelajar-pelajar ke Arab Saudi. Dengan keadaan negara Mesir yang masih bergolak, inilah masa yang sesuai untuk kita menghantar lebih banyak ke Arab Saudi. Mereka juga kebelakangan ini mempunyai banyak unverisiti yang berprestij seperti Ummul Qura' dan Universiti Islam Madinah.
Kepada ibu bapa yang berhasrat untuk menghantar anak-anak ke Timur Tengah, didiklah mereka agar ikhlas dan berdisiplin dalam menuntut ilmu. Janganlah apabila pulang ke tanah air nanti, minda mereka kosong. Percayalah apabila seseorang graduan dari Timur Tengah meletakkan kopiah di kepala, masyarakat akan terus mengangkat mereka sebagai 'ustaz' biarpun pengetahuan agama tidak seberapa.
Kepada graduan-graduan Timur Tengah, ikhlaslah dalam menuntut ilmu dan bawalah pulang permata-permata yang berguna untuk masyarakat di Malaysia.(sumber: UM 22/2/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan