HAMPIR 70 tahun yang lalu, pada 15 Februari 1942, Singapura telah jatuh ke tangan Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Peranan penting anak-anak Melayu dalam peperangan itu tidak dapat dinafikan melalui penglibatan mereka di dalam Rejimen Askar Melayu ketika mempertahankan Tanah Melayu dan Singapura.
Menurut Lt. Kol. Dr. Syed Othman Syed Omar, penulis buku Rejimen Askar Melayu Diraja 1933-1968, walaupun Rejimen Askar Melayu adalah satu pasukan tentera yang masih muda, kecil, tidak pernah diuji dalam peperangan dan diragui kemampuannya, askar-askar Melayu telah berjaya mempamerkan keberanian dan profesionalisme yang cukup tinggi semasa Perang Dunia Kedua.
Anggota Kompeni D daripada Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi semasa pertempuran di Sungai Bakap, Seberang Perai dan di Sungai Batu Pahat, Johor. Mereka telah berjaya melambatkan kemaraan Tentera Jepun dan membolehkan pihak British berundur ke Singapura.
Anggota Kompeni A dan Kompeni C, Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu pula menunjukkan keberanian mereka mempertahankan kubu mereka di Pasir Panjang dan Bukit Chandu sehingga ke titisan darah terakhir.
Umum tentu mengetahui tentang legenda keberanian Leftenan Muda Adnan Saidi daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu (The Malay Regiment) yang terkorban mempertahankan Singapura daripada serangan Tentera Jepun pada 14 Februari 1942. Allahyarham diangkat menjadi ikon pahlawan negara yang disanjungi rakyat jelata melalui penulisan buku dan juga filem.
Semangat juang dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh askar-askar Melayu semasa Perang Dunia Kedua telah berjaya menghakis tanggapan negatif pihak British bahawa orang Melayu mampu berdiri sama tinggi dengan askar-askar Komanwel yang lain.
Jeneral A.E Percival mengiktiraf kemampuan askar Melayu dalam kenyataannya: “Parajurit-parajurit yang masih muda dan belum diuji ini telah membebaskan mereka daripada tuduhan bahawa mereka tidak setanding dengan pasukan terbaik di Semenanjung Tanah Melayu apabila mereka membuktikan kekerasan hati mempertahankan Pasir Panjang di puncak peperangan di Singapura. Mereka telah menunjukkan teladan atas keteguhan dan ketahanan yang mana akan menjadi suatu tradisi yang masyhur di dalam rejimen dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang.”
Namun begitu, masih ramai tidak mengetahui selepas kejatuhan Singapura, anggota Rejimen Askar Melayu yang telah ditawan oleh pihak Jepun terus menunjukkan profesionalisme ketenteraan yang tinggi.
Apabila mereka ditahan pada 16 Februari 1942, pihak Jepun telah mengarahkan mereka supaya menanggalkan pakaian seragam mereka. Namun, beberapa pegawai Askar Melayu menentang perintah Tentera Jepun itu. Justeru pada 27 Februari 1942, sekitar jam lima petang, salah seorang saksi melihat pegawai-pegawai Askar Melayu itu dilucutkan pakaian seragam mereka dan dibawa keluar daripada tahanan. Mereka dipercayai dibunuh oleh tentera Jepun hanya semata-mata dek keengganan menanggalkan pakaian seragam mereka.
Pegawai-pegawai Rejimen Askar Melayu yang dipercayai dibunuh itu ialah:
* Leftenan Abbas Mohamed Said
* Leftenan Ariffin Hj Sulaiman
* Leftenan Wahid Mat Kidam
* Leftenan Raja Aman Shah
* Leftenan Abdullah Saad
* Leftenan Ibrahim Sidek
* Kapten Yazid Ahmad
Puan Sharifah Khadijah Hamid, isteri kepada Leftenan Ibrahim Sidek dalam satu temuramah pada tahun 2001 memberitahu: “Suami saya dan kawan-kawannya diarahkan oleh Jepun untuk menanggalkan uniform supaya boleh dibebaskan dan pulang ke pangkuan keluarga. Mereka enggan. Malah, mereka enggan menanggalkan lencana pangkat mereka. Seminggu selepas itu, Jepun membunuh mereka. Mayatnya tidak dijumpai. Kami tidak dapat melawat kuburnya.”
Pada 27 Februari 2011, genaplah 69 tahun mereka meninggalkan kita demi mempertahankan ibu pertiwi. Semoga jasa-jasa mereka ini terus dikenang masyarakat. Al-Fatihah. (sumber: Iskandar Ismail, Ampang Selangor, 23/2/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan