Tidak benarkan karya mereka disunting editor kerana berasa sudah mantap
BIASA didengar bahawa penulis yang ada nama besar enggan membenarkan sebarang suntingan kepada karya mereka kerana beranggapan karyanya sempurna dan kerenah ini akan menyukarkan editor menyempurnakan tugas mengikut syarat ditetapkan sesebuah syarikat penerbitan.
Lazimnya juga didengar bahawa penulis yang ada nama besar egonya tinggi sehingga enggan membenarkan editor menyunting karya mereka, sedangkan ada kalanya berlaku juga penurunan mutu karya yang berpunca daripada tema klise dan terlalu kerap berkarya dalam tempoh masa singkat sehingga idea tidak sempat ‘diperam’ dengan baik.
Tidak dinafikan, manuskrip yang baik adalah satu daripada faktor kejayaan sesebuah novel dan memberi banyak kelebihan kepada penulis untuk menempa nama di kalangan pembaca, namun novel itu juga pasti tidak akan berjaya sekiranya tiada semakan dan sentuhan daripada editor.
Editor Kanan Buku Prima, Mohd Ali Mohd Noor, berkata setiap bulan beliau menerima hampir enam manuskrip mentah dan semuanya memerlukan penelitian rapi, membabitkan keseluruhan aspek penulisan terutama jika diterima daripada penulis baru.
“Penulis baru bagi saya tidak banyak kerenah kerana apa saja yang dicadangkan seperti penambahan plot, jalan cerita, konflik, teknik persembahan, aksi dan watak, tidak menjadi halangan bagi mereka. Mereka akan mengikut keadaan penerbit kerana yakin dengan kemampuan editor bagi membantu penerbitan karya yang baik.
“Namun, bagi penulis lama yang sudah pun menghasilkan dua atau tiga novel, mereka inilah yang banyak kerenah. Ada saja alasan diberi agar manuskrip tidak dipinda atau ditambah isinya, tetapi saya tidak pernah beri muka kepada mereka serta menetapkan syarat iaitu memberi kerjasama kepada editor atau cari penerbit lain,” katanya kepada Sastera melalui e-mel, baru-baru ini.
Beliau yang amat mementingkan kualiti agar novel terbitan Buku Prima mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca turut mengakui ada penulis yang malas membuat penyelidikan sebelum menghasilkan manuskrip sehingga cerita yang dihasilkan bersifat stereo taip dan tidak mengikut perkembangan semasa.
“Saya kerap berdepan dengan situasi penulis hanya menulis apa yang terlintas di kepalanya sehingga tema serupa ditulis, sedangkan dia pernah menulis tema sama sebelum ini. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, saya sering memberitahu penulis agar menghasilkan tema berlainan bagi memastikan novel terbitan Buku Prima tidak tertakluk pada satu tema.
“Bagi saya, penulis perlu bersikap rendah diri, walaupun sudah ada peminat kerana tidak semestinya karya berikutnya mendapat sambutan. Mesti ada kelemahan yang tidak disedari dan kerana itu penulis memerlukan editor untuk menyemak serta membaiki karya agar mutunya terjaga dan tidak membosankan pembaca,” jelasnya.
Penulis prolifik, Aina Emir pula mencadangkan agar penulis berbincang terlebih dulu dengan penerbit agar tidak berlaku sebarang kekeliruan dan idea boleh dibincangkan bagi membantu pengarang merancang dan menulis mengikut keperluan pasaran semasa.
“Sekiranya perbincangan terperinci sudah dijalankan, penerbit tidak perlu campur tangan berkenaan gaya penulisan kerana bagi saya itu kreativiti penulis. Penulis yang bijak perlu tahu mencari kelainan dalam penulisan dan penerbit juga berhak menegur serta menolak manuskrip sekiranya penulisan tidak memenuhi apa yang dibincangkan.
“Dalam hal ini, penulis tidak perlu berkecil hati kerana tugas mereka menulis secara bijaksana dan terserah kepada pembaca menerima atau menolaknya. Saya sendiri sentiasa bertanya dengan pembaca yang rapat, rakan dan penerbit berkenaan isu yang wajar saya bangkitkan untuk karya terbaru,” katanya.
Bagaimanapun beliau juga berasa editor dan penerbit tidak boleh terlalu mencampuri dan mengubah karya sedia indah, sekiranya penulis adalah nama besar di pasaran serta mutu karya terjaga, tanpa menafikan bukan semua penulis kelompok terbabit mampu mempertahankan wibawa karya, lalu perlu berfikiran terbuka serta sedia menerima teguran.
Pengurus Penerbitan dan Editor PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (PTS), Asma Fadila Habib, menjelaskan perkara utama yang dilihat penerbit dalam proses penyuntingan ialah isi dan jalan cerita yang menepati polisi syarikat, manakala suntingan membabitkan dua aspek iaitu bahasa serta jalan cerita.
“Pada kebiasaannya, penulis akan lebih terbuka terhadap kerja suntingan yang dilakukan editor, jika penerangan awal sudah diberikan berhubung polisi syarikat yang perlu dipatuhi dalam berkarya. Namun, ada juga kes penulis berkeras mahu mengekalkan sesuatu plot dan idea tertentu di dalam penulisannya.
“Apabila masalah ini berlaku, kami akan mengadakan perbincangan secara terbuka dan membawa pakar dalam isu yang digarap penulis. Kami juga akan menjelaskan rasional sesuatu perkara itu ditolak dan selalunya perbincangan ini akan lebih memberi kefahaman kepada penulis,” jelasnya.
Asma turut menekankan bahawa PTS menerapkan empat perkara dalam penerbitan karya iaitu memenuhi kehendak pasaran, membawa keuntungan, memberi kebaikan kepada masyarakat dan bersifat mendidik serta pada masa sama menerapkan unsur dakwah secara tidak langsung dalam karya.
“Perkara ini amat penting diterangkan kepada penulis agar mereka memahami tanggungjawab bahawa berkarya bukan hanya mahu menghasilkan buku, tetapi medan penyampaian ilmu. Dengan cara ini penulis akan lebih berhati-hati ketika dalam berkarya,” katanya.
Baginya setiap penulis sama ada bernama atau sebaliknya, perlu dilayan sama rata dan perlu mematuhi polisi penerbitan syarikat dan budaya 'pilih kasih' di kalangan penulis tidak boleh menjadi amalan editor demi kebaikan penulis, editor dan juga syarikat.
(sumber:Nurul Farina Nazlan,Berita Harian, 16.2.11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan