APABILA media massa melaporkan mengenai anak-anak yatim yang diperalatkan untuk mencari dana dengan cara berniaga secara langsung di khalayak ramai, rata-rata masyarakat terkejut.
Kita sering bertemu dengan kanak-kanak yang memberikan ucapan salam di pintu hadapan bank, meja makan di restoran atau gerai atau di mana-mana tempat tumpuan awam. Dengan senyum syukur kita membalas (bagi umat lslam) semula ucapan tersebut dengan senyum dan berlapang dada.
Namun jika saban waktu kanak-kanak yang sama, situasi yang sama, dengan berkopiah atau bersongkok ataupun berkain pelikat ataupun berbaju kurung dengan tabung tertulis derma untuk maahad tahfiz, surau, masjid, sekolah rendah agama atau apa jua yang berunsur agama, bagaimanakah kedudukannya? Ikhlas atau tidak derma kita hanya Allah jua yang maha mengetahui.
Tidak dinafikan kita seringkali bertemu orang yang sama, atau hanya bertukar orang dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan berganti tahun di hadapan pintu masuk bank, di stesen minyak dan sebagainya. Maka kita mulai curiga ataupun ada invidivu yang menganggap bahawa ini satu profesion yang mudah, senang, ringkas dan lumayan.
Apakah ini tidak disedari oleh mana-mana pegawai yang berkaitan seperti baitulmal, pusat zakat, Jabatan lmigresen, penguat kuasa perbandaran, Jabatan Kebajikan Masyarakat? Tidakkah mereka cuba membuat intipan atau penyiasatan?
Justeru usaha beberapa jabatan di Negeri Sembilan bergabung tenaga baru-baru ini membuat serbuan dan tangkapan terhadap pihak yang memperalatkan anak-anak yatim ini wajar dipuji.
Adalah wajar dibuat siasatan terperinci kemungkinan ada sindiket yang menjadikan modus operandi ini sebagai taktik meraih keuntungan. Tidak sesiapapun mahu bertanya benar atau palsu. Bayangkan terdapat juga pemungut derma yang sanggup menunggu tabung sepanjang hari yang bagaikan tanpa menghirau makan, minum dan sara dirinya. Dari sumber manakah makan minumnya diperoleh?
Begitu juga modus operandi yang menggunakan kanak-kanak atau remaja lelaki dan perempuan atas nama anak-anak yatim yang berkeliaran di stesen-stesen minyak. Kononnya kita bersimpati dan prihatin tetapi sebenarnya kita telah menggalakkan kegiatan tidak bermoral menjatuhkan maruah umat lslam, penipuan dan eksploitasi!
Situasi ini termasuk juga menggunakan orang-orang kurang upaya (misalnya buta dan cacat anggota) meminta sedekah, menjual tisu. Tetapi tidak siapapun antara kita yang tahu apa yang terjadi di belakang tabir.
Seandainya kita bermurah hati dan ada sedikit lebihan rezeki apa kata kita terus masukkan di mana-mana tabung masjid atau rumah Allah. ltu jalan terbaik bagi mengelakkan pengemis moden kian berkeliaran dan berleluasa.
(Sumber: Utusan Malaysia, 02.02.2011)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan