KEGAGALAN pembinaan keperibadian nasional adalah disebabkan kegagalan tekad politik dan budaya pihak pemerintah yang lebih terpengaruh dengan bentuk penjajahan baru.
Senator Dr Syed Husin Ali berkata, inilah bahana yang menimpa negara apabila kemerdekaan yang diperolehi dalam bentuk separuh masak menyebabkan timbul berbagai-bagai isu meski,Tanah Melayu (Malaysia) telah lama merdeka.
Menurutnya, negara kita ini kompleks bentuknya kerana rakyatnya majmuk berbilang keturunan dari itu, timbullah tuntutan terhadap hak mereka yang mana kerajaan mesti melihat ini sebagai cabaran.
"Cabaran perlu dihadapi dengan baik dan dan tidak boleh menggunakan kuasa untuk menekan cabaran, bukan hanya hadapi cabaran tetapi mesti mendengar dan mengambil tindakan mengatasi masalah yang timbul tersebut," tegasnya.
Syed Husin menegaskan demikian ketika mengulas buku Kumpulan Esei 29 Budayawan Bertindak hasil tulisan 29 Penulis terbitan Persatuan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) dalam program Bicara Karya, kelmarin.
Majlis anjuran Paksi ini diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), dekat sini turut menampilkan Seniman Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Pegawai Unit Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohamad Daud Mohamad dan Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kesusasteraan UKM, Che Abdullah Che Pa.
Ucapan pembukaan dilakukan oleh Presiden Paksi, Che Shamsudin Che Othman atau Dinsman dan penutup program separuh hari itu disempurnakan oleh Pengarah PPAS, Puan Mastura Muhamad.
Mengulas lebih lanjut, Syed Husin yang juga seorang penulis yang banyak menghasilkan buku antaranya, Dua Wajah tentang kisah beliau diISAkan selama enam tahun bermula 1974, berkata, setiap penulis wajar bertindak mengikut apa yang ditulis.
Katanya, mereka bukan sahaja berfikir dengan akal, menulis dengan tangan tetapi mesti bertindak jika perlu di jalanan untuk menyampaikan tekad dan erti penulisan mereka.
Mengambil contoh, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang bukan hanya berfikir dan menulis malah turun ke jalan raya untuk membuktikan apa yang dikehendakinya tercapai seperti dalam peristiwa bantah PPSMI pada 7 Mac 2009.
"Karya A Samad Said semakin kuat dan bertenaga selepas dari penyertaan beliau secara terbuka bersama dengan rakyat," tegasnya.(sumber: lsmail Hashim,Harakahdaily.net,24/2/11)
| |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan