Salam Perjuangan

14 Februari 2011

INTERLOK YANG INTERLOCKING

KEMENTERIAN Pelajaran sudah memutuskan bahawa Interlok kekal dan perkataan Paria akan dipinda. Sebuah panel bebas dijadualkan bermesyuarat pada 16 Februari ini untuk membincangkan isu berkenaan.

Gapena bersyukur novel berkenaan tidak ditarik balik tetapi Gapena bertegas supaya satu glosari mengenai perkataan berkenaan diadakan bagi menambah glosari yang sedia ada.
Penegasan Gapena adalah sesuai dengan perbincangan di antara wakil-wakil Gapena dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) semasa bertemu Menteri Pelajaran.

Menteri Pelajaran mengumumkan satu Jawatankuasa akan dibentuk untuk membincangkan kedudukan novel tersebut. Kabinet pula mengarahkan supaya diwujudkan dialog untuk menjelaskan keadaan.
Di dalam dialog berkenaan, wakil MIC diketuai oleh seorang bekas Timbalan Menteri, Ketua Jabatan Pengajian India di Universiti Malaya (UM) serta wakil-wakil Hindu Sangam. Sayang sekali UMNO tidak menghantar wakil, baik dari Biro Pelajaran UMNO Malaysia, Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO. Gapena dan Pena mewakili pergerakan kebudayaan dan kepengarangan kesusasteraan kebangsaan.

Banyak forum telah diadakan mengenai kemelut tersebut. Perkasa turut lantang menyuarakan pandangan di samping kenyataan akhbar PELITA dan ASASI, badan gabungan Gapena.

Setelah menghadiri pelbagai forum dan membaca dari pelbagai sumber, isu pokok ialah perkataan Paria. Perkataan ini dikatakan sensitif dan menghina. Pihak tertentu tidak mahu generasi muda India di Malaysia memahami diri mereka di dalam kerangka nilai berkenaan.

Mereka berpendapat perkataan ini tidak digunakan lagi pada masa kini dan sistem kasta tidak diamalkan lagi di Malaysia. Apakah benar tanggapan mereka itu?

Di dalam dialog di Kementerian Pelajaran, semua telah dijelaskan kepada wakil-wakil MIC, walau pun mereka bersetuju dengan segala hujah yang dikemukakan tetapi mereka tetap dengan keputusan mereka.
Di antara hujah yang dikemukakan bahawa perkataan Paria di dalam novel berkenaan ditulis dengan huruf besar ‘P’ bukannya huruf kecil ‘p’. Perkataan yang bermula dengan huruf besar ‘P’ bermakna kata nama, kata khas yang merujuk kepada satu kasta atau Outcaste, Untouchables yang terdapat di India atau di mana-mana jua amalan ini diamalkan.
Perkataan yang bermula dengan huruf kecil ‘p’ merupakan satu konsep generik (umum) yang menghina. Di dalam novel ini digunakan huruf besar ‘P’. 

Di dalam novel ini kata Paria merujuk kepada apa yang diamalkan sewaktu Maniam datang ke Tanah Melayu pada 1910. Pada masa itu kata ini digunakan dan diamalkan. Inilah kata kunci kemelut Interlok.
Dari sumber-sumber rujukan sama ada dari kamus, ensiklopedia, mahupun Wikipedia dapatdikesani maksud perkataan berkenaan. Secara umum semua sumber mengatakan perkataan berkenaan tidak tergolong di dalam sistem kasta dalam masyarakat India (Hindu).


Di dalam bahasa Tamil disebut Paraiya @ Paraiyar atau disebut juga Sambavar, Adi-Dravida dan Dalit yang digunakan di Tamil Nadu, Karala, Andra Pradesh, Karnataka, Puducherry, Sri Lanka, Singapura, Fiji, Malaysia dan Afrika Selatan.
Oleh kerana itu, kelompok Parairyar@ Parayar@ Sambavar@ Dalit @ Adir-Dravida digolong sebagai Untouchables atau Outcaste. Perkataan tersebut barangkali digunakan oleh Kolonial British untuk memudahkan proses devide et empera, yang kemudiannya masuk ke dalam kamus dan ensiklopedia Barat bukan sahaja sebagai satu konsep khas tetapi juga sebagai konsep generik.


Terdapat empat kasta di dalam struktur sosial India (Hindu) iaitu Brahmin (berwarna putih, yang terdiri daripada sami, guru, profesor, dan hakim), kedua ialah Kshatriyas, ‘berwarna merah, yang terdiri daripada para pahlawan dan raja selaku tuan tanah. Ketiga ialah Vaisyas, berwarna coklat, yang terdiri daripada para petani, peniaga dan pedagang. Manakala yang keempat ialah Shudras, berwarna hitam, yang terdiri daripada buruh dan pekerja tidak mahir.
Di bawah empat kasta ini terdapat kelompok Paraiya@Paraiyar, yang tidak berwarna, yang melakukan pekerjaan seperti pemungut sampah, penggali kubur dan lain-lain, yang tidak merupakan kasta utama yang empat.


Dari sumber lain dilaporkan bahawa di India terdapat 4,673 kasta yang dibahagikan beberapa jati (sub-kasta). Keanggotaan kasta ditentukan oleh varna (warna), kemurnian (purity) dan pencemaran (pollution) serta jenis pekerjaan yang dilakukan. Warna, kemurnian dan pencemaran adalah perkara pokok di dalam sistem kasta berkenaan dan keanggotaannya sudah ditentukan semenjak dilahirkan.


Sistem kasta adalah struktur sosial yang dicipta (rekonstruksi) di India ribuan tahun apabila orang Aryan dari Utara mengalahkan dan menakluk orang Dravidian di Selatan.


Apakah ini kontrak sosial antara mereka tidak dapat dipastikan, tetapi yang penting ia sedang dan masih diamalkan walau pun ada usaha oleh pemerintah India moden untuk mengurangkan amalan sistem ini melalui proses pemodenan, pendemokrasian dan hak asasi manusia. Gandhi pernah berusaha untuk menukar kepada Harijans (Children of God). Sistem ini juga sudah menjadi sebahagian daripada agama Hindu walau pun ada yang menafikan.
Apakah masyarakat India yang beragama Hindu di Malaysia masih mengamalkan sistem kasta secara formal tidak dapat dipastikan. Tetapi menurut sumber-sumber, persoalan ini berlaku apabila timbul isu perkahwinan. Perkataan Dravidian masih lagi digunakan di Malaysia dan terdapat persatuan atau pertubuhan sosio-budaya yang diwujudkan di atas nama kasta tertentu.


Interlok turut memaparkan kelemahan masyarakat Melayu dan Cina seperti di dalam Buku I dan II. Di dalam Buku II yang bertajuk keluarga Cing Huat, ada ditulis tanggapan orang Cina bahawa Melayu dan India itu sebagai Huan na (Hui) yang bermaksud tidak bertamadun (savage, barbaric), di samping Malai kuai (kui) yang bermaksud hantu atau syaitan.
Tanggapan tidak bertamadun (savage, barbaric) bukan sahaja ditanggapi oleh orang Cina juga oleh orang Eropah. Di dalam tradisi China, orang di utara khususnya Beijing, pada suatu masa dulu, menanggapi bahawa orang di selatan juga sebagai tidak bertamadun, di samping orang Cina yang berbangsa Han menanggapi yang bukan Han sebagai Hui. Dua perkataan ini juga tidak diglosarikan.


Novel ini adalah pemenang hadiah saguhati pertandingan menulis novel sempena menyambut 10 tahun kemerdekaan (1957-1967). Novel ini adalah satu karya fiksyen yang menggunakan maklumat sejarah dan budaya sebagai karya fiksyen.

Seperti novel Untouchable pengarang dan kepengarangannya bebas mengolah realiti, sejarah dan budaya seperti mana yang dilakukan di mana sahaja di dunia ini, begitulah juga novel Shit (Shahnon Ahmad, 1999) yang berkali diulang cetak pada penghujung dekad1990-an. Interlok mengandungi empat bab atau buku. Buku I bertajuk Keluarga Seman; Buku II Keluarga Cing Huat; Buku III Keluarga Maniam, dan Buku IV Interlok.
Sebagai karya fiksyen, Abdullah memberi jawapan bagaimana sepatutnya sistem nilai yang perlu dimiliki oleh tiga kaum penting di Tanah Melayu pada masa itu, secara khususnya sebelum Perang Dunia Kedua (Zaman Jepun), barangkali pada masa kini.

Ia adalah sintesis beliau, bahawa tiga kaum itu bukan sahaja adaptif, akomodatif tetapi asimilatif berasaskan sistem nilai saling bantu membantu, tolong menolong, sanggup berkorban untuk orang lain di zaman Jepun. Sistem nilai itulah yang menyatu-padukan kita semua selama ini. Di Buku IV, novel ini tidak mengulang kembali sejarah asal-usul masa lalu, isu hui dan kui tidak wujud, isu Paria tidak diungkit, pendatang atau tidak, tidak diungkapkan, yang diungkapkan ialah kebersamaan dan penerimaan.

Tanah Melayu adalah tanah yang memberi ruang kepada sesiapa tanpa kira asal-usul, untuk hidup berjaya. Ini adalah tanah kejayaan untuk yang bekerja keras.

Walau pun dilahirkan hina, dengan usaha keras darjat sosial dapat dipertingkatkan. Yang tercemar atau yang membawa pencemaran kepada darjat sosial tidak dilihat cemar, hina-dina di Tanah Melayu.

Di Tanah Melayu semua dimurnikan tanpa kira warna kulit dan darjat sosial. Melalui usaha keras untuk memajukan diri adalah cerita-cerita kejayaan. Malah yang hina-dina yang sanggup bekerja keras mencari nama lagi ternama, kadangkala diberikan anugerah bergelar Datuk dan Datuk Seri oleh Yang Dipertua Negeri, Sultan-Sultan Melayu dan Yang di-Pertuan Agong sekali gus mendaki dan mendapat tempat di dalam hierarki sosial Melayu dan Malaysia. Perkara seperti ini tidak akan berlaku di mana-mana jua, hatta di negeri asal sesiapa sahaja.

Novel ini tidak perlu dipolitikkan untuk kepentingan individu atau parti politik. Siapakah pula yang perlu bertanggungjawab terhadap penghinaan membakar Interlok di Klang. Ahli Parlimen dan DUN di kawasan Klang dari PKR turut hadir di pembakaran tersebut, apakah beliau berdua sudi bertanggungjawab. Keluarga Abdullah merasai penghinaan tersebut.

Kami dari pergerakan kebudayaan, kesusasteraan dan bahasa kebangsaan turut juga merasa kehinaan tersebut. Adalah wajar pihak kerajaan khasnya Kementerian Pelajaran turut menimbang isu ini bukan sahaja kerana tuntutan dan desakan, tetapi juga menimbang bahawa satu sudut jiwa Melayu telah dihina.

Semenjak kebelakangan ini disedari atau tidak, terlalu banyak kenyataan yang mengguris perasaan Melayu-Islam seperti isu azan, kalimah Allah dan lain-lain. Belajarlah dari Buku IV Interlok dan janganlah kurang ajar menguasai diri. Biarlah ini pengajaran terakhir untuk kita semua supaya kita terus mengekalkan perpaduan dengan penuh kematangan.
(Sumber: Zainal Abidin Borhan, Setiausaha Satu Gapena)

Tiada ulasan: