Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bertitah demikian di Majlis Pembukaan Rasmi Seminar Melayu Islam Beraja yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, Bandar Seri Begawan,Negara Brunei Darussalam.
"Konsep Melayu Islam Beraja itu sudah setentunya merupakan teras kepada nilai murni budaya bangsa kita, yang mana masa depannya juga terletak di tangan para belia, sebagai golongan penerus warisan adat istiadat dan identiti bangsa serta negara.
"Dengan kefahaman yang mendalam, sudah pasti tidak ada tawar menawar lagi untuk mereka mengamalkan dan menghayatinya, kerana konsep Melayu Islam Beraja ini, telah jelas terbukti sejak berabad-abad tahun lamanya, menjadi perisai dalam mengadun kehidupan, bermasyarakat dan bernegara di negara ini."
Pengiran Muda Mahkota seterusnya bertitah dengan menekankan bahawa konsep MIB diamalkan dengan jayanya dan dihayati dengan penuh keikhlasan dalam kehidupan harian, sudah pasti akan menjadi pendinding diri belia, dalam menghadapi apa jua cabaran dalam mengharungi kehidupan sekarang dan akan datang.
Dalam mencapai hasrat itu, pihak-pihak berkenaan dalam kerajaan memainkan peranan yang penting di mana mereka harus membuat perancangan yang terperinci dan mengambil langkah-langkah yang bersesuaian untuk melahirkan golongan belia yang kukuh dan mantap serta bagi menjamin kesinambungan dalam melahirkan generasi dan masyarakat yang berakhlak serta bertatasusila mulia.
"Masa depan bangsa dan negara adalah banyak bergantung pada sejauh mana komitmen, dan usaha kita untuk meletakkan golongan belia hari ini di atas landasan yang betul.
"Kerajaan akan terus menerus memberikan perhatian wajar serta melaksanakan program-program pembangunan, kepimpinan dan kemahiran kebeliaan, dalam pelbagai bidang, termasuklah penganjuran seminar seumpama ini," titah Pengiran Muda Mahkota lagi.
Seminar itu merupakan antara usaha dan langkah ke arah menyemai perpaduan dan semangat patriotisme di kalangan belia dan Duli Yang Teramat Mulia percaya penerangan terhadap konsep MIB yang disampaikan dalam seminar itu dapat memperkayakan pengetahuan serta memperkukuhkan penghayatan belia-belia mengenai konsep MIB.
Sehubungan itu Pengiran Muda Mahkota bertitah menyeru semua belia yang menyertai seminar itu untuk menghayati dan mempraktikkan segala penerangan, nasihat dan panduan yang disampaikan.
Golongan belia juga diseru untuk terus berusaha menuntut dan mengamalkan ilmu yang bermanfaat serta menyebarkan ilmu-ilmu itu bagi kesejahteraan masyarakat.
(sumber Media Permata Online, 11/2/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan