Salam Perjuangan

11 Februari 2011

VALENTINE DAY : SENSASI DAN PUBLISITI

MCA mendesak kumpulan media terbesar Media Prima menghentikan dan mengelakkan penyiaran program berkaitan selebiti televisyen Siti Nor Bahyah Mahamood selagi beliau tidak memohon maaf kepada masyarakat Kristian ekoran kenyataan tentang hari Valentine.

Timbalan pengerusi biro publisiti MCA Loh Seng Kok berkata, Media Prima patut mengumumkan kumpulan itu tidak terlibat dengan kenyataan Siti Nor Bahyah yang didakwa berkata bahawa “maksiat, disko, 'couple-couple', bersunyi-sunyian" sebagai tradisi masyarakat Kristian.

"Kedua-dua pihak, Media Prima dan Siti Bahyah patut segera meminta maaf kerana menyinggung sensitiviti masyarakat Kristian," katanya yang juga ahli jawatankuasa pusat dan majlis presiden MCA. 

"Media Prima juga tidak patut membenarkan salurannya menyiarkan rancangan menentang kepercayaan agama lain dan sekiranya perlu, memeriksa kandungan ucapan pembicara berkenaan."

Pemuda Majlis Gereja-Gereja Malaysia (Pemuda CCM) hari ini menuntut Siti Nor Bahyah permohonan maaf atas kenyataanya yang "tidak bertanggungjawab", "mengaibkan" dan "amat menyakitkan hati" dan dibuat tanpa fakta yang dikaji.


Dalam satu kenyataan hari ini, Loh menyarankan, polis juga patut menyiasat kata-kata mencemar Siti Nor Bahyah - yang terkenal cadangan "urutan cakar harimau"- sebagai hasutan.

Katanya, dakwaan yang dibuat selebriti rancangan agama dan motivasi itu langsung tidak berasas, dan berdasarkan pendirian individu yang jahil dan prejudis.

"Patut dimaklumkan bahawa hari Valentine merupakan acara komersial yang tidak berbeza dengan hari ibu, hari bapa dan hari guru. 

"Tidak seperti Good Friday, Easter dan Krismas, hari Valentine bukan acara daripada kalendar Kristian oleh penganutnya.(baca penuh Malaysiakini,11/2/11)

TB terkenang sebuah lagu evergreen Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi ciptaan M.Nasir nyanyian Alleycats yang telah dirakamkan lebih 20 tahun lalu yang masih malar segar ke hari ini. Antara intisari lagu tersebut ialah 'sekuntum mawar merah,sebuah puisi,untuk gadis pilihan,ooooo...di bulan februari...'Lagu yang mengasyikkan itu adalah pernyataan kasih sayang antara uda dan dara yang mana perantaranya ialah sekuntum mawar merah...dan diberikan pada bulan Februari.


Lagu itu sekadar lagu dan hanya sebagai hiburan. Mujur hanya dinyatakan pada bulan Februari tanpa menyebut tarikhnya,14 februari  yang dikatakan adanya perkaitan dengan valentine day. Oleh kerana lagu tersebut hanya disebut pada bulan Februari sahaja maka idea lagu tersebut tidak menjadi sebarang polemik walau sudah bertahun-tahun berkumandang. Dalam erti kata lain, hadiah kuntuman bunga mawar merah itu boleh dihadiahkan pada bila-bila tarikh pada bulan Februari tanpa mengaitkan valentine day.

Sebenarnya konsep kasih sayang dituntut dalam lslam. Namun kasih sayang itu ada batasan-batasan yang tidak melanggar syariat. Kasih sayang antara suami isteri yang juga boleh dianggap sepasang kekasih, anak-anak dan ibu bapa, saudara mara dan ahli dalam keluarga. Atau dalam skop yang lebih luas kasih sayang sesama insan dan kehidupan. Kasih sayang itu sepanjang waktu,sepanjang masa bukan pada hari-hari atau bulan tertentu sahaja. Kasih sayang itu adalah semata-mata kerana dan  ke jalan Allah SWT.

Apa yang kita tidak mahu seperti mana yang dilaporkan dalam tempoh 9 tahun (2001-2010)kira-kira 260 ribu bayi  lslam di negara kita dilahirkan tanpa nikah yang mana puratanya kira-kira 28 ribu setiap tahun. Dalam konteks ini adalah wajib kita mengingatkan  kepada umat lslam khususnya para remaja lslam bahawa agar tidak terpedaya dengan tipu daya iblis laknatullah dan musuh-musuh lslam dengan kehidupan pergaulan bebas, seks rambang, ICT negatif, mengambil kesempatan melakukan maksiat berselindung atas jenama valentine day dan sebagainya.

Justeru, isu valentine day yang menjadi sensasi dan publisiti usahlah difokuskan dengan kepercayaan penganut agama lain. Apa yang penting pada TB suatu penjenamaan semula harus diberikan kepada Hari Kasih Sayang ini seperti mana Hari lbu, Hari Bapa, Hari Wanita dan seumpamanya. Walaupun boleh disambut pada bila-bila masa tapi tidak salah dipilih pada bulan Februari tetapi tidak semestinya pada 14 Februari. lanya boleh ditetapkan pada 18 februari, 21 Februari atau 28 Februari, terserahlah.


Dengan ini kita tidak memfokuskan Hari Kasih Sayang kepada para remaja sahaja tetapi kepada semua insan. Dengan penjenamaan baru ini lama kelamaan elemen-elemen maksiat boleh terhakis daripada minda dan tidak ada kaitan dengan sebarang kepercayaan dan agama.

Apakah menjadi kerisauan kepada para peniaga bunga dan cenderamata kerana akan terjejas perniagaan mereka itu adalah isu sampingan. Apa yang penting semua pihak harus berpijak di bumi nyata. Masalah moral,pembuangan bayi, kejahilan konsep kasih sayang dan gejala-gejala keruntuhan akhlak bukan sahaja menjadi isu utama umat lslam dan remaja Melayu sahaja tetapi merupakan masalah bersama juga bagi penganut-penganut agama lain dan kaum-kaum lain di bumi Malaysia yang tercinta ini.








Tiada ulasan: